Dapatkan secara eksklusif hanya di AdikBijak.com
http://www.adikbijak.com
Idea dan luahan akan hilang jika tidak dicatat dan direkodkan. Blog ini memberikan peluang untuk rakan-rakan AdikBijak.com mengimbas kembali Celoteh dan Lontaran Idea yang saya buat setiap bulan melalui Buletin AdikBijak.com. Dapatkan juga tips-tips mendidik anak cepat membaca di sini.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bulan Ramadhan yang mulia ini tanpa sedar telah hampir meninggalkan kita. Dan dalam masa tak beberapa hari lagi kita semua akan meraikan hari kebesaran dan kemenangan... kejayaan kita menghar
ungi cabaran dan menahan hawa nafsu sepanjang bulan yang penuh keberkatan. Mudah-mudahan kita semua akan dipanjangkan usia agar dapat lagi mengecapi kemanisan Ramadhan lagi. Apa pun kami sentiasa berdoa dan berharap semoga Ramadhan kali ini merupakan yang terbaik untuk kita semua.
Buat anak-anak yang mula belajar berpuasa... hari raya kali ini pastinya membawa makna yang lebih besar buat mereka. Tahniah kami ucapkan kepada anda yang berjaya melatih anak-anak kecil ini melalui satu cabaran yang cukup berat dan lebih utama mendidik mereka menghayati kelebihan bulan Ramadhan.
Kami di AdikBijak.com dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan walau di mana jua anda berada. Kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika sepanjang tahun lalu ada kata-kata kami yang menyentuh hati, tindak-tanduk kami yang tidak sedap dipandang atau khidmat mesra kami yang tidak mencapai tahap yang diinginkan. Di masa hadapan... jika ada kesilapan di pihak kami harap rakan-rakan dapat memberikan teguran dan nasihat agar AdikBijak.com akan menjadi lebih baik untuk semua.
Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada rakan-rakan semua yang terus menerus memberikan sokongan atas usaha kami ini. Bersamalah kita berdoa semoga AdikBijak.com akan terus kukuh dan dapat menyumbang ke arah kecemerlangan anak-anak melalui pendidikan di rumah.
Terima kasih juga kami ucapkan buat rakan-rakan yang menghantarkan ucapan Selamat Hari Raya kepada kami... samada melalui kad, email, SMS dan sebagainya. Kami amat-amat menghargainya. Kami memohon maaf kerana belum dapat membalasnya... semoga bingkisan ini dapat mengganti diri.
Sebagaimana tahun-tahun yang lalu... suka kami berpesan kepada rakan-rakan atas beberapa perkara berikut semasa musim perayaan ini:
Tips: Sebelum meninggalkan rumah bacalah Ayat Kursi ketika di dalam dan di luar rumah, ketika menutup pintu-pintu dan tingkap, dan ketika mengenakan kunci terakhir pada pintu pagar... seraya berdoa agar Allah melindungi kediaman anda semasa anda tiada. InsyaAllah, rumah anda akan terlindung dari perkara-perkara yang tidak diingini
Tips: Sebelum memulakan pemanduan pastikan anda dan semua penumpang di dalam kenderaan bersama-sama membaca Doa Naik Kenderaan. Pemandu sentiasa ada teman berbual. Dan cuba elakkan memandu pada waktu tengahari dan lewat malam (masa yang dikenal pasti ramai pemandu kerap hilang tumpuan)
Akhir kata Salam Keceriaan dan Keinsafan dari kami buat rakan-rakan semua. Semoga kita akan bertemu kembali selepas Hari Raya nanti.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin.
"SELANGKAH LEBIH BIJAK"
Ikhlas dari kami,
* SHARIMAN AZEZE OTOH
* ROSNITA KISAII
* NUR NATASHA AZEZE
dan KREW ADIKBIJAK.COM
Memulakan bicara ingin saya memohon maaf kepada rakan-rakan semua kerana teramat lama saya tidak menulis dan menghantar buletin AdikBijak.com. Ramai yang ternantikan buletin ini, terutamanya tips cepat membaca yang disiarkan bersamanya. Apakan daya atas beberapa sebab maka buletin tidak dapat saya tulis dan siarkan. Alhamdulillah, setelah selesai ujian akhir pengajian saya di universiti... maka ada sedikit kelapangan untuk saya menulis lagi.
Untuk siri kali ini ingin saya menyentuh tentang fenomena kita sebagai ibu bapa yang mensabotaj kejayaan anak-anak sendiri.
Sabotaj anak sendiri??? Takkanlah kita ibu bapa nak sabotaj anak-sendiri pula???
Kenapa... anda tak percaya? Ramai ibu bapa (termasuk saya dan suami... isk!!!), sebenarnya tanpa sedar melakukan sabotaj-sabotaj kepada kejayaan anak sendiri. Dalam pada kita menyangka kita melakukan perkara-perkara perlu untuk melihat anak berjaya... tanpa sedar perlakuan kita itulah menjadi antara penyebab kegagalan mereka. Mari kita lihat beberapa senario bagaimana fenomena ini mungkin berlaku, moga menjadi panduan dan pedoman untuk kita semua:
SENARIO 1: MEMBIMBING SEPARUH HATI
Seorang bapa yang perihatin kepada pelajaran anaknya telah menyuruh Si Anak untuk melakukan kerja sekolahnya, dan duduk disebelahnya agar beliau dapat memberikan tunjuk ajar kepada Si Anak. Sambil menantikan Si Anak menelesaikan tugasannya, Si Bapa tadi begitu tekun menonton siaran kegemarannya di kaca TV. Sedang kusyuk beliau menonton tiba-tiba Si Anak bersuara, "Ayah macam mana nak bahagi 99 dengan 8, yea?". Si Bapa tidak menyahut... lalu anak tadi mengulangi pertanyaannya. Si Bapa dengan nada terganggu, "Hai, kat sekolah cikgu tak ajar ke? Kalau tak faham kenapa tak rujuk buku teks! Ayah nak tengok TV pun tak boleh fokus lah!!!".
Moralnya di sini: Untuk kita lihat anak berjaya, bimbingan perlu diberikan dengan sepenuh hati. Buka sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita mungkin kurang faham dengan silibus yang dipelajari oleh anak kita di sekolah. Tetapi perhatian penuh yang kita berikan mampu memberikan semangat buatnya untuk melakukan yang terbaik. Ingat lagi ibu bapa kita dulu? Mereka mungkin tidak tahu apa itu ilmu Matematik, atau Geografi yang kita pelajari di sekolah, namun mereka sanggup bersengkang mata duduk dekat dengan kita menemani kita menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Hasilnya kita menjadi anak yang berjaya kini. Jadi... jika ingin anak kita juga berjaya... tangguhkan perkara-perkara lain dan tumpukan kepada anak kesayangan kita.
SENARIO 2: SOKONG MEMBAWA REBAH
"Hmmm... aku mesti pastikan kerja seni anak aku ni yang terbaik dalam kelasnya. Bila cikgu puji, anak aku mesti suka... dan aku pula tentunya menjadi ibu yang sanggat bangga... hihihi!", getus hati Puan Rita sambil bersungguh-sungguh menyiapkan rekaan anak patung dari kulit telur... sambil menjeling anak kesayangannya ralit bermain PS2.
Moralnya di sini: Sikap kita yang ingin melihat anak dipandang hebat di sekolah dengan cara menyelesaikan tugas yang telah diberikan guru merupakan perlakuan sabotaj yang amat terang sekali. "Kejayaan" kecil yang mungkin kita capai di sini, tanpa kita sedar, bakal menghantui (backfire) kita kembali di masa hadapan. Perlakuan ini akan menjadikan anak kita gagal berdikari, tidak punya keyakinan diri, malas dan terlalu bergantung kepada orang lain untuk melakukan pelbagai perkara untuk dirinya.
Adalah normal untuk setiap ibu bapa menginginkan anaknya menghasilkan sesuatu yang terbaik, tetapi ia haruslah dilakukan dengan cara membimbingnya dan bukan mengambil alih tugas anak. Bersama-sama si comel menyiapkan tugasannya tidak salah, tetapi seboleh mungkin kita meminimakan sumbangan kita, sebaliknya lebihkan tumpuan dalam berperanan sebagai jurulatih kepada si comel. Melalui cara ini anak akan membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran dan sebagai bonus... kerjasama ini akan mengeratkan lagi ikatan kasih sayang antara si comel dengan anda.
SENARIO 3: HARAPAN PALSU
Sebulan sebelum peperiksaan akhir si ayah telah berjanji kepada anaknya untuk membawanya bercuti ke luar negara jika anaknya itu berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Seminggu selepas peperiksaan akhir si anak dengan wajah berseri-seri telah menyerahkan buku laporan pencapaiannya. Hebat... si anak berjaya menduduki antara 5 tempat teratas di sekolahnya. Naluri kanak-kanak pastinya akan menuntut agar janji yang dibuat ditunaikan, namun harapannya berkecai bila si ayah memberikan pelbagai alasan... duit nak pakai untuk perbelanjaan masuk sekolah sessi depanlah, ayah belum gajilah, dan lain-lain. Si anak kecewa...
Moralnya di sini: Usah berjanji jika kita tidak berhasrat untuk memenuhinya. Memberikan harapan palsu mungkin mampu memberikan semangat buat anak kita bersungguh untuk mencapai kecemerlangan... namun sekali harapan itu kita khianati... mungkin selamanya kekecewaan itu tersemat di hatinya. Kita khuatir kekecewaan ini membawa kepada si anak mensabotaj kejayaannya sendiri. Padanya untuk apa berjaya jika kejayaan itu hanya akan memberikan kekecewaan. Untuk apa cemerlang jika kecemerlangan hanya akan mengundang kesedihan.
Hati-hatilah bila berjanji. Anak biar pun masih kecil... mereka juga punya perasaan dan harapan. Hormatilah perasaan dan harapan mereka dan jangan sesekali mengkhianatinya.
SENARIO 4: DOAKAN KEBURUKAN KE ATAS ANAK
Biasa terdengar dialog-dialog berikut atau kita sendiri pernah ucapkannya?
Moralnya di sini: Dalam pada kita berbual atau mengadu nasib kepada pihak lain (rakan, ahli keluarga, kaunselor dan lain-lain) seringkali kita menceritakan akan kelakuan atau sifat anak kita. Mungkin niat kita untuk memberikan deskripsi yang tepat agar pihak ketiga dapat memberikan pandangan yang bersesuaian. Adakala kita tokok tambah sini-sana sikit agar cerita lebih menarik. Tapi pernahkah kita sedar bahawa setiap percakapan dan ucapan yang keluar dari mulut kita terhadap anak merupakan satu doa?! Dan doa ibu bapa untuk anaknya akan sampai terus kepada Allah!!!
Istaghfirullah... apa dah kita ucapkan, ni?! Kita kata anak kita lembap, kita kata anak kita degil... keras kepala... nakal... tak berguna. Rakan-rakan semua... semua ucapan tu doa belaka. Khuatir jika Allah s.w.t memperkenankan semua doa-doa tersebut... dan kitalah punca kenapa anak kita tidak menjadi insan cemerlang.
Apa kata kita bermuhasabah diri dan kenal pasti bagaimana harus kita memperbetulkan diri kita, dan letakkan kembali peranan diri kita sebagai ibu bapa pada landasannya yang betul. Senario-senario di atas hanyalah sebahagian kecil yang sempat saya coretkan. Tentunya banyak lagi senario yang menyumbang kepada fenomena ibu bapa mensabotaj anak sendiri.
Rasulullah merupakan model ibu bapa terhebat. Kisah Luqman Al-Hakim yang terwahyu di dalam Al-Quran juga model seorang bapa yang cemerlang. Tidak perlu kita cipta ilmu keibubapaan yang baru... kerana Allah telah menyediakan dan RasulNya telah mempamerkan panduan yang jelas untuk kita ikuti. Kita cuma perlu belajar, faham dan amalkan... dan kita juga akan menjadi ibu bapa yang hebat juga, insyaAllah.
Maaf kerana panjang sungguh coretan saya kali ini. Itulah bila lama tak berbicara... rasa macam nak lepaskan semua yang terpendam dalam benak fikiran ini.
Apa pun saya dan krew AdikBijak.com ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas sokongan rakan-rakan semua. Kerana tanpa sokongan anda semua AdikBijak.com tentunya tidak akan dapat menempuh Ulang Tahun Ke-5 nya tahun ini. Dengan sokongan anda semua jugalah AdikBijak.com kini mempunyai hampir 12,000 ahli berdaftar. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih kepada semua kerana membantu kami menyebarkan misi AidkBijak.com untuk menyuburkan kembali peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sendiri di rumah.
Dan semalam, jika ada rakan-rakan yang membaca akhbar Harian Metro... misi kami ini telah mendapat liputan utama untuk sisipan "Hati" dengan topik "Anak Bijak". Alhamdulillah, moga-moga mesej yang kami bawa ini akan sampai kepada audien yang lebih luas lagi. Jika anda tidak kesempatan membaca di akhbar, anda juga boleh lagi membaca artikel tersebut secara online di myMetro [Klik Sini].
Akhir bicara, Ramadhan bakal akan tiba kurang dua minggu lagi, elok rasanya rakan-rakan semua mula menyediakan anak-anak dari segi emosi tentang puasa. Mula bercerita dengan mereka apa itu puasa, kelebihannya dan kenapa kita perlu berpuasa. Dengan emosi yang telah sedia, insyaAllah akan lebih mudah untuk kita mengajak anak-anak berpuasa nanti... lebih-lebih lagi buat anak-anak yang bakal berpuasa untuk kali pertama.
Selamat menyambut Ramadahan al-Mubaraq. Terima kasih semua 
Selangkah Lebih Bijak
Puan Rosnita
AdikBijak.com
Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:
Produk Sokongan Yang Dicadangkan: