Monday, September 1, 2008

Kaedah Mendisplinkan Anak Tanpa Kekerasan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hmmm... dah dua bulan saya termiss untuk menghantar Buletin AdikBijak kepada rakan-rakan semua. Bukan terlupa pada rakan-rakan tersayang... cuma tuntutan tugas harian yang agak lebih buat masa ini menyediakan ruang masa yang agak terhad untuk saya duduk menulis.

Banyak juga rasanya soalan-soalan yang saya terima melalui email dan forum yang belum dapat saya jawab. Saya mohon berbanyak-banyak maaf kepada rakan-rakan. Jika ada yang memerlukan khidmat nasihat segera... harap dapat berhubung terus dengan saya melalui telefon... yea.

Dalam kesempatan kali ini suka untuk saya menyentuh berkaitan topik mendisplinkan anak-anak dan cara terbaik melayani kerenah mereka. Al-maklum sekarang ni kan anak-anak sedang bercuti panjang... jadi rata-rata kita yang menjadi surirumah sepenuh masa ni... nak tak nak perlu berhadapan dengan kerenah mereka seharian di rumah. Sebelum ini kurang sedikit rasanya tekanan tu sebab mereka sepanjang hari di sekolah... tetapi sekarang dari pagi hingga ke malam kelibat (dan perangai) mereka akan menjadi santapan mata dan jiwa kita sepanjang hari. Saya yakin rakan-rakan yang bekerjaya juga berhadapan dengan situasi yang sama kerana pada musim-musim beginilah kita akan mengambil cuti untuk dapat bersama-sama dengan anak-anak.

Pada masa ini tahap kesabaran kita adakalanya akan teruji pada tahap maksimum. Siapa sangka wajah-wajah comel dan manja yang pada kebanyakan masa menjadi penyegar jiwa dan penceria keluarga, juga mampu merentap kewarasan kita. Kerenah anak-anak yang tiba-tiba menjadi degil, melawan kata dan kadang-kadang agresif membuatkan kita hilang pertimbangan dan kadang kala menjadi ringan tangan.

Hehehe... rakan-rakan jangan ingat saya dan keluarga merupakan model yang sempurna. Tiada masalah anak-anak atau keluarga. Atau saya sentiasa mampu bertindak cool dan waras sepanjang masa... yea. Saya juga seperti anda semua, adakalanya tahap kesabaran diuji pada tahap maksima oleh anak perempuan kami yang seorang ni.

Alhamdulillah, dalam membesarkan anak kami, Tasha, kami dapat belajar banyak perkara yang sangat bernilai. Ini ditambah lagi dengan meneliti dan mempelajari bagaimana ibu bapa yang lain menghadapi masalah displin anak-anak. Usah rasa kita sebagai ibu bapa tahu akan semua perkara. Sebenarnya banyak yang boleh kita pelajari dari anak-anak itu sendiri. Indah sungguh kurniaan Allah ini... yang memberikan anugerah tak ternilai (anak) yang bukan saja kita dipertanggungjawabkan untuk mengasuh dan membesarkannya, tetapi juga anugerah ini mampu menjadikan kita insan yang lebih sempurna, hebat dan berjiwa mulia.

Rakan-rakan yang saya kasihi... anak-anak zaman ini mempunyai tahap perkembangan minda yang jauh lebih pantas berbanding anak-anak sezaman kita dahulu. Semua ini hasil dari pengaruh persekitaran yang sangat berbeza. Saya perhatikan anak-anak kini tidak cukup dengan hanya berkata "TIDAK" atau "JANGAN" sebagai cara pendisplinan. Pendekatan secara kekerasan juga tidak memberikan kesan yang baik jika tidak dilakukan secara hikmah.

Suka saya senaraikan beberapa pendekatan yang boleh kita gunakan dalam mendisplinkan anak-anak seperti berikut:

  • Benarkan Anak Terokai Dunianya. Kanak-kanak mempunyai naluri semula jadi dalam megeksplorasi dunianya. Dia ingin memanjat, terjun, berlari, membaling, menyepak dan lain-lain. Melalui aktiviti ini mereka akan belajar di samping mempertingkatkan lagi skil motor dan koordinasinya. Menyekat keinginan mereka hanya akan merencatkan perkembangan anak-anak ini dan mungkin juga menimbulkan rasa memberontak di dalam jiwanya.

Suka saya cadangkan rakan-rakan untuk membenarkan mereka mengeksplorasi dunianya... tetapi dalam suasana yang terkawal dan selamat. Jika bayi anda ingin memanjat tangga, biarkan dia memanjat... tetapi ikut di belakangnya secara dekat. Jika anak ingin terjun... pastikan tempat mendaratnya berlapik dan selamat.

Adakalanya kemalangan kecil yang berlaku seperti terjatuh dan terluka memberikan pengajaran yang amat bernilai buat si kecil. Kan pepatah Melayu ada berkata "Tempat Jatuh Lagi Dikenang..."

  • Mempertanggungjawabkan Anak. Hukuman secara fizikal kerap menjadi pilihan kita dalam menghukum anak-anak. Ada banyak pro dan kontra tentangnya... dan tidak akan saya sentuh di sini. Tetapi persoalan yang ingin saya lontarkan kepada anda ialah, jika hukuman secara fizikal tidak lagi berkesan... adakah alternatif lain?

Ya ada... iaitu melalui pendekatan "sebab dan akibat". Melalui pendekatan ini anak-anak akan dipertanggungjawabkan atas kesilapan yang dilakukannya. Contohnya jika si anak telah melanggar arahan anda, sebagai akibat dia dihukum untuk tidak boleh menonton televisyen selama seminggu. Atau anda tidak lagi memberikan wang saku sekolah untuk seminggu dan digantikan dengan bekal yang disediakan oleh anda. Atau jika anak anda memecahkan sesuatu barang, maka wang sakunya akan dipotong sehingga cukup untuk menggantikan semula barang yang pecah tadi.

Dalam perlaksanaan kaedah ini, anda perlu lakukan dalam keadaan yang tenang dan terangkan apa kesalahannya dan akibat yang perlu diterimanya. Hukuman yang disampaikan dengan cara tenang (bukan dalam nada marah) akan memerikan impak yang cukup berkesan kerana anak anda sedar yang ibu atau ayahnya menghukum bukan kerana marah tetapi sebagai melaksana sesuatu yang perlu akbiat dari perbuatannya.

  • Tepati Janji dan Usah Suka Berjanji. Haaa... yang ini untuk anda pula. Kita sebagai ibu bapa adakalanya suka melontarkan janji-janji manis kepada anak-anak. Sering janji-janji ini dilakukan tanpa ikhlas kerana semata-mata untuk meredakan permintaan anak-anak terhadap sesuatu.

Usah Berjanji Jika Anda Tidak Merhasrat Untuk Menepatinya...!!!

Jiwa dan minda anak-anak adalah bersih dan lurus. Mereka belum faham erti berbohong atau janji palsu. Apa sahaja yang anda katakan akan mereka terima sebagai kata muktamad dan benar. Jadi bila anda gagal untuk melaksanakan apa yang anda katakan/janjikan maka usah terkejut jika perangai anak anda tiba-tiba berubah angin... dari tenang tiba-tiba menjadi ribut taufan. Jika ini berlaku jangan marahkan mereka... tetapi salahkan diri anda sendiri.

Berjanji itu boleh... tetapi pastikan anda dapat laksanakannya. Lebih elok jika anda berjanji sertakan sekali tarikh atau waktu bila anda akan laksankannya. Contohnya anda akan berkata, "Kalau Adik dapat nombor satu dalam periksa ni, Ummi akan bawa Adik pergi jalan-jalan ke Port Dikson masa cuti penggal nanti"

Janji kepada anak-anak perlu mempunyai maklumat yang lengkap agar si anak tidak tertanya-tanya bila dan apa yang akan dia terima nanti. Tanpa maklumat lengkap si anak akan terus-terusan merengek kepada anda menagih janji.

Isk... lama tak menulis seronok pula saya berceloteh. Panjang dah ni... saya berhenti dulu setakat ini. InsyaAllah akan saya sambung lagi pada bulan hadapan.

Okay... saya berbicara lagi nanti...

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #25 :: Buku Tanpa Cerita

BUKU TANPA "CERITA"

Bila memperkatakan tentang buku kanak-kanak pasti akan segera terbayangkan di dalam minda kita sebuah buku yang mempunyai gambar-gambar terang dan menarik dan disertai dengan tulisan-tulisan yang memberikan cerita kepada buku tersebut. Tetapi ada sejenis lagi buku kanak-kanak yang mana di dalamnya hanya mempunyai gambar... dan tidak mengandungi sebarang cerita langsung.

Buku jenis ini dikenali sebagai "first touch" atau "playbook" yang mana matlamat utama buku seperti ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada bayi dalam mengenali buku dan berinteraksi dengannya. Contoh buku seumpamnya adalah buku "Bouncy Lamb" yang ada terdapat di laman AdikBijak.com.

Melalui buku ini anda akan memperkenalkan kepada bayi apa itu buku. Dengan setiap hari anda merujuk kepada objek tersebut sebagai "buku" atau "book" anak anda akan mula mempelajari apakah yang dikatakan buku itu. Buku playbook ini memberikan pengalaman yang menyeronokkan buat bayi kerana melaluinya si comel akan dapat menyentuh, bermain, menggigit dan berinteraksi dengannya.

Untuk meningkatkan lagi keseronakkan kepada si comel, rekalah cerita-cerita berdasarkan gambar yang ada. Mimik muka dan nada suara pelbagai yang anda buat tentu akan menjadikan sessi mengenali buku ini menjadi lebih dinantikan si comel.

Pengalaman awal yang mengembirakan ini bakal menanamkan minat dan cinta yang mendalam dan berpanjangan kepada buku, dan insyaAllah minat ini akan terus dibawanya sehingga dewasa.

Jom bermula awal. Usah terlewat...!!!