Wednesday, April 16, 2008

Berikan Mereka Peluang Menjadi Kanak-Kanak

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan berita tentang apa yang telah berlaku kepada kanak-kanak pintar Matematik suatu masa dahulu iaitu adik Sufiah Yusof. Jika benar berita yang dilaporkan di akhbar-akhbar dan internet, ia pastinya suatu berita yang amat mengecewakan buat keluarga beliau dan juga kita, rakyat Malaysia, umumnya. Seorang anak yang diharapkan dapat memberikan sumbangan lebih bermakna kepada dunia akhirnya kecundang dalam mengharungi cabaran yang dihadapi.

Ini bukan pertama kali kita mendengar kanak-kanak yang mempunyai kebolehan dan kepandaian luar biasa di negara kita ini yang berakhir dengan kisah yang menyedihkan. Suatu masa dahulu negara juga pernah digemparkan dengan kanak-kanak yang mempunyai kepintaran hebat... tetapi setelah dewasa kanak-kanak tadi hanya mampu menjadi penebar roti canai setelah lama terbabit dengan gejala dadah. Kini kita mempunyai seorang lagi kanak-kanak pintar yang sedang menjadi perhatian ramai, iaitu adik Adi Putra. Bagaimana pula jalan kehidupan beliau nanti?

Secara peribadi saya dan suami tidak bersetuju dengan cara "kita" memberikan layanan kepada anak-anak pintar ini. Mereka diusung ke sana ke mari untuk dipamer seperti bahan pertunjukkan sarkas, diberikan layanan terlalu istimewa sehingga si anak tadi menjadi "lupa diri" dan lebih buruk lagi anak-anak pintar ini diambil kesempatan oleh pihak yang berkepentingan (termasuk ibu bapa sendiri) menjadikannya seolah-olah bahan komersial yang menguntungkan.

Benar... kepintaran dan kelebihan yang anak-anak ini ada merupakan anugerah dari Allah swt. Tetapi cara layanan yang diberikan bukanlah cara yang tepat (menurut pandangan kami) mensyukuri anugerah yang diberikan ini. Kita perlu sedar yang anak-anak ini, biarpun hebat, tetapi mereka masih amat memerlukan didikan dan bimbingan ibu bapa dan masyarakat untuk menjadi anak-anak yang benar benar SEMPURNA. Masih terlalu banyak yang perlu mereka pelajari dalam merintis jalan kedewasaan.

Pada kami... kanak-kanak, biar pintar atau mempunyai kelebihan luar biasa, perlu diberikan peluang menjadi kanak-kanak. Berikan ruang kepada mereka untuk bermain, bergaul dengan rakan sebaya, mengeksplorasi dunia dari kaca mata kanak-kanak, dan melakukan kesilapan dan mempelajari darinya. Usah rampas zaman kanak-kanaknya!!!

Pun begitu ini tidak bermakna kita sebagai ibu bapa boleh berlepas tangan dan membiarkan anak-anak belajar dan membesar sendiri. Tugas kita sebagai guru "terhebat" kepada anak-anak kita sangat penting bagi memastikan mereka membesar dalam acuan yang terbaik. Bukankah Rasulullah saw pernah bersabda (yang kira-kira maksudnya): "Anak-anak adalah umpama kain putih. Ibu bapalah yang akan mencorakkannya".

Kesimpulannya, samada anak-anak kita tergolong sebagai anak-anak genius atau tidak, yang lebih penting adalah memberikan pendidikan yang seimbang buat mereka. Berikan ilmu untuk mereka menakluk dunia, tetapi jangan lupa untuk membekalkannya juga dengan ilmu untuk mereka menyintai akhirat.

Saya berbicara lagi nanti....

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:


Tips #23 :: Latihan Asas Meningkatkan Tumpuan Anak

LATIHAN ASAS MENINGKATKAN TUMPUAN ANAK

Umumnya kanak-kanak mempunyai daya penumpuan yang sangat singkat ke atas sesuatu objek, permainan atau peristiwa yang berlaku di hadapannya. Perhatian mereka mudah teralih kepada perkara-perkara lain yang berlaku di sekitarnya. Kepada kebanyakan ibu bapa ini memberikan satu cabaran yang cukup hebat terutama semasa kita cuba melatihnya melakukan sesuatu yang memerlukan tumpuan yang lebih... seperti melatihnya untuk belajar membaca.

Kerap kita dengar keluhan ibu-ibu seperti, "susah betul nak ajar dia membaca. Baru duduk tak sampai 5 minit dia dah lari buat benda lain"

Daya penumpuan kanak-kanak sebenarnya boleh dilatih dan ditingkatkan sedari awal dengan memberikan rangsangan-rangsangan yang betul. Contohnya untuk bayi yang sudah mampu duduk dan bermain... memberikan permainan seperti "Padanan Bentuk" melatihnya memberikan tumpuan yang lebih kepada permainan tersebut. Ini kerana melalui permainan ini si kecil perlu melakukan percubaan-percubaan berulang kali untuk memasukkan objek-objek yang dipegangnya ke dalam bekas mengikut bentuk lubang yang disediakan.

Latihan seperti ini bukan sahaja melatih dan menggalakan perkembangan skil motor dan koordinasinya... ia juga secara tidak langsung melatih si kecil untuk melakukan sesuatu aktiviti dan memberikan tumpuan kepada aktiviti tersebut untuk tempoh yang lebih lama. Persediaan awal seperti ini pasti memberikan faedah besar buat si anak (dan juga anda) bilamana si kecil ini sudah sedia untuk dilatih belajar membaca nanti. Ini kerana latihan membaca memerlukan perhatian dan penumpuan yang lebih dari kanak-kanak.

Penting untuk diberikan perhatian ialah... pastikan aktiviti yang dijalankan mestilah dalam suasana ceria, santai... dan penuhi dengan kata-kata pujian dan galakan buat si kecil tersayang.

Selamat mempraktikkannya...!!!