Monday, November 19, 2007

TIPS #18 :: Jom Ke Perpustakaan

JOM KE PERPUSTAKAAN. ..!!!

Orang kata kalau nak ajar berenang bawalah ke air, dan kalau nak ajar memanjat bawa pula ke gunung. Dalam mengasuh minat anak-anak terhadap buku dan membaca... antara cara yang paling berkesan adalah dengan membawa mereka ke tempat di mana buku merupakan fokus dan suasana utama. Jika di rumah bahan-bahan bacaan mungkin terhad, masa yang digunakan ahli keluarga untuk membaca juga mungkin terbatas, dan suasana di rumah juga mungkin tidak begitu kondusif dalam menanamkan minat membaca... maka perpustakaan adalah tempat yang paling tepat untuk mereka.

Di perpustakaan suasana "cinta buku" menjadi tema utama. Anak-anak bila mula melangkah sahaja ke dalam sebuah perpustakaan pastinya akan rasa teruja dengan suasana yang begitu tenang di sana. Ia pasti jauh berbeza dengan suasana di rumah atau tempat-tempat tumpuan awam lain yang lebih sibuk dan bingit. Setiap sudut dan ruang pula pasti akan ada orang yang duduk membaca... dan suasana seperti ini tentunya menimbulkan rasa ingin tahu anak-anak kenapa buku begitu mengasyikkan mereka.

Rangkaian buku yang banyak di perpustakaan memberikan peluang untuk anak-anak meneroka pelbagai topik yang memenuhi minat dan citarasa mereka. Sama ada anak anda berminat tentang Sains, Permotoran, Tumbuh-Tumbuhan, Kartun (Seni), Angkasa dan apa sahaja, insyaAllah mereka akan dapat menemui sebuah atau lebih buku yang dapat memenuhi rasa ingin tahu mereka.

Di perpustakaan juga, selain buku, ada menyediakan kemudahan dan aktiviti lain yang sangat berfaedah seperti Sesi Bercerita, Makmal HiperMedia, Sudut Eksplorasi dan macam-macam lagi... yang telah disusun bagi meningkatkan lagi minat anak-anak kepada ilmu dan buku.

Bawalah anak-anak ke perpustakaan pada setiap hujung minggu, cuti persekolahan atau bila-bila masa sahaja yang anda dan anak-anak rasakan sesuai. Kunjungan ke perpustakaan tentunya boleh menjadi aktiviti sekeluarga yang berfaedah.

No comments: