Wednesday, February 18, 2009

Usah Politikan Pendidikan Anak-Anak Kita

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Adik Bijak,

Lama saya tidak menulis di Buletin AdikBijak ni. Lebih dua bulan rasanya. Tiap kali tak dapat menulis tentu saya berikan alasan kerana kesuntukan masa... hehehe. Nak buat macam mana memang itu realitinya. Walau pun saya ni bekerja dari rumah... sibuknya tak kurang macam rakan-rakan yang bekerja di pejabat. Emmm... rasanya lebih lagi lah... yealah... bekerja dari rumah ni bukan saja perlu uruskan hal-hal berkaitan kerja (AdikBijak.com) tetapi dalam masa yang sama perlu juga melaksanakan tugas-tugas selaku suri rumahtangga. Kira dah jatuh dalam kategori multi-tasking dah ni... hehehe.

Apa pun saya cukup seronok dan bahagia dengan hidup saya kini. Pun begitu bila tak dapat menulis... rasa rindu pula dengan rakan-rakan semua. Justeru saya gagahkan juga untuk menulis pada bulan ini.

Bermula Disember 2008 lalu saya mula kembali mengajar di tadika. Bukan sepenuh masa... tetapi lebih kepada secara sambilan. Cuma satu jam sahaja setiap pagi melatih anak-anak bangsa saya untuk belajar membaca. Seronok juga bila dapat kembali mengajar ni... yealah dapat saya gilap kembali skil mengajar. Tambah seronok lagi bila melihat keletah anak-anak berusia 3 hingga 5 tahun yang begitu bersemangat untuk belajar. Minda mereka masih bersih dan jiwanya pula suci... maka cukup mudah untuk kita sampaikan apa juga ilmu dan mereka akan serap semuanya seumpama span.

Anak-anak kecil yang saya didik ini mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Ada yang pendiam, ada yang aktif dan tidak ketinggalan juga yang hyper-aktif. Dari segi penerimaan pelajaran pula... mereka mempunyai perkembangan yang berbeza-beza. Ada yang cepat, dan ada yang agak perlahan. Tetapi satu faktor yang saya dapat kenal pasti mejadi pemangkin kepada cepatnya kanak-kanak ini membaca adalah bimbingan dan galakan tambahan yang diberikan oleh ibu bapa di rumah.

Amat jelas saya lihat anak-anak yang membuat ulangkaji di rumah bersama ibu bapanya mempunyai tahap pencapaian yang jauh ke hadapan berbanding kanak-kanak lain. Anak-anak ini juga kelihatan lebih ceria dan bersemangat ketika di sekolah. Ibu bapa anak-anak ini pula tiap kali terserempak dengan saya atau guru-guru lain pasti tidak melepaskan peluang untuk menceritakan keletah anak-anak mereka menyanyi dan membaca di rumah... dan menyatakan betapa bangganya mereka dengan pencapaian anak-anak ini. Ahhh... bahagianya anak-anak yang dapat membesar dalam persekitaran yang serba kondusif ini. Pemerhatian ini memperkukuhkan lagi keyakinan saya bahawa peranan ibu bapa dalam membimbing dan mendidik anak-anak di rumah menjadi faktor utama dalam melahirkan anak-anak yang hebat dan cemerlang.

Dalam suasana ekomomi dunia yang agak tidak menentu kini, ramai ibu bapa dilihat mempertingkatkan usaha memperkukuhkan keadaan ekonomi keluarga. Mana-mana ibu yang sebelum ini duduk di rumah kini sudah mula berusaha kembali ke dalam pasaran kerja. Buat si ayah pula mula berkira-kira untuk melakukan pekerjaan sambilan (tambahan)... Tetapi bagaimana pula dengan masa untuk mendidik anak-anak?!

Tiada salah untuk kita terus berusaha meningkat dan memperkukuhkan ekonomi keluarga. Tetapi pastikan masa berkualiti bersama anak-anak tidak terganggu atau dikorbankan. Kita perlu sedar bahawa anak-anak ini merupakan pelaburan kita untuk masa hadapan... bukan sahaja untuk diri kita tetapi lebih utama mereka merupakan aset masa hadapan buat Agama dan Negara kita. Oleh itu luangkanlah sedikit masa, masa yang berkualiti, bersama anak-anak setiap hari.

Saya yakin rakan-rakan semua merupakan ibu bapa yang sangat perihatin ke atas pendidikan anak-anak. Tahniah kami ucapkan kepada semua. Tetapi malangnya masih ada segelintir manusia yang tidak melihat pendidikan itu sebagai satu yang sangat penting... sebaliknya sanggup memperkudakan masa depan anak-anak kecil ini untuk mencapai hasrat dan matlamat peribadi.

Biarlah anak-anak kita tu belajar dengan tenang dan ceria. Tak kiralah samada mereka itu belajar di TADIKA Kemas ke, TABIKA Perpaduan ke, PASTI ke atau pusat-pusat pendidikan pra-sekolah yang lain... usah ganggu mereka!!! Sedih bila saya lihat anak-anak yang masih mentah ini diheret ke dalam kemelut yang mereka tidak fahami.

Politik itu perlu dalam pentadbiran negara. Namun banyak kita perhatikan pengelibatan "orang-orang politik" di tempat-tempat yang tidak sepatutnya hanya membawa lebih banyak masalah berbanding penambahbaikan. Lihat sahaja apa yang berlaku di dalam institusi sukan contohnya... adakah pengelibatan mereka ini membawa peningkatan yang kita harapkan?

Bak kata Nabil (Raja Lawak)... "Lu fikirlah sendiri...!!!".

Okay lah... cukup dulu sembang saya buat kali ini. Kena sambung buat kerja multi-tasking balik... hehehe... Saya harapkan lontaran idea saya ini dapat membuka minda semua dan jika ada terkasar bahasa atau tersinggung mana-mana pihak tu... saya mohon berbanyak kemaafan.

Oh yea... hampir lupa pula. Suka saya maklumkan yang saya akan ada bersama semasa sesi kursus Bacalah Anakku dan ReadEasy yang akan diadakan pada hujung bulan ini di Seremban (28 Feb & 1 Mac). Buat rakan-rakan yang ingin meningkatkan ilmu mendidik anak-anak cepat membaca di rumah... amat-amat saya galakkan anda mendaftar dan menyertai kursus yang telah dijadualkan ini.

Kami juga akan membuka meja jualan buku-buku. Dan untuk dua hari tersebut anda boleh mendapatkan buku-buku edaran AdikBijak.com pada harga yang sangat istimewa. Datanglah yea...

Kita berbicara lagi nanti...


Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #27 :: Belajar Membaca Melalui Pendekatan Multisensory

BELAJAR MEMBACA MELALUI PENDEKATAN MULTISENSORY

Melatih dan mendidik anak-anak untuk membaca tidak memadai dengan menggunakan buku atau bahan-bahan bercetak sahaja. Ini kerana kemahiran membaca boleh dibentuk melalui pendekatan, kaedah dan medium yang berbagai. Rangsangan yang diberikan kepada pelbagai deria yang ada (sentuh, pandang, dan dengar) akan meningkatkan dan mempercepatkan pemahaman anak-anak kepada asas-asas kemahiran membaca.

Untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik seseorang kanak-kanak itu sekurang-kurangnya perlu dirangsang deria pandang dan deria dengarnya. Ini kerana melalui deria pandang anak-anak akan kita perkenalkan dengan bentuk-bentuk huruf... sementara deria dengar pula memberikan maklumat bunyi (fonik) huruf yang dilihatnya. Dalam banyak kes... membenarkan anak-anak merasa atau menyentuh bentuk-bentuk huruf (melalui keratan huruf atau huruf yang dibentuk menggunakan tanah liat contohnya) akan memperkukuhkan lagi apa yang dilihat dan didengarinya.

Bolehkah ketiga-tiga deria ini dirangsang serentak?

Boleh... Caranya mudah sahaja. Sebagai contoh... katakan anda menggunakan kad imbas yang mempunyai bentuk-betuk huruf yang jelas dan terang. Ambil 1 atau 2 kad (suka saya cadangkan bermula dengan mana-mana huruf vokal iaitu a, e, i, o, u) dan tunjukkan kepada anak anda sambil anda bunyikan fonik huruf tersebut (bunyikan foniknya ya... bukan "nama" huruf...!!!). Kemudian pegang tangan anak anda dan halakan telunjuknya pada huruf tersebut dan gerakkan mengikut bentuknya... sambil itu bunyikan sekali lagi fonik huruf tersebut.

Ulang latihan di atas beberapa kali. Untuk lebih menarik dan tidak membosankan anak, anda boleh lakukan sambil menyanyikan lagu-lagu fonik yang menghiburkan.

Cubalah...!

Untuk lebih mudah suka saya cadangkan anda menggunakan produk "ABU ADA AYAM" yang telah disusun khusus untuk aktiviti-aktiviti seperti di atas. Di dalamnya terkandung kad-kad imbas dan CD lagu-lagu fonik yang menyeronokkan... juga disertakan sebuah buku mewarna sebagai latihan pengukuhan.