Tuesday, April 3, 2007

Orang Pegang Plastik Ikan Tak Gerak-Gerak 2 - 3 Jam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pernah tak rakan-rakan lihat orang pegang plastik ikan dua tiga jam tak gerak-gerak? Hehehe... saya pernah. Dan agak mengujakan juga sebab agak kerap melihatnya. "Orang pegang plastik ikan tak gerak-gerak dua tiga jam" ini pun mungkin anda boleh jumpa dan lihat di tempat anda.

Tak percaya? Cuba ambil cuti masa orang lain bekerja... dan anda ronda-ronda sekitar tempat tinggal anda dalam jam 8 pagi - 11 pagi. InsyaAllah, anda akan jumpa "orang pegang plastik ikan tak gerak-gerak dua tiga jam".
Lucu bunyinya, kan? Mungkin Edisi Siasat boleh buat laporan khas tentang senario ini. Tapi siapakah "orang pegang plastik ikan tak gerak-gerak dua tiga jam" ni?

Saya pasti anda sudah boleh menekanya. Ya... mereka adalah surirumah sepenuh masa seperti saya dan ramai di kalangan kita juga. Sama ada mereka baru menjadi surirumah sepenuh masa atau telah memegang jawatan tersebut sejak berkahwin... sindrom "orang pegang plastik ikan tak gerak-gerak dua tiga jam" amat cepat menguasai.

Dari perbualan saya dengan surirumah-surirumah dan juga interaksi dengan rakan-rakan dipelbagai forum, saya dapati kebanyakan kita yang mengambil keputusan untuk menjadi surirumah sepenuh masa menyangka tugas surirumah terhad kepada mengemas rumah, menyediakan makan minum, menjaga/mendidik anak dan mencuci pakaian sahaja. Itu sahaja...!

Lepas beberapa bulan menjawat jawatan tersebut... ramai di antara kita menjadi cukup mahir dan dapat menyiapkan tugasan ini dengan cepat. Belum pukul 10 pagi semua dah beres. Lepas tu nak buat apa, ek?

Bila saya terserempak dengan mereka dan bertanya, "aik... dari tadi beli ikan masih duduk kat sini?" Dan jawab mereka... "alah... laki aku bukan balik makan tengahari. Anak aku pulak bagi diorang nasik, telur goreng dan kicap pun dah ok. Budak bukan nak makan sangat... balik sekolah dah penat". Terkedu saya...

Menyelami lebih dalam perasaan mereka baru saya fahami yang mereka sebenarnya bosan dan beku dengan hidup mereka. Mereka rasakan yang mereka jauh terasing dari dunia luar... terpisah dari pekembangan fesyen, tertinggal dalam mencari ilmu, dan terputus dari kehidupan bermasyarakat. Dunia mereka hanya sejauh dua buah rumah di kiri, kanan, depan dan belakang.

Anda salah seorang dari mereka? Oppsss... maafkan saya. Bukan maksud saya untuk memperkecilkan tugas surirumah. Saya juga surirumah sepenuh masa seperti anda juga. Jika tak kerana dorongan suami yang mahukan saya terus aktif dengan aktiviti luar yang berfaedah... sindrom ini juga pasti telah menguasai diri.

Ehhh... panjang pula saya membebel. Plastik ikan masih di tangan ni... hehehe.

Untuk rakan-rakan yang kini menjadi surirumah, dan juga yang baru merancang nak jadi surirumah... teruskan aktif dengan aktiviti luar yang berfaedah. Banyak program yang boleh anda sertai yang dapat menambah sumber pendapatan keluarga, meningkatkan kemahiran diri, atau menyumbang kepada kemajuan masyarakat setempat. Ianya tidak memerlukan banyak masa atau belanja dari anda. Sambil-sambil anak kat sekolah pun boleh pergi sekejap kelas mengaji atau memasak, kan?

Dengan cara ini anda akan terus menjadi aset bernilai kepada masyarakat dan negara. Lebih penting lagi... it will keep your sanity (hehehe... cakap omputeh la pulak... hehehe).

Tapi jangan lupa minta izin suami dulu, yea!

Untuk para suami... saya cuma nak maklumkan... tinggalkan isteri di rumah dengan Streamyx dan Astro sahaja tidak memadai. Isteri anda perlu berinteraksi dengan dunia "sebenar". Bantu isteri anda untuk jadi isteri yang lebih baik dengan memberi mereka peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran diri, di samping mengizinkan minda dan pengalaman mereka berkembang.

Terima kasih sebab baca celoteh saya yang panjang ni.

Ok, untuk bulan ni bersempena bulan Kelahiran Rasulullah s.a.w kami ada menyediakan beberapa produk terbaru yang sangat-sangat sesuai untuk anak-anak anda. Contohnya Siri Sayangi Rasulullah tu cukup kami rekemen.

Suami saya kelmarin ambil set yang Versi Jawi sebab nak galakkan anak kami, Tasha membaca jawi. Sebab dia je yang mahir baca Jawi kat rumah, so kenalah dia ajar kami berdua membaca. Itulah tugas suami mithali, kan? Kisah Rasulullah tu memang seronok dibaca dan anak saya tiap-tiap malam minta ayahnya bacakan satu buku untuknya.

VCD "Happy to Solat" pula amat sesuai untuk dipertontonkan kepada anak-anak pra-sekolah. Ia menyampaikan mesej yang bersolat itu suatu yang menyeronokkan dan boleh dilakukan oleh siapa sahaja di mana jua. Di sampaikan oleh kanak-kanak Tadika Genius Aulad dalam bentuk teater pastinya VCD ini akan merangsang anak-anak anda untuk rajin bersolat.

Saya berbicara lagi nanti...


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

PUAN ROSNITA
AdikBijak.com


Tips Cepat Membaca - Siri 11

TAG NAMA UNTUK PETI SEJUK?

Latihan membaca tidak terhad kepada buku-buku, kad imbas dan majalah semata-mata. Dengan kerativiti yang ada kita boleh menjadikan seluruh bahagian rumah menjadi medan latihan membaca untuk anak-anak.

Caranya cukup murah dan mudah... iaitu dengan meletakkan label-label pada pelbagai objek yang terdapat di rumah. Contohnya letakkan label pada Almari Baju, Peti Sejuk, Pintu dan Sofa. Anda juga boleh letakkan label pada tempat-tempat penting seperti Bilik Air, Dapur, Ruang Makan dan Bilik Tidur.

Dengan adanya label (atau Tag Nama) pada objek-objek ini anak-anak anda akan dapat memadan dan mengaitkan "perkataan" pada label tersebut dangan "objek" yang dilihat. Label-label ini juga memberikan peluang untuk anak anda berlatih mengeja walau di mana dia berada di dalam rumah.

Jangan lupa untuk rajin-rajin bertanyakan anak anda tentang label yang ada. Buat seolah-oleh satu permainan "Tunjuk dan Eja" (Show and Spell) agar anak anda seronok untuk belajar dan mengingati perkataan yang tertera.

Tips Membuat Label

Label yang dibuat seeloknya mempunyai ciri-ciri berikut:
  • Ditulis dengan Huruf Kecil sepenuhnya
  • Bersaiz agak besar agar mudah dilihat oleh kanak-kanak dari suatu jarak yang agak jauh
  • Tulisan adalah berwarna-warni (warna berlainan untuk setiap huruf). Seeloknya gunakan warna yang terang
  • Tulisan tidak dihiasi dengan sebarang gambar
  • Di laminate dengan plastik agar tahan lama
AMARAN !!!

Jangan letakkan label pada objek atau peralatan yang berbahaya seperti Cerek Panas, Pisau dan Punca Elektrik. Atau objek mudah pecah / berharga seperti Pasu, Barangan Kristal dan Bingkai Gambar. Kanak-kanak selain dari membaca juga suka menyentuh dan memegang objek yang telah anda labelkan. Jadi gunakan budi bicara anda di mana dan objek apa yang ingin dilabelkan.

Monday, April 2, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 10

RANGSANG MINDA ANAK SEBELUM TIDUR

Kita biasa lihat di kaca televisyen bagaimana ibu bapa di negara-negara barat mempraktikkan membaca buku-buku cerita kepada anak-anak sebelum tidur. Ini merupakan satu aktiviti sihat yang perlu kita contohi dan praktikkan.

Untuk pengetahuan anda ilmu dan maklumat yang diterima oleh anak-anak sebelum tidur akan terus diproses dan dicernakan oleh mindanya. Walaupun dalam keadaan tidur, anak-anak sebenarnya terus-terusan belajar. Otak mereka akan cuba memahami, menjalin hubungan logik antara maklumat, dan cuba menyelesaikan masalah. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita mengisi minda mereka dengan informasi yang baik dan berguna untuk diproses olehnya.




Suka saya cadangkan untuk anak-anak diperingkat bayi (kurang dari 1 tahun) tunjukkan kepadanya dua atau tiga gambar-gambar yang terang dan menarik (penggunaan kad imbas digalakkan untuk aktiviti ini). Sebutkan nama atau warna gambar-gambar tersebut. Disarankan juga anda "menambah-nambah cerita" kepada gambar tersebut agar ia menjadi lebih menarik.

Bagi anak-anak yang berusia kurang dari 3 tahun... perkenalkan kepadanya buku-buku cerita yang tak banyak sangat tulisan tetapi mempunyai gambar-gambar yang menarik. Untuk anak-anak peringkat ini anda mungkin belum perlu membaca cerita di dalamnya... cukup sekadar "mereka-reka" cerita berdasarkan gambar yang dilihat.

Dan buat anak-anak yang lebih besar, bacalah buku-buku cerita yang bersifat nasihat, menghiburkan dan mendidik. Jangan bacakan buku-buku bersifat seram atau ganas kerana ianya akan mempengaruhi jiwa dan mindanya. Bacalah dengan sebutan yang jelas dan ekspresi yang betul. Akhiri kisah yang anda baca dengan bertanyakan soalan atau meninggalkan nasihat anda kepada anak-anak... dengan tujuan supaya minda anak-anak kita memprosesnya semasa tidur.

Jom praktikkan malam ini juga...

Nota: Berikut saya senaraikan beberapa buah buku yang boleh didapati di AdikBijak.com yang sesuai untuk aktiviti di atas: