Wednesday, March 9, 2011

Melentur Biar Dari Rebungnya

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua,

Bulan kelahiran Junjungan Agung Rasulullah s.a.w baru sahaja berlalu. Tiap kali bulan tersebut hadir pastinya kita akan terkenangkan tentang kehebatan keperibadian dan kepimpinan seorang insan yang telah dipilih oleh Allah s.w.t bagi menyinarkan rahmat ke seluruh alam. Sikap jujur baginda, kelembutan baginda terhadap para isteri dan anak-anaknya, kecemerlangan baginda dalam memimpin para sahabat dan umat Islam seluruhnya menjadi model impian untuk diikuti.

Buat kita yang bergelar ibu dan bapa, pastinya nilai-nilai yang ada di dalam diri Rasulullah s.a.w ingin kita tanam dan serlahkan di dalam diri anak-anak comel kita. Kita impikan mereka bijaksana seperti baginda, berhemah seperti baginda dan hebat seperti baginda... bila mereka besar nanti.

Tetapi kita perlu cepat sedar dari lamunan mimpi tersebut. Kerana apa? Kerana tanpa usaha yang kita mulakan dari sekarang semua impian tersebut hanya akan menjadi angan-angan Mat Jenin... huhuhu...

Kan pepatah Melayu ada berkata, "Nak melentur buluh biar dari rebungnya". Biasa kita dengar pepatah ini. Emmm... tetapi pernah tak kita bertanya kembali... "Nak dilenturkan ke mana ye?".

Nak melentur buluh kita perlu terlebih dahulu tahu apakah hasil akhir yang ingin kita capai. Jika dilentur tanpa arah... buluh tadi akan jadi melengkung dan pucuknya mungkin bertemu kembali pangkalnya. Jika kita nisbahkan situasi ini ke dalam kehidupan anak-anak kita.... melentur tanpa arah mungkin hanya menyebabkan anak-anak tadi membesar dan jadi SAMA MACAM KITA. Bak kata orang Utara... Pi mai pi mai duk tang tu jugak!

Kawan-kawan pernah lihat Lucky Bamboo tak? Lucky Bamboo (lihat gambar) ni amat terkenal di kalangan masyarakat Cina untuk dijadikan hiasan semasa musim-musim perayaan. Ada yang bentuk bertingkat-tingkat, ada yang spiral, ada bentuk hati dan macam-macam lagi. Agak-agak macam mana pokok buluh tersebut boleh jadi sedemikian agaknya yea?

Lucky Bamboo tak tumbuh dan membesar sedemikian cantik dengan sendirinya. Ia bermula dengan visi pemiliknya... bentuk apakah yang ingin dihasilkan. Kemudian kerangka khas dibentuk agar buluh tadi akan tumbuh dan melentur mengikut acuan yang disediakan. Dari semasa ke semasa kedudukkan buluh diperbetul dan dirapi agar ia terus mengikut acuan tanpa terkeluar darinya. Dan pohon buluh ini juga tidak lupa untuk dibekalkan dengan baja yang bermutu dan diletakkkan dalam persekitaran yang baik agar ia tumbuh sihat, segar dan cantik.

Anak-anak comel kita (jika boleh saya kiaskan) adalah seumpama Lucky Bamboo ini pada peringkat rebungnya. Untuk kita jadikan mereka insan hebat... kita perlu lakukan langkah berikut:

  1. Kita perlu wujudkan Visi dan Misi. Kita nak anak-anak kita ini jadi insan yang bagaimana bila besar nanti. Tetapkan matlamat anda.
  2. Sediakan acuan untuk kita bentuk dan lentur mereka. Acuan ini adalah dalam bentuk pendidikan, persekitaran, pergaulan dan asuhan yang kita beri. Jika kita inginkan si comel menjadi seorang pakar perubatan, maka sedari awal kita akan dekatkan dan tanamkan minat mereka kepada ilmu sains dan perubatan. Berikan permainan dan buku-buku yang berkaitan. Bawa melawat ke pusat-pusat sains dan seumpamanya.
  3. Sediakan sekitaran yang kondusif. Anak-anak akan lebih mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar. Pastikan mereka sentiasa membesar dalam suasana yang tenang, harmoni dan penuh kasih sayang, dan (seboleh mungkin) tidak terdedah kepada kepada unsur-unsur yang kurang sihat
  4. Berikan makanan yang halal dan berkhasiat. Tubuh yang sihat akan melahirkan minda yang cerdas
  5. Suburkan jiwa dengan Islam. Tubuh yang cantik dan tegap tetap akan jadi kosong jika jiwanya tidak diisi. Anak-anak yang jiwanya diasuh dari awal untuk mengenal Allah pasti akan terpancar kejernihan hatinya.
  6. Jadi mentor yang hebat. Anda perlu terus menerus memainkan peranan sebagai penunjuk jalan, pemberi nasihat dan jurulatih. Peranan ini mesti dilaksanakan tanpa rasa jemu dan letih kerana dari semasa ke semasa anak-anak kita ini perlu diperbetulkan, dirapikan agar mereka terus berada dalam jalan dan acuan yang kita mahukan.

Pepatah Arab ada berkata... "Orang yang tidak mempunyai anak tidak akan kenal erti kasih sayang. Dan orang yang mempunyai anak tidak akan kenal erti rehat". Mudahnya... pepatah ini memberi maksud (ikut faham sayalah... hehehe) tugas sebagai ibu bapa merupakan satu tugas sepenuh masa... anak-anak perlukan perhatian dan bimbingan berterusan dari kita. Dan tugas sepenuh masa lagi meletihkan ini... mempunyai ganjaran yang amat besar iaitu nikmat kasih sayang yang sejati.

Jika kita mahukan si comel membesar menjadi anak-anak yang "sejuk" dipandang mata dan hati... maka lenturlah mereka dari sekarang. Mereka umpama sehelai kain putih... kitalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jangan biarkan persekitaran mewarnakan kain putih ini dengan warna-warna noda dan duka.

Haiiii... banyak bermadah pula saya kali ni... hehehe. Apa pun, moga coretan saya kali ini dapat menjentik rakan-rakan untuk berfikir sejenak dan lihat kembali hala tuju yang cuba kita pandu anak-anak kita.

Akhir kata buat kali ini... ingin saya ucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan AdikBijak.com kerana dengan sokongan anda AdikBijak.com kini telah mempunyai lebih 13,000 ahli berdatar. Dan atas berkat doa semua juga, insyaAllah AdikBijak.com akan mula membuka kelas tuisyen cepat membacanya pada bulan April nanti.

Terima kasih... terima kasih... terima kasih. Oh ya... hampir lupa pula, mohon rakan-rakan doakan agar anak kami, Nur Natasha Azeze, berjaya dalam saringan Tilawahnya (peringkat daerah) pada Khamis ini. Ayahnya ada sertai juga... cuba mencabar diri katanya... hehehe. Umminya bagaimana pula? Haaa... yang itu akan kita chit-chat lain kali lah yea... Kena buka topik baru tu... bagaimana ibu bapa mencabar diri sebagai rangsangan untuk anak-anak berjaya.

Jumpa lagi...

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Monday, March 7, 2011

Tips # 35: Didik Anak Membaca Seawal Dalam Kandungan (Bah. 2 - Belaian)

TIPS #35 :: DIDIK ANAK MEMBACA SEAWAL DALAM KANDUNGAN (BAH. 2 - BELAIAN)

Tips kali ini saya petik dari blog mentor saya, Puan Nik Ilyani (Pengasas Program Bacalah Anakku) di http://cepatmembaca.blogspot.com

Belailah bayi dalam kandungan dengan mengusap daripada bawah perut ke pusat bermula 13 hingga 27 minggu. Daripada kepala ke jari kaki daripada 28 minggu. Usapan sebegini akan membantu perkembangan saraf-otot bayi.



Bercakap-cakap dan bisikkan harapan kita kepada bayi dalam kandungan dengan penuh kasih sayang. Belaian sebegini merupakan rangsangan yang akan membantu pembentukan jaringan di antara sel-sel otak (jaringan synapses). Lebih banyak jaringan maka lebih cerdiklah bayi kita. Amalan ini amat penting terutamanya setelah bayi yang dikandung berumur 8 bulan.


Rangsangan-rangsangan daripada kita, ibu, terutama pada bulan-bula terakhir akan memberi kesan kepada saiz otak dan tahap kecerdasan bayi yang masih dikandung.

Usapan ibu menenangkan dan menghiburkan... hatta buat bayi yang masih di dalam kandungan!!!


Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Tuesday, March 1, 2011

BUKU BAHARU: 101 Rekreasi Hati

101 Rekreasi Hati



Buku berkonsepkan komik ini dipetik daripada buku 300 Hadis Bimbingan karya Dr. Zahazan Mohamed dan Ustaz Ahmad Hasan Mohd Nazam dan dipersembahkan semula dengan begitu menarik sekali oleh Nik Wafdi Nik Jaafar (Kartunis Nik).

Keistimewaan buku ini

  • Sesuai dibaca semua peringkat umur
  • Dipersembahkan dalam bentuk santai dan humor
  • Mendekatkan pembaca kepada hadis kerana penyampaiannya yang mudah difahami dan hayati
  • Mudah dibawa sebagai bahan bacaan ringan
  • Sesuai untuk dijadikan cenderahati dan sebagai bimbingan kepada remaja.

Dekati Hadis dengan cara yang mudah dan santai!


Dapatkan secara eksklusif hanya di AdikBijak.com
http://www.adikbijak.com