Thursday, February 22, 2007

Tips Cepat Membaca - Siri 2

BELAJAR MELALUI HAFALAN

Belajar melalui teknik hafalan mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Pun begitu pada peringkat awal pendidikan anak-anak kaedah ini merupakan kaedah yang terbaik buat mereka. Semasa kanak-kanak berusia kurang dari 3 tahun kemampuan untuknya memahami sesuatu yang rumit adalah agak terbatas.

Justeru mereka menggunakan kemampuan minda pada peringkat usianya untuk mengingati atau menghafal tanpa memahami sepenuhnya apa yang dipelajari. Kanak-kanak pada usia awal akan dengan mudah memberitahu kita yang daun itu hijau, gula-gula itu manis atau dengan mudah menyanyikan lagu-lagu popular yang kerap didengarinya.

Kita sebagai ibu bapa perlu menggunakan pengetahuan ini sebaiknya dengan memberikan input yang baik untuk anak-anak ingati. Ajarkannya ABC, 123, Alif Ba Ta, doa-doa dan sebagainya untuk dihafal oleh anak-anak.

Cara yang paling mudah untuk mendidik melalui kaedah ini adalah dengan mengajar sesuatu secara bernyanyi. Ajarkan ABC melalui lagu, ajarkan juga Alif Ba Ta melalui lagu, atau ajarkan sifat-sifat terpuji melalui lagu. Ia bukan sahaja memudahkan anak-anak mengingati apa yang diajarkan... lebih utama melalui lagu-lagu ianya menjadikan sessi pembelajaraan itu menyeronokkan.

Anda tak pandai menyanyi? Suara tak sedap? Jangan khuatir. Pada anak-anak suara ibu dan bapanya adalah suara yang paling dia gemari. Kalau pun lagu yang anda nyanyikan tunggang terbalik melodinya... atau suara anda terlalu sumbang untuk didengari... buat anak-anak ianya menjadi satu hiburan dan medium menerima ilmu.

Jangan malu... kerana anda adalah guru terbaik buat anak-anak anda.

Akan datang saya akan kongsikan pula bagaimana menukar konsep hafalan kepada konsep
pemahaman untuk anak-anak.

Nota: Anda boleh mendapatkan idea lagu-lagu yang baik melalui CD/VCD seperti "
VCD Tilmiz Doa" atau "MTV Karaoke : Adikku Sayang" atau dari rancangan-rancangan kanak-kanak seperti Sesame Street dan sebagainya.


No comments: