Friday, August 17, 2007

Meremajakan Kembali Negaraku Malaysia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tahun ini... bulan ini... kita akan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50 tahun. Dalam usia ini kalau manusialah... dah boleh dipanggil seorang yang matang, berpengalaman dan sudah masak dengan asam garam kehidupan. Tetapi di dalam usia ini juga badan dan sendi-sendi sudah mula merasa sakit di sana... lenguh di sini. Mudah kata... sebagai manusia kita mula melangkah ke arah proses penuaan. Tiada apa yang boleh kita lakukan bagi mengembalikan keremajaan yang telah lama luput. Rumah dah kata pergi... kubur pun dan melambai-lambai minta diisi... isk!!!

Sebagaimana tubuh manusia... sesebuah negara juga akan melalui proses yang serupa. Pada usia sebegini kita sudah dapat lihat tanda-tanda "penuaan" yang berlaku kepada negara yang tercinta ini. Saya lebih berminat menyentuh tanda-tanda dalam bentuk kekalutan pemikiran dan halatuju para remaja dan anak-anak kita kini. Anak-anak kita seolah-olah mula hilang arah tujuan hidup, semangat kecintaan kepada Agama, Bangsa dan Negara bagaikan telah pudar. Begitu juga terlihat lunturnya rasa hormat mereka kepada ibu bapa, para guru dan orang yang lebih tua. Hiburan seolah-olah menjadi matlamat utama, penghibur dijadikan ikon kesempurnaan dan kejayaan, dan budaya barat sudah diceduk menjadi budaya sendiri.

Setiap hari pasti kita dihidangkan dengan berita permasalahan antara pelajar dan guru, kegawatan sosial anak-anak, sumbang mahram, gangsterisma, buang anak... dan lagi... dan lagi... dan lagi. Aduh ke mana sebenarnya arah anak-anak kita ni?!!!

Pun begitu, tidak sepertimana tubuh manusia yang tidak boleh kembali muda... sesebuah negara boleh kembali diremajakan. Negara kita Malaysia ini mesti dibawa kepada proses peremajaan semula agar ia dapat bersedia dibawa menjadi sebuah negara yang Terbilang.

Tetapi bagaimana???

Ingat lagi bagaimana ayah dan ibu kita dahulu melalui hari-hari selepas merdeka? Bertapa bersungguhnya mereka mengasuh kita untuk menjadi insan berguna. Jika perlu tanah digadai... jika perlu tulang empat kerat terus dihempas... akan mereka lakukan bagi melihat kita menerima asuhan dan kasih sayang yang sempurna. Dan ingat lagikah pula betapa tingginya hormat dan sanjungan kita kepada para guru?

Suasana seperti inilah yang berlaku semasa negara masih diusia remajanya. Dan suasana yang sama jugalah yang perlu kita kembalikan untuk meremajakan semula negara. Untuk melakukannya ia perlu bermula dari rumah... atau dengan kata lain ia mesti bermula dari diri kita sendiri sebagai ibu bapa.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini... sikap dan keperibadian anak-anak sebahagian besar adalah dipengaruhi oleh tingkah laku dan peranan yang kita mainkan sebagai ibu bapa. Kita perlu memanafaatkan setiap masa yang ada menjadi masa yang berkualiti bersama mereka. Kasih sayang, perhatian, dan bimbingan langsung dari kita akan dapat membentuk dan melahirkan kembali generasi anak-anak yang cintakan Agama, Bangsa dan Negara. Juga generasi yang kembali hormat kepada ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih tua. InsyaAllah... negara akan dapat diremajakan kembali dan sedia dipimpin oleh generasi yang benar-benar faham dan tahu matlamat kenapa kita dilahirkan di dunia oleh Allah s.w.t.

Bersempena bulan kemerdekaan negara ke-50 ini, ambilah sedikit masa untuk menghayati erti kemerdekaan bersama anak-anak. Duduk dengan mereka dan berceritalah apa yang anda faham tentang kemerdekaan. Kongsikan hasrat dan cita-cita yang anda mahu mereka capai sebagai generasi pelapis masa hadapan. Anda mungkin juga boleh bawa mereka mengunjungi tempat-tempat bersejarah... dan di pagi hari kemerdekaan... bawa mereka menyaksikan perbarisan hari kebangsaan. Sambutan malam kemerdekaan yang rata-rata hanya dipenuhi konsert... rasa saya tak payahlah yea... (Maaf itu pandangan peribadi saya...)

InsyaAllah, bersempena sambutan bulan kemerdekaan ini AdikBijak.com
akan dan sedang mengadakan beberapa program khusus untuk bulan ini antaranya Program Eksplorasi Buku Bersama AdikBijak yang membawa tema "Pengkisahan Kemerdekaan", Peraduan Wajah-Wajah Anak Merdeka dan juga Jualan Mega Merdeka.

Akhir kata... kibarkan Jalur Gemilang. Dan tunjukkan rasa syukur anda menjadi anak-anak merdeka.

Merdeka...!!!

Merdeka...!!!

Merdeka...!!!

Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati dan melindungi negara kita Malaysia dan seluruh rakyatnya. Amin.



"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Tips Cepat Membaca - Siri 15

LATIHAN MEMBACA MELALUI PERMAINAN - BAHAGIAN II

Jika bulan yang lalu saya telah kongsikan permainan "TEKA NAMA". Kali ini suka saya kongsikan pula permainan yang saya panggil "CARI BUNYI". Jika permainan "TEKA NAMA" dahulu memperkenalkan anak anda kepada bunyi-bunyi asas (foneik)... permainan "CARI BUNYI" pula akan membawa anak anda selangkah ke hadapan iaitu dengan melatihnya mengaitkan bunyi-bunyi dengan bentuk huruf atau sukukata.

Bagaimana ia dimainkan? Mudah sahaja... Lihat sekitar anda dan cari satu huruf yang agak besar, seperti pada papan iklan, atau nombor plat kereta, atau poster.

Dah jumpa? Katakan huruf tersebut adalah huruf "A"... maka anda akan tanyakan kepada si comel tu... "Cuba sayang tunjuk pada Ummi mana dia "aaa"?"

Anak anda mungkin menunjukkan ke arah huruf "A" pada tempat lain... selagi ianya betul... jangan lupa katakan... "Bijaknya anak Ummi". Teruskan dengan huruf yang lain pula. Tetapi jika dia nampak keliru... cuba berikan klu-klu seperti warna huruf, imej yang ada berdekatan bagi membantunya mengenal pasti huruf yang anda maksudkan.

Buat anak-anak yang sudah pada peringkat lebih tinggi... anda mungkin boleh bertanyakan soalan dalam bentuk suku kata pula seperti memintanya mencari di manakah "ku" (mungkin dari perkataan kuala) atau "res" (dari perkataan restoran) dan sebagainya.

Untuk lebih menarik minat anak anda... berikan dia peluang untuk bertanyakan soalan kepada anda pula. Jangan terlalu cepat memberikan jawapan... tetapi berlakonlah seolah-olah anda berusaha untuk mencari bunyi yang diberi. Tak salah juga jika sekali sekala anda dengan sengaja meneka dengan "salah"... untuk melihat respon yang diberikan oleh anak anda. Jika dia benar-benar kenal bunyi huruf tersebut dia tentunya akan berkata... "Apalah Ummi ni... tu hah... uuu... Adik pun tau... senang jer" (hehehe...).

Permainan ini boleh dilakukan di mana juga... samada di dalam kenderaan, sementara menunggu di bank dan lain-lain. Sedikit kreativiti dari anda mampu menjadikan setiap masa dan setiap tempat sebagai medan pembelajaraan buat si comel kesayangan anda.

Jom bermain...!

Monday, July 16, 2007

Mendidik Anak Cara Rasulullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga-moga anda sentiasa dalam keadaan yang terbaik untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang terhebat. Jika anda belum berumahtangga elok juga mula mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk menjadi ibu bapa mithali tidak lama lagi.

Untuk menjadi ibu bapa yang hebat memerlukan kita mempunyai ilmu. Biasakan kita dengar orang berkata... "alangkah baiknya kalau setiap anak yang lahir itu keluar bersama-sama manual bagaimana untuk mendidiknya... yealah macam buku panduan mengendalikan TV atau komputer tu...". Kalau lah macam tu tentu mudah, bukan? Tetapi realitinya tidak begitu.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang kira-kira maksudnya... setiap anak itu dilahirkan seumpama kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Malah seorang pakar psikologi kanak-kanak (saya lupa nama dia... nanti kena buka balik buku suami saya "Children Physcology") ada mengeluarkan kenyataan yang selari dengan sabda Rasulullah. Kata beliau... "berikan kepada saya 10 orang bayi yang sihat... dan saya akan jadikan mereka Peguam, Doktor, Pencuri atau Peminta Sedekah".

Moralnya di sini kanak-kanak mampu dibentuk menjadi apa sahaja... dan kita sebagai ibu bapa bertanggung jawab membentuknya. Jika si anak berjaya menjadi insan cemerlang, ibu bapalah yang menjadi pengaruh besar kepada kejayaannya. Dan jika si anak berperangai "tidak serupa orang" maka ibu bapa jugalah yang pertama sekali perlu dipertanggungjawabkan.

Kenapa saya katakan begitu? Sebab mengikut kajian para ulama dan pakar mendapati lebih 70% keperibadian anak-anak sebenarnya dipengaruhi daripada apa yang dia lihat dan belajar dari ibu bapanya. Selebihnya barulah kesan dari pengaruh-pengaruh lain di sekitarnya. Cuba rujuk buku "21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang" dan "Menangai Anak Bermasalah" tulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah untuk rujukan lanjut.

Bila berbicara tentang peranan kita sebagai ibu bapa... ramai mempunyai pandangan dan pendapat sendiri. Ada yang berpendapat kita perlu sangat tegas kepada anak sehingga dengan "menjegilkan" mata pun sudah cukup membuat anak "menikus". Ada pula yang merasakan pendekatan secara lembut dan "reasoning" lebih berkesan. Apa pun pendapat yang diberikan saya lebih suka berpandukan langkah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w yang menyatakan ada empat tahap mendidik anak iaitu:

  • TAHAP PERTAMA - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.
  • TAHAP KEDUA - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.
  • TAHAP KETIGA - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • TAHAP KEEMPAT - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Begitulah pendekatan yang digunakan oleh junjungan besar kita. Malah kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat-sangat kasihkan kanak-kanak.

Kesimpulannya... lengkapkan diri kita dengan ilmu untuk menjadi ibu bapa yang terbaik untuk "amanah Allah" yang telah dikurniakan kepada kita. Ia boleh ditimba melalui buku-buku, kursus keibu bapaan, belajar dari pengalaman orang terdahulu dan pelbagai sumber lain. Peningkatan ilmu ini perlu sebagai pelaburan anda untuk melindungi dan menyuburkan aset paling berharga... iaitu anak anda.

Yakin dan percayalah... anak yang cemerlang lahir dari ibu bapa yang cemerlang juga, insyaAllah.

Kita berbicara lagi nanti...

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"


Puan Rosnita

p/s: Suka saya cadangkan buku-buku keibu-bapaan berikut untuk anda baca...

Monday, July 9, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 14

LATIHAN MEMBACA MELALUI PERMAINAN - BAHAGIAN I

Melatih kanak-kanak membaca tidak semestinya memerlukan buku atau kad imbas. Dan latihan membaca juga tidak semestinya terhad di rumah, sekolah dan perpustakaan sahaja. Anda boleh melatih mereka membaca di mana sahaja... walau pun tanpa sebarang bahan bacaan di tangan.

Tips kali ini suka saya kongsikan satu permainan yang akan dapat mengukuhkan penguasaan anak anda kepada bunyi-bunyi huruf (fonik). Apa kata kita namakan permainan ini "TEKA NAMA".

Permainannya mudah sahaja... anda bermula dengan memberikan bunyi satu huruf... contohnya anda akan sebut "aaa". Kemudian ambil giliran untuk menyebutkan apa sahaja perkataan yang bermula dengan bunyi "aaa".

Katakan anda bermula dahulu (sebagai model agar anak anda faham peraturan permainan ini) dengan berkata... "aaa" untuk "AYAM". Kemudian beri peluang untuk anak pula. Katakan dia pula meneka... "aaa" untuk "ADIK". Giliran kembali kepada anda untuk anda meneka lagi. Dan begitulah berulang-ulang.

Pusingan ini akan berakhir apabila salah seorang dari peserta gagal memberikan perkataan yang bermula dengan fonik yang dipilih. Dan peserta terakhir memberikan perkataan diumumkan sebagai pemenang... yeehhh!

Pusingan seterusnya... pilih pula fonik yang lain... seperti "beh", "ceh", "deh" dan seterusnya.

Permainan ini ideal dilakukan semasa dalam perjalanan jauh, atau anda sedang menunggu (yang lama) atau di mana juga. Kalau dalam kenderaan tu... jika semua penumpang dapat ambil bahagian ianya pasti akan menjadi aktiviti menyeronokkan.

Cubalah...!