Thursday, August 25, 2011

Salam Aidil Fitri & Salam Kemerdekaan



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bulan Ramadhan yang mulia ini tanpa sedar telah hampir meninggalkan kita. Dan dalam masa tak beberapa hari lagi kita semua akan meraikan hari kebesaran dan kemenangan... kejayaan kita mengharungi cabaran dan menahan hawa nafsu sepanjang bulan yang penuh keberkatan. Mudah-mudahan kita semua akan dipanjangkan usia agar dapat lagi mengecapi lagi kemanisan Ramadhan tahun hadapan. Apa pun kami sentiasa berdoa dan berharap semoga Ramadhan kali ini merupakan yang terbaik untuk kita semua.

Buat anak-anak yang mula belajar berpuasa... hari raya kali ini pastinya membawa makna yang lebih besar buat mereka. Tahniah kami ucapkan kepada anda yang berjaya melatih si comel tersayang anda melalui satu cabaran yang cukup berat dan lebih utama mendidik mereka menghayati kelebihan bulan Ramadhan.

Kami di AdikBijak.com dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan walau di mana jua anda berada. Kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika ada kata-kata kami yang menyentuh hati, tindak-tanduk kami yang tidak sedap dipandang atau khidmat mesra kami yang tidak mencapai tahap yang diinginkan. Di masa hadapan... jika ada kesilapan di pihak kami harap rakan-rakan dapat memberikan teguran dan nasihat agar AdikBijak.com akan menjadi lebih baik untuk semua.

Kami juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54 yang bakal kita sambut serentak dengan Aidil Fitri kali ini. Bersyukurlah atas keamanan, keharmonian dan kebebasan yang telah telah kita nikmati selama ini. Usah biarkan perbezaan pandangan, bangsa dan ideologi menjadi tembok yang menghalang untuk kita terus bersatu padu di bawah satu bumbung bernama Malaysia.

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada rakan-rakan semua yang terus menerus memberikan sokongan atas usaha kami ini yang telah melangkau lebih 6 Tahun dengan lebih 14,000 ahli berdaftar. Bersamalah kita berdoa semoga AdikBijak.com akan terus kukuh dan dapat menyumbang ke arah kecemerlangan anak-anak melalui pendidikan di rumah.

Terima kasih juga kami ucapkan buat rakan-rakan yang menghantarkan ucapan Selamat Hari Raya kepada kami... samada melalui kad, email, SMS dan sebagainya. Kami amat-amat menghargainya. Kami memohon maaf kerana kami belum mendapat membalasnya... semoga email ini dapat mengganti diri.

Sebagaimana tahun-tahun yang lalu... suka kami berpesan kepada rakan-rakan atas beberapa perkara berikut semasa musim perayaan ini:

  • Bila meninggalkan rumah pastikan semua alatan elektrik (yang tidak perlu) dipadam dan ditanggalkan punca kuasa. Dan pastikan juga pintu serta tingkap dikunci dengan sempurna.

Tips: Sebelum meninggalkan rumah bacalah Ayat Kursi ketika di dalam dan di luar rumah, ketika menutup pintu-pintu dan tingkap, dan ketika mengenakan kunci terakhir pada pintu pagar... seraya berdoa agar Allah melindungi kediaman anda semasa anda tiada. InsyaAllah, rumah anda akan terlindung dari perkara-perkara yang tidak diingini

  • Sentiasa bercermat ketika memandu. Usah gopoh atau terkejar-kejar untuk sampai ke destinasi dituju. Ingatlah kepulangan anda sedang dinanti untuk dirai... bukan untuk ditangisi. Pandu cermat... semua pasti selamat.

Tips: Sebelum memulakan pemanduan pastikan anda dan semua penumpang di dalam kenderaan bersama-sama membaca Doa Naik Kenderaan. Pemandu sentiasa ada teman berbual. Dan cuba elakkan memandu pada waktu tengahari dan lewat malam (masa yang dikenal pasti ramai pemandu kerap hilang tumpuan)

  • Pastikan anda tahu di mana anak-anak berada... pada setiap masa!!! Dalam pada kita bergembira bertemu sanak saudara dan rakan taulan, adakala kita terleka. Di musim perayaan ini kenderaan banyak di jalanan, bunga api dan mercun dimainkan tanpa perhatian dan bermacam-macam lagi perkara yang boleh mengundang kecelakaan. Lebih menakutkan... anak-anak hilang tanpa dapat dikesan. Sambil bergembira tu jangan lupa perhatikan si comel kesayangan kita yea...Ingat...!!!
  • Elakkan pembaziran semasa perayaan. Rancang perbelanjaan anda. Ingat lepas raya nanti... anak-anak nak masuk ke sekolah pula. Banyak perbelanjaan akan diperlukan bila sesi persekolahan bermula.
  • Akhir sekali... jangan lupa keluarkan ZAKAT.

Akhir kata Salam Keceriaan dan Keinsafan dari kami buat rakan-rakan semua. Semoga kita akan bertemu kembali selepas Hari Raya nanti.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin. Merdeka...!!! Merdeka...!!! Merdeka...!!!

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Ikhlas dari kami,
* SHARIMAN AZEZE OTOH
* ROSNITA KISAII
* NUR NATASHA AZEZE
dan
KREW ADIKBIJAK.COM