Sunday, May 31, 2009

Tahniah... AdikBijak.com Kini Berusia 4 Tahun...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Pejam celik... pejam celik... menapak setahun lagi dah usia AdikBijak.com. Alhamdulillah, dengan berkat doa dan bantuan rakan-rakan semua, yang bersama-sama kami mengembangkan usaha untuk menghidupkan lagi peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sendiri di rumah, AdikBijak.com kini mempunyai hampir 10,000 orang ahli berdaftar yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Ada yang bertanya... AdikBijak.com tak ada rancangan ke nak buat sambutan makan-makan ke... perjumpaan ke...?

Hehehe... hajat hati kami tu memang ada. Malah teringin sangat nak buat perjumpaan dengan rakan-rakan semua, lebih-lebih lagi setelah perjumpaan Hari Raya tahun lalu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Rindu nak jumpa dengan rakan-rakan. Apakan daya tahun ini jadual kami semakin ketat dan padat. Cuba-cuba juga nak cari ruang kelapangan... tetapi belum lagi berjumpa masa yang sesuai. InsyaAllah akan kami usahakan agar sekurang-kurangnya perjumpaan Aidil Fitri dapat diadakan nanti.

Jika awal tahun ini saya mula mengajar kembali di tadika (sila rujuk Buletin lalu untuk cerita lanjut)... bulan Mei ini saya pula yang belajar balik. Hehehe... dah tua-tuan ni belajar apa lah pulak yea?

Untuk pengetahuan rakan-rakan bermula bulan ini saya kembali menjalani hidup sebagai pelajar. Yuppp.. saya sambung belajar kembali. Bukan sepenuh masa lah... tapi ambil kelas masa hujung minggu. Saya sambung belajar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di salah sebuah IPTA.

Jadual harian dah sedia ketat... semakin bertambah ketatlah nampaknya... isk!!! Emmm... tapi bak kata orang tua-tua... alah bisa tegal biasa. Semangat untuk memajukan diri di samping sokongan dari keluarga tercinta, juga tidak lupa juga doa dari rakan-rakan semua, saya yakin saya pasti akan dapat mengharunginya dengan penuh jaya.

Ingat lagi tak celoteh saya pada bulan lalu berkaitan ibu bapa perlu berilmu? Haaa... saya perasan bila saya mula belajar kembali ia telah secara langsung merangsang anak perempuan saya untuk semangat belajar. Biasanya kita akan membebel pada anak supaya dia belajar lah... dapat markah bagus lah... buat kerja rumah lah... TAPI... dia lihat kita duk relaks jer. Camne dia nak semangat belajarkan?!! Tetapi bila anak saya lihat umminya sendiri sibuk belajar macam dia... dia ada role model untuk diikut. Semangat saya dan anak semakin membara lagi lebih-lebih lagi bila si ayah (aka CyberAzeze) mencabar untuk melihat siapa dapat skor paling baik... hehehe...

Rakan-rakan tak perlu lah daftar sambung belajar semata-mata untuk jadi role model kepada anak-anak (tapi kalau nak memajukan diri... silakan... amat digalakkan). Dengan sama-sama duduk membaca dengan anak-anak, berbincang dan membimbing anda pasti akan dilihat oleh anak-anak sebagai sumber rujukan dan guru buat mereka di rumah. Usah biarkan mereka belajar sendirian... sedang kita seronok layan rancangan di televisyen.

Buatkan jadual di rumah agar anda, anak-anak dan keluarga dapat menjalankan pelbagai aktiviti sihat bersama. Belajar atau membaca bersama, menonton dan beriadah bersama, juga tak kurang penting adalah solat dan makan bersama-sama.





Minggu ini merupakan minggu akhir anak-anak bersekolah sebelum memulakan cuti semester yang agak panjang (dua minggu). Sudahkah rakan-rakan merancang program-program untuk mengisi masa cuti yang panjang ini buat anak-anak???

Ambillah cuti barang 3 - 4 hari dan bawalah mereka bercuti ke tempat-tempat yang menyeronokkan. Suasana riang bersama keluarga ini bukan sahaja akan mengeratkan ikatan kasih sayang... tetapi juga merupakan masa yang sangat sesuai dan effektif buat kita mendidik, mengasuh dan menasihat anak-anak agar menjadi insan yang soleh dan solehah... emmm.. nasihat ni bukan datang dari saya semata... tetapi berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w (pernah saya ulas dalam Buletin yang lalu... lupa pula edisi yang mana).

Cukup dululah celoteh saya kali ini. Banyak tugasan nak kena siapkan nih... hehehe. Esok ada satu eksperimen nak kena buat kat tadika... jadi kena sediakan bahan-bahan dan perancangan.

Akhir kata ingin saya dan keluarga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada kami. Doakanlah agar AdikBijak.com akan terus maju dan berkembang demi mencapai misi utama kami; Menghidupkan kembali peranan ibu bapa dalam mendidik sendiri anak-anak di rumah.

Jangan lupa pesanan saya... JOM PERGI BERCUTI!!!

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #29 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 2 - Bunyi Huruf)

TEKNIK ASOSIASI BUNYI DAN PERBUATAN (BAHAGIAN 2 - BUNYI HURUF)

Okay... kita sambung dari tips #28 yang lalu.

Bunyi-bunyi huruf tentunya akan lebih mudah diingati oleh kanak-kanak bila mana ianya kita kaitkan dengan sesuatu benda, perbuatan atau kejadian. Kita sebagai orang dewasa pun begitu jugakan?!

Bunyi "AAA" contohnya... kalau kita perkenalkan semata-mata tanpa diasosiasikan dengan sesuatu tentu agak sukar untuk diingati. TETAPI bila bunyi "AAA" ini kita kaitkan dengan bunyi orang menjerit terkena air panas atau api... maka... "AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA... Panasnya" ...!!!

Cepat melekat bunyi tersebut dalam otak, kan? Bila kita tanya si comel kalau orang kena api apa dia jerit... tanpa fikir panjang anak anda akan segera menjerit... "AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA"...!!!

Setiap fonik-fonik (bunyi) huruf boleh diperkenalkan melalui asosiasi benda, perbuatan atau kejadian. Tentunya fonik yang berbeza akan mempunyai aktiviti yang berbeza juga. Pada tips kali ini saya akan bagi dua contoh sahaja. Untuk "AAA" saya dah sentuh... saya bagi satu lagi iaitu memperkenalkan bunyi "III".

Sebelum itu suka saya tekankan di sini yang aksi yang anda lakukan mestilah dibuat dengan penuh bersungguh. Bila sebut "AAA Panas" tu... jeritlah macam orang yang betul-betul tengah kepanasan. Jangan jerit ala malu-malu... tak berkesan dan tak mencapai objektif nanti.

Untuk bunyi "III" pula anda akan buat aksi cuba menggeletek anak anda.

Cuba lakukan yang berikut:

Langkah 1: Gunakan jari telunjuk anda dan mula gerak-gerakkannya sambil ditujukan ke ketiak anak anda. Gerakkan secara perlahan dan mengacah sedikit.

Langkah 2: Sambil anda lakukan Langkah 1... bunyikan "I I I I I I I I I I I I I I I I I I I I I ". Dan terus cucuk jari anda ke celah ketiak anak anda... dan katakan "I I I... Geli laa"

Langkah 3: Ulang Langkah 1 dan 2 untuk beberapa kali.

Langkah 4: Minta anak anda pula cuba laku perkara yang sama kepada anda

Teknik yang saya tunjukkan di atas masih lagi teknik untuk melatih kanak-kanak belajar menyebutkan bunyi dengan tepat dan betul. Anda belum lagi sebenarnya memperkenalkan huruf kepadanya.

Untuk contoh yang lebih banyak (dalam bentuk video) bagi foniks-foniks lain... anda boleh tonton dan pelajarinya melalui VCD Kursus Kaedah Mengajar Bacalah Anakku yang didemonstrasikan sendiri oleh para pengasa program Bacalah Anakku.

Selamat mencuba...!!!

Produk Sokongan Yang Dicadangkan: