Wednesday, June 13, 2007

Ke Manakah Arah Anak-Anak Nak Kita Bawa?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hmmm... lewat lagi Buletin AdikBijak.com keluar bulan ni. Tak sangka yang kerja dari rumah ni sebenarnya sama sibuk dengan orang bekerja di pejabat... malah mungkin lebih lagi... al-maklum kita lah bos, kita lah juga kuli. Nasib baik ada suami tercinta yang sama-sama membantu menguruskan operasi AdikBijak.com yang semakin sibuk kini. Pun begitu walau pun sibuk... sebagai usahawan di rumah ni saya punya kuasa penuh menentukan bila masa nak kerja, bila nak rehat, bila nak makan... alah... kan saya ni bos... kan... kan...?

Biar pun sibuk saya tetap bersyukur kepada Allah s.w.t kerana diberikan kesempatan untuk melaksanakan salah satu sunnah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu berniaga. Dapat juga rasa secebis cabaran sebagai peniaga seperti mana Abdul Rahman bin Auf. Yang paling utama saya dapat terus melaksanakan apa yang Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah nyatakan dalam buku terbarunya, "Petua Mendidik Anak Menjadi Insan Positif", iaitu peranan sebagai Ibu Mithali Isteri Sejati, insyaAllah.

Bercakap fasal kerja dan berniaga ni... teringat saya kepada beberapa laporan akhbar baru-baru ini yang melaporkan tentang statistik graduan lepasan universiti yang menganggur terus meningkat saban tahun. Kenapa agaknya senario ini berlaku yea? Tidak berkualitikah graduan kita sehingga sukar untuk mereka memasuki pasaran kerja? Atau begitu teruk sekalikah ekonomi negara sehinggakan peluang pekerjaan menjadi begitu terhad?

Saya tak mahu ulas apatah lagi memberikan analisis punca-punca ramai graduan menganggur. Itu bukan kepakaran saya. Kalau suruh ulas kenapa ramai kanak-kanak keciciran kerana gagal menguasai kemahiran membaca, insyaAllah, satu kertas kerja pun boleh disediakan... isk...

Tetapi satu perkara yang ingin saya tarik perhatian rakan-rakan di sini ialah... dalam pada kita di ambang menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-50, kenapakah sistem pendidikan negara masih terfokus kepada melahirkan golongan "pencari kerja"? Pada usia yang sudah matang ini seharusnya negara kini sudah mampu melahirkan golongan peneraju ekonomi, pencetus teknologi, pemimpin perubahan dalam jumlah yang boleh dibanggakan.

Oh... rasanya tak perlu kita salahkan sistem pendidikan yang begitu perlahan melalui perubahan. Minda masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu sendiri rata-rata tampak masih terkongkong dan terjajah. Belum berani keluar dari kepompong keselesaan... takut untuk menghadapi cabaran.

Tak sampai 14 tahun lagi negara kita harus menggapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju dalam acuannya yang tersendiri. Tetapi cakap-cakap seperti "Anak... belajar rajin-rajin yea supaya besar nanti dapat kerja yang bagus"... atau... "kamu mesti dapat markah yang baik baru boleh masuk universiti dan nanti menjawat jawatan yang tinggi"... dan seumpamanya masih menjadi kata-kata perangsang ibu bapa buat si anak.

Kita mesti berubah!!!

Untuk negara menjadi kuasa ekonomi anak-anak kita mesti diasuh untuk menjadi peneraju syarikat-syarikat multinasional di seluruh dunia dan juga menjadi penganalisis ekonomi terhebat. Untuk menjadi kuasa teknologi, anak-anak kita perlu menjadi perintis dan pencetus ilmu-ilmu baru. Dan untuk menjadi kuasa dunia anak-anak kita perlu dilatih untuk menjadi pemimpin terbilang.

Segalanya mungkin... jika kita sama-sama memainkan peranan kita sebagai ibu bapa dalam mendidik amanat (anak) yang dikurniakan Allah. Anak seumpama kain putih... ibu dan ayahlah yang bertanggungjawab mencorakkan kain ini.
Sampai bila kita harus selesa menjadi bangsa yang "dipimpin"? Tidakkah Allah menjadikan kita semua sebagai khalifah di atas muka bumi ini? Kita perlu anjak paradigma pemikiran kita dan tidak lagi terbelenggu untuk menjadi pengikut sahaja sebaliknya tanamkan semangat bahawa "Akulah Pemimpin Terbilang... Akulah Pencetus Perubahan"!

Huhu... lain macam semangat saya hari ni. Maaf kalau ada yang terasa dan tersinggung. Cuma nak luahkan rasa sangat-sangat terkilan saya selepas membaca laporan tentang seorang graduan dalam bidang Sarjana Perniagaan mengeluh pada akhbar mengatakan sukar untuknya mendapat pekerjaan.

Agaknya adik kita tu belajar bertahun-tahun dalam bidang "perniagaan" untuk apa yea???

Terima kasih kerana sudi membaca bebelan saya ini...


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"


Puan Rosnita
AdikBijak.com



p/s: Suka saya sarankan buku berikut untuk dibaca...


Tips Cepat Membaca - Siri 13

ASYIK-ASYIK BUKU TU...!!!

Apa rasanya jika anda disuruh untuk membaca buku yang sama lagi... dan lagi... dan lagi?

Kali pertama membaca anda tentunya dapat menimba banyak ilmu dari buku tersebut. Membaca kali kedua dan ketiga akan meningkatkan kefahaman dan mempelajari serba sedikit lagi pengetahuan yang anda terlepas pandang semasa bacaan pertama. Tapi bila dipaksa baca kali keempat, lima, enam... argggghhhhh... asyik-asyik buku tu!

Jika kita rasa bosan dan muak mengadap buku yang sama berulang kali, begitu jugalah kanak-kanak. Walaupun pada "Tips Cepat Membaca - Siri 6" lalu saya ada nyatakan faedah melatih anak melalui proses yang berulang-ulang... ini tidak bermakna anda harus kekal menggunakan satu atau dua buah buku sahaja dalam melatih dan menanam minat anak-anak untuk membaca.

Sumber bacaan yang terlalu terhad akan menimbulkan rasa bosan dan tekanan kepada kanak-kanak. Lebih buruk lagi ianya akan menanamkam sikap negatif anak kepada buku dan aktiviti membaca.

Sebagai ibu bapa kita seharusnya menawarkan kepada anak-anak sumber bacaan yang lebih luas dan pelbagai seperti:

  • Buku-buku yang merangkum berbagai-bagai topik berbeza seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, kenderaan, sejarah dan lain-lain
  • Buku-buku yang menawarkan aktiviti langsung seperti melukis, mewarna, menulis dan aktiviti menguji minda
  • Sumber bacaan dalam pelbagai medium seperti majalah, komik, akhbar, CD multimedia interaktif dan tidak terhad sekadar buku sahaja

Dengan kepelbagaian sumber bacaan yang dapat kita tawarkan, anak-anak akan lebih tertarik untuk belajar membaca dan merasa seronok membaca kerana mereka dapat meneroka berbagai-bagai maklumat yang menarik dan menghiburkan. Pendedahan anak-anak kepada pelbagai maklumat juga akan dapat mencungkil bakat dan minat yang terpendam di dalam diri anak anda.

Adakah anak anda bakal menjadi seorang doktor, jurutera, pemimpin masa hadapan atau seorang yang kreatif...? Ia mungkin dapat anda lihat dengan jelas setelah mereka anda dedahkan kepada sumber yang cukup untuk anak-anak comel ini menilai sendiri melalui pembacaan.

Ibu.... hari ni kita nak baca buku apa pula ya ibu?

Friday, May 11, 2007

AdikBijak.com Kini Berusia 1 Tahun... Yeaa!!!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Emmm... agak lewat sedikit saya menulis dan menghantar Buletin AdikBijak.com bagi bulan ini. Maaf yea... terutama buat rakan-rakan ABc yang ternanti-nantikan Tips Mendidik Anak Cepat Membaca yang terbaru.

Agak sibuk sedikit minggu lalu kerana kami terlibat dengan Program Galakkan Membaca bersama Perpustakaan Awam Kuala Pilah, dan hujung minggu baru-baru ini pula terlibat dengan program Konvoi Berkereta Berkeluarga KMC-AdikBijak-MaxFuelPower ke Cameron Highland. Ni baru nak bernafas balik. Banyak nak saya ceritakan berkenaan kedua-dua program tersebut... tapi saya simpan dulu sehingga ke penghujung Secebis Bicara ini. Tungguuuu...

Pejam... celik... pejam... celik... tak sangka pada bulan ini (Mei 2007) usia AdikBijak.com telah menjangkau 1 Tahun. Kalau bayi tu... pada usia begini baru sahaja lepas menguasai kemahiran merangkak dan kini sudah mula untuk berjalan dan seterusnya berlari. Begitu juga dengan kami di ABc. Jika setahun yang lalu keluarga ABc ini hanya bermula dengan kira-kira 100 orang ahli... kini pada ulang tahun pertamanya AdikBijak.com telah dapat menghimpunkan hampir 3500 orang ibu bapa, pendidik, dan orang perseorangan dari seluruh pelusuk dunia.

Dari fokus kepada menjual buku kanak-kanak semata-mata secara online, kini AdikBijak.com telah meluaskan skop operasinya meliputi penganjuran Seminar dan Bengkel Cepat Membaca, membekalkan buku-buku ke kedai-kedai, hospital, perpustakaan, tadika dan stesen petrol. Yang lebih utama kami sudah memulakan usaha untuk mempromosikan secara lebih agresif tentang peri pentingnya menguasai kemahiran membaca dan konsep cintai buku di kalangan kanak-kanak dan ibu bapa.

Dari merangkak kami kini mula melangkah untuk berjalan. Dan anda telah memainkan peranan yang teramat penting membantu kami berkembang. Tanpa sokongan, teguran, nasihat dan galakan dari anda ABc tidak akan berada sejauh ini. Dengan sokongan berterusan dari anda juga... kami yakin AdikBijak.com akan dapat terus membawa visi dan misi kami untuk menyuburkan kembali peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak di rumah.

Bagi mengorak langkah lebih jauh ke hadapan kami telah merancang beberapa program bagi memperkenalkan lagi AdikBijak.com kepada masyarakat antaranya menjalinkan kerjasama dengan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dalam menubuhkan Kelab Kanak-Kanak RusaNani, program Eksplorasi Buku di wad pediatrik di hospital sekitar N. Sembilan, pertandingan membaca bersempena Pesta Buku Kanak-Kanak dan pelbagai program lagi.

Kenapa fokus di Negeri Sembilan sahaja?

Biarpun AdikBijak.com bersifat global dan ahli-ahli kami lebih ramai bermastautin di Lembah Kelang... bagi aktiviti kemasyarakatan kami merasakan adalah lebih tepat sumbangan kami difokuskan di mana AdikBijak.com telah lahir dan bertapak dahulu. Lagi pun dekat sikit untuk saya dan suami bergerak. Al-maklum Tasha masih bersekolah... jadi pergerakan kami untuk program di tempat lebih jauh agak terbatas... hehehe...

Tapi kalau ada jemputan dari tempat-tempat lain, insyaAllah, akan kami usahakan juga. Kami bakal memerlukan sukarelawan-sukarelawan bagi menjayakan beberapa aktiviti kami. Bila tiba masanya... kami akan umumkan nanti.

Bersempena ulang tahun pertama AdikBijak.com ada beberapa aktiviti yang akan (dan telah) kami jalankan. Konvoi Berkereta merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan. Aktiviti lain yang bakal berlangsung adalah Program Bacaan Yasin & Doa Selamat, Pertandingan Foto Keluarga Bahagia, dan lain-lain yang akan kami umumkan dari semasa ke semasa.

Eh... panjang pula saya berceloteh.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan anda kepada AdikBijak.com. Pastinya kami amat mengharapkan sokongan ini akan berterusan sampai bila-bila. Kongsikan tentang kami dengan rakan-rakan dan keluarga agar mereka juga dapat turut sama berada dalam komuniti ibu bapa dan pendidik perihatin di AdikBijak.com.

Tidak lupa juga... bersempena Hari Ibu yang akan disambut pada 13 Mei depan, saya dan krew AdikBijak.com ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua. Jadilah ibu mithali kepada anak-anak... kerana untuk melahirkan anak yang cemerlang... pembentukkan keperibadian perlu bermula dengan diri kita sendiri.

Emmm... apa lagi, ek? Oh yea... fasal kisah semasa konvoi tu... lain kalilah saya cerita yea?! Hehehe... tak... tak... sebenarnya keseronokan pengembaraan kami dan rakan-rakan ABc tu boleh anda ikuti di Diari Bergambar AdikBijak.com yang telah di sediakan di forum AdikBijak.com [KLIK SINI]

Saya berbicara lagi bulan hadapan...

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

p/s: Terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan Konvoi KMC-AdikBijak-MaxFuelPower terutama krew Kelab Kereta Malaysia yang telah menjadikan aktiviti tersebut suatu yang indah untuk dikenang sepanjang hayat.


Tips Cepat Membaca - Siri 12

BUKU HADIAH PALING BERHARGA

Melatih kanak-kanak membaca bukan setakat memperkenalkannya kepada bunyi-bunyi huruf dan perkataan, atau membacakannya cerita dari buku-buku yang menyeronokkan. Tetapi mewujudkan suasana suka kepada buku dan pembacaan juga memainkan peranan penting dalam melatih mereka untuk cepat membaca.

Pelbagai cara yang boleh kita lakukan... dan untuk tips kali ini suka saya kongsikan salah satu kaedah untuk mendidik anak-anak menghargai buku iaitu dengan cara menjadikan buku sebagai hadiah.

Barang permainan telah menjadi suatu hadiah yang biasa diberikan kepada kanak-kanak semasa sambutan Hari Lahirnya atau semasa meraikan sesuatu yang penting buat mereka. Apa kata anda ubah trend ini dan memberikan buku sebagai hadiah kepada mereka pula. Untuk panduan anda buku terbaik yang boleh anda berikan perlulah memenuhi sebahagian (atau ke semua) ciri-ciri berikut:
  • Mempunyai ilustrasi menarik dan berwarna-warni
  • Mudah dibaca sesuai dengan usia dan tahap kemampuannya membaca
  • Bertepatan dan sesuai dengan minat anak

Tuliskan mesej atau ucapan anda pada halaman dalam buku bagi menjadikan buku tersebut lebih bersifat peribadi. Balut dengan kertas hadiah dan bungkus dengan cara yang menarik.

Sebuah buku yang ditujukan khas buat si anak sejuta kali lebih bermakna dari puluhan permainan yang hanya ada cop "Made In China" di belakangnya, kan?!

Sebagai tambahan... aktiviti ini juga boleh anda praktikkan apabila anak anda ingin memberi hadiah kepada rakan-rakannya. Bawa dia sekali dan dapatkan pandangannya buku mana yang dia rasakan sesuai untuk sahabatnya itu. Minta anak anda menulis sendiri mesej yang ingin disampaikan pada bahagian dalam kulit buku.

NOTA: Anak anda mungkin meminta untuk dibelikan buku yang sama juga seperti mana yang ingin diberikan kepada sahabatnya. Jangan lokek..! Belikan juga senaskah kepada anak anda. Mereka tentu akan mula bercerita tentang isi buku bila bersua di sekolah. Jika anak anda belum membacanya dia pasti akan segera mencari buku tersebut agar tidak dipandang "tidak tahu" oleh rakannya.

Menjadikan buku sebagai hadiah akan mendidik anak bahawa buku adalah suatu pemberian yang perlu dihargai. Sesuatu yang dihargai pasti akan sentiasa dijaga dengan baik dan sentiasa diambil untuk dikenang (baca).

Dah ada perancangan hadiah apa untuk diberikan kepada anak anda pada hari lahirnya akan datang?

Di AdikBijak.com ada pelbagai buku yang sangat baik untuk dijadikan hadiah buat anak-anak. Contohnya Siri Sayangi Rasulullah, Storytime for 4-6 Years Old dan lain-lain. Dan buat anak yang lebih dewasa (remaja) kami sangat-sangat galakan para ibu bapa menghadiahkan buku terbaru kami "Duhai Anakku Yang Tercinta".