Monday, March 22, 2010

Sayangi Anak Mu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Rakan-Rakan AdikBijak,

Hari ini genap sudah 10 tahun usia anak kesayangan kami, Nur Natasha Azeze. Suara tangis dan gelaknya ketika bayi masih lagi tengiang-ngiang. Lembut pejal pipinya yang montok serasa masih lagi hangat di hujung jari jemari kami. Bayi montel yang keletah, sudah mula meninggalkan dunia kanak-kanaknya rupanya... dan kini mengorak langkah menuju alam remaja.Ya Allah... pantas sungguh masa berlalu.

Indah sungguh sepuluh tahun yang telah kami lalui. Mendidik, melatih, menunjuk ajar dan membimbing Tasha selama ini, walau adakala bersulam pening kepala dan tahap kesabaran yang teruji ke tahap maksima... merupakan pengalaman yang tidak ternilai buat kami yang telah Allah amanahkan untuk menjadi ibu dan bapa kepadanya. Segala puji buat Mu Ya Allah kerana telah memberikan kami peluang ini.

Anak merupakan anugerah yang tersangat istimewa buat siapa sahaja di dunia ini. Baik untuk makhluk yang bergelar insan, juga buat haiwan, serangga dan makhluk-makhluk lainnya. Buat kita yang bergelar ibu dan bapa... nyawa sanggup dipertaruhkan demi si comel yang teristimewa.

Pun begitu amat menyedihkan bilamana ada yang tidak mahu menghargai anugerah Allah ini. Bayi comel yang tidak berdosa sanggup dipersia. Anak kecil yang belum mengerti apa-apa pula dipukul dan diseksa. Mereka ini tidak layak bergelar ibu atau bapa... malah mereka tidak pun layak untuk bergelar manusia!

Rakan-rakan yang kami kasihi. Anak-anak adalah AMANAH Allah untuk kita. Mereka juga adalah ujian buat kita untuk melihat sejauh mana kita mampu menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Usah sesekali berputus asa dalam mendidik dan membimbing si comel untuk menjadi insan yang berguna. Jangan pula lekas berlepas tangan dan kecewa, kerana tugas kita sebagai ibu dan bapa merupakan tugas sepanjang hayat.

Cabaran untuk kita sebagai ibu bapa pada hari ini jauh berbeza berbanding cabaran yang pernah dilalui oleh ibu dan ayah kita dahulu. Anak-anak kita kini terasak dengan pengaruh dan suasana yang sangat hebat... dan kita sebagai mentor mereka perlu menyediakan anak-anak dengan perisai yang kukuh agar mereka dapat membina hidup sebagai insan yang cemerlang. Ilmu keibu bapaan yang kita warisi dari ibu dan ayah kita belum tentu cukup untuk membimbing mereka. Justeru itu kita perlu terus terusan memperkasakan diri kita dengan kaedah dan pengetahuan baharu... dan berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang jitu.

Di mana nak bermula??? Apa kata saya cadangkan yang paling asas dahulu iaitu... melatih anak untuk menjadi insan bertakwa bermula dengan memberikan mereka makanan, minuman, dan keperluan lainnya dari sumber rezeki yang bersih, baik dan halal. Apa yang nak kita suapkan ke mulut mereka mestilah bebas dari sebarang sumber yang keji dan syubahah. Ini kerana setiap yang masuk ke dalam tubuh anak-anak itu akan menjadi darah dan dagingnya. Dan antaranya adalah hati. Hati yang terbentuk dari sumber yang baik pasti akan menjadi tempat iman bertakhta... namun hati yang kotor hanya layak untuk dikuasai nafsu.

Fikirkan sejenak sebelum menyuapkan makanan ke mulut si comel... "Bersihkah rezeki yang mahu aku suapkan ini?!"

Hmmmm... dekat 3 bulan saya tak berceloteh terasa banyak perkara nak dicoretkan. Tapi takut panjang sangat pula nanti... dan mula melalut-lalut... lagi membosankan. Mulanya tadi nak tulis fasal topik "Percaya Untuk Berjaya" atau "Demi Masa", tapi yang bersarang dalam kepala isu lain pula, lebih-lebih lagi lepas tonton kes buang bayi di berita tv sebentar tadi. Tak mengapalah... insyaAllah topik tersebut akan saya sentuh pada bulan mendatang.

Apa pun saya sebenarnya sangat seronok sebab dapat menulis lagi. Terasa kembali dekat dengan rakan-rakan semua. Errmm... rakan-rakan semua sihat? Hehehe... mudah-mudahan semua di bawah naungan rahmat Allah hendaknya.

Doakan agar saya ada kelapangan lagi untuk terus berceloteh. Dan doakan juga agar anak kami akan menjadi muslimah yang solehah dan pelajar yang cemerlang, dan bakal terus memperjuangkan agama, negara dan bangsanya. Amin...

Kita berbicara lagi nanti...

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

2 comments:

Rashidah Ibrahim said...

Assalamualaikum,
Bagus pesanan-pesanan itu... semoga melekat di hati yang membacanya termasu saya...

Drama Mama said...

thanks for sharing....nak didik anak tak senang kan. mak bapak pun kena banyak belajar.

http://twinkywinkystars.blogspot.com