Untuk menanamkan minat sukan kepada anak-anak... kita akan kerap membawa mereka berkunjung ke stadium, valedrom dan seumpamanya.Untuk menanamkan minatnya kepada bidang sains dan teknologi, Petrosains dan Pusat Sains Negara pastinya lokasi terbaik untuk dikunjungi.
Untuk menanamkan minat membaca pula... nak bawa ke mana ya?
Dalam Tips Cepat Membaca Siri 18 lalu pernah saya sentuh tentang "Perpustakaan" yang merupakan lokasi terbaik dalam menyemai minat membaca dalam diri anak-anak. Suasananya yang tenang dan kondusif sangat ideal bagi mencapai matlamat ini.
Tetapi ada satu tempat lagi yang harus anda kunjungi bersama-sama anak-anak. Tempat di mana anak-anak akan dapat lihat bahawa membaca juga mempunyai peminatnya yang sangat ramai, adakalanya fanatik dan tidak kurang meriah dan riuh-rendah berbanding pesta hiburan sepeti Jom Heboh.
Apa tempat itu? Tidak lain dan tidak bukan adalah PESTA BUKU... contonya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) yang tahun ini merupakan pesta edisi ke 29nya.
KLIBF dan pesta-pesta buku seumpamanya mendedahkan kepada anak-anak anda suasana yang sangat berbeza berbanding suasana di dalam perpustakaan. Di pesta seperti ini anak-anak akan lihat bahawa peminat buku bukan sekadar golongan pelajar (pengunjung utama perpustakaan), tetapi ia merangkumi pelbagai peringkat umur, bangsa, dan latar belakang pendidikan.
"Kegilaan" ribuan manusia mengerumuni buku-buku tidak dapat tidak akan mempengaruhi persepsi anak-anak terhadap buku. Mereka tentunya akan dapat merasakan bahawa buku adalah suatu yang hebat dan diminati ramai, dan membaca itu pula adalah aktiviti yang hebat juga.
Kepelbagaian rangkaian buku yang berbagai bentuk, warna warni dan topik pasti dapat memancing rasa minat si comel untuk memiliki sebuah buku dan seterusnya ingin mengetahui isi kandungannya (melalui pembacaan).
Kata orang tak kenal maka tak cinta. Justeru itu dedahkanlah anak-anak kepada dunia buku yang hebat. InsyaAllah mereka juga akan menjadi pencinta ilmu yang hebat satu hari nanti.
19 - 28 MAC 2010 |
No comments:
Post a Comment