Monday, March 12, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 9

BELAJAR MEMBACA KETIKA MEMASAK

Jika anak anda suka menolong anda di dapur, minta dia membantu anda membacakan senarai bahan-bahan dan arahan dalam resepi ketika anda sedang memasak. Dengan cara ini anak anda akan dapat belajar membaca dan belajar bagaimana mengikut arahan.

Mungkin anak anda masih dalam peringkat awal belajar membaca dan sukar untuk menyebut perkataan-perkataan yang tertulis pada buku resepi, tambahan lagi perkataannya ditulis lebih kecil. Apa yang perlu anda lakukan adalah menunjukkan dengan jari anda perkataan utama pada baris resepi tersebut... dan sebutkan nama bahan yang tertulis. Galakkan anak anda mengulangi apa yang anda sebutkan sambil menunjukkan dengan jari perkataan tadi.


Kemudian tunjukkan pula kepadanya "bahan atau benda" yang disebutnya tadi... seperti bawang, telur dan sebagainya. Anak anda akan dapat membentuk jalinan perkataan dan benda. Ini akan meningkatkan perbendaharan kata anak-anak... dan aktiviti ini jika dilakukan berulang kali membolehkan anak anda mengenal atau mengecam bentuk perkataan dan segera mengaitkannya dengan benda yang pernah dilihat.

Pada sesi yang lain anda mungkin kagum yang anak anda dapat menyebut bahan-bahan yang tertulis tanpa dibantu... terutamanya bahan yang telah kerap kali dia lihat dan "baca".

Sebagai bonus... aktiviti ini juga memberikan anda peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama anak-anak dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama.

Tuesday, March 6, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 8

PUNCA ANAK KURANG TUMPUAN, MALAS DAN LESU

Tips kali ini berbeza sedikit berbanding tips-tips yang lalu. Kalau sebelum ini saya kerap memberikan teknik dan pendekatan yang perlu anda lakukan bagi melatih anak cepat membaca... tetapi kali ini saya nak sentuh tentang pra-persiapan sebelum melatih mereka membaca.

Tahukah anda, menurut kajian sebuah universiti terkemuka di United Kingdom kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan pagi mempunyai kemampuan dan keupayaan otak yang tidak jauh bezanya dengan orang dewasa berusia 60 tahun... semasa di dalam bilik darjah? Mengejutkan bukan?

Peranan sarapan amat penting buat anak-anak kerana ia memberikan tenaga dan zat segera bagi mengembalikan fungsi badan terutamanya otak setelah berehat sepanjang malam. Tanpa nutrisi yang diperlukan... kita akan dapati anak-anak akan sukar memberikan tumpuan pada pelajaran, cepat mengantuk, keletihan dan malas.

Jadi pastikan anak-anak kita mendapatkan sarapan pagi setiap hari. Tak perlu sarapan yang berat-berat, bijirin bersama susu atau minuman koko sudah memadai. Ditambah juga dengan beberapa butir kismis atau buah kurma sebagai amalan harian untuk mencerdaskan minda.

Emmm... apa sarapan untuk esok yea ibu?!

Nota: Dapatkan tips-tips mencerdaskan minda dari Ustazah Siti Norbahyah dalam buku beliau "Panduan Mencerdaskan Minda"

Monday, March 5, 2007

Tips Cepat membaca - Siri 7

MERANGSANG MINDA MELALUI AKTIVITI FIZIKAL

Latihan untuk menggalakkan anak cepat membaca tidak terhad kepada penggunaan buku-buku dan kad imbas semata-mata. Aktiviti-aktiviti berbentuk fizikal juga memainkan peranan yang sangat penting dalam menyumbang kepada perkembangaan anak-anak. Aktiviti seperti melompat, merangkak, berguling, dan lain-lain akan merangsang perkembangan otak dalam membentuk jaringan baru sel-sel. Kanak-kanak yang mempunyai otak yang berkembang pesat akan lebih mudah menerima latihan dan didikan, dan anda akan lihat dia lebih proaktif dan ceria.

Semasa anda mendidik anak membaca dan lihat dia agak lemah atau kurang berminat... berhenti! Ajak dia berguling-guling, merangkak, melompat-lompat atau berlari sekeliling (anda perlu buat bersama ya... jangan malu-malu) sambil anda menyanyi atau menyebutkan perkataan-perkataan yang sedang dipelajarinya. Kepelbagaian aktiviti seperti ini akan mengurangkan rasa bosan yang mungkin timbul dari proses pembelajaran yang terlalu mendatar (monotonous).

Buat rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang masih kecil (bayi) suka saya sarankan agar menggalakkan anak-anak untuk berkembang mengikut peringkat-peringkatnya. Benarkan dia belajar meniarap, kemudian merangkak, kemudian bertatih dan akhirnya berjalan. Melakukan jalan pintas seperti meletakkannya di dalam walker bukan sahaja memberikan tekanan pramatang kepada tubuhnya... ia juga merencatkan perkembangan normal diri anak anda tadi.

Jom merangkak!!!

Tips Cepat Membaca - Siri 6

LATIHAN BERULANG-ULANG MENINGKATKAN KEMAHIRAN


Pada suatu petang seorang ayah yang tua bersama anaknya yang telah dewasa duduk di bawah sepohon pokok. Seketika kemudian hinggap seekor burung lalu si Ayah bertanya, "nak... itu apa nak?". Si Anak dengan lembut menjawab, "itu burung... ayah". Beberapa minit kemudian si Ayah bertanya lagi, "nak... yang kat atas pokok tu apa nak?". Si Anak yang agak kehairanan masih tetap menjawab, "itu seekor burung... ayah". Selepas beberapa ketika si Ayah bertanya sekali lagi, "apa benda yang di atas pokok tu nak?". Kali ini si Anak yang mula hilang sabar menjawab dengan nada keras... "Ayah pekak ke?!!! Kan saya dah bagi tahu yang kat atas tu BURUNG!!!".



Si Ayah lalu memandang anaknya seraya berkata, "ketika kamu kecil kamu akan bertanyakan tentang suatu perkara yang sama kepada Ayah... lagi... dan lagi... dan lagi. Tetapi ayah tetap gembira menjawab dan menerangkannya kepada kamu setiap kali kamu bertanyakan tentangnya. Ayah tahu kamu bukan tidak tahu jawapannya... tetapi sekadar inginkan perhatian dari ayah... untuk meyakinkan diri kamu yang ayah sebenarnya menyayangi kamu".



Apakah yang dapat kita timba dari cerita di atas? Ya... dalam mendidik anak-anak yang masih kecil latihan dan didikan yang berulang-ulang merupakan proses yang perlu. Ini kerana otak anak-anak yang masih kecil agak terbatas dalam memproses maklumat yang diberikan kepadanya. Justeru memberikan maklumat yang sama berulang-ulang memberikan peluang kepada anak-anak untuk menambah dan seterusnya merangkaikan maklumat yang diterima menjadi sebuah informasi lengkap sebagaimana yang ingin kita sampaikan.



Contohnya, dalam mendidik anak minat membaca adakalanya perlu untuk kita membacakan sesebuah cerita itu berulang-kali. Mungkin buat kita ia suatu yang membosankan kerana perlu membaca cerita Cinderella atau Bawang Merah Bawang Putih hampir setiap malam kepada anak-anak. Tetapi tanpa kita sedari setiap kali kita membacakan cerita yang (walaupun) sama anak-anak akan menangkap dan merakamkan maklumat baru yang sebelum ini dia terlepas. Di samping itu proses berulang-ulang ini juga membolehkan anak-anak kita memperkukuhkan penguasaan bahasa... iaitu dari segi tatabahasa, nada ekspresi perkataan, susunan ayat dan lain-lain.



Jadi lakukan sesuatu itu secara berulang-ulang bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri anak-anak. Jika dia kerap bertanya perkara yang sama... janganlah marah... sebaliknya berikan jawapan yang mudah yang dapat diterima oleh minda kanak-kanak. Dia mungkin mahukan kepastian... atau cuma inginkan perhatian kasih sayang dari pada anda.

Tips Cepat Membaca - Siri 5

BELAJAR MEMBACA BERMULA DARI BENTUK-BENTUK ASAS

Kebanyakkan ibu bapa mula memperkenalkan anak-anak kepada konsep membaca bermula dengan memperkenalkan huruf-huruf dan nombor-nombor. Memahami yang kanak-kanak agak sukar memahami konsep huruf dan nombor pada usia terlalu awal maka ramai ibu bapa beranggapan yang anak-anak hanya sesuai diajar membaca bermula dari usia 2 atau 3 tahun dan bukan pada usia yang lebih awal.

Persepsi ini sebenarnya kurang tepat dan merugikan anak-anak. Latihan membaca sebenarnya boleh kita mulakan dari mula anak-anak boleh melihat. Tetapi… bukan dengan memperkenalkan anak-anak kepada huruf dan nombor,. Sebaliknya kita bermula dengan memperkenalkan bentuk-bentuk asas kepadanya. Bentuk-bentuk seperti Bulatan, Segi Tiga dan Segi Empat adalah antara bentuk-bentuk yang boleh diperkenalkan.
Persediaan mendidik anak melalui kaedah ini mudah dan murah sahaja iaitu anda cuma perlu membuat kad-kad imbas dengan satu bentuk pada setiap kad. Seeloknya gunakan kad berwarna cerah dan lukiskan bentuk-bentuk asas tadi menggunakan warna terang (seperti Hitam, Merah atau Hijau).

Kemudian apa yang perlu anda lakukan adalah menunjukkan satu atau dua kad tersebut ketika bermain dengan anak-anak sambil menyebut nama bentuk tersebut. Ulangi proses ini setiap kali anda bermain dengan si kecil.

Pengenalan kepada bentuk-bentuk asas ini akan menyediakan minda anak-anak untuk menerima bentuk-bentuk yang lebih kompleks seperti huruf dan nombor di masa hadapan. Anak-anak yang telah terdedah lebih awal dengan bentuk-bentuk asas akan lebih cepat mengenali dan memahami huruf dan nombor bilamana ia mulda diajarkan kepadanya.

Satu lagi… anda juga boleh mula memperkenalkan konsep Warna kepada anak-anak di usia awal ini.

Cuba… Istiqamah… Yakin… Pasti berjaya, insyaAllah.

Nota: Tak pandai nak buat kad imbas, jangan khuatir di AdikBijak.com ada disediakan pelbagai kad imbas besar (Giant Flash Card) yang cantik dan menarik yang boleh rakan-rakan gunakan bagi aktiviti seperti di atas.

Thursday, March 1, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 4

MULAKAN MINAT MEMBACA DARI AWAL

Saya kerap ditanya, "pada usia berapakah anak-anak patut diperkenalkan dengan buku-buku?" Dan jawapan yang selalu saya berikan adalah... anak-anak patut diperkenalkan kepada buku-buku dari sejak lahir lagi. Bilamana jawapan ini saya berikan kerap pula saya menerima respon, "bukan ke usia tu terlalu awal dan kalau kita bagi buku nanti dia koyak-koyakan jer! Sayang jer buku tu".

Bila dapat respond sedemikian saya hanya tersenyum...

Kanak-kanak pada usia awal memang belum boleh membaca atau diajarkan bentuk-bentuk yang terlalu rumit seperti Huruf dan Nombor. Tetapi kanak-kanak pada usia ini lebih tertarik kepada pergerakan tangan anda dan bunyi gemersik kertas semasa anda menyelak-nyelak muka surat buku tersebut. Kanak-kanak juga akan merasa terhibur dan tenteram bilamana mendengar suara anda membacakan cerita kepadanya. Dan ini ditambah lagi dengan warna-warna terang yang biasanya menghiasi buku-buku kanak-kanak.

Pada peringkat awal ini memperkenalkan buku-buku bukanlah untuk mengajarnya membaca. Anda yang perlu membacakan isi kandungan buku kepada anak-anak. Biarpun dia masih belum faham apa yang anda perkatakan... bacalah dengan nada suara yang menarik dan pelbagai. Tanpa sedar anak-anak anda akan belajar skil pertuturan yang betul melalui cerita yang anda bacakan.

Bila sedari awal buku telah hadir dalam hidup anak-anak kita dan kita mewujudkan suasana di mana buku itu suatu yang menarik dan menghiburkan, akan tertanam dengan mendalam dalam jiwa anak-anak minat kepada buku. Laungkan masa berkualiti anda bersama-sama anak-anak dengan membaca. Ketika waktu pagi/petang, semasa dalam kereta atau sejenak sebelum tidur. Pastikan ianya lakukannya secara konsistent setiap hari pada masa yang tetap.

Di peringkat awal gunakan buku-buku yang mempunyai gambar-gambar yang jelas dan penuh warna-warni... juga mempunyai jalan cerita yang menarik agar mudah buat anda untuk bercerita kepadanya. Jangan bimbang anak-anak suka menggigit, mengoyak atau menconteng buku-buku. Ia adalah sebahagian dari proses untuknya belajar. Lagi pun lebih elok buku-buku ini "diguna sepenuhnya" dari tersusun rapi di dalam almari tanpa disentuh, bukan?

Nota: Di AdikBijak.com ada buku-buku yang sesuai untuk aktiviti di atas contohnya seperti set "Storytime for 1-6 Year Olds" dan "Stories for Under Fives".