Wednesday, April 16, 2008

Tips #23 :: Latihan Asas Meningkatkan Tumpuan Anak

LATIHAN ASAS MENINGKATKAN TUMPUAN ANAK

Umumnya kanak-kanak mempunyai daya penumpuan yang sangat singkat ke atas sesuatu objek, permainan atau peristiwa yang berlaku di hadapannya. Perhatian mereka mudah teralih kepada perkara-perkara lain yang berlaku di sekitarnya. Kepada kebanyakan ibu bapa ini memberikan satu cabaran yang cukup hebat terutama semasa kita cuba melatihnya melakukan sesuatu yang memerlukan tumpuan yang lebih... seperti melatihnya untuk belajar membaca.

Kerap kita dengar keluhan ibu-ibu seperti, "susah betul nak ajar dia membaca. Baru duduk tak sampai 5 minit dia dah lari buat benda lain"

Daya penumpuan kanak-kanak sebenarnya boleh dilatih dan ditingkatkan sedari awal dengan memberikan rangsangan-rangsangan yang betul. Contohnya untuk bayi yang sudah mampu duduk dan bermain... memberikan permainan seperti "Padanan Bentuk" melatihnya memberikan tumpuan yang lebih kepada permainan tersebut. Ini kerana melalui permainan ini si kecil perlu melakukan percubaan-percubaan berulang kali untuk memasukkan objek-objek yang dipegangnya ke dalam bekas mengikut bentuk lubang yang disediakan.

Latihan seperti ini bukan sahaja melatih dan menggalakan perkembangan skil motor dan koordinasinya... ia juga secara tidak langsung melatih si kecil untuk melakukan sesuatu aktiviti dan memberikan tumpuan kepada aktiviti tersebut untuk tempoh yang lebih lama. Persediaan awal seperti ini pasti memberikan faedah besar buat si anak (dan juga anda) bilamana si kecil ini sudah sedia untuk dilatih belajar membaca nanti. Ini kerana latihan membaca memerlukan perhatian dan penumpuan yang lebih dari kanak-kanak.

Penting untuk diberikan perhatian ialah... pastikan aktiviti yang dijalankan mestilah dalam suasana ceria, santai... dan penuhi dengan kata-kata pujian dan galakan buat si kecil tersayang.

Selamat mempraktikkannya...!!!

No comments: