Sunday, January 13, 2008

TIPS #20 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA

Saya kerap diajukan permasalahan dari ibu-ibu (juga para bapa) yang mengadukan perihal sukarnya untuk menarik minat anak-anak membaca. Keluhan seperti, "anak saya tumpuan dia singkat sangat, baca sekejap je dia dah tak mau", atau "anak saya susah betul nak diajak membaca, dia lebih suka tonton TV atau main games"... adalah antara keluhan yang sering kedengaran.

Tanpa minat kepada buku ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk anda mengajak anak-anak membaca atau mengajarnya membaca. Anda perlu lakukan beberapa langkah berikut bagi menimbulkan minat anak-anak kepada buku:

  • Cetuskan rasa ingin tahunya terhadap apa yang terkandung di dalam buku
  • Semaikan rasa seronok dan cinta kepada buku
  • Tanamkan rasa tanggungjawab ke atas buku
  • Suburkan perasaan dahagakan ilmu
  • Galakannya untuk menyampaikan kepada orang lain apa yang dipelajari dari buku

Banyak cara untuk anda mencapai objektif-objektif di atas. Antara cara terawal yang boleh anda lakukan adalah memulakannya dengan cara "bercerita" kepada anak-anak dan bukannya "membaca" kepada mereka. Perbezaan antara "bercerita" dengan "membaca" adalah bercerita lebih bersifat interaksi dua hala di mana anda akan cuba menyampaikan maklumat dengan gaya bahasa dan informasi teringkas yang dirasakan sesuai dan dapat diterima oleh anak. Sedang membaca pula anda lebih terikat kepada apa yang tertulis di dalam buku... yang isinya mungkin sukar difahami oleh anak.

Jika saya tanyakan anda... yang mana anda lebih suka... mendengar orang bercerita atau membaca sendiri buku cerita? Saya yakin anda lebih suka mendengar cerita, kan? Semua orang suka mendengar cerita... begitu juga dengan anak-anak kita.


Ambilah sebuah buku yang mempunyai gambar-gambar yang ceria dan menarik. Dan berceritalah kepada anak anda berdasarkan gambar-gambar tersebut dengan menggunakan alunan suara yang menarik dan gaya mimik muka yang berbagai. Anda pasti dapat melihat sinar dari mata-mata anak-anak yang bulat dan segar terpancar ceria mendengarkan anda bercerita kepadanya.

Akan saya sentuh kaedah-kaedah lain dalam edisi akan datang. Jangan lupa amalkan ya...!

No comments: