Sering saya mendengar keluhan ibu bapa tentang anak-anak mereka yang hanya baca sesebuah buku sekali sahaja dan kemudian tidak ambil peduli lagi dengan buku-buku tersebut. Hasrat untuk menggalakkan anak membaca seakan terbantut, kerana jika ingin anak-anak terus membaca maka mereka perlu menyediakan bahan bacaan baru secara kerap. Ini tentunya memberikan sedikit tekanan dari segi kewangan kepada sebahagian daripada kita.
Ada pula anak-anak kita yang suka membaca sesebuah buku lagi dan lagi, adakalanya sehingga hampir lunyai buku tersebut. Kita sebagai ibu bapa tentunya terasa berbaloi sungguh dengan pelaburan yang dibuat.
Kita sebagai ibu bapa perlu mengenal pasti tabiat dan minat membaca anak-anak dengan memerhatikan perilaku mereka terhadap buku. Dengan mengetahui cara mereka ini maka kita boleh menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan tabiat dan minat mereka, dan memastikan pelaburan yang kita buat benar-benar bernilai.
Buat anak-anak yang kurang gemar mengulang sesebuah buku, bahan bacaan seperti majalah berpendidikan kanak-kanak (contohnya Majalah Aulad dan Celik) yang diterbitkan secara berkala merupakan pilihan yang ideal untuk mereka. Dengan melanggan majalah-majalah ini anak-anak akan mendapat bahan bacaan baru secara tetap setiap bulan (pada kos yang rendah), seraya terus membakar minat mereka untuk terus membaca.
Buat anak-anak yang suka membaca buku berulang kali pula, dapatkan buku-buku yang lebih berisi seperti kompilasi cerita-cerita pendek, buku panduan dan motivasi, atau novel ringan untuk kanak-kanak. Bacaan berulang membantu meningkatkan pemahaman mereka tentang kandungan buku tersebut atau meningkat/mengekalkan motivasi diri.
Pun begitu ibu bapa perlulah sesekali mempelbagaikan bahan bacaan agar mereka tidak terlalu terikat kepada satu genre bacaan sahaja, dan mendedahkan mereka kepada sumber ilmu yang lebih pelbagai.
Buatlah Pilihan Bijak...!!!
Produk Sokongan Yang Dicadangkan:
No comments:
Post a Comment