Monday, November 24, 2008

Perkasakan B. Inggeris Anak-Anak (dan anda juga...)

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Keputusan UPSR yang diumumkan baru-baru ini, juga keputusan-keputusan UPSR yang lalu, membuktikan yang pengenalan Bahasa Inggeris di dalam pendidikan Sains dan Matematik selama ini bukan sahaja telah dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar... ia juga menjadi bukti jelas yang penumpuan Bahasa Inggeris ini tidak sama sekali memberikan kesan negatif kepada penguasaan anak-akan di dalam subjek Bahasa Malaysia. Malahan peratusan pencapaian subjek Matematik dan Sains juga turut meningkati.

Kita tidak nafikan pada peringkat awal pelaksanaannya anak-anak dan para guru menghadapi pelbagai masalah dan kesukaran. Malahan sesetengah tempat terutama sekolah-sekolah di kawasan luar bandar masih lagi berhadapan dengan masalah komunikasi, prestasi pelajaran yang tidak mencapai tahap yang disasarkan dan lain-lain. Alasan remeh ini tidak seharusnya menjadi penyebab untuk kita melangkah kebelakang dan kembali kepada sistem yang lama. Inisiatif yang baik ini mesti diteruskan dan dimajukan agar lebih baik dan berkesan.

Kita mesti menerima hakikat yang bahasa ilmu dan teknologi utama kini adalah Bahasa Inggeris. Dan oleh kerana negara kita belum lagi menjadi sebah negara kuasa ilmu dan teknologi yang besar seperti Jepun, Perancis, Jerman dan lain-lain, maka tidak dapat tidak penguasaan Bahasa Inggeris menjadi amat perlu bagi menyediakan anak-anak kita kepada cabaran global masa kini dan masa hadapan.

Sebagai ibu bapa yang perihatin dan berwawasan kita bukan sahaja patut menyediakan anak-anak untuk menguasai Bahasa Inggeris, tetapi kita sendiri perlu mempertingkatkan dan melatih diri untuk juga turut menguasai bahasa ilmu ini. Usaha kita untuk menguasai bahasa ini secara langsung akan memberikan motivasi buat anak-anak untuk turut belajar dan mahir dalam penggunaannya. Pun begitu usah kita lupa pula kepada keindahan Bahasa Melayu kita. Penguasaan kedua-duanya mesti bergerak seiring. Amat sedih bila kami lihat ramai yang dalam kecenderungan untuk dilihat mahir berbahasa Inggeris... tetapi apa yang berlaku adalah "merojakkan" kedua-dua bahasa ini.

Anak-anak kita kini sudah mula bercuti panjang. Ambil peluang ini untuk meningkatkan prestasi diri mereka dengan merancang program-program yang bermanafaat dan tidak membiarkan mereka menghabiskan hari-hari cuti sekolah ini dengan sia-sia. Anda boleh menghantar mereka ke kem-kem motivasi, melawat dan berkunjung ke tempat-tempat yang menarik dan berilmu (seperti Pusat Sains Negara, Museum Kesenian Islam dan lain-lain), atau sekadar bercuti sekeluarga untuk mengeratkan lagi hubungan kita dengan anak-anak.

Bercakap tentang bercuti ini... Rasulullah s.a.w ada memberikan tips pendidikan yang hebat (dari ceramah yang kami dengar di radio) di mana Baginda pernah berpesan yang masa kita pergi berjalan-jalan ini merupakan masa yang sangat baik untuk kita memberikan nasihat kepada anak-anak, berpesan-pesan kepada mereka dan meningkatkan motivasi di dalam diri. Semasa berjalan-jalan (bercuti) ini minda anak-anak berada dalam mood yang ceria dan seronok... dan pastinya pada masa ini fikiran mereka amat terbuka dan sedia untuk menerima nasihat dan pesanan yang baik.

Jadi... apa tunggu lagi... mohonlah cuti barang 2 ke 3 hari... dan bawalah anak-anak bersiar-siar. Kami pasti bukan sahaja anak-anak perlu rehatkan minda... anda juga perlu "rehatkan" diri buat seketika dari tekanan tugas seharian. Jangan lupa juga untuk mempraktikkan saranan hebat dari Rasulullah di atas.

Untuk rakan-rakan yang telah kami pilih untuk menerima baucer penginapan di Bukit Merah Laketown Resort pada hujung bulan ini... kami ucapkan selamat bercuti dan bergembira bersama keluarga. InsyaAllah kami sekeluarga juga akan menyertai percutian anda, dan mungkin akan kita adakan sedikit program bersama AdikBijak.com di sana nanti. Tungguuuuu...

Okay lah... kita jumpa lagi nanti yeai...

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Tips #26 :: Komunikasi Awal Asas Keyakinan Membaca

KOMUNIKASI AWAL ASAS KEYAKINAN MEMBACA

Anak-anak yang baru lahir memang lumrahnya mula melihat sekelilingnya dengan penuh minat. Antara perkara utama yang dipelajarinya ialah bahasa dan ucapan orang-orang di sekelilingnya.

Oleh itu ibu bapa haruslah bercakap dengan anak-anak mereka! Dalam satu kajian yang dibuat di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu, ibu bapa di KL hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama 7 minit seminggu! Bayangkan...

Oleh sebab itulah kanak-kanak yang lambat dapat bercakap berpunca, di antaranya, daripada kurangnya komunikasi di antara ibu bapa dengan mereka pada usia kecil. Kesannya, anak-anak ini akan belajar berbahasa dengan bahasa rakan mereka atau bahasa yang dipertontonkan melalui program-program TV yang berupa kartun dan sebagainya.

Bahasa rojak ini tidak membantu membina kemahiran berbahasa mereka dan akan menyebabkan mereka kurang keyakinan apabila berbahasa atau apabila belajar membaca nanti. Oleh itu bercakaplah dengan anak-anak menggunakan bahasa yang baik, jelas dan santun

Permulaan yang betul pastinya membuahkan hasil yang baik!!!

(Nota: Tips ini dipetik dan diadaptasi dari laman web ReadNetwork)