Monday, July 16, 2007

Mendidik Anak Cara Rasulullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga-moga anda sentiasa dalam keadaan yang terbaik untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang terhebat. Jika anda belum berumahtangga elok juga mula mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk menjadi ibu bapa mithali tidak lama lagi.

Untuk menjadi ibu bapa yang hebat memerlukan kita mempunyai ilmu. Biasakan kita dengar orang berkata... "alangkah baiknya kalau setiap anak yang lahir itu keluar bersama-sama manual bagaimana untuk mendidiknya... yealah macam buku panduan mengendalikan TV atau komputer tu...". Kalau lah macam tu tentu mudah, bukan? Tetapi realitinya tidak begitu.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang kira-kira maksudnya... setiap anak itu dilahirkan seumpama kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Malah seorang pakar psikologi kanak-kanak (saya lupa nama dia... nanti kena buka balik buku suami saya "Children Physcology") ada mengeluarkan kenyataan yang selari dengan sabda Rasulullah. Kata beliau... "berikan kepada saya 10 orang bayi yang sihat... dan saya akan jadikan mereka Peguam, Doktor, Pencuri atau Peminta Sedekah".

Moralnya di sini kanak-kanak mampu dibentuk menjadi apa sahaja... dan kita sebagai ibu bapa bertanggung jawab membentuknya. Jika si anak berjaya menjadi insan cemerlang, ibu bapalah yang menjadi pengaruh besar kepada kejayaannya. Dan jika si anak berperangai "tidak serupa orang" maka ibu bapa jugalah yang pertama sekali perlu dipertanggungjawabkan.

Kenapa saya katakan begitu? Sebab mengikut kajian para ulama dan pakar mendapati lebih 70% keperibadian anak-anak sebenarnya dipengaruhi daripada apa yang dia lihat dan belajar dari ibu bapanya. Selebihnya barulah kesan dari pengaruh-pengaruh lain di sekitarnya. Cuba rujuk buku "21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang" dan "Menangai Anak Bermasalah" tulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah untuk rujukan lanjut.

Bila berbicara tentang peranan kita sebagai ibu bapa... ramai mempunyai pandangan dan pendapat sendiri. Ada yang berpendapat kita perlu sangat tegas kepada anak sehingga dengan "menjegilkan" mata pun sudah cukup membuat anak "menikus". Ada pula yang merasakan pendekatan secara lembut dan "reasoning" lebih berkesan. Apa pun pendapat yang diberikan saya lebih suka berpandukan langkah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w yang menyatakan ada empat tahap mendidik anak iaitu:

  • TAHAP PERTAMA - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.
  • TAHAP KEDUA - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.
  • TAHAP KETIGA - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • TAHAP KEEMPAT - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Begitulah pendekatan yang digunakan oleh junjungan besar kita. Malah kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat-sangat kasihkan kanak-kanak.

Kesimpulannya... lengkapkan diri kita dengan ilmu untuk menjadi ibu bapa yang terbaik untuk "amanah Allah" yang telah dikurniakan kepada kita. Ia boleh ditimba melalui buku-buku, kursus keibu bapaan, belajar dari pengalaman orang terdahulu dan pelbagai sumber lain. Peningkatan ilmu ini perlu sebagai pelaburan anda untuk melindungi dan menyuburkan aset paling berharga... iaitu anak anda.

Yakin dan percayalah... anak yang cemerlang lahir dari ibu bapa yang cemerlang juga, insyaAllah.

Kita berbicara lagi nanti...

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"


Puan Rosnita

p/s: Suka saya cadangkan buku-buku keibu-bapaan berikut untuk anda baca...

Monday, July 9, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 14

LATIHAN MEMBACA MELALUI PERMAINAN - BAHAGIAN I

Melatih kanak-kanak membaca tidak semestinya memerlukan buku atau kad imbas. Dan latihan membaca juga tidak semestinya terhad di rumah, sekolah dan perpustakaan sahaja. Anda boleh melatih mereka membaca di mana sahaja... walau pun tanpa sebarang bahan bacaan di tangan.

Tips kali ini suka saya kongsikan satu permainan yang akan dapat mengukuhkan penguasaan anak anda kepada bunyi-bunyi huruf (fonik). Apa kata kita namakan permainan ini "TEKA NAMA".

Permainannya mudah sahaja... anda bermula dengan memberikan bunyi satu huruf... contohnya anda akan sebut "aaa". Kemudian ambil giliran untuk menyebutkan apa sahaja perkataan yang bermula dengan bunyi "aaa".

Katakan anda bermula dahulu (sebagai model agar anak anda faham peraturan permainan ini) dengan berkata... "aaa" untuk "AYAM". Kemudian beri peluang untuk anak pula. Katakan dia pula meneka... "aaa" untuk "ADIK". Giliran kembali kepada anda untuk anda meneka lagi. Dan begitulah berulang-ulang.

Pusingan ini akan berakhir apabila salah seorang dari peserta gagal memberikan perkataan yang bermula dengan fonik yang dipilih. Dan peserta terakhir memberikan perkataan diumumkan sebagai pemenang... yeehhh!

Pusingan seterusnya... pilih pula fonik yang lain... seperti "beh", "ceh", "deh" dan seterusnya.

Permainan ini ideal dilakukan semasa dalam perjalanan jauh, atau anda sedang menunggu (yang lama) atau di mana juga. Kalau dalam kenderaan tu... jika semua penumpang dapat ambil bahagian ianya pasti akan menjadi aktiviti menyeronokkan.

Cubalah...!

Wednesday, June 13, 2007

Ke Manakah Arah Anak-Anak Nak Kita Bawa?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hmmm... lewat lagi Buletin AdikBijak.com keluar bulan ni. Tak sangka yang kerja dari rumah ni sebenarnya sama sibuk dengan orang bekerja di pejabat... malah mungkin lebih lagi... al-maklum kita lah bos, kita lah juga kuli. Nasib baik ada suami tercinta yang sama-sama membantu menguruskan operasi AdikBijak.com yang semakin sibuk kini. Pun begitu walau pun sibuk... sebagai usahawan di rumah ni saya punya kuasa penuh menentukan bila masa nak kerja, bila nak rehat, bila nak makan... alah... kan saya ni bos... kan... kan...?

Biar pun sibuk saya tetap bersyukur kepada Allah s.w.t kerana diberikan kesempatan untuk melaksanakan salah satu sunnah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu berniaga. Dapat juga rasa secebis cabaran sebagai peniaga seperti mana Abdul Rahman bin Auf. Yang paling utama saya dapat terus melaksanakan apa yang Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah nyatakan dalam buku terbarunya, "Petua Mendidik Anak Menjadi Insan Positif", iaitu peranan sebagai Ibu Mithali Isteri Sejati, insyaAllah.

Bercakap fasal kerja dan berniaga ni... teringat saya kepada beberapa laporan akhbar baru-baru ini yang melaporkan tentang statistik graduan lepasan universiti yang menganggur terus meningkat saban tahun. Kenapa agaknya senario ini berlaku yea? Tidak berkualitikah graduan kita sehingga sukar untuk mereka memasuki pasaran kerja? Atau begitu teruk sekalikah ekonomi negara sehinggakan peluang pekerjaan menjadi begitu terhad?

Saya tak mahu ulas apatah lagi memberikan analisis punca-punca ramai graduan menganggur. Itu bukan kepakaran saya. Kalau suruh ulas kenapa ramai kanak-kanak keciciran kerana gagal menguasai kemahiran membaca, insyaAllah, satu kertas kerja pun boleh disediakan... isk...

Tetapi satu perkara yang ingin saya tarik perhatian rakan-rakan di sini ialah... dalam pada kita di ambang menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-50, kenapakah sistem pendidikan negara masih terfokus kepada melahirkan golongan "pencari kerja"? Pada usia yang sudah matang ini seharusnya negara kini sudah mampu melahirkan golongan peneraju ekonomi, pencetus teknologi, pemimpin perubahan dalam jumlah yang boleh dibanggakan.

Oh... rasanya tak perlu kita salahkan sistem pendidikan yang begitu perlahan melalui perubahan. Minda masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu sendiri rata-rata tampak masih terkongkong dan terjajah. Belum berani keluar dari kepompong keselesaan... takut untuk menghadapi cabaran.

Tak sampai 14 tahun lagi negara kita harus menggapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju dalam acuannya yang tersendiri. Tetapi cakap-cakap seperti "Anak... belajar rajin-rajin yea supaya besar nanti dapat kerja yang bagus"... atau... "kamu mesti dapat markah yang baik baru boleh masuk universiti dan nanti menjawat jawatan yang tinggi"... dan seumpamanya masih menjadi kata-kata perangsang ibu bapa buat si anak.

Kita mesti berubah!!!

Untuk negara menjadi kuasa ekonomi anak-anak kita mesti diasuh untuk menjadi peneraju syarikat-syarikat multinasional di seluruh dunia dan juga menjadi penganalisis ekonomi terhebat. Untuk menjadi kuasa teknologi, anak-anak kita perlu menjadi perintis dan pencetus ilmu-ilmu baru. Dan untuk menjadi kuasa dunia anak-anak kita perlu dilatih untuk menjadi pemimpin terbilang.

Segalanya mungkin... jika kita sama-sama memainkan peranan kita sebagai ibu bapa dalam mendidik amanat (anak) yang dikurniakan Allah. Anak seumpama kain putih... ibu dan ayahlah yang bertanggungjawab mencorakkan kain ini.
Sampai bila kita harus selesa menjadi bangsa yang "dipimpin"? Tidakkah Allah menjadikan kita semua sebagai khalifah di atas muka bumi ini? Kita perlu anjak paradigma pemikiran kita dan tidak lagi terbelenggu untuk menjadi pengikut sahaja sebaliknya tanamkan semangat bahawa "Akulah Pemimpin Terbilang... Akulah Pencetus Perubahan"!

Huhu... lain macam semangat saya hari ni. Maaf kalau ada yang terasa dan tersinggung. Cuma nak luahkan rasa sangat-sangat terkilan saya selepas membaca laporan tentang seorang graduan dalam bidang Sarjana Perniagaan mengeluh pada akhbar mengatakan sukar untuknya mendapat pekerjaan.

Agaknya adik kita tu belajar bertahun-tahun dalam bidang "perniagaan" untuk apa yea???

Terima kasih kerana sudi membaca bebelan saya ini...


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"


Puan Rosnita
AdikBijak.com



p/s: Suka saya sarankan buku berikut untuk dibaca...


Tips Cepat Membaca - Siri 13

ASYIK-ASYIK BUKU TU...!!!

Apa rasanya jika anda disuruh untuk membaca buku yang sama lagi... dan lagi... dan lagi?

Kali pertama membaca anda tentunya dapat menimba banyak ilmu dari buku tersebut. Membaca kali kedua dan ketiga akan meningkatkan kefahaman dan mempelajari serba sedikit lagi pengetahuan yang anda terlepas pandang semasa bacaan pertama. Tapi bila dipaksa baca kali keempat, lima, enam... argggghhhhh... asyik-asyik buku tu!

Jika kita rasa bosan dan muak mengadap buku yang sama berulang kali, begitu jugalah kanak-kanak. Walaupun pada "Tips Cepat Membaca - Siri 6" lalu saya ada nyatakan faedah melatih anak melalui proses yang berulang-ulang... ini tidak bermakna anda harus kekal menggunakan satu atau dua buah buku sahaja dalam melatih dan menanam minat anak-anak untuk membaca.

Sumber bacaan yang terlalu terhad akan menimbulkan rasa bosan dan tekanan kepada kanak-kanak. Lebih buruk lagi ianya akan menanamkam sikap negatif anak kepada buku dan aktiviti membaca.

Sebagai ibu bapa kita seharusnya menawarkan kepada anak-anak sumber bacaan yang lebih luas dan pelbagai seperti:

  • Buku-buku yang merangkum berbagai-bagai topik berbeza seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, kenderaan, sejarah dan lain-lain
  • Buku-buku yang menawarkan aktiviti langsung seperti melukis, mewarna, menulis dan aktiviti menguji minda
  • Sumber bacaan dalam pelbagai medium seperti majalah, komik, akhbar, CD multimedia interaktif dan tidak terhad sekadar buku sahaja

Dengan kepelbagaian sumber bacaan yang dapat kita tawarkan, anak-anak akan lebih tertarik untuk belajar membaca dan merasa seronok membaca kerana mereka dapat meneroka berbagai-bagai maklumat yang menarik dan menghiburkan. Pendedahan anak-anak kepada pelbagai maklumat juga akan dapat mencungkil bakat dan minat yang terpendam di dalam diri anak anda.

Adakah anak anda bakal menjadi seorang doktor, jurutera, pemimpin masa hadapan atau seorang yang kreatif...? Ia mungkin dapat anda lihat dengan jelas setelah mereka anda dedahkan kepada sumber yang cukup untuk anak-anak comel ini menilai sendiri melalui pembacaan.

Ibu.... hari ni kita nak baca buku apa pula ya ibu?