Tuesday, February 19, 2008

Berikan Pendidikan Agama Tempat Sewajarnya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Adik Bijak,

Berbelah bagi saya samada nak teruskan menulis Buletin AdikBijak.com untuk bulan ini atau tangguhkan terus ke bulan Mac. Yealah... dah dekat pertengahan bulan masih belum keluar buletin yang sepatutnya disiarkan setiap awal bulan. Bila fikir-fikirkan balik... elok saya teruskan juga sebab ada perkara-perkara yang perlu disentuh dan disampaikan. Kan ada pepatah mengatakan "biar lambat, asalkan selamat"... hehehe... alasan nak sedapkan hati sendiri... hehehe .

Isu yang nak saya sentuh kali ini adalah berkaitan keseimbangan dalam kita memberikan tahap keutamaan di antara pendidikan konvensional dan pendidikan keagamaan. Setiap tahun bila saya mendaftarkan anak saya ke sekolah pengajian agama... saya akan dapati ramai anak-anak yang pada tahun sebelumnya berada di dalam sekolah tersebut tidak lagi mendaftar masuk. Penurunan bilangan yang mendaftar lebih ketara di kalangan anak-anak yang pada tahun tersebut akan menghadapi peperiksaan besar seperti UPSR dan PMR.

Kenapa agaknya trend ini berlaku ya? Untuk memahami fenomena ini saya telah secara langsung bertanyakan para ibu yang secara tiba-tiba tidak lagi mendaftarkan anak-anak ke sekolah agama. Dan sungguh mengejutkan apabila mengetahui alasan utama mereka mengeluarkan anak-anak mereka dari sekolah agama adalah supaya anak-anak mereka mempunyai lebih masa dan lebih tumpuan bagi menghadapi peperiksaan besar pada tahun tersebut.

Apabila mendengarkan alasan yang diberikan... terasa hati kecil saya ini mahu sahaja memberontak... marahkan tindakan mereka. Kenapakah pendidikan agama dilihat sebagai satu perkara sampingan?! Kenapakah pendidikan agama dipandangan sebagai "gangguan" kepada penumpuan anak-anak kepada pendidikan di sekolah?!

Rakan-rakan sekelian... untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang kita mesti memastikan mereka menerima pendidikan dan asuhan yang seimbang. Kejayaan dan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa dialas dengan asas pendidikan agama yang mantap tidak akan dapat membentuk anak-anak yang boleh dibanggakan di masa hadapan. Bukan kah saban hari kita dihidangkan di media massa dengan pelbagai masalah jenayah dan sosial yang kini tidak lagi aneh bila pelakunya merupakan mereka-mereka yang berpendidikan tinggi?

Kerap juga kami mendengar keluhan ibu bapa yang rasa sedih dan kecewa kerana anak-anak mereka, walaupun berpendidikan tinggi... menjawat jawatan yang hebat, tetapi mempunyai jalan hidup yang yang jauh menyimpang dari norma-norma kita sebagai orang Islam dan orang Melayu yang kaya dengan sopan santun. Tidak kurang juga ibu bapa yang sudah mula pening kepala bila melihat anak-anak yang masih pada usia yang terlalu mudah sudah berani engkar, suka melepak dengan kawan-kawan, berpakaian tak serupa orang dan macam-macam lagi.

Dalam suasana masa kini yang mana pengaruh persekitaran dan kawan-kawan menjadi lebih kuat dari pengaruh ibu bapa... dan dalam pada kita sendiri tidak dapat secara berterusan memantau aktiviti anak-anak... asas pendidikan agama yang kukuhlah yang bakal menjadi perisai dan pendiding buat anak-anak. Nafsu dan akal yang sentiasa dipandu dengan iman akan memastikan anak-anak dapat bertindak bijak semasa menjalani kehidupan seharian.

Saya dan suami tidak punyai kemahiran memberikan pendidikan agama yang sempurna di rumah... justeru pendidikan melalui sekolah-sekolah agama ini menawarkan asuhan agama kepada anak kami melalui sillibus pendidikan yang tersusun dan lengkap. Namun ini bukan bermakna kami dapat berlepas tangan dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah bagi memastikan setiap apa yang dipelajari di sekolah dapat dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian anak-anak.

Berikan pendidikan agama keutamaan yang sama penting dengan pendidikan konvensional. Jika kita sanggup berhabis ratusan ringgit dan menghantar anak-anak berjam-jam ke kelas-kelas tuisyen... apalah sangat dengan pendidikan di sekolah agama yang cuma mengambil 2 - 3 jam sahaja sehari. Biarpun singkat... tetapi kesannya amat besar untuk kehidupan anak-anak kita.

Bukankah Islam mahu kita menjadi insan yang "Berjaya di Dunia dan Berjaya di Akhirat?!". Pendidikan di sekolah menjadi panduan buat akal, sedang pendidikan agama pula menjadi pengukuh iman dan pengekang nafsu. Kita perlu kedua-duanya untuk menjadi insan yang benar-benar sempurna dan hebat!!!

Saya berbicara lagi dalam masa terdekat (Mac 2008). Maaflah tidak dapat kongsikan tips mengatasi gejala buli seperti yang dijanjikan. Akan saya cuma masukkannya pada buletin akan datang. Maaf yea...


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita


TIPS #21 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca (Bah. II)

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA (BAH II)

Pada bulan yang lepas telah saya sentuh bagaimana untuk anda bermula memperkenalkan buku kepada anak-anak dan seterusnya menanamkan minat untuk membaca di dalam diri mereka. Kali ini menyambung kepada tips tersebut... tugas bercerita kini kita serahkan pula kepada si comel.

Setelah melalui beberapa sessi bercerita dengan anak anda, dan jika anda telah melakukannya dengan baik (cthnya bercerita dengan penuh keceriaan dan nada suara yang menghiburkan), anda akan lihat yang si kecil kesayangan anda ini begitu berminat untuk menyampaikan "cerita" versi dirinya pula. Beliau akan kelihatan sering menyampuk cerita anda... atau ingin segera ke muka surat kegemarannya... atau dari awal lagi telah memilih buku yang diingininya.

Pada peringkat ini anda perlu memainkan peranan dengan memberikan galakan kepada si kecil untuk mengembangkan imaginasinya. Benarkan dia "bercerita" dan anda main peranan sebagai pendengar yang responsif (active listener). Cuba seboleh mungkin pandu penceritaannya agar sentiasa berkait dengan gambar-gambar atau cerita di dalam buku tersebut dengan sesekali bertanyakan sesuatu tentang cerita yang sedang di sampaikannya.

Usah cuba memperbetulkan cerita anak anda... biarkan imaginasinya berkembang luas. Walau aneh atau tidak masuk akal sekalipun ceritanya... teruskan peranan anda sebagai pendengar yang baik.

Aktiviti ini merupakan antara langkah-langkah awal dalam menanamkan minat anak anda terhadap buku. Dan dalam tips akan datang akan saya sentuh bagaimana pula melalui aktiviti ini anda dapat mula memperkenalkan perkataan-perkataan asas kepada anak anda.

Buku-buku yang dicadangkan: