LATIHAN BERULANG-ULANG MENINGKATKAN KEMAHIRAN
Pada suatu petang seorang ayah yang tua bersama anaknya yang telah dewasa duduk di bawah sepohon pokok. Seketika kemudian hinggap seekor burung lalu si Ayah bertanya, "nak... itu apa nak?". Si Anak dengan lembut menjawab, "itu burung... ayah". Beberapa minit kemudian si Ayah bertanya lagi, "nak... yang kat atas pokok tu apa nak?". Si Anak yang agak kehairanan masih tetap menjawab, "itu seekor burung... ayah". Selepas beberapa ketika si Ayah bertanya sekali lagi, "apa benda yang di atas pokok tu nak?". Kali ini si Anak yang mula hilang sabar menjawab dengan nada keras... "Ayah pekak ke?!!! Kan saya dah bagi tahu yang kat atas tu BURUNG!!!".
Si Ayah lalu memandang anaknya seraya berkata, "ketika kamu kecil kamu akan bertanyakan tentang suatu perkara yang sama kepada Ayah... lagi... dan lagi... dan lagi. Tetapi ayah tetap gembira menjawab dan menerangkannya kepada kamu setiap kali kamu bertanyakan tentangnya. Ayah tahu kamu bukan tidak tahu jawapannya... tetapi sekadar inginkan perhatian dari ayah... untuk meyakinkan diri kamu yang ayah sebenarnya menyayangi kamu".
Apakah yang dapat kita timba dari cerita di atas? Ya... dalam mendidik anak-anak yang masih kecil latihan dan didikan yang berulang-ulang merupakan proses yang perlu. Ini kerana otak anak-anak yang masih kecil agak terbatas dalam memproses maklumat yang diberikan kepadanya. Justeru memberikan maklumat yang sama berulang-ulang memberikan peluang kepada anak-anak untuk menambah dan seterusnya merangkaikan maklumat yang diterima menjadi sebuah informasi lengkap sebagaimana yang ingin kita sampaikan.
Contohnya, dalam mendidik anak minat membaca adakalanya perlu untuk kita membacakan sesebuah cerita itu berulang-kali. Mungkin buat kita ia suatu yang membosankan kerana perlu membaca cerita Cinderella atau Bawang Merah Bawang Putih hampir setiap malam kepada anak-anak. Tetapi tanpa kita sedari setiap kali kita membacakan cerita yang (walaupun) sama anak-anak akan menangkap dan merakamkan maklumat baru yang sebelum ini dia terlepas. Di samping itu proses berulang-ulang ini juga membolehkan anak-anak kita memperkukuhkan penguasaan bahasa... iaitu dari segi tatabahasa, nada ekspresi perkataan, susunan ayat dan lain-lain.
Jadi lakukan sesuatu itu secara berulang-ulang bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri anak-anak. Jika dia kerap bertanya perkara yang sama... janganlah marah... sebaliknya berikan jawapan yang mudah yang dapat diterima oleh minda kanak-kanak. Dia mungkin mahukan kepastian... atau cuma inginkan perhatian kasih sayang dari pada anda.
No comments:
Post a Comment