Tuesday, May 27, 2008

Tips #24 :: Awal Membaca Dengan "a", "b" & "c"

AWAL MEMBACA DENGAN "a", "b" DAN "c"

Pada tips yang lalu (sila rujuk Tips #3) telah saya sentuh peri pentingnya anda memperkenalkan "bunyi" huruf dan bukan "nama" huruf. Kali ini akan saya sentuh pula satu persoalan yang mungkin tidak terlintas difikiran kita iaitu:

"Nak perkenalkan Huruf Besar atau Huruf Kecil dahulu?"

Bila kita mula melatih anak-anak membaca perkara yang paling asas yang akan kita ajarkan kepada anak-anak adalah huruf (atau juga dikenali sebagai abjad). Rata-rata kita akan memperkenalkan huruf besar dahulu atau huruf besar dan kecil serentak. Betul tak?

Oppsss... Berhenti...!!!

Pendekatan memperkenalkan huruf besar dahulu atau memperkenalkan kedua-dua jenis huruf serentak adalah pendekatan yang kurang tepat. Apa yang harus anda lakukan sebenarnya adalah memperkenalkan huruf kecil terlebih dahulu. Ada dua sebab utama kenapa pendekatan ini harus diambil iaitu:

  1. Huruf Kecil Lebih Kerap Digunakan : Dalam sistem penulisan biasa penggunaan huruf-huruf kecil adalah jauh lebih kerap berbanding huruf besar. Jika anda lihat naskah tips yang sedang anda baca ini pun anda akan dapati lebih 95% ditulis dengan menggunakan huruf kecil. Sedang huruf besar hanya digunakan dibeberapa tempat sahaja sepeti pada permulaan ayat.
  2. Huruf Kecil Mempunyai Bentuk Yang Lebih Berbagai : Manusia mengenali perkataan melalui bentuk gabungan huruf-huruf yang merupakan simbol-simbol dalam pelbagai bentuk. Huruf kecil bila di susun bersama akan membentuk satu paten yang unik yang akan dirakamkan oleh otak manusia untuk dikenali sebagai perkataan. Berbeza dengan huruf besar bila ianya disusun bersama tiada paten bentuk yang jelas terhasil.

Cuba kita lihat contoh berikut dan perhatikan perkataan yang mana lebih mudah anda baca?

perlembagaan atau PERLEMBAGAAN

Cuba satu contoh lagi:

kemasyarakatan atau KEMASYARAKATAN

Perkataan yang ditulis dalam huruf kecil mempunyai paten tinggi rendah yang mudah dirakam oleh otak. Sementara tulisan dalam huruf besar terlihat sebagai satu bentuk "segi empat tepat" walaupun pada dua perkataan berbeza.

tips24.jpg (28750 bytes)

Jelas? Alhamdulillah... Oleh itu mulakan dengan cara yang tepat dengan memperkenalkan huruf kecil terlebih dahulu... dan jangan lupa tips yang lalu iaitu... jangan perkenalkan "nama huruf" tetapi sebaliknya perkenalkan kepada anak "bunyi" huruf kecil tersebut.

InsyaAllah, dengan menguasai huruf-huruf kecil sahaja pun anak anda sudah mampu untuk menguasai skil membaca dengan baik.

Cubalah...!!!

1 comment:

bernard n. shull said...
This comment has been removed by a blog administrator.