Friday, August 17, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 15

LATIHAN MEMBACA MELALUI PERMAINAN - BAHAGIAN II

Jika bulan yang lalu saya telah kongsikan permainan "TEKA NAMA". Kali ini suka saya kongsikan pula permainan yang saya panggil "CARI BUNYI". Jika permainan "TEKA NAMA" dahulu memperkenalkan anak anda kepada bunyi-bunyi asas (foneik)... permainan "CARI BUNYI" pula akan membawa anak anda selangkah ke hadapan iaitu dengan melatihnya mengaitkan bunyi-bunyi dengan bentuk huruf atau sukukata.

Bagaimana ia dimainkan? Mudah sahaja... Lihat sekitar anda dan cari satu huruf yang agak besar, seperti pada papan iklan, atau nombor plat kereta, atau poster.

Dah jumpa? Katakan huruf tersebut adalah huruf "A"... maka anda akan tanyakan kepada si comel tu... "Cuba sayang tunjuk pada Ummi mana dia "aaa"?"

Anak anda mungkin menunjukkan ke arah huruf "A" pada tempat lain... selagi ianya betul... jangan lupa katakan... "Bijaknya anak Ummi". Teruskan dengan huruf yang lain pula. Tetapi jika dia nampak keliru... cuba berikan klu-klu seperti warna huruf, imej yang ada berdekatan bagi membantunya mengenal pasti huruf yang anda maksudkan.

Buat anak-anak yang sudah pada peringkat lebih tinggi... anda mungkin boleh bertanyakan soalan dalam bentuk suku kata pula seperti memintanya mencari di manakah "ku" (mungkin dari perkataan kuala) atau "res" (dari perkataan restoran) dan sebagainya.

Untuk lebih menarik minat anak anda... berikan dia peluang untuk bertanyakan soalan kepada anda pula. Jangan terlalu cepat memberikan jawapan... tetapi berlakonlah seolah-olah anda berusaha untuk mencari bunyi yang diberi. Tak salah juga jika sekali sekala anda dengan sengaja meneka dengan "salah"... untuk melihat respon yang diberikan oleh anak anda. Jika dia benar-benar kenal bunyi huruf tersebut dia tentunya akan berkata... "Apalah Ummi ni... tu hah... uuu... Adik pun tau... senang jer" (hehehe...).

Permainan ini boleh dilakukan di mana juga... samada di dalam kenderaan, sementara menunggu di bank dan lain-lain. Sedikit kreativiti dari anda mampu menjadikan setiap masa dan setiap tempat sebagai medan pembelajaraan buat si comel kesayangan anda.

Jom bermain...!

No comments: