Friday, May 11, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 12

BUKU HADIAH PALING BERHARGA

Melatih kanak-kanak membaca bukan setakat memperkenalkannya kepada bunyi-bunyi huruf dan perkataan, atau membacakannya cerita dari buku-buku yang menyeronokkan. Tetapi mewujudkan suasana suka kepada buku dan pembacaan juga memainkan peranan penting dalam melatih mereka untuk cepat membaca.

Pelbagai cara yang boleh kita lakukan... dan untuk tips kali ini suka saya kongsikan salah satu kaedah untuk mendidik anak-anak menghargai buku iaitu dengan cara menjadikan buku sebagai hadiah.

Barang permainan telah menjadi suatu hadiah yang biasa diberikan kepada kanak-kanak semasa sambutan Hari Lahirnya atau semasa meraikan sesuatu yang penting buat mereka. Apa kata anda ubah trend ini dan memberikan buku sebagai hadiah kepada mereka pula. Untuk panduan anda buku terbaik yang boleh anda berikan perlulah memenuhi sebahagian (atau ke semua) ciri-ciri berikut:
  • Mempunyai ilustrasi menarik dan berwarna-warni
  • Mudah dibaca sesuai dengan usia dan tahap kemampuannya membaca
  • Bertepatan dan sesuai dengan minat anak

Tuliskan mesej atau ucapan anda pada halaman dalam buku bagi menjadikan buku tersebut lebih bersifat peribadi. Balut dengan kertas hadiah dan bungkus dengan cara yang menarik.

Sebuah buku yang ditujukan khas buat si anak sejuta kali lebih bermakna dari puluhan permainan yang hanya ada cop "Made In China" di belakangnya, kan?!

Sebagai tambahan... aktiviti ini juga boleh anda praktikkan apabila anak anda ingin memberi hadiah kepada rakan-rakannya. Bawa dia sekali dan dapatkan pandangannya buku mana yang dia rasakan sesuai untuk sahabatnya itu. Minta anak anda menulis sendiri mesej yang ingin disampaikan pada bahagian dalam kulit buku.

NOTA: Anak anda mungkin meminta untuk dibelikan buku yang sama juga seperti mana yang ingin diberikan kepada sahabatnya. Jangan lokek..! Belikan juga senaskah kepada anak anda. Mereka tentu akan mula bercerita tentang isi buku bila bersua di sekolah. Jika anak anda belum membacanya dia pasti akan segera mencari buku tersebut agar tidak dipandang "tidak tahu" oleh rakannya.

Menjadikan buku sebagai hadiah akan mendidik anak bahawa buku adalah suatu pemberian yang perlu dihargai. Sesuatu yang dihargai pasti akan sentiasa dijaga dengan baik dan sentiasa diambil untuk dikenang (baca).

Dah ada perancangan hadiah apa untuk diberikan kepada anak anda pada hari lahirnya akan datang?

Di AdikBijak.com ada pelbagai buku yang sangat baik untuk dijadikan hadiah buat anak-anak. Contohnya Siri Sayangi Rasulullah, Storytime for 4-6 Years Old dan lain-lain. Dan buat anak yang lebih dewasa (remaja) kami sangat-sangat galakan para ibu bapa menghadiahkan buku terbaru kami "Duhai Anakku Yang Tercinta".

No comments: