Hmmm... lewat lagi Buletin AdikBijak.com keluar bulan ni. Tak sangka yang kerja dari rumah ni sebenarnya sama sibuk dengan orang bekerja di pejabat... malah mungkin lebih lagi... al-maklum kita lah bos, kita lah juga kuli. Nasib baik ada suami tercinta yang sama-sama membantu menguruskan operasi AdikBijak.com yang semakin sibuk kini. Pun begitu walau pun sibuk... sebagai usahawan di rumah ni saya punya kuasa penuh menentukan bila masa nak kerja, bila nak rehat, bila nak makan... alah... kan saya ni bos... kan... kan...?
Biar pun sibuk saya tetap bersyukur kepada Allah s.w.t kerana diberikan kesempatan untuk melaksanakan salah satu sunnah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu berniaga. Dapat juga rasa secebis cabaran sebagai peniaga seperti mana Abdul Rahman bin Auf. Yang paling utama saya dapat terus melaksanakan apa yang Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah nyatakan dalam buku terbarunya, "Petua Mendidik Anak Menjadi Insan Positif", iaitu peranan sebagai Ibu Mithali Isteri Sejati, insyaAllah.
Bercakap fasal kerja dan berniaga ni... teringat saya kepada beberapa laporan akhbar baru-baru ini yang melaporkan tentang statistik graduan lepasan universiti yang menganggur terus meningkat saban tahun. Kenapa agaknya senario ini berlaku yea? Tidak berkualitikah graduan kita sehingga sukar untuk mereka memasuki pasaran kerja? Atau begitu teruk sekalikah ekonomi negara sehinggakan peluang pekerjaan menjadi begitu terhad?
Saya tak mahu ulas apatah lagi memberikan analisis punca-punca ramai graduan menganggur. Itu bukan kepakaran saya. Kalau suruh ulas kenapa ramai kanak-kanak keciciran kerana gagal menguasai kemahiran membaca, insyaAllah, satu kertas kerja pun boleh disediakan... isk...
Tetapi satu perkara yang ingin saya tarik perhatian rakan-rakan di sini ialah... dalam pada kita di ambang menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-50, kenapakah sistem pendidikan negara masih terfokus kepada melahirkan golongan "pencari kerja"? Pada usia yang sudah matang ini seharusnya negara kini sudah mampu melahirkan golongan peneraju ekonomi, pencetus teknologi, pemimpin perubahan dalam jumlah yang boleh dibanggakan.
Oh... rasanya tak perlu kita salahkan sistem pendidikan yang begitu perlahan melalui perubahan. Minda masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu sendiri rata-rata tampak masih terkongkong dan terjajah. Belum berani keluar dari kepompong keselesaan... takut untuk menghadapi cabaran.
Tak sampai 14 tahun lagi negara kita harus menggapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju dalam acuannya yang tersendiri. Tetapi cakap-cakap seperti "Anak... belajar rajin-rajin yea supaya besar nanti dapat kerja yang bagus"... atau... "kamu mesti dapat markah yang baik baru boleh masuk universiti dan nanti menjawat jawatan yang tinggi"... dan seumpamanya masih menjadi kata-kata perangsang ibu bapa buat si anak.
Kita mesti berubah!!!
Untuk negara menjadi kuasa ekonomi anak-anak kita mesti diasuh untuk menjadi peneraju syarikat-syarikat multinasional di seluruh dunia dan juga menjadi penganalisis ekonomi terhebat. Untuk menjadi kuasa teknologi, anak-anak kita perlu menjadi perintis dan pencetus ilmu-ilmu baru. Dan untuk menjadi kuasa dunia anak-anak kita perlu dilatih untuk menjadi pemimpin terbilang.
Segalanya mungkin... jika kita sama-sama memainkan peranan kita sebagai ibu bapa dalam mendidik amanat (anak) yang dikurniakan Allah. Anak seumpama kain putih... ibu dan ayahlah yang bertanggungjawab mencorakkan kain ini.
Sampai bila kita harus selesa menjadi bangsa yang "dipimpin"? Tidakkah Allah menjadikan kita semua sebagai khalifah di atas muka bumi ini? Kita perlu anjak paradigma pemikiran kita dan tidak lagi terbelenggu untuk menjadi pengikut sahaja sebaliknya tanamkan semangat bahawa "Akulah Pemimpin Terbilang... Akulah Pencetus Perubahan"!
Huhu... lain macam semangat saya hari ni. Maaf kalau ada yang terasa dan tersinggung. Cuma nak luahkan rasa sangat-sangat terkilan saya selepas membaca laporan tentang seorang graduan dalam bidang Sarjana Perniagaan mengeluh pada akhbar mengatakan sukar untuknya mendapat pekerjaan.
Agaknya adik kita tu belajar bertahun-tahun dalam bidang "perniagaan" untuk apa yea???
Terima kasih kerana sudi membaca bebelan saya ini...
"SELANGKAH LEBIH BIJAK"
Puan Rosnita
AdikBijak.com
p/s: Suka saya sarankan buku berikut untuk dibaca...
1 comment:
Kena suruh baca buku "Rich Dad Poor Dad". Boleh memupuk semangat keusahawanan.
Post a Comment