Wednesday, November 21, 2007

Ibu-Ibu... Masyarakat Memerlukanmu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ishhh... lewat sungguh buletin bulan ni keluar. Baru ada kesempatan nak menaip lepas lebih sebulan sibuk dengan pelbagai acara terutama jemputan rumah terbuka Hari Raya di sana sini. Dan dah dekat nak hujung tahun ni mesyuarat pun tak kurang juga kerapnya. Sana mesyuarat persatuan penduduk, sini temujanji perniagaan.. . dan paling baru... Tabika Perpaduan yang tutup sekejap kat taman saya ni (yang saya pengerusikan) nak buka semula selepas mendapat peruntukan dan kelulusan dari kementerian. .. jadi mesyuaratlah lagi.... hehehe.

Sapo kato duduk kek ghumah jadi suri ghumah ni sonang... hehehe... speaking negori la pulak... hehehe...

Walau pun berstatus suri rumah sepenuh masa tidak bermakna kita tidak boleh terus memberikan sumbangan di luar. Kemahiran, skil dan pengalaman yang kita ada akan lebih bermanafaat jika dapat disalurkan kepada masyarakat. Terutama dalam membangunkan generasi pelapis masa depan (anak-anak kita). Tentunya satu kerugian kepada agama, bangsa dan negara jika kita, setelah bergelar ibu dan suri rumah sepenuh masa, hanya memendamkan ilmu yang ada.

Sumbangan boleh kita berikan dalam pelbagai cara. Contohnya, jika anda masa di sekolah dulu hebat dalam Matematik... apa salahnya menganjurkan kelas bimbingan Matematik secara percuma kepada bakal calon UPSR dan PMR di taman perumahan anda. Dua atau tiga kali seminggu sudah memadai. Melalui sumbangan ini anda bukan sahaja membantu anak-anak bangsa untuk cemerlang dalam akademik, anda juga dapat membantu mengurangkan tekanan ekonomi keluarga pelajar terbabit yang kini tidak lagi perlu mengeluarkan belanja lebih untuk kelas-kelas tuisyen. Untuk kita pula... sumbangan ini merupakan amal jariah yang, insyaAllah, menjadi saham berterusan untuk kita di akhirat nanti.

Oh yea... bawa sekali anak anda masa kelas bimbingan tu. Kenapa?

Emmm... saya pasti ibu-ibu tentu setuju dengan saya yang lebih mudah mengajar anak orang berbanding mendidik anak sendiri, kan? Susah benar dia nak dengar arahan kita... tapi apa sahaja yang cikgu suruh patuh sunggu dia ikut. Dengan membawa anak-anak ke kelas seperti ini... anda seperti kata pepatah Inggeris, "kill two birds with one stone". Anak anda akan mudah menerima ilmu yang cuba anda sampaikan kerana pada senario ini anda, pada minda si anak, merupakan seorang guru... dan bukan lagi ibu yang mudah nak dia ambil kesempatan untuk bermanja... hehehe...

Hujung minggu ini anak-anak kita akan memulakan cuti persekolahan. Enam minggu merupakan satu tempoh yang agak panjang yang perlu kita atur dan isi dengan aktiviti berfaedah buat anak-anak. Ambil sedikit masa untuk duduk dan berbincang dengan suami/isteri juga dengan anak-anak bagaimana hari-hari cuti persekolahan ini dapat dipenuhkan dengan sebaiknya.

Antara aktiviti yang kami rasakan sesuai adalah menghantar anak-anak ke kem motivasi dan solat, berkunjung ke pusat-pusat ilmu (seperti Pusat Sains Negara dan Petrosains), bercuti sekeluarga di dalam dan luar negara, dan bermacam-macam lagi aktiviti bermanafaat lain yang boleh dilakukan sekeluarga.

Buat ibu-ibu dan para bapa... ambil juga peluang cuti persekolahan ini untuk melatih dan memantapkan skil membaca anak-anak... terutama buat anak-anak yang bakal melangkahkan kaki ke Tahun Satu tahun hadapan. Persediaan awal ini akan memberikan keyakinan tambahan buat mereka untuk menempuh alam persekolahan yang penuh mencabar.

Rasa cukup dulu lah bicara saya kali ini. Sebelum menutup bicara suka saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah dapat hadir ke Perjumpaan Hari Raya AdikBijak.com yang telah diadakan pada 4 Nov 2007 lalu di Taman Tasik Shah Alam. Kami rasa cukup gembira kerana kehadiran pada perjumpaan kali kedua ini berkali ganda lebih ramai berbanding tahun sebelumnya. Dengan sokongan seperti ini telah membakar semangat kami untuk terus mengadakan program-program yang dapat mengeratkan hubungan kita di dalam keluarga besar AdikBijak.com.

Buat rakan-rakan yang tidak dapat hadir... anda boleh rasakan kemeriahan majlis ini dengan mengunjungi Dairi Bergambar AdikBijak.com dengan KLIK DI SINI.


Kita berbicara lagi nanti....

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Monday, November 19, 2007

TIPS #18 :: Jom Ke Perpustakaan

JOM KE PERPUSTAKAAN. ..!!!

Orang kata kalau nak ajar berenang bawalah ke air, dan kalau nak ajar memanjat bawa pula ke gunung. Dalam mengasuh minat anak-anak terhadap buku dan membaca... antara cara yang paling berkesan adalah dengan membawa mereka ke tempat di mana buku merupakan fokus dan suasana utama. Jika di rumah bahan-bahan bacaan mungkin terhad, masa yang digunakan ahli keluarga untuk membaca juga mungkin terbatas, dan suasana di rumah juga mungkin tidak begitu kondusif dalam menanamkan minat membaca... maka perpustakaan adalah tempat yang paling tepat untuk mereka.

Di perpustakaan suasana "cinta buku" menjadi tema utama. Anak-anak bila mula melangkah sahaja ke dalam sebuah perpustakaan pastinya akan rasa teruja dengan suasana yang begitu tenang di sana. Ia pasti jauh berbeza dengan suasana di rumah atau tempat-tempat tumpuan awam lain yang lebih sibuk dan bingit. Setiap sudut dan ruang pula pasti akan ada orang yang duduk membaca... dan suasana seperti ini tentunya menimbulkan rasa ingin tahu anak-anak kenapa buku begitu mengasyikkan mereka.

Rangkaian buku yang banyak di perpustakaan memberikan peluang untuk anak-anak meneroka pelbagai topik yang memenuhi minat dan citarasa mereka. Sama ada anak anda berminat tentang Sains, Permotoran, Tumbuh-Tumbuhan, Kartun (Seni), Angkasa dan apa sahaja, insyaAllah mereka akan dapat menemui sebuah atau lebih buku yang dapat memenuhi rasa ingin tahu mereka.

Di perpustakaan juga, selain buku, ada menyediakan kemudahan dan aktiviti lain yang sangat berfaedah seperti Sesi Bercerita, Makmal HiperMedia, Sudut Eksplorasi dan macam-macam lagi... yang telah disusun bagi meningkatkan lagi minat anak-anak kepada ilmu dan buku.

Bawalah anak-anak ke perpustakaan pada setiap hujung minggu, cuti persekolahan atau bila-bila masa sahaja yang anda dan anak-anak rasakan sesuai. Kunjungan ke perpustakaan tentunya boleh menjadi aktiviti sekeluarga yang berfaedah.

Monday, November 12, 2007

TIPS #17 :: Jauh Perjalanan, Luas Pengetahuan, Tingkat Kemahiran

JAUH PERJALANAN, LUAS PENGETAHUAN, TINGKAT KEMAHIRAN

Di musim-musim cuti persekolahan atau perayaan seperti Hari Raya, lazimnya kita akan mengambil peluang untuk bercuti dan melawat-lawat tempat yang agak jauh. Samada anda berkenderaan sendiri atau menggunakan kenderaan awam... satu benda yang patut kita bawa bersama (tetapi selalu tertinggal... hmmm...) adalah buku.

Perjalanan yang jauh atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas memberikan kira ruang masa untuk membaca... untuk diri sendiri dan juga untuk anak-anak. Apabila kita membaca buku ketika dalam kenderaan ia akan mempamerkan contoh yang baik kepada anak-anak tentang cara mengisi masa dengan cara yang berfaedah.


Galakkan mereka membaca dengan membawa bersama buku-buku atau majalah, dan letakkan di dalam kenderaan pada tempat yang mudah dicapai. Elok diletak pada poket di belakang kerusi hadapan atau di bahagian atas kerusi belakang dan bukan di dalam beg atau tempat letak barang (sukar diambil).

Selain membaca anda juga dapat melatih kemahiran anak-anak membaca melalui permainan-permainan perkataan seperti yang telah saya sentuh sebelum ini. Bagi anak-anak yang telah pandai membaca, anda boleh melakukan kuiz bagi menguji kefahamannya tentang apa yang telah dibaca.

Gunakan ruang masa ini sebaik mungkin... terutama buat anda yang pada hari kebiasaannya sibuk di tempat kerja dan mempunyai ruang masa terhad untuk membaca bersama anak-anak. Ini peluang anda untuk mendidik dan menggalakkan mereka membaca. Jangan sia-siakannya...!!!