Wednesday, December 8, 2010

Tanam Azam atau Kuburkan Azam?

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua,

Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1432 buat semua rakan-rakan AdikBijak.com. Apa agaknya azam tahun baru kali ini yea? Hmmm... azam tahun lepas bagaimana pula... sudahkah tertunai?

Tiap kali menjelang tahun baru, baik tahun Hijrah mahu pun tahun Masihi... masing-masing tidak dapat tidak akan menanamkan azam untuk mencapai sesuatu atau untuk merubah sesuatu dalam hidup. Ada yang suka mewar-warkan tentang azam tahun barunya (di blog, facebook, radio dsbnya)... dan tidak kurang juga yang lebih selesa meluahkannya di dalam hati (jika tak tertunai tiada siapa yang tahu... hehehe...syyyh!!!).

Malangnya ramai yang saban tahun "menanam" benih azam... tetapi "terlupa" tentang benih yang telah disemai tadi. Ia tidak dibaja dan tidak diairi. Bila hujung tahun baru tersedar dan teringat kembali tentang azam yang telah ditanam pada awal tahun lalu. Haiii... mungkin ramai tersilap konsep agaknya dalam matlamat sebenar kita menanam azam. Sebab itu ramai yang lakukan MENANAM = MENGUBURKAN iaitu lepas tanam terus tinggal dan lupakan. Sedangkan matlamat sebenar adalah MENANAM=MENYEMAI di mana azam ini perlu dijaga rapi, dibajai dan dilindungi agar ia dapat tumbuh subur dan akhirnya menghasilkan buah yang diingini (BUAH = KEJAYAAN).

Menanam azam juga tidak seharusnya dilakukan secara semberono (sembarangan). Apa saja yang terlintas dalam benak kita... itulah azam. Atau apa sahaja yang teringin dek nafsu kita... itulah azam kita. Bukan... bukan... bukan!!!

Pakar-pakar Sistem Pengurusan telah lama menggariskan panduan yang baik untuk kita ikuti dalam membentuk azam dan matlamat yang tepat iaitu melalui konsep S.M.A.R.T yang merujuk kepada:

S - Specific
M - Measurable
A - Attainable
R - Realistic
T - Timely

Saya taklah nak ulas berkenaan konsep ini secara mendalam. Untuk belajar tentangnya boleh buat carian di Google dan masukkan kata carian "S.M.A.R.T Goal". Ringkasnya melalui pendekatan ini kita diminta untuk memikirkan dengan teliti apa matlamat yang ingin kita capai dan tanyakan diri sendiri samada matlamat/azam tersebut mampu untuk kita usaha dan capai dalam tempoh masa yang diingini.

Contoh azam yang dibuat secara suka-suka:

"Tahun 2011 ni aku nak ajar Si Aiman pandai membaca"

Bandingkan pula azam yang dibuat dengan mengaplikasikan konsep S.M.A.R.T:

"Saya akan latih Aiman untuk pandai membaca dalam masa 6 bulan melalui kaedah fonetik dengan menggunakan set Bacalah Anakku. Saya akan luangkan minima 30 minit setiap hari untuk melaksanakan azam ini"

Haaa... banyak bezakan kedua-dua azam di atas? Walau pun kedua-duanya ingin mencapai satu matlamat yang sama, tetapi azam kedua memberikan halatuju yang lebih khusus dan meletakkan komitmen kepada diri sendiri untuk mencapainya.

Ingin saya tambahkan satu lagi element yang tidak disentuh melalui konsep S.M.A.R.T di atas iaitu elemen "B - Believe". Dalam melaksanakan azam kita perlu PERCAYA yang kita boleh dan mampu mencapainya. Kita mesti PERCAYA sebelum kita boleh BERJAYA. Dengan menanamkan elemen ini kita akan setkan mood dan pola pemikiran kita ke arah kejayaan.

Hmmm... mungkin AdikBijak boleh daftarkan konsep baru iaitu konsep "B-SMART"... hahaha!

Masih belum terlewat untuk rakan-rakan menyemak semula azam yang baru disemai dan bentukkannya kembali agar menjadi azam yang berpotensi. Mulakan tahun baru ini dengan "Menyemai" azam yang berkualiti dan tinggalkan amalan "Menguburkan" azam seperti yang biasa kita lakukan.

Jadi... sila ambil kertas dan mula coretkan azam tahun baru anda... jom!!!


Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

No comments: