Monday, March 17, 2008

Assalamualaikum dan Salam,

Seorang ibu menceritakan tentang masalah anaknya yang tahun ini mula melangkah ke Tahun 1. Pada pandangan beliau anaknya mempunyai pencapaian yang normal seperti kanak-kanak lain. Beliau hairan kenapa anaknya itu menjadi begitu pasif dan tidak dapat menumpukan pelajaran di dalam kelas. Pada ujian penilaian yang diadakan baru-baru ini anak beliau telah mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan... justeru pihak sekolah mengambil keputusan untuk meletakkannya ke dalam Kelas Pemulihan. Dan kini masalah baru pula timbul kerana anaknya yang sedia pasif ini kini berdepan dan terpaksa pula bergaul dengan kanak-kanak yang agak ketinggalan dalam pelajaran dan rata-ratanya agak aktif (kasar) dalam bergaul.

Seorang ibu lagi mengadu tentang anak beliau yang sudah lebih setahun belajar di tadika tetapi masih belum boleh membaca, tidak mahir menulis, dan tidak dapat mengira dengan baik... tidak sebaik rakan-rakan sebayanya. Menurut maklum balas yang diberikan oleh guru kelasnya, anak beliau sangat pendiam dan tidak memberikan tumpuan dalam pelajaran di sekolah. Saban kali guru tersebut perlu menarik perhatian pelajar terbabit yang dilihatnya kurang berminat dalam pelajaran.

Dua senario di atas adalah antara masalah dan aduan yang kerap kita baca di forum-forum, perbincangan di YahooGroups atau rintihan dari rakan-rakan terdekat. Ramai di antara kita berdepan dengan masalah seperti ini. Dan kebanyakan kita akan rasa buntu kerana tidak tahu ke mana arah atau apakah yang perlu dilakukan untuk mengatasinya.

Rakan-rakan AdikBijak.com yang saya hormati sekelian. Rasulullah pernah bersabda yang kira-kira maksudnya... anak-anak itu umpama sehelai kain putih yang sedia untuk dicorakkan. Kitalah yang akan bertanggung jawab untuk mencorakkannya menjadi yang terbaik atau sebaliknya.

Metafora "kain putih" yang digunakan Rasulullah menunjukkan yang pendidikan anak-anak perlu bermula dari awal lagi. Persepsi yang kanak-kanak perlu dibiarkan "menikmati" sepenuhnya zaman kanak-kanak perlu dikikis. Ya... mereka perlu bermain. Benar... mereka perlu melakukan perkara-perkara yang normalnya dilakukan oleh seorang kanak-kanak. Tetapi kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa menjadi teman dan guru bagi anak-anak agar setiap apa yang mereka teroka melalui permainan, pergaulan dan pendedahan dipandu untuk membentuk menjadi anak-anak yang cemelang di masa hadapan.

Kerap saya mendengar ibu bapa yang berkata, "Alah anak aku kecil lagi. Biarlah dia main dulu. Nanti dah umur 4 ke 5 tahun aku mula la ajar dia membaca ke, mengira ke. Ajar cepat-cepat sangat nak buat apa. Nanti penat otak budak yang masih kecil tuh".

"Ish... ada ke fikir macam tu?!", getus hati saya.

Kanak-kanak yang sedari awal didedahkan dengan suasana cintakan ilmu, suka kepada buku, pendedahan pergaulan yang positif serta suasana kompetatif yang sihat akan lebih jelas terkehadapan berbanding kanak-kanak lain. Anak-anak ini lebih ceria di sekolah, mempunyai lebih penumpuan dan daya kefahaman yang tinggi, dan mempunyai sifat kepimpinan yang jelas terserlah.

Sebagai ibu bapa kita merupakan guru pertama buat anak-anak... dan kita juga merupakan guru sepanjang hayat untuk mereka. Walaupun kini kita ada pendidikan di sekolah, pusat tuisyen, bengkel, seminar dan kem musim cuti... peranan kita sebagai guru tetap berada di tempat tertinggi. Tiada istilah "lepas tangan" dalam mendidik dan melatih anak... apatah lagi lepaskan tanggungjawab kita kepada pembantu rumah (aka bibik... huhuhu).

Mungkin ada rakan-rakan yang sibuk dengan jadual tugas di pejabat, juga sibuk menguruskan rumahtangga... dan merasakan tidak punya cukup masa untuk mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak. MINTA PERHATIAN!!! Ia bukan jumlah masa yang menjadi penentu... tetapi bagaimana masa yang ada dapat kita gunakan dengan berkualiti.

Minggu hadapan anak-anak akan mula bercuti. Seeloknya anda (suami isteri) sudah mula berbincang dan merancang aktiviti yang boleh anak-anak lakukan sepanjang musim cuti agar ianya dapat diisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanafaat. Elok juga jika anda dapat mengambil cuti sehari dua dan rancang program yang boleh dilakukan bersama... seperti berkelah, mengunjungi tempat-tempat pameran sepeti Pusat Sains Negara dan lain-lain.

Oh ya... bulan lalu saya sekeluarga mengunjungi Malaysian International Space Adventure (MISA) di Putrajaya... cukup teruja kami sekeluarga dengan pelbagai pameran alatan dan pekakasan yang digunakan oleh para angkasawan. Paling menarik sekali pengalaman menonton 4D Movie tentang pengembaraan ke bulan yang menggabungkan sensasi bunyi, cahaya dan rasa. Kalau tak salah pameran ini dibuka sehingga 16 Mac ini. Jika rakan-rakan ada kelapangan bolehlah berkunjung ke sana.

Emmm... cuti minggu hadapan ingat nak bawa Tasha ke taman tema pula... saja nak lepaskan tension.... hehehe...

Cukup dulu celoteh saya kali ini. Sebelum mengakhiri celoteh saya ini suka saya promosikan buku terbaru di AdikBijak.com iaitu "Manual Kerja SUPER Suami" dan "Manual Kerja SUPER Isteri" yang elok dibaca oleh kita semua untuk menjadi suami/isteri dan ibu bapa yang HEBAT!!!


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita

2 comments:

barb michelen said...

Hello I just entered before I have to leave to the airport, it's been very nice to meet you, if you want here is the site I told you about where I type some stuff and make good money (I work from home): here it is

PROUD MAMA said...

Askum.. Pn Rosnita....
saya bertuah dapat melayari blog u...
boleh kongsi tips anak2 ngan saya???