Wednesday, April 16, 2008

Berikan Mereka Peluang Menjadi Kanak-Kanak

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan berita tentang apa yang telah berlaku kepada kanak-kanak pintar Matematik suatu masa dahulu iaitu adik Sufiah Yusof. Jika benar berita yang dilaporkan di akhbar-akhbar dan internet, ia pastinya suatu berita yang amat mengecewakan buat keluarga beliau dan juga kita, rakyat Malaysia, umumnya. Seorang anak yang diharapkan dapat memberikan sumbangan lebih bermakna kepada dunia akhirnya kecundang dalam mengharungi cabaran yang dihadapi.

Ini bukan pertama kali kita mendengar kanak-kanak yang mempunyai kebolehan dan kepandaian luar biasa di negara kita ini yang berakhir dengan kisah yang menyedihkan. Suatu masa dahulu negara juga pernah digemparkan dengan kanak-kanak yang mempunyai kepintaran hebat... tetapi setelah dewasa kanak-kanak tadi hanya mampu menjadi penebar roti canai setelah lama terbabit dengan gejala dadah. Kini kita mempunyai seorang lagi kanak-kanak pintar yang sedang menjadi perhatian ramai, iaitu adik Adi Putra. Bagaimana pula jalan kehidupan beliau nanti?

Secara peribadi saya dan suami tidak bersetuju dengan cara "kita" memberikan layanan kepada anak-anak pintar ini. Mereka diusung ke sana ke mari untuk dipamer seperti bahan pertunjukkan sarkas, diberikan layanan terlalu istimewa sehingga si anak tadi menjadi "lupa diri" dan lebih buruk lagi anak-anak pintar ini diambil kesempatan oleh pihak yang berkepentingan (termasuk ibu bapa sendiri) menjadikannya seolah-olah bahan komersial yang menguntungkan.

Benar... kepintaran dan kelebihan yang anak-anak ini ada merupakan anugerah dari Allah swt. Tetapi cara layanan yang diberikan bukanlah cara yang tepat (menurut pandangan kami) mensyukuri anugerah yang diberikan ini. Kita perlu sedar yang anak-anak ini, biarpun hebat, tetapi mereka masih amat memerlukan didikan dan bimbingan ibu bapa dan masyarakat untuk menjadi anak-anak yang benar benar SEMPURNA. Masih terlalu banyak yang perlu mereka pelajari dalam merintis jalan kedewasaan.

Pada kami... kanak-kanak, biar pintar atau mempunyai kelebihan luar biasa, perlu diberikan peluang menjadi kanak-kanak. Berikan ruang kepada mereka untuk bermain, bergaul dengan rakan sebaya, mengeksplorasi dunia dari kaca mata kanak-kanak, dan melakukan kesilapan dan mempelajari darinya. Usah rampas zaman kanak-kanaknya!!!

Pun begitu ini tidak bermakna kita sebagai ibu bapa boleh berlepas tangan dan membiarkan anak-anak belajar dan membesar sendiri. Tugas kita sebagai guru "terhebat" kepada anak-anak kita sangat penting bagi memastikan mereka membesar dalam acuan yang terbaik. Bukankah Rasulullah saw pernah bersabda (yang kira-kira maksudnya): "Anak-anak adalah umpama kain putih. Ibu bapalah yang akan mencorakkannya".

Kesimpulannya, samada anak-anak kita tergolong sebagai anak-anak genius atau tidak, yang lebih penting adalah memberikan pendidikan yang seimbang buat mereka. Berikan ilmu untuk mereka menakluk dunia, tetapi jangan lupa untuk membekalkannya juga dengan ilmu untuk mereka menyintai akhirat.

Saya berbicara lagi nanti....

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:


Tips #23 :: Latihan Asas Meningkatkan Tumpuan Anak

LATIHAN ASAS MENINGKATKAN TUMPUAN ANAK

Umumnya kanak-kanak mempunyai daya penumpuan yang sangat singkat ke atas sesuatu objek, permainan atau peristiwa yang berlaku di hadapannya. Perhatian mereka mudah teralih kepada perkara-perkara lain yang berlaku di sekitarnya. Kepada kebanyakan ibu bapa ini memberikan satu cabaran yang cukup hebat terutama semasa kita cuba melatihnya melakukan sesuatu yang memerlukan tumpuan yang lebih... seperti melatihnya untuk belajar membaca.

Kerap kita dengar keluhan ibu-ibu seperti, "susah betul nak ajar dia membaca. Baru duduk tak sampai 5 minit dia dah lari buat benda lain"

Daya penumpuan kanak-kanak sebenarnya boleh dilatih dan ditingkatkan sedari awal dengan memberikan rangsangan-rangsangan yang betul. Contohnya untuk bayi yang sudah mampu duduk dan bermain... memberikan permainan seperti "Padanan Bentuk" melatihnya memberikan tumpuan yang lebih kepada permainan tersebut. Ini kerana melalui permainan ini si kecil perlu melakukan percubaan-percubaan berulang kali untuk memasukkan objek-objek yang dipegangnya ke dalam bekas mengikut bentuk lubang yang disediakan.

Latihan seperti ini bukan sahaja melatih dan menggalakan perkembangan skil motor dan koordinasinya... ia juga secara tidak langsung melatih si kecil untuk melakukan sesuatu aktiviti dan memberikan tumpuan kepada aktiviti tersebut untuk tempoh yang lebih lama. Persediaan awal seperti ini pasti memberikan faedah besar buat si anak (dan juga anda) bilamana si kecil ini sudah sedia untuk dilatih belajar membaca nanti. Ini kerana latihan membaca memerlukan perhatian dan penumpuan yang lebih dari kanak-kanak.

Penting untuk diberikan perhatian ialah... pastikan aktiviti yang dijalankan mestilah dalam suasana ceria, santai... dan penuhi dengan kata-kata pujian dan galakan buat si kecil tersayang.

Selamat mempraktikkannya...!!!

Monday, March 17, 2008

Assalamualaikum dan Salam,

Seorang ibu menceritakan tentang masalah anaknya yang tahun ini mula melangkah ke Tahun 1. Pada pandangan beliau anaknya mempunyai pencapaian yang normal seperti kanak-kanak lain. Beliau hairan kenapa anaknya itu menjadi begitu pasif dan tidak dapat menumpukan pelajaran di dalam kelas. Pada ujian penilaian yang diadakan baru-baru ini anak beliau telah mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan... justeru pihak sekolah mengambil keputusan untuk meletakkannya ke dalam Kelas Pemulihan. Dan kini masalah baru pula timbul kerana anaknya yang sedia pasif ini kini berdepan dan terpaksa pula bergaul dengan kanak-kanak yang agak ketinggalan dalam pelajaran dan rata-ratanya agak aktif (kasar) dalam bergaul.

Seorang ibu lagi mengadu tentang anak beliau yang sudah lebih setahun belajar di tadika tetapi masih belum boleh membaca, tidak mahir menulis, dan tidak dapat mengira dengan baik... tidak sebaik rakan-rakan sebayanya. Menurut maklum balas yang diberikan oleh guru kelasnya, anak beliau sangat pendiam dan tidak memberikan tumpuan dalam pelajaran di sekolah. Saban kali guru tersebut perlu menarik perhatian pelajar terbabit yang dilihatnya kurang berminat dalam pelajaran.

Dua senario di atas adalah antara masalah dan aduan yang kerap kita baca di forum-forum, perbincangan di YahooGroups atau rintihan dari rakan-rakan terdekat. Ramai di antara kita berdepan dengan masalah seperti ini. Dan kebanyakan kita akan rasa buntu kerana tidak tahu ke mana arah atau apakah yang perlu dilakukan untuk mengatasinya.

Rakan-rakan AdikBijak.com yang saya hormati sekelian. Rasulullah pernah bersabda yang kira-kira maksudnya... anak-anak itu umpama sehelai kain putih yang sedia untuk dicorakkan. Kitalah yang akan bertanggung jawab untuk mencorakkannya menjadi yang terbaik atau sebaliknya.

Metafora "kain putih" yang digunakan Rasulullah menunjukkan yang pendidikan anak-anak perlu bermula dari awal lagi. Persepsi yang kanak-kanak perlu dibiarkan "menikmati" sepenuhnya zaman kanak-kanak perlu dikikis. Ya... mereka perlu bermain. Benar... mereka perlu melakukan perkara-perkara yang normalnya dilakukan oleh seorang kanak-kanak. Tetapi kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa menjadi teman dan guru bagi anak-anak agar setiap apa yang mereka teroka melalui permainan, pergaulan dan pendedahan dipandu untuk membentuk menjadi anak-anak yang cemelang di masa hadapan.

Kerap saya mendengar ibu bapa yang berkata, "Alah anak aku kecil lagi. Biarlah dia main dulu. Nanti dah umur 4 ke 5 tahun aku mula la ajar dia membaca ke, mengira ke. Ajar cepat-cepat sangat nak buat apa. Nanti penat otak budak yang masih kecil tuh".

"Ish... ada ke fikir macam tu?!", getus hati saya.

Kanak-kanak yang sedari awal didedahkan dengan suasana cintakan ilmu, suka kepada buku, pendedahan pergaulan yang positif serta suasana kompetatif yang sihat akan lebih jelas terkehadapan berbanding kanak-kanak lain. Anak-anak ini lebih ceria di sekolah, mempunyai lebih penumpuan dan daya kefahaman yang tinggi, dan mempunyai sifat kepimpinan yang jelas terserlah.

Sebagai ibu bapa kita merupakan guru pertama buat anak-anak... dan kita juga merupakan guru sepanjang hayat untuk mereka. Walaupun kini kita ada pendidikan di sekolah, pusat tuisyen, bengkel, seminar dan kem musim cuti... peranan kita sebagai guru tetap berada di tempat tertinggi. Tiada istilah "lepas tangan" dalam mendidik dan melatih anak... apatah lagi lepaskan tanggungjawab kita kepada pembantu rumah (aka bibik... huhuhu).

Mungkin ada rakan-rakan yang sibuk dengan jadual tugas di pejabat, juga sibuk menguruskan rumahtangga... dan merasakan tidak punya cukup masa untuk mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak. MINTA PERHATIAN!!! Ia bukan jumlah masa yang menjadi penentu... tetapi bagaimana masa yang ada dapat kita gunakan dengan berkualiti.

Minggu hadapan anak-anak akan mula bercuti. Seeloknya anda (suami isteri) sudah mula berbincang dan merancang aktiviti yang boleh anak-anak lakukan sepanjang musim cuti agar ianya dapat diisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanafaat. Elok juga jika anda dapat mengambil cuti sehari dua dan rancang program yang boleh dilakukan bersama... seperti berkelah, mengunjungi tempat-tempat pameran sepeti Pusat Sains Negara dan lain-lain.

Oh ya... bulan lalu saya sekeluarga mengunjungi Malaysian International Space Adventure (MISA) di Putrajaya... cukup teruja kami sekeluarga dengan pelbagai pameran alatan dan pekakasan yang digunakan oleh para angkasawan. Paling menarik sekali pengalaman menonton 4D Movie tentang pengembaraan ke bulan yang menggabungkan sensasi bunyi, cahaya dan rasa. Kalau tak salah pameran ini dibuka sehingga 16 Mac ini. Jika rakan-rakan ada kelapangan bolehlah berkunjung ke sana.

Emmm... cuti minggu hadapan ingat nak bawa Tasha ke taman tema pula... saja nak lepaskan tension.... hehehe...

Cukup dulu celoteh saya kali ini. Sebelum mengakhiri celoteh saya ini suka saya promosikan buku terbaru di AdikBijak.com iaitu "Manual Kerja SUPER Suami" dan "Manual Kerja SUPER Isteri" yang elok dibaca oleh kita semua untuk menjadi suami/isteri dan ibu bapa yang HEBAT!!!


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita

TIPS #22 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca (Bah. III)

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA (BAH III)

Kita sambung lagi dari tips yang lalu...

Apabila minat kepada buku sudah tertanam di dalam diri anak-anak... tugas untuk kita melatihnya membaca akan menjadi lebih mudah. Dengan menggunakan buku cerita yang sama, secara perlahan-lahan, anda mula menarik perhatian si kecil kepada tulisan-tulisan yang ada pada buku cerita tersebut. Ini tidak bermakna anda boleh mula "membaca", ya. Belum lagi...

Pada peringkat ini apa yang boleh anda lakukan adalah menarik perhatian anak anda kepada frasa-frasa tertentu di dalam cerita tersebut. Contohnya anda boleh berkata...

"Hmmm... apa agaknya si arnab ni cakap ya? Mari kita tengok apa dia kata di sini", sambil anda menunjukkan kepada frasa ayat yang menunjukkan dialog "si arnab" tadi. Cara ini memberitahu si kecil yang sebuah buku bukan hanya mengandungi gambar sahaja... tetapi ada "objek" lain yang juga menyampaikan cerita kepadanya.

Kemudian anda bacakan satu persatu patah perkataan dalam dialog tersebut dengan nada suara yang sesuai sambil jari anda menunjukkan kepada setiap perkataan terbabit.

Sebagai tambahan anda pilih satu atau dua perkataan yang sering berulang dalam buku tersebut. Dan semasa bercerita kepada anak anda tarik perhatiannya kepada perkataan tersebut. Contohnya dalam kisah "Arnab dengan Kura-Kura" anda mungkin pilih perkataan "arnab". Setiap kali terjumpa perkataan ini anda tunjukkan dengan cari anda.

Setelah beberapa kali... anda bertanya pula kepada anak anda apakah perkataan yang sedang anda tunjuk. InsyaAllah, anak anda akan lekas menjawab... "ARNAB!!!". Tahniah...!!! Anak anda telah dapat membaca perkataan pertamanya!!!

Pendekatan ini adalah pendekatan yang dikenali sebagai Kata Kunci (Key Words) di mana kanak-kanak belajar membaca dengan mengenali bentuk-bentuk perkataan. Antara set yang terkenal menggunakan kaedah ini dalam mendidik kanak-kanak membaca adalah siri Key Words With Ladybird.

Buku-buku yang dicadangkan: