Apa rasanya jika anda disuruh untuk membaca buku yang sama lagi... dan lagi... dan lagi?
Kali pertama membaca anda tentunya dapat menimba banyak ilmu dari buku tersebut. Membaca kali kedua dan ketiga akan meningkatkan kefahaman dan mempelajari serba sedikit lagi pengetahuan yang anda terlepas pandang semasa bacaan pertama. Tapi bila dipaksa baca kali keempat, lima, enam... argggghhhhh... asyik-asyik buku tu!
Jika kita rasa bosan dan muak mengadap buku yang sama berulang kali, begitu jugalah kanak-kanak. Walaupun pada "Tips Cepat Membaca - Siri 6" lalu saya ada nyatakan faedah melatih anak melalui proses yang berulang-ulang... ini tidak bermakna anda harus kekal menggunakan satu atau dua buah buku sahaja dalam melatih dan menanam minat anak-anak untuk membaca.
Sumber bacaan yang terlalu terhad akan menimbulkan rasa bosan dan tekanan kepada kanak-kanak. Lebih buruk lagi ianya akan menanamkam sikap negatif anak kepada buku dan aktiviti membaca.
Sebagai ibu bapa kita seharusnya menawarkan kepada anak-anak sumber bacaan yang lebih luas dan pelbagai seperti:
- Buku-buku yang merangkum berbagai-bagai topik berbeza seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, kenderaan, sejarah dan lain-lain
- Buku-buku yang menawarkan aktiviti langsung seperti melukis, mewarna, menulis dan aktiviti menguji minda
- Sumber bacaan dalam pelbagai medium seperti majalah, komik, akhbar, CD multimedia interaktif dan tidak terhad sekadar buku sahaja
Dengan kepelbagaian sumber bacaan yang dapat kita tawarkan, anak-anak akan lebih tertarik untuk belajar membaca dan merasa seronok membaca kerana mereka dapat meneroka berbagai-bagai maklumat yang menarik dan menghiburkan. Pendedahan anak-anak kepada pelbagai maklumat juga akan dapat mencungkil bakat dan minat yang terpendam di dalam diri anak anda.
Adakah anak anda bakal menjadi seorang doktor, jurutera, pemimpin masa hadapan atau seorang yang kreatif...? Ia mungkin dapat anda lihat dengan jelas setelah mereka anda dedahkan kepada sumber yang cukup untuk anak-anak comel ini menilai sendiri melalui pembacaan.
Ibu.... hari ni kita nak baca buku apa pula ya ibu?
No comments:
Post a Comment