Sunday, November 8, 2009

Mendidik Dengan Kesabaran...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua,

Puasa sudah... raya pun sudah... tak lama lagi Aidil Adha pula. Bagaimana rakan-rakan semua? Dah berjaya dalam "memerdekakan" diri dan jiwa, dan seterusnya menjadi insan yang lebih hebat berbanding sebelumnya? Alhamdulillah... saya yakin ramai dari kita yang telah berjaya mengaplikasikan latihan yang dilalui di dalam Universiti Ramadhan lalu ke dalam hidup seharian. Jika masih ada compang-camping di sini sana tu... al-maklumlah kita manusia tidak sunyi dari melalukan kesilapan. Apa yang penting adalah untuk kita terus berusaha memperbaiki diri. Aidil Adha yang bakal menjelang mungkin akan dapat memberikan inspirasi tambahan buat kita semua untuk berkorban dan berjuang.

Dalam membentuk diri yang cemerlang, samada untuk diri sendiri mahu pun anak-anak dan keluarga, KESABARAN merupakan elemen yang sangat penting. Bukankah Allah swt ada berfirman di dalam surah Al-Asr... supaya kita sentiasa berpesan-pesan dengan kesabaran? Mendidik diri, anak-anak dan keluarga bukanlah satu proses yang singkat. Ia mengambil masa yang lama, berperingkat-peringkat, dan penuh dengan cabaran... justeru menuntut kita untuk mempunyai kesabaran yang tinggi.

Hasil didikan jarang sekali dapat dilihat dalam masa yang singkat. Adakalanya, dalam proses mendidik anak-anak contohnya, hasil tidak langsung sempat kita lihat. Tetapi ini tidak bermakna kita boleh berputus asa.

Apa yang mesti kita lakukan adalah untuk menanamkan dan membentuk asas yang kukuh di dalam diri anak-anak. Dan kita perlu lakukan lagi... dan lagi... dan lagi. Bermula dari anak kita dilahirkan sehinggalah dia meningkat dewasa. Apakah ilmu yang perlu kita mula ajarkan kepada anak-anak? Tidak lain dan tidak bukan... awal ilmu itu adalah dengan mengenal Allah.

Sepanjang kita mendidik anak-anak kita akan dicabar dengan pelbagai ujian seperti anak yang tidak mendengar kata, malas belajar, terlibat dengan masalah sosial dan 1001 macam karenah... yang bakal menghakis kesabaran diri. Rakan-rakan semua, memang adakalanya kita akan "hilang sabar" sehingga sanggup meletakkan tangan kepada anak-anak... dan kemudian menyesalinya. Menghukum tidak salah tetapi perlu kena cara dan kaedahnya kerana ia juga merupakan salah satu medium mendidik. Namun ia perlu dilakukan dengan niat mendidik dan bukan didorong oleh nafsu amarah.

Jika asas yang telah kita tanamkan itu kukuh... insyaAllah... yakin dan percayalah... biar jauh mana pun anak-anak kita ini hanyut, satu hari nanti dia akan kembali ke pangkal jalan dan terus kekal di jalan yang lurus. Mulakan didikan dari sekarang... usah tunggu "dah besar sikit" baru nak dilatih dan ditegur. Pepatah Melayu pun ada mengatakan... melentur buluh biar dari rebung.

Hmmm... saya dan suami pun kerap juga hilang sabar dalam mendidik anak perempuan kami yang sorang nih... hehehe. Yealah... kami pun manusia banyak kekurangannya. Kadang-kadang tuh kagum kami melihat rakan-rakan yang mempunyai ramai anak tapi mampu mendidik dan mentadbir keluarga dengan baik... sedang kami anak sorang pun macam tak cukup tangan nak melayan... hehehe.

Apa yang kami pelajari sepanjang menjadi ibubapa (nak masuk tahun ke-10) adalah... untuk membentuk anak-anak dan keluarga yang hebat, kita sendiri perlu sentiasa memperbaiki diri dan berusaha untuk menjadi orang yang hebat juga. Kata orang tu... auranya mampu mempengaruhi anak-anak dan keluarga.

Rakan-rakan macam mana? Apa kata... jom kita semua sama-sama berusaha menjadi IBU BAPA HEBAT?!

Hehehe... panjang pula celoteh saya. Cukup dulu la yea... Ermm di sini saya nak minta maaf pada semua sebab tahun ni Perjumpaan Hari Raya masih tak dapat kami buat sebab habis raya jer kuliah saya terus mula balik dan banyak tugasan kuliah perlu disiapkan. Maaf yea.

Oh yea... dikesempatan ini suka saya nak kongsikan berita gembira yang anak kami, Nur Natasha Azeze pada minggu lepas telah berjaya menjadi Johan Tilawah Al-Quran yang dianjurkan oleh sebuah syarikat korporat. Ini percubaan pertama beliau... dan syukur sungguh kami kerana beliau telah berjaya. Kami berdoa agar kejayaan ini bakal mendorong minatnya yang lebih kuat untuk mendalami ilmu Al-Quran. Kalau rakan-rakan nak dengan bacaan beliau... boleh lihat di post saya di bawah. Taklah macam qariah Malaysia, Syarifah Khasif lagi... bolehlah untuk budak baru belajar.

Dan saat saya menulis buletin ini... hati masih kembang kuncup sebab Tasha baru beritahu yang beliau berjaya mendapat No. 1 dalam kelas untuk peperiksaan akhir tahunnya. Alhamdulillah... rasa nak menitis air mata bila dapat melihat kejayaan anak sendiri.

Hujung minggu ini Tasha ada pertandingan Tea Kwan Do pula. Sama-samalah kita doakan kejayaan Tasha yea.

Kita berbicara lagi nanti...


Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #31 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 4 - Bunyi Huruf)

TIPS #31 :: TEKNIK ASOSIASI BUNYI & PERBUATAN (BAH. 4 - BUNYI HURUF)

Tips kali ini akan menggabungkan apa yang telah rakan-rakan pelajari pada Tips #28, #29 dan #30. Ingat lagi tak tips-tips tersebut? Kalau dah lupa atau terasa nak buat ulangkaji... boleh rujuk tips-tips tersebut di Blog AdikBijak.

Melalui tips-tips yang lalu anda telah memperkenalkan fonik-fonik (bunyi) huruf tanpa memperkenalkan langsung bentuk atau rupa huruf itu sendiri. Si comel anda pada masa ini saya yakin tentu telah lancar dan petah menyebut fonik-fonik terbabit samada melalui latihan sebutan (Tips #28), permainan (Tips #29) dan nyanyian (Tips #30). Dan kini masanya untuk anda perkenalkan bentuk hurufnya pula.

Untuk latihan kali ini anda memerlukan kad imbas bersaiz sederhana atau besar (jika anda telah memiliki set Abu Ada Ayam atau Cory Cat kad imbas ada disertakan di dalamnya). Seeloknya yang tidak mempunyai apa-apa gambar (huruf semata-mata) dan membunyai warna yang terang.

Apa yang perlu rakan-rakan buat kali ini adalah untuk mengulangi aktiviti-aktiviti yang telah saya terangkan di dalam Tips #28-#30... dan kali ini setiap kali anda sebut fonik huruf tersebut anda tunjukkan kad imbas yang memaparkan huruf terbabit.

Sebagai contoh... bila anda nyanyi:

Abu Ada Ayam... aaa... aaa... aaa...

Tunjukkan kad imbas dengan huruf "A" kepada Si Comel semasa anda sebut "aaa... aaa... aaa..."

Cara yang paling baik untuk menunjukkan kad imbas tadi adalah dengan meletakkannya hampir dengan wajah anda (dekat dengan mulut). Dengan cara ini anak anda akan dapat melihat asosiasi antara bunyi huruf dan bentuk hurufnya.

Lakukan aktiviti ini berulangkali untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran anak anda.

Apa pun had kad setiap sessi untuk 5 - 10 minit sahaja dan lakukan dalam suasana ceria dan santai.

Apa tunggu lagi... cubalah

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Monday, November 2, 2009

Tahniah Natasha... Ummi & Ayah Bangga Denganmu

Assalamualaikum...

Biasanya saya akan post kat sini bila ada Buletin AdikBijak.com keluar. Tapi untuk kali ini saya post di blog semata-mata sebab seronok nak kongsi cerita fasal Tasha. Patutnya cerita ni saya tulis lebih awal... tapi atas kesuntukan masa dan ayah Tasha pun baru sahaja berjaya upload video Tasha ke laman web... barulah saya boleh cerita... hehehe...

Apalah ceritanya tu yea yang saya seronok sangat nak kongsi nie? Begini pada minggu lalu Tasha telah sertai peringkat akhir Majlis Tilawah Al-Quran anjuran Sapura Community. Pusingan awal telah dibuat masa bulan Ramadhan lalu... dan pusingan akhir baru dapat pihak penganjur buat pada 24/10 lalu bertempat di Ibu Pejabat Sapura Group di Mines Seri Kembangan.

Ini percubaan sulung Tasha dalam pertandingan tilawah. Sebelum ni tak pernah sertai mana-mana pertandingan pun. Cuma seronok belajar mengaji al-Quran secara bertarannum melalui bimbingan guru Tahsin Al-Quran N. Sembilan (yang juga bekas Qari N. Sembilan) yang dibuat di rumah beliau 4 kali seminggu. Kira kami hantar dia belajar mengaji di sana... hehehe... nak ajar sendiri kami pun baru merangkak... hehehe.

Alhamdulillah... berkat doa kami dan dengan bimbingan Ustaz Samsudin... Tasha telah berjaya menjadi Johan dalam Tilawah Al-Quran yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Sapura Community. Bercampur baru perasaan kami berdua... gembira ada... bangga pun ada... yang paling utama kami sangat bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan kejayaan buat Tasha. Kami berdoa dengan kejayaan ini Tasha akan lebih minat untuk mendalami ilmu Al-Quran di masa hadapan.

Seronok kami melihat Tasha gembira... lebih-lebih lagi selepas dia kecewa seminggu sebelum itu apabila pertandingan Sajak yang dijadualkan telah dibatalkan... Kesian lihat dia berlatih bersungguh-sungguh tetapi tiba-tiba dibatalkan begitu sahaja. Kejayaan ini pastinya dapat mengubat kekecewaan itu.

Kawan-kawan nak dengar bacaan Tasha? Boleh klik pada video clip di bawah. Usah bandingkan dengan Qariah Malaysia seperti Syarifah Khasif yea... al-maklum budak baru belajar.

Hmmm... Sabtu ni Tasha ada pertandingan Tea Kwan Do pula. Apalah pula keputusannya yea... sama-samalah kita nantikan.

Kalau kawan-kawan nak baca luahan Tasha tentang tilawah ni... boleh klik ke blognya di http://tashacomel.blogspot.com

Terima kasih kerana sudi membaca

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Thursday, September 17, 2009

Salam Ceria Aidil Fitri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bulan Ramadhan yang mulia ini tanpa sedar telah hampir meninggalkan kita. Dan dalam masa tak beberapa hari lagi kita semua akan meraikan hari kebesaran dan kemenangan... kejayaan kita mengharungi cabaran dan menahan hawa nafsu sepanjang bulan yang penuh keberkatan. Mudah-mudahan kita semua akan dipanjangkan usia agar dapat lagi mengecapi kemanisan Ramadhan lagi. Apa pun kami sentiasa berdoa dan berharap semoga Ramadhan kali ini merupakan yang terbaik untuk kita semua.

Buat anak-anak yang mula belajar berpuasa... hari raya kali ini pastinya membawa makna yang lebih besar buat mereka. Tahniah kami ucapkan kepada anda yang berjaya melatih anak-anak kecil ini melalui satu cabaran yang cukup berat dan lebih utama mendidik mereka menghayati kelebihan bulan Ramadhan.

Kami di AdikBijak.com dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan walau di mana jua anda berada. Kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika sepanjang tahun lalu ada kata-kata kami yang menyentuh hati, tindak-tanduk kami yang tidak sedap dipandang atau khidmat mesra kami yang tidak mencapai tahap yang diinginkan. Di masa hadapan... jika ada kesilapan di pihak kami harap rakan-rakan dapat memberikan teguran dan nasihat agar AdikBijak.com akan menjadi lebih baik untuk semua.

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada rakan-rakan semua yang terus menerus memberikan sokongan atas usaha kami ini. Bersamalah kita berdoa semoga AdikBijak.com akan terus kukuh dan dapat menyumbang ke arah kecemerlangan anak-anak melalui pendidikan di rumah.

Terima kasih juga kami ucapkan buat rakan-rakan yang menghantarkan ucapan Selamat Hari Raya kepada kami... samada melalui kad, email, SMS dan sebagainya. Kami amat-amat menghargainya. Kami memohon maaf kerana kami belum mendapat membalasnya... semoga email ini dapat mengganti diri.

Sebagaimana tahun-tahun yang lalu... suka kami berpesan kepada rakan-rakan atas beberapa perkara berikut semasa musim perayaan ini:

  • Bila meninggalkan rumah pastikan semua alatan elektrik (yang tidak perlu) dipadam dan ditanggalkan punca kuasa. Dan pastikan juga pintu serta tingkap dikunci dengan sempurna.

Tips: Sebelum meninggalkan rumah bacalah Ayat Kursi ketika di dalam dan di luar rumah, ketika menutup pintu-pintu dan tingkap, dan ketika mengenakan kunci terakhir pada pintu pagar... seraya berdoa agar Allah melindungi kediaman anda semasa anda tiada. InsyaAllah, rumah anda akan terlindung dari perkara-perkara yang tidak diingini

  • Sentiasa bercermat ketika memandu. Usah gopoh atau terkejar-kejar untuk sampai ke destinasi dituju. Ingatlah kepulangan anda sedang dinanti untuk dirai... bukan untuk ditangisi. Pandu cermat... semua pasti selamat.

Tips: Sebelum memulakan pemanduan pastikan anda dan semua penumpang di dalam kenderaan bersama-sama membaca Doa Naik Kenderaan. Pemandu sentiasa ada teman berbual. Dan cuba elakkan memandu pada waktu tengahari dan lewat malam (masa yang dikenal pasti ramai pemandu kerap hilang tumpuan)

  • Pastikan anda tahu di mana anak-anak berada... pada setiap masa!!! Dalam pada kita bergembira bertemu sanak saudara dan rakan taulan, adakala kita terleka. Di musim perayaan ini kenderaan banyak di jalanan, bunga api dan mercun dimainkan tanpa perhatian dan bermacam-macam lagi perkara yang boleh mengundang kecelakaan. Lebih menakutkan... anak-anak hilang tanpa dapat dikesan. Ingat...!!! Sambil bergembira tu jangan lupa perhatikan si comel kesayangan kita yea...
  • Cegah Influenza H1N1!!! Al-maklum semasa Hari Raya kita akan berkunjungan dan bertemu ramai orang. Jika anda atau anak-anak tergolong dalam mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan... pastikan Kit H1N1 setiasa di bawa bersama dan digunakan sepenuhnya. Gunakan penutup hidung dan mulut, serta kerap membersihkan tangan. Mencegah tentunya lebih baik dan berkesan dari mengubati.
  • Elakkan pembaziran semasa perayaan. Rancang perbelanjaan anda. Ingat lepas raya nanti... anak-anak nak masuk ke sekolah pula. Banyak perbelanjaan akan diperlukan bila sessi persekolahan bermula.
  • Akhir sekali... jangan lupa keluarkan ZAKAT.

Akhir kata Salam Keceriaan dan Keinsafan dari kami buat rakan-rakan semua. Semoga kita akan bertemu kembali selepas Hari Raya nanti.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin.

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Ikhlas dari kami,
* SHARIMAN AZEZE OTOH
* ROSNITA KISAII
* NUR NATASHA AZEZE
dan KREW ADIKBIJAK.COM

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan... Bulan Kemerdekaan Jiwa

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Lama saya tak menulis. Ada dalam dua bulan rasanya, kan? Maaf la yer... agak sibuk sedikit kerana perlu menyiapkan tugasan kursus dan juga membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan semester pertama. Alhamdulillah, peperiksaan pun dah selesai dan sekarang sedang bercuti selama dua minggu dari kursus, jadi adalah sedikit ruang untuk berceloteh. Tak le banyak mana pun masa, al-maklum tugas utama sebagai surirumah dan ibu perlu dilaksanakan, begitu juga tugas harian saya mendidik anak-anak bangsa di Taska berhampiran. Dalam sibuk-sibuk sempat la juga mengecat rumah bersama suami dan anak perempuan saya... hehehe... puasa pun belum tapi semangat nak Raya dan berkobar-kobar... hehehe...

Seperti yang telah diumumkan semalam oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, maka esok kita semua akan menyambut kembali sebuah bulan yang dalamnya penuh keberkatan, pengampunan dan rahmat... iaitu Ramadhan al-Mubarak. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana kita masih lagi dipilih dan dipanjangkan usia untuk melalui lagi bulan yang mulia ini. Ramai rakan-rakan dan kenalan kita telah terlebih dahulu dijemputNya... tanpa sempat menempuh kembali Ramadhan tahun ini. Buat mereka kita sama-samalah berdoa semoga roh mereka akan ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh dan bertakwa.

Samada kita sedar atau tidak pada bulan ini kita juga bakal menyambut dan meraikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Saya jamin ramai yang mungkin agak terlepas pandang berkenaan hal ini kerana jiwa kita dah mula merasa seronok untuk menyambut Ramadhan (betul kah? Atau sebenarnya gembira sebab sebulan lagi nak Hari Raya? Hmmm...) Hehehe... saya tak bermaksud untuk rakan-rakan meletakkan kepentingan hari kemerdekaan ini sama dengan pentingnya Ramadhan. Bukan begitu... Saya cuma tertarik tentang hari kemerdekaan kali ini jatuh di dalam bulan puasa... yang mana ini amat jarang sekali berlaku (mungkin dalam 20 tahun sekali sahaja).

Terdetik di dalam hati saya... kenapa kita tidak menyerapkan "semangat kemerdekaan" ini di dalam diri kita ketika melalui Ramadhan kali ini? Bukan untuk berseronok dan bukan untuk bersuka-ria sepanjang Ramadhan ye!!!

TETAPI... kenapa tidak kita berazam mulai Ramadhan 1430 kali ini... kita akan berusaha untuk menghayati dan mengimarahkan bulan yang mulia ini... AGAR... menjelang 1 Syawal 1430... kita akan benar-benar MERDEKA!!!

MERDEKA dari mengingkari perintah Allah dan Rasul...

MERDEKA dari sikap suka mengabaikan Ibu Bapa, Suami/Isteri, Anak-anak dan Keluarga

MERDEKA dari sifat Malas, Sombong, Suka Membazir, Hasad Dengki, Membuang Masa

MERDEKA dari Buta Ilmu, Kejumudan Fikiran, Kebekuan Akal

MERDEKA... MERDEKA... MERDEKA!!!

Faham maksud saya sekarang??? Alhamdulillah jika dah dapat tangkap maksud saya.

Kerap kali kita diingatkan supaya sepanjang Ramadhan kita perlu menahan diri dari melakukan perbuatan yang mungkar dan sia-sia. Kenapa mesti tahan sahaja semasa Ramadhan, tetapi bila Syawal menjelang semuanya meledak semua? Kata omputeh... "all Hell broke loose".

Masa untuk kita berubah...!!! Saya gesa untuk Ramadhan kali ini kita semua berazam agar bukan lagi setakat "menahan" diri... tetapi terus memerdekakan diri kita ini. Usah benarkan sikap dan sifat yang buruk terus merantai kita dan menjadikan kita hamba. Kita semua berhak untuk MERDEKA.

Hehehe... semangat pula celoteh. Bukan apa terasa berkobar-kobar sungguh nak sambut Ramadhan + Merdeka kali ini.

Dikesempatan ini saya, suami dan Tasha ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan-rakan AdikBijak.com atas sokongan anda kepada usaha kecil kami ini. Setakat buletin ini ditulis AdikBijak.com telah pun mempunyai lebih 10,000 ahli berdaftar yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Dengan ahli seramai ini... kalau jadi kami buat perjumpaan Hari Raya tahun ini... harap-harap tu lagi ramailah yang akan datang memeriahkannya yea!

Kami juga ingin memohon ampun dan maaf jika sepanjang kita berkenalan dan berurusan ada kekurangan, kepincangan dan ketidak sempurnaan di pihak AdikBijak.com. Tegurlah kami... bimbinglah kami... agar AdikBijak.com akan lebih berjaya lagi dimasa hadapan.

Buat ibu-ibu dan para bapa... tolong sampaikan salam kami kepada anak-anak yang baru mula belajar berpuasa tahun ini. Katakan kami ucapkan... TAHNIAH... kerana berani mengharungi Ramadhan kali ini. Sepanjang puasa ini bila anak-anak kurang bermain di luar, gunakan masa tersebut untuk melatih dan mendidik mereka membaca dan belajar. Bawa juga mereka ke masjid untuk bersama mengerjakan solat fardu, Tarawikh, Tadarrus,Tahajjud, Qiamullail dan sebagainya. Anda perlu memainkan peranan sebagai model terbaik buat anak-anak.

Akhir kata... Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semuga Ramadhan kali ini adalah lebih baik dari tahun terdahulu... dan mampu memerdekakan kita sepenuhnya dari sifat-sifat yang buruk.

Renung-renungkan dan selamat beramal... (pinjam kata-kata Prof. Izzy Hj Ali)

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #30 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 3 - Bunyi Huruf)

TIPS #30 :: TEKNIK ASOSIASI BUNYI DAN PERBUATAN (BAHAGIAN 3 - BUNYI HURUF)

Bersambung lagi dari Tips #28 dan #29...

Pada rakan-rakan yang dah bersama kami sejak awal dulu... ingat lagi tak dengan tips bertajuk "Belajar Melalui Hafalan"? Tak mengapalah kalau tak ingat... buat anda dan rakan-rakan yang baru, boleh rujuk kembali tips tersebut di Blog AdikBijak.com dan semak Tips #2 (http://adikbijak.blogspot.com/2007/02/tips-cepat-membaca-siri-ii.html).

Tips kali ini ada kaitan dengan tips #2 tersebut di mana anda akan menggunakan skil semulajadi si comel tu untuknya mengajarnya mengenali dan mengingati bunyi-bunyi (fonik) huruf. Teknik kali ini adalah melalui nyanyian

Saya percaya semua ibu-ibu di AdikBijak.com akan bersetuju dengan saya yang antara perkara yang paling cepat di"tangkap" atau diikuti oleh anak-anak kita sejak dari awal adalah... lagu-lagu... betul, tak? Berbanding perkara-perkara lain yang kita ajarkan... lagu atau sesuatu yang diajarkan secara bernyanyi akan lebih cepat diingati oleh si comel. Ini kerana lagu atau nyanyian tampak lebih menyeronokkan, ceria, berirama dan biasanya berulang-ulang... yang memudahkan kita menarik perhatian anak-anak, dan mudah pula untuk si comel untuk mengajuk dan mengikutinya. Kalau kita lihat dari sudut saintifik pula pendidikan melalui kaedah nyanyian ini akan merangsang kedua-dua bahagian otak kanak-kanak iaitu bahagian logik dan bahagian kreatifnya... mungkin atas sebab itulah (al-maklum saya bukan saintis... jadi pandai-pandai buat hipotesis sendiri) pelajaran lebih mudah diserap kerana keupayaan otak digunakan sepenuhnya semasa anak-anak belajar.

Mengambil kesempatan dari pengetahuan ini kita boleh memperkenalkan fonik-fonik huruf kepada anak-anak melalui nyanyian. Ada boleh reka sendiri lagu tersebut, atau tiru dari rancangan di televisyen, atau paling mudah boleh gunakan lagu yang telah disediakan dalam set "Abu Ada Ayam"

Contohnya yang saya ambil dari lirik lagu "Abu Ada Ayam":

Abu Ada Ayam... A... A... A...

Ular Usik Ulat... U... U... U...

Bobo Main Bola... B... B... B...

... (dan seterusnya)

Nyanyian ini jika anda gabungkan sekali dengan aksi-aksi seperti yang telah saya sentuh dalam Tips #29, akan meningkatkan lagi keberkesanan dan tahap penerimaan anak-anak kepada apa yang kita ajarkannya. Dengan gabungan kaedah ini anak-anak akan menerima ilmu yang diajar melalui hampir kesemua deria yang dimiliknya... sentuh... lihat... dengar.

Apa... Malu nak nyanyi kat anak? Hehehe... apa nak dimalukan. Walau serak-serak basah mana pun suara kita ni, kepada anak-anak andalah Diva Rock mereka. Suara anda merupakan suara yang paling menenangkan dan menyenangkan buat telinga dan jiwa mereka.

Jom cuba... kalau nak panduan lebih lanjut boleh rujuk set "Abu Ada Ayam" atau "Cory Cat" (bahasa Inggeris). Boleh dengar dan lihat sendiri bagaimana Tips #30 ini boleh diaplikasikan dengan berkesan kepada si comel.

Selamat beramal...

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Sunday, May 31, 2009

Tahniah... AdikBijak.com Kini Berusia 4 Tahun...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Pejam celik... pejam celik... menapak setahun lagi dah usia AdikBijak.com. Alhamdulillah, dengan berkat doa dan bantuan rakan-rakan semua, yang bersama-sama kami mengembangkan usaha untuk menghidupkan lagi peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sendiri di rumah, AdikBijak.com kini mempunyai hampir 10,000 orang ahli berdaftar yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Ada yang bertanya... AdikBijak.com tak ada rancangan ke nak buat sambutan makan-makan ke... perjumpaan ke...?

Hehehe... hajat hati kami tu memang ada. Malah teringin sangat nak buat perjumpaan dengan rakan-rakan semua, lebih-lebih lagi setelah perjumpaan Hari Raya tahun lalu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Rindu nak jumpa dengan rakan-rakan. Apakan daya tahun ini jadual kami semakin ketat dan padat. Cuba-cuba juga nak cari ruang kelapangan... tetapi belum lagi berjumpa masa yang sesuai. InsyaAllah akan kami usahakan agar sekurang-kurangnya perjumpaan Aidil Fitri dapat diadakan nanti.

Jika awal tahun ini saya mula mengajar kembali di tadika (sila rujuk Buletin lalu untuk cerita lanjut)... bulan Mei ini saya pula yang belajar balik. Hehehe... dah tua-tuan ni belajar apa lah pulak yea?

Untuk pengetahuan rakan-rakan bermula bulan ini saya kembali menjalani hidup sebagai pelajar. Yuppp.. saya sambung belajar kembali. Bukan sepenuh masa lah... tapi ambil kelas masa hujung minggu. Saya sambung belajar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di salah sebuah IPTA.

Jadual harian dah sedia ketat... semakin bertambah ketatlah nampaknya... isk!!! Emmm... tapi bak kata orang tua-tua... alah bisa tegal biasa. Semangat untuk memajukan diri di samping sokongan dari keluarga tercinta, juga tidak lupa juga doa dari rakan-rakan semua, saya yakin saya pasti akan dapat mengharunginya dengan penuh jaya.

Ingat lagi tak celoteh saya pada bulan lalu berkaitan ibu bapa perlu berilmu? Haaa... saya perasan bila saya mula belajar kembali ia telah secara langsung merangsang anak perempuan saya untuk semangat belajar. Biasanya kita akan membebel pada anak supaya dia belajar lah... dapat markah bagus lah... buat kerja rumah lah... TAPI... dia lihat kita duk relaks jer. Camne dia nak semangat belajarkan?!! Tetapi bila anak saya lihat umminya sendiri sibuk belajar macam dia... dia ada role model untuk diikut. Semangat saya dan anak semakin membara lagi lebih-lebih lagi bila si ayah (aka CyberAzeze) mencabar untuk melihat siapa dapat skor paling baik... hehehe...

Rakan-rakan tak perlu lah daftar sambung belajar semata-mata untuk jadi role model kepada anak-anak (tapi kalau nak memajukan diri... silakan... amat digalakkan). Dengan sama-sama duduk membaca dengan anak-anak, berbincang dan membimbing anda pasti akan dilihat oleh anak-anak sebagai sumber rujukan dan guru buat mereka di rumah. Usah biarkan mereka belajar sendirian... sedang kita seronok layan rancangan di televisyen.

Buatkan jadual di rumah agar anda, anak-anak dan keluarga dapat menjalankan pelbagai aktiviti sihat bersama. Belajar atau membaca bersama, menonton dan beriadah bersama, juga tak kurang penting adalah solat dan makan bersama-sama.





Minggu ini merupakan minggu akhir anak-anak bersekolah sebelum memulakan cuti semester yang agak panjang (dua minggu). Sudahkah rakan-rakan merancang program-program untuk mengisi masa cuti yang panjang ini buat anak-anak???

Ambillah cuti barang 3 - 4 hari dan bawalah mereka bercuti ke tempat-tempat yang menyeronokkan. Suasana riang bersama keluarga ini bukan sahaja akan mengeratkan ikatan kasih sayang... tetapi juga merupakan masa yang sangat sesuai dan effektif buat kita mendidik, mengasuh dan menasihat anak-anak agar menjadi insan yang soleh dan solehah... emmm.. nasihat ni bukan datang dari saya semata... tetapi berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w (pernah saya ulas dalam Buletin yang lalu... lupa pula edisi yang mana).

Cukup dululah celoteh saya kali ini. Banyak tugasan nak kena siapkan nih... hehehe. Esok ada satu eksperimen nak kena buat kat tadika... jadi kena sediakan bahan-bahan dan perancangan.

Akhir kata ingin saya dan keluarga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada kami. Doakanlah agar AdikBijak.com akan terus maju dan berkembang demi mencapai misi utama kami; Menghidupkan kembali peranan ibu bapa dalam mendidik sendiri anak-anak di rumah.

Jangan lupa pesanan saya... JOM PERGI BERCUTI!!!

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #29 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 2 - Bunyi Huruf)

TEKNIK ASOSIASI BUNYI DAN PERBUATAN (BAHAGIAN 2 - BUNYI HURUF)

Okay... kita sambung dari tips #28 yang lalu.

Bunyi-bunyi huruf tentunya akan lebih mudah diingati oleh kanak-kanak bila mana ianya kita kaitkan dengan sesuatu benda, perbuatan atau kejadian. Kita sebagai orang dewasa pun begitu jugakan?!

Bunyi "AAA" contohnya... kalau kita perkenalkan semata-mata tanpa diasosiasikan dengan sesuatu tentu agak sukar untuk diingati. TETAPI bila bunyi "AAA" ini kita kaitkan dengan bunyi orang menjerit terkena air panas atau api... maka... "AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA... Panasnya" ...!!!

Cepat melekat bunyi tersebut dalam otak, kan? Bila kita tanya si comel kalau orang kena api apa dia jerit... tanpa fikir panjang anak anda akan segera menjerit... "AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA"...!!!

Setiap fonik-fonik (bunyi) huruf boleh diperkenalkan melalui asosiasi benda, perbuatan atau kejadian. Tentunya fonik yang berbeza akan mempunyai aktiviti yang berbeza juga. Pada tips kali ini saya akan bagi dua contoh sahaja. Untuk "AAA" saya dah sentuh... saya bagi satu lagi iaitu memperkenalkan bunyi "III".

Sebelum itu suka saya tekankan di sini yang aksi yang anda lakukan mestilah dibuat dengan penuh bersungguh. Bila sebut "AAA Panas" tu... jeritlah macam orang yang betul-betul tengah kepanasan. Jangan jerit ala malu-malu... tak berkesan dan tak mencapai objektif nanti.

Untuk bunyi "III" pula anda akan buat aksi cuba menggeletek anak anda.

Cuba lakukan yang berikut:

Langkah 1: Gunakan jari telunjuk anda dan mula gerak-gerakkannya sambil ditujukan ke ketiak anak anda. Gerakkan secara perlahan dan mengacah sedikit.

Langkah 2: Sambil anda lakukan Langkah 1... bunyikan "I I I I I I I I I I I I I I I I I I I I I ". Dan terus cucuk jari anda ke celah ketiak anak anda... dan katakan "I I I... Geli laa"

Langkah 3: Ulang Langkah 1 dan 2 untuk beberapa kali.

Langkah 4: Minta anak anda pula cuba laku perkara yang sama kepada anda

Teknik yang saya tunjukkan di atas masih lagi teknik untuk melatih kanak-kanak belajar menyebutkan bunyi dengan tepat dan betul. Anda belum lagi sebenarnya memperkenalkan huruf kepadanya.

Untuk contoh yang lebih banyak (dalam bentuk video) bagi foniks-foniks lain... anda boleh tonton dan pelajarinya melalui VCD Kursus Kaedah Mengajar Bacalah Anakku yang didemonstrasikan sendiri oleh para pengasa program Bacalah Anakku.

Selamat mencuba...!!!

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Sunday, April 12, 2009

Jadilah Ibu Bapa Yang Berilmu...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Pada bulan yang lalu adik-adik dan anak-anak kita yang telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2008 telah menerima keputusan masing-masing. Haaiii... sejuk perut ibu-ibu yang mengandungkan bila melihat anak-anaknya berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Malah ada yang luar biasa cemerlangnya.

Pernahkah kawan-kawan terfikir kenapa ada di kalangan anak-anak ini begitu berjaya sekali? Yang jelas status atau kemampuan kewangan sesebuah keluarga bukan menjadi faktor utama penyebab kejayaan anak-anak ini. Ada anak orang kaya yang berjaya, dan tidak kurang juga yang gagal. Begitu juga anak-anak mereka yang kurang berada... ada yang lemah... dan ada pula yang mampu menjadi pelajar terbaik peringkat nasional.

Mengikut kajian dan pemerhatian kami peranan ibu bapa dalam menjadi mentor kepada anak-anak, baik dalam hal pelajaran, atau pergaulan seharian, atau pendidikan rohani dan akidah, adalah penyebab utama yang mendorong dan menjadi pemangkin kejayaan anak-anak. Peranan ibu bapa kini adalah lebih luas... bukan lagi sekadar menjadi ibu dan ayah... tetapi ibu bapa masa kini perlu juga memainkan peranan sebagai guru... kaunselor... dan rakan karib kepada anak-anak.

Rakan-rakan yang saya sayangi sekelian. Cabaran menjadi ibu bapa pada zaman ini jauh lebih getir. Apa yang mungkin berkesan dan terbaik pernah ibu bapa kita berikan kepada kita dulu... kini untuk anak-anak kita mereka memerlukan sesuatu yang lebih lagi. Ibu bapa masa kini perlu jauh lebih bersedia dengan ilmu pengetahuan, kekuatan mental dan keutuhan rohani.

Ingat lagi tak masa kita kecil-kecil dulu... bila kita mula main hujan... maka mak kita akan berteriak... "HAH... MAIN LAGI HUJAN TUH. TAK PAYAH BALIK. DUDUK LAH TENGAH HUJAN TU SAMPAI KECUT!!!" Dan apa respon kita... hehehe... kita dengan kecut perut cepat-cepat masuk rumah dan duduk diam-diam. Atau bila ada tetamu bertandang ke rumah... cukup sekadar "jelingan manja" ibu maka terkulat-kulat kita bersegera berpindah ke dapur agar perbualan orang tua-tua tidak terganggu.

Ermmm... cuba anda buat perkara yang sama pada anak-anak kita pula sekarang. Huh...!!! Kalau kita herdik suruh main hujan (kira macam reverse physchology la nih)... semakin dia ligat tengah hujan dan betul-betul main sampai kecut lah jawabnya. Kecut ke dia pada kita... huhuhu... NO WAY!!! Dan kalau kita jeling pula pada dia... jangan terkejut kalau anak anda bertanya... "Ehh... kenapa mata ibu besar macam anakonda bu? Mata ibu sakit ker?!". Hehehe...

Masa dah berubah dan anak-anak kita kini membesar dalam suasana yang berbeza berbanding kita dahulu. Mereka lebih terdedah dengan pelbagai maklumat, informasi dan pengaruh sekitar sejak dari mereka lahir lagi. Percaya atau tidak... anak-anak kita kini mempunyai pencapaian dan perkembangan minda yang jauh lebih maju berbanding kita ketika seusia dengannya.

Justeru itu kita sebagai ibu bapa juga perlu berubah dan lebih maju lagi. Pendekatan reverse physchology mungkin kini perlu ditukar kepada pendekatan reasoning (apa yea istilah tepat dalam B. Melayu... isk) yang mana anak-anak perlu diberikan penerangan dari segi sebab dan akibat. Isyarat-isyarat sindirian atau kata-kata kiasan mungkin perlu ditukar kepada arahan tepat dan bersebab.

Anak-anak kini mungkin akan lebih responsif jika kita katakan... "Sayang jangan main hujan yea. Nanti sayang boleh demam. Bila demam tentu esok sayang tak boleh main dengan kawan-kawan lain. Apa kata sayang duduk di dalam dan ibu akan bacakan cerita yang sayang suka tu..."

Kita perlu ada ilmu... jika rasa kurang maka berusahalah untuk tambah ilmu... Kita boleh tingkatkan ilmu keibubapaan melalui pembacaan, rencana di televisyen, forum-forum keibubapaan atau melalui medium seperti AdikBijak.com. Jangan lupa juga untuk tambahkan ilmu pengetahuan umum, ilmu-ilmu agama dan juga hal-hal berkaitan teknologi terkini.

Anak-anak masa kini akan sentiasa menguji pengetahuan dan ilmu ibu bapanya. Jadi sentiasalah bersedia... jika anda mahu mereka melihat anda sebagai idola atau role model yang mereka kagumi.

Fikir-fikirkan...

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #28 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 1 - Bunyi Huruf)

TEKNIK ASOSIASI BUNYI DAN PERBUATAN (BAHAGIAN 1 - BUNYI HURUF)

Tahap penumpuan kanak-kanak amatlah singkat. Mereka tidak seperti orang dewasa yang boleh memberikan perhatian yang panjang atas sesuatu perkara atau aktiviti. Justeru itu tempoh fokus mereka yang singkat itu perlu dimanafaatkan dengan sebaiknya dan dengan cara yang betul agar pembelajaran dapat berjalan semaksimanya walau untuk jangka masa yang singkat.

Perhatian anak-anak perlu kita tarik dahulu sebelum kita cuba mengajarkannya sesuatu. Untuk bahagian pertama ini ingin saya sentuh cara yang betul memperkenalkan bunyi huruf kepada kanak-kanak. Teknik ini sesuai digunakan untuk kanak-kanak berusia 3 tahun dan ke bawah.

Cuba lakukan yang berikut:

Langkah 1: Katakan kepada si comel... "Sayang hari ini Ummi nak perkenalkan satu bunyi. Sayang nak dengar tak bunyi tu?". Pada peringkat ini tujuan anda adalah untuk menarik perhatian si kecil

Langkah 2: Letakkan jari anda dan halakan ke bibir dan katakan pula... "Cuba sayang lihat mulut Ummi ni. Bunyi yang Ummi nak bagi tahu ialah...." Pastikan anak memandang kepada mulut anda sebelum meneruskan ayat anda.

Langkah 3: Sambung dan sebutkan bunyi yang ingin anda ajarkan... contohnya "UUU". Pada peringkat ini pastikan anda sebut bunyi tersebut dengan gaya yang betul dan penuh bersemangat (sila rujuk VCD yang disertakan bersama-sama Set Bacalah Anakku sebagai panduan cara menyebut bunyi huruf dengan tepat)... dan pastikan anak anda melihat ke mulut anda semasa anda menyebutnya.

Langkah 4: Ulang Langkah 2 dan 3 untuk beberapa kali.

Langkah 5: Minta anak anda cuba menyebut bunyi yang baru dipelajarinya.

Langkah 6: Ajarkan satu jenis bunyi sahaja untuk satu-satu masa dan setkan tempoh belajar tersebut untuk 5 - 10 minit sahaja. Bila si comel dah dapat menguasai bunyi tersebut... bolehlah anda perkenalkan bunyi yang lain pula pada sessi seterusnya.

Teknik yang saya tunjukkan di atas adalah teknik untuk melatih kanak-kanak belajar menyebutkan bunyi dengan tepat dan betul. Anda belum lagi sebenarnya memperkenalkan huruf kepadanya. Tetapi lebih untuk melatih otot mulut dan kotak suaranya.

Untuk tips akan datang akan saya sentuh pula bagaimana latihan sebutan huruf ini dapat diperkukuhkan lagi melalui aksi-aksi lakonan dan lagu-lagu.

Selamat mencuba...!!!

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Wednesday, February 18, 2009

Usah Politikan Pendidikan Anak-Anak Kita

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Adik Bijak,

Lama saya tidak menulis di Buletin AdikBijak ni. Lebih dua bulan rasanya. Tiap kali tak dapat menulis tentu saya berikan alasan kerana kesuntukan masa... hehehe. Nak buat macam mana memang itu realitinya. Walau pun saya ni bekerja dari rumah... sibuknya tak kurang macam rakan-rakan yang bekerja di pejabat. Emmm... rasanya lebih lagi lah... yealah... bekerja dari rumah ni bukan saja perlu uruskan hal-hal berkaitan kerja (AdikBijak.com) tetapi dalam masa yang sama perlu juga melaksanakan tugas-tugas selaku suri rumahtangga. Kira dah jatuh dalam kategori multi-tasking dah ni... hehehe.

Apa pun saya cukup seronok dan bahagia dengan hidup saya kini. Pun begitu bila tak dapat menulis... rasa rindu pula dengan rakan-rakan semua. Justeru saya gagahkan juga untuk menulis pada bulan ini.

Bermula Disember 2008 lalu saya mula kembali mengajar di tadika. Bukan sepenuh masa... tetapi lebih kepada secara sambilan. Cuma satu jam sahaja setiap pagi melatih anak-anak bangsa saya untuk belajar membaca. Seronok juga bila dapat kembali mengajar ni... yealah dapat saya gilap kembali skil mengajar. Tambah seronok lagi bila melihat keletah anak-anak berusia 3 hingga 5 tahun yang begitu bersemangat untuk belajar. Minda mereka masih bersih dan jiwanya pula suci... maka cukup mudah untuk kita sampaikan apa juga ilmu dan mereka akan serap semuanya seumpama span.

Anak-anak kecil yang saya didik ini mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Ada yang pendiam, ada yang aktif dan tidak ketinggalan juga yang hyper-aktif. Dari segi penerimaan pelajaran pula... mereka mempunyai perkembangan yang berbeza-beza. Ada yang cepat, dan ada yang agak perlahan. Tetapi satu faktor yang saya dapat kenal pasti mejadi pemangkin kepada cepatnya kanak-kanak ini membaca adalah bimbingan dan galakan tambahan yang diberikan oleh ibu bapa di rumah.

Amat jelas saya lihat anak-anak yang membuat ulangkaji di rumah bersama ibu bapanya mempunyai tahap pencapaian yang jauh ke hadapan berbanding kanak-kanak lain. Anak-anak ini juga kelihatan lebih ceria dan bersemangat ketika di sekolah. Ibu bapa anak-anak ini pula tiap kali terserempak dengan saya atau guru-guru lain pasti tidak melepaskan peluang untuk menceritakan keletah anak-anak mereka menyanyi dan membaca di rumah... dan menyatakan betapa bangganya mereka dengan pencapaian anak-anak ini. Ahhh... bahagianya anak-anak yang dapat membesar dalam persekitaran yang serba kondusif ini. Pemerhatian ini memperkukuhkan lagi keyakinan saya bahawa peranan ibu bapa dalam membimbing dan mendidik anak-anak di rumah menjadi faktor utama dalam melahirkan anak-anak yang hebat dan cemerlang.

Dalam suasana ekomomi dunia yang agak tidak menentu kini, ramai ibu bapa dilihat mempertingkatkan usaha memperkukuhkan keadaan ekonomi keluarga. Mana-mana ibu yang sebelum ini duduk di rumah kini sudah mula berusaha kembali ke dalam pasaran kerja. Buat si ayah pula mula berkira-kira untuk melakukan pekerjaan sambilan (tambahan)... Tetapi bagaimana pula dengan masa untuk mendidik anak-anak?!

Tiada salah untuk kita terus berusaha meningkat dan memperkukuhkan ekonomi keluarga. Tetapi pastikan masa berkualiti bersama anak-anak tidak terganggu atau dikorbankan. Kita perlu sedar bahawa anak-anak ini merupakan pelaburan kita untuk masa hadapan... bukan sahaja untuk diri kita tetapi lebih utama mereka merupakan aset masa hadapan buat Agama dan Negara kita. Oleh itu luangkanlah sedikit masa, masa yang berkualiti, bersama anak-anak setiap hari.

Saya yakin rakan-rakan semua merupakan ibu bapa yang sangat perihatin ke atas pendidikan anak-anak. Tahniah kami ucapkan kepada semua. Tetapi malangnya masih ada segelintir manusia yang tidak melihat pendidikan itu sebagai satu yang sangat penting... sebaliknya sanggup memperkudakan masa depan anak-anak kecil ini untuk mencapai hasrat dan matlamat peribadi.

Biarlah anak-anak kita tu belajar dengan tenang dan ceria. Tak kiralah samada mereka itu belajar di TADIKA Kemas ke, TABIKA Perpaduan ke, PASTI ke atau pusat-pusat pendidikan pra-sekolah yang lain... usah ganggu mereka!!! Sedih bila saya lihat anak-anak yang masih mentah ini diheret ke dalam kemelut yang mereka tidak fahami.

Politik itu perlu dalam pentadbiran negara. Namun banyak kita perhatikan pengelibatan "orang-orang politik" di tempat-tempat yang tidak sepatutnya hanya membawa lebih banyak masalah berbanding penambahbaikan. Lihat sahaja apa yang berlaku di dalam institusi sukan contohnya... adakah pengelibatan mereka ini membawa peningkatan yang kita harapkan?

Bak kata Nabil (Raja Lawak)... "Lu fikirlah sendiri...!!!".

Okay lah... cukup dulu sembang saya buat kali ini. Kena sambung buat kerja multi-tasking balik... hehehe... Saya harapkan lontaran idea saya ini dapat membuka minda semua dan jika ada terkasar bahasa atau tersinggung mana-mana pihak tu... saya mohon berbanyak kemaafan.

Oh yea... hampir lupa pula. Suka saya maklumkan yang saya akan ada bersama semasa sesi kursus Bacalah Anakku dan ReadEasy yang akan diadakan pada hujung bulan ini di Seremban (28 Feb & 1 Mac). Buat rakan-rakan yang ingin meningkatkan ilmu mendidik anak-anak cepat membaca di rumah... amat-amat saya galakkan anda mendaftar dan menyertai kursus yang telah dijadualkan ini.

Kami juga akan membuka meja jualan buku-buku. Dan untuk dua hari tersebut anda boleh mendapatkan buku-buku edaran AdikBijak.com pada harga yang sangat istimewa. Datanglah yea...

Kita berbicara lagi nanti...


Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #27 :: Belajar Membaca Melalui Pendekatan Multisensory

BELAJAR MEMBACA MELALUI PENDEKATAN MULTISENSORY

Melatih dan mendidik anak-anak untuk membaca tidak memadai dengan menggunakan buku atau bahan-bahan bercetak sahaja. Ini kerana kemahiran membaca boleh dibentuk melalui pendekatan, kaedah dan medium yang berbagai. Rangsangan yang diberikan kepada pelbagai deria yang ada (sentuh, pandang, dan dengar) akan meningkatkan dan mempercepatkan pemahaman anak-anak kepada asas-asas kemahiran membaca.

Untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik seseorang kanak-kanak itu sekurang-kurangnya perlu dirangsang deria pandang dan deria dengarnya. Ini kerana melalui deria pandang anak-anak akan kita perkenalkan dengan bentuk-bentuk huruf... sementara deria dengar pula memberikan maklumat bunyi (fonik) huruf yang dilihatnya. Dalam banyak kes... membenarkan anak-anak merasa atau menyentuh bentuk-bentuk huruf (melalui keratan huruf atau huruf yang dibentuk menggunakan tanah liat contohnya) akan memperkukuhkan lagi apa yang dilihat dan didengarinya.

Bolehkah ketiga-tiga deria ini dirangsang serentak?

Boleh... Caranya mudah sahaja. Sebagai contoh... katakan anda menggunakan kad imbas yang mempunyai bentuk-betuk huruf yang jelas dan terang. Ambil 1 atau 2 kad (suka saya cadangkan bermula dengan mana-mana huruf vokal iaitu a, e, i, o, u) dan tunjukkan kepada anak anda sambil anda bunyikan fonik huruf tersebut (bunyikan foniknya ya... bukan "nama" huruf...!!!). Kemudian pegang tangan anak anda dan halakan telunjuknya pada huruf tersebut dan gerakkan mengikut bentuknya... sambil itu bunyikan sekali lagi fonik huruf tersebut.

Ulang latihan di atas beberapa kali. Untuk lebih menarik dan tidak membosankan anak, anda boleh lakukan sambil menyanyikan lagu-lagu fonik yang menghiburkan.

Cubalah...!

Untuk lebih mudah suka saya cadangkan anda menggunakan produk "ABU ADA AYAM" yang telah disusun khusus untuk aktiviti-aktiviti seperti di atas. Di dalamnya terkandung kad-kad imbas dan CD lagu-lagu fonik yang menyeronokkan... juga disertakan sebuah buku mewarna sebagai latihan pengukuhan.