Monday, December 31, 2007

Bersediahkan Anak-Anak Kita Untuk ke Sekolah? (Bah. I)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pejam celik pejam celik... dah lebih dua minggu anak-anak kita bercuti sekolah. Anak saya Tasha, seperti kanak-kanak lain tentunya mengambil peluang ini untuk berehat... betul betul berehat... dari buka buku, ulang kaji pelajaran dan apa sahaja yang ada kaitan dengan sekolah. Celik mata pagi saja terus mengadap TV... mandi tidak... kadang-kadang sarapan pun tak mahu. Televisyen seolah-olah "dunia"nya sepanjang cuti sekolah.

Ehhh... betul ke ni?! Adakah anak-anak anda juga seperti anak saya Tasha? Hehehe... sebenarnya Tasha taklah seteruk yang cuba saya gambarkan di atas. Itu sek adar igauan saya yang mungkin agak keterlaluan sebagai seorang ibu. Tetapi bunga-bunga ke arah itu telah kami kesan sebaik sahaja cuti persekolahan bermula, dan langkah-langkah awal segera diambil bagi mengelakkan igauan saya di atas dari menjadi kenyataan.

Tak salah untuk anak-anak berehat dan berhibur. Tetapi kita sebagai ibu bapa perlu pandai merencanakan jadual harian mereka agar sepanjang tempoh percutian ini tidak hanya diisi dengan perkara yang sia-sia. Nanti habis cuti sebulan setengah... bukan sahaja tiada perkara baru yang dia pelajari... tetapi juga ilmu yang telah ditimbanya sepanjang tahun ini juga hilang entah ke mana.

Alhamdulillah, untuk Tasha pelbagai program masih terus berjalan untuknya sepanjang cuti persekolahan. Masih ada kelas teakwando dua kali seminggu, kelas piano seminggu sekali, kelas mengaji tiga kali seminggu, juga kem kemahiran belajar dapat mengisi sebahagian masanya dengan bermanafaat. Di samping itu saya juga mengambil peluang sepanjang cuti sekolah ini untuk melatihnya menjadi lebih berdikari dengan menekankan peri penting mengemas biliknya sendiri, membantu tugas-tugas di rumah dan lain-lain.

Paling utama masa cuti persekolahan ini saya ambil kesempatan untuk lebih rapat dengannya. Yealah... masa hari-hari sekolah... siangnya di sekolah, malam pula dah penat. Jadi masa inilah saya manafaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan lagi ikatan antara seorang ibu dan anak. Hehehe... saya ambil juga kesempatan untuk belajar bermain piano darinya. Tak sangka ada bakat juga Tasha ni mengajar. Cukup teliti dan sabar mengajar saya yang jari jemari dah serba keras... hehehe.

Buat sebahagian kita tahun hadapan merupakan kali pertama anak-anak mula melangkah ke alam persekolahan. Baik yang ke tadika, juga ke sekolah kebangsaan. Biasanya kita begitu mengambil berat dalam menyediakan hal-hal seperti pakaian persekolahannya, bag, alat tulis, buku dan lain-lain. Tetapi kita sering terlupa satu perkara yang sangat penting yang perlu disediakan dalam diri anak-anak.

Apakah perkara tersebut?

Kesedaran Keselamatan sering kita terlepas pandang. Perkara ini sangat sangat penting dilatih dan ditanamkan dalam diri anak-anak sebelum mereka melangkah ke sekolah. Untuk bicara bulan ini saya akan sentuh beberapa perkara yang boleh anda lakukan sekarang sebelum sesi persekolahan bermula (anda ada kurang sebulan sahaja lagi!):

  1. Latih anak anda agar tahu namanya sendiri.
    Nama penuh dan bukan nama panggilan. Contohnya bila ditanya anak anda mampu menjawab, "Nama saya Mohamad Azrin bin Abu Bakar"
  2. Latih anak anda agar tahu nama ayah dan ibunya.
    Bukan setakat tahu... "ini Ummi".. "itu Papa"... sahaja tetapi nama penuh anda.
  3. Latih anak anda untuk mengingati sekurang-kurangnya TIGA nombor telefon.
    No telefon ayah dan ibunya... dan jika boleh satu nombor fixed line (bukan telefon bimbit) saudara terdekat.
  4. Latih anak anda untuk mengingati alamat rumahnya atau mampu menunjuk arah ke rumahnya sendiri.
  5. Latih anak anda untuk mengenali bahagian-bahagian tubuhnya terutama bahagian-bahagian yang sulit.
    Jangan lagi gunakan nama-nama timangan macam... "bunga"... "burung"... "pipit" dan sebagainya (maaf jika ada yang tersinggung... tapi saya perlu berterus-terang). Berikan nama bahagian-bahagian sulit tersebut dengan nama sebenar. Dan beritahu anak anda yang bahagian-bahagian sulitnya adalah haknya dan orang lain tidak lagi boleh lihat atau sentuh dalam apa keadaan pun.

Beberapa perkara asas di atas, walau nampak mudah, tetapi amat amat berguna bila anak-anak berada di dalam situasi kecemasan seperti terpisah dari anda semasa membeli-belah, tertinggal bas sekolah dan lain-lain situasi genting. Maklumat yang ada padanya dapat membantu pihak berkuasa membawanya pulang atau membantu orang ramai menghubungi anda bila diperlukan.

Ada banyak lagi akan saya sentuh berkenaan kesedaran keselamatan pada diri anak-anak. Akan saya sentuh lagi dalam buletin AdikBijak.com bulan hadapan... secara khususnya tentang kesedaran ke selamatan di sekolah.

Jangan lupa untuk mula melatih anak-anak anda dengan perkara-perkara yang telah saya senaraikan di atas. Kerana keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab kita... namun kita tidak akan dapat selalu berada di samping untuk melindungi mereka... justeru kita perlu lengkapkan mereka dengan maklumat penting yang dapat membantu dan melindungi anak-anak dalam masa-masa yang kritikal.

Selamat menjadi ibu bapa yang prihatin!!!

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

1 comment:

liza said...

Kepada Pn.Rosnita ,
Saya sangat berterima kasih sebab memberikan banyak Tips-Tips yang baik berkaitan dengan keselamatn anak-anak kami.semoga akan datang ada lagi banyak topik-topik yang boleh membantu kami dalam mendidik anak-anak kami .we will support ur blog.good Luck