Monday, June 16, 2008

Didikan Awal Sempurna Suatu "Penjimatan" Jangka Panjang

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Adik Bijak,

Lepas masalah kekurangan gula... minyak masak pula menyusul... kemudian tepung... dan kini penyakit tersebut berjangkit pula kepada beras. Lepas ini apa pula ya? Hairan juga bila kita fikirkan kenapa secara tiba-tiba sahaja bekalan barang-barang keperluan ini berkurangan. Nak kata dunia dilanda kemarau berpanjangan... tidak pula. Nak kata negara-negara pengeluar mengalami masalah kerosakan hasil tuaian... pun tidak juga. Tetapi secara tak semena-mena bekalan berkurangan dengan drastiknya dari pasaran.

Kekurangan bekalan barang-barang keperluan ini berlaku seperti dirancang... lepas satu... satu pula menyusul. Yang amat menghairankan ialah bilamana harga sesuatu barangan itu dibenarkan naik atas alasan tekanan bekalan dan permintaan... tiba-tiba pula entah dari mana bekalan kembali memenuhi keperluan pasaran.

Hmmm... hairan-hairan. Bila ini berlaku maka mulalah kedengaran kempen-kempen "lucu" di sana-sini yang mahukan kita sebagai pengguna mengurangkan penggunaan gula lah, elakkan makanan bergorenglah, kurangkan makan nasi lah... atas alasan kesihatan. Bagaimana jika selepas ini harga sayur dan buah-buahan pula naik mendadak... adakah kita kena kurangkan makan sayur dan buah kerana secara tiba-tiba ada pakar pemakanan mengatakan memakan sayur dan buah lebih juga merbahaya untuk kesihatan???

Apa pun yang menjadi mangsa keadaan adalah orang biasa seperti kita ini. Setiap satu sen lebih yang perlu kita belanjakan atas sesuatu produk dan keperluan... bermakna berkuranglah satu sen yang boleh kita belanjakan ke atas keperluan lain yang juga penting. Contohnya jika dahulu dapatlah kita belikan anak-anak majalah atau bahan-bahan bacaan tambahan setiap bulan... tetapi kerana harga beras yang mendadak naiknya... kita mungkin terpaksa mengorbankan keperluan ilmu anak-anak kerana lebihan wang yang dulunya ada... kini sudah tiada lagi.

Rakan-rakan yang saya hormati... ilmu dan pendidikan anak-anak (juga diri sendiri) perlu terus kita letakkan sebagai keutamaan yang tinggi walau dalam suasana apa pun. Ini kerana dengan ilmu anak-anak akan dapat kita sediakan untuk menghadapi cabaran masa depan yang pastinya lebih mencabar lagi. Mungkin ada di kalangan rakan-rakan yang merasakan untuk menyediakan pendidikan sempurna buat anak-anak akan memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Yea lah nak hantar tuisyen... dan sebagainya.

Jika kita terlalu bergantung kepada pihak ketiga untuk menyediakan pendidikan dan bimbingan buat anak-anak... YA... perbelanjaannya sememangnya besar dan pasti akan terus meningkat. Tetapi ada cara lain yang boleh kita lakukan yang dalam masa panjang ianya sangat menjimatkan dan dalam masa yang sama memastikan anak-anak sentiasa dapat menjadi anak-anak yang cemerlang.

Apakah cara tersebut? PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK YANG SEMPURNA. Kanak-kanak yang telah menerima pendidikan awal yang baik dari ibu bapanya akan menjadi kanak-kanak yang cerdas dan pintar yang sangat responsif kepada pendidikan yang diterima di sekolah. Kanak-kanak ini selalunya tidak memerlukan terlalu banyak bahan-bahan tambahan bagi memantapkan ilmunya. Malah mereka berkemampuan dan secara kreatif mencari sendiri bahan-bahan tambahan yang diperlukan... seperti melalui perpustakaan, perbincangan berkumpulan, internet dan lain-lain. Kanak-kanak ini juga umumnya jarang perlu menghadiri kelas-kelas tuisyen kerana kemampuannya memahami dan menguasai ilmu yang diajarkan di dalam kelas. Oleh itu lebih masanya dapat diberikan untuk mempelbagaikan aktiviti harian yang tentunya meningkatkan kematangan anak-anak ini.

Mudah dan murah, bukan?! Apa lagi... tepuklah dada dan tanya diri sudahkan kita punya ilmu untuk menyediakan anak-anak sejak dari kecil lagi???

Bulan ini genaplah usia AdikBijak.com 3 tahun. Kalau kanak-kanak tuh... pada usia ini dah sesuai sangat untuk mula diajarkan mengenal huruf dan membaca. Dan saya rasakan AdikBijak.com juga begitu. Pada usia yang masih begini muda AdikBijak.com masih perlu banyak belajar dan belajar. Siapa lagi yang menjadi guru kami kalau bukan rakan-rakan semua yang sentiasa memberikan sokongan, teguran dan nasihat... semata-mata untuk melihat AdikBijak.com terus berjaya dan dapat terus membawa misinya jauh ke hadapan.

AdikBijak.com kini mempunyai hampir 7000 ahli yang berada di serata pelusuk dunia. Ingin sangat kami untuk menemui setiap seorang dari anda... tapi apakan daya ia tak terjangkau kemampuan kami. Hanya melalui email, blog dan forum dapat kami hadir seketika dalam kehidupan anda... dan moga-moga kehadiran AdikBijak.com di dalam hidup anda telah dapat memberikan banyak manafaat dan kecerian buat anda, anak-anak dan keluarga.

Bersempena ulang tahun ke-3 AdikBijak.com ini suka kami umumkan Jualan Ulang Tahun Ke-3 di mana rakan-rakan dapat membeli pakej-pakej pilihan pada harga istimewa, juga penubuhan Tabung AdikBijak.com yang bakal mengumpul dana bagi membantu mereka-mereka yang memerlukan.

Kami berdoa (kami juga berharap rakan-rakan dapat sama-sama mendoakan) agar usaha kecil kami ini akan mendapat keberkatan dari Allah... dan akan dipermudahkan Dia untuk kami mengembangkan misi kami untuk melihat semula ibu dan bapa kembali memainkan peranan aktif dalam mendidik dan mengasuh anak-anak di rumah.

Terima kasih atas sokongan rakan-rakan kepada AdikBijak.com.

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com