Idea dan luahan akan hilang jika tidak dicatat dan direkodkan. Blog ini memberikan peluang untuk rakan-rakan AdikBijak.com mengimbas kembali Celoteh dan Lontaran Idea yang saya buat setiap bulan melalui Buletin AdikBijak.com.
Dapatkan juga tips-tips mendidik anak cepat membaca di sini.
Untuk meraikan Ulang
Tahun ke-7 AdikBijak.com dan Bulan Ramadhan yang bakal tiba,
kami telah menyediakan pelbagai pakej menarik yang boleh anda dapatkan pada harga sungguh
istimewa.
19 PAKEJ ISTIMEWA
Usah lepaskan peluang ini... kerana tawaran
ini hanya untuk masa terhad sahaja.
TIPS #36 :: DIDIK ANAK MEMBACA SEAWAL DALAM KANDUNGAN (BAH. 4 - AMALAN KEROHANIAN)
Tips kali ini saya garap dari buku Amalan Ibu Mengandung karangan Ustazah Dato' Siti Norbahyah Mahamood
Aktiviti
seharian kita, baik si ibu mahupun si ayah, akan memberikan pengaruh
langsung kepada anak yang dikandung. Ibu dan ayah yang sentiasa
melakukan amalan-amalan yang baik dan sihat akan membentuk sikap dan
watak yang baik dalam diri bayi yang dikandung. Sebaliknya ibu dan ayah
yang kerap bergaduh, melakukan maksiat atau perkara-perkara negatif
lainnya... bakal melahirkan seorang anak yang yang keras hati, sukar
belajar dan tidak mempunyai emosi yang stabil.
Mendidik
anak sejak dalam kandungan ada dirakamkan di dalam Al-Quran melalui
kisah Nabi Zakaria a.s. yang telah "dibisukan" oleh Allah selama tiga
hari ketika isteri baginda mengandungkan anak lelakinya. Menurut ulama
tafsir, proses ini berlaku adalah sebagai latihan kepada Nabi Zakaria
agar sentiasa berzikir, mengingati dan menyebut nama Allah... kerana
gelombang baik ini diperlukan bagi membentuk keperibadian anak yang
sedang dikandung yang mana bakal lahir dan dilantik pula menjadi nabi -
iaitu Nabi Yahya a.s.
Banyak
amalan baik yang boleh dan sangat kami galakkan buat ibu-ibu dan juga
para bapa amalkan agar zuriat yang bakal lahir dapat kita didik sedari
dalam kandungan. Contohnya, amalan membaca Al-Quran akan melahirkan
anak-anak yang bijak dan cerdas. Kawalan emosi ibu semasa mengandung
pula akan dapat membentuk bayi yang mempunyai jiwa dan emosi yang tenang
dan stabil. Sementara sikap suka bersedekah akan melembutkan hati
zuriat yang bakal lahir nanti.
Rakan-rakan inginkan bayi yang kurang menangis, mudah dididik dan ceria sentiasa?
Mulakan
untuk bersikap positif sentiasa, banyakkan melakukan amalan-amalan
soleh, juga lakukan senaman dan makanlah dari rezeki yang baik,
berkhasiat dan halal.
Nota: Kajian yang
dilakukan oleh Dr Rene Van De Carr pada tahun 1979 melalui percubaan
berkomunikasi dengan janin di dalam kandungan, beliau mendapati
komunikasi memberikan kesan terhadap pembentukan sikap dan emosi
janin-janin. Ini terbukti melalui pemerhatian perwatakan bayi-bayi setelah mereka lahir ke dunia.
Lama sungguh saya
tak berbicara melalui Buletin AdikBijak ni, kan? Pun begitu suka saya
ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang tetap menghubungi kami
samada melalui telefon, email dan juga blog (maaf AdikBijak belum ada
Facebook dan Twitter lagi... belum ada masa nak setup...hehehe). Terubat
juga rindu kami kepada rakan-rakan semua. Terima kasih.
Pada Ahad yang lalu
kita telah meraikan Hari Ibu. Ehem... sebenarnya untuk mengingati ibu ni
bukan tunggu hari-hari tertentu, tetapi perlu diingati setiap masa dan
setiap ketika. Yealah... ibu merupakan seorang insan yang tersangat
mulia sehinggakan seorang ibu telah diletakkan pada ranking ke-3 untuk kita semua taati selepas Allah dan Rasulullah.
Sesungguhnya menjadi
seorang ibu merupakan satu pengiktirafan dan anugerah yang sangat besar
yang Allah berikan kepada kita. Saya yakin rakan-rakan yang telah
menjadi ibu, dan bakal menjadi ibu dapat merasakan betapa nikmatnya
dipilih menjadi seorang ibu... betapa penuhnya rasa kasih di dalam
sanubari... dan betapa menggunung tingginya harapan yang terbuku di
dada. Sebab itu ada pepatah Arab yang berbunyi, "Seseorang itu tidak akan mengenal erti cinta sebenar sehinggalah dia mempunyai anak..."
Oppsss... pepatah ini ada sambungannya tau iaitu, "dan tidak akan kenal erti rehat untuk orang yang mempunyi anak".
Apa makna pepatah ini? Kurniaan zuriat kepada kita datang bersama rasa
dan perasaan cinta dan kasih sayang yang sangat hebat... pun begitu ia
juga datang dengan satu tanggungjawab yang tidak kurang hebat juga.
Kerana itu juga ibu-ibu semua, kita tidak cukup sekadar berperanan
sebagai ibu... tetapi kita mesti juga memikul tanggungjawab sebagai
seorang guru dan juga pendidik kepada anak-anak anugerah Allah ini.
Pendidikan perlu
dilakukan sejak dari dalam kandungan lagi... dan ia tidak akan berakhir
sehinggalah ajal memanggil kita. Oh yea... para ayah jangan rasa semua
tanggungjawab ni terpikul di bahu ibu-ibu sahaja yea. Sebagai pemimpin
anda perlu memainkan peranan untuk membentuk dan memandu keluarga
menjadi sebuah keluarga yang hebat dan diredhai Allah. Tugas mendidik
dan mengasihi anak-anak adalah tanggungjawab bersama.
Rakan-rakan yang saya hormati...
bila mendidik anak-anak didiklah mereka dengan ilmu dan iman
dan bila perlu mereka dimarahi, marahlah mereka dengan hikmah dan rahmah
dan jika perlu dihukum, hukumlah mereka dengan kasih dan sayang
Akhir kata di sini ingin saya mengucapkan Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Guru
untuk ibu-ibu dan para pendidik di seluruh dunia. Jasa dan pengorbanan
anda semua sangat besar dan hebat, dan hanya Allah sahaja yang berhak
dan mampu membalasnya.
Dikesempatan ini
juga ingin saya meminta rakan-rakan untuk menyedekahkan Al-Fatihah
kepada guru Al-Quran kami, Ustaz Mohd Akib yang baru sahaja kembali ke
rahmatullah pada hari Sabtu yang lalu. Jasa beliau amat besar dan
pastinya tidak akan mampu berganti. Kami bersyukur kerana sempat meraih
sedikit ilmu beliau, dan kami juga amat-amat berterima kasih kerana
kesudian beliau mendidik anak kami dalam bidang Tarannum Al-Quran. Moga
anak kami akan dapat menuruti jejak langkah anak-anak didik Ustaz Mohd
Akib yang telah berjaya (kedua-dua Qari dan Qariah Antarabangsa 2011).
Semoga bertemu lagi dalam buletin yang akan datang.
Selangkah Lebih Bijak Puan Rosnita AdikBijak.com
p/s:
Ada sedikit kami coretkan pencapaian terkini anak kami, Nur Natasha
Azeze di bidang Tarannum melalui blog AdikBijak. Nak baca kisahnya sila
klik DI SINI
Lama saya tak bercerita tentang anak kesayangan kami, Tasha…
kan? Kali terakhir kami cerita rasanya pada 2009 semasa beliau berjaya menjadi
Johan tilawah Al-Quran peringkat Kanak-Kanak anjuran syarikat Sapura Holdings.
Tapi lepas tu senyap… tanpa berita… hmmm… (klik untuk entry tersebut).
Hehehe… bukan tak mau cerita, tetapi tak banyak berita nak
dikhabarkan. Sepanjang dua tahun lebih ini Tasha lebih kami galakkan untuk
meningkatkan lagi kemahirannya di bidang ilmu Al-Quran (Tajwid, Tarannum,
Fasohah dan lain-lain), di bawah bimbingan Ustaz Samsuddin Abdullah (Guru
Tahsin Al-Quran N. Sembilan yang juga bekas Qari N. Sembilan di peringkat
kebangsaan). Sepanjang tempoh ini ada
juga Tasha kami dedahkan dengan beberapa ujian tilawah, bukan untuk kemenangan,
tetapi sekadar untuk mengukur tahap kemahirannya.
Kalau 2009 dulu, dengan
suaranya yang masih nyaring (al-maklum budak darjah 3), kini setelah usianya
menjejak 12 tahun (darjah 6 lah tu), pastinya banyak peningkatan yang boleh
rakan-rakan saksikan, bukan? Berikut adalah bacaan Tasha, semasa ujian akhir
Tilawah Al-Quran peringkat Daerah Seremban 2012 yang telah berlangsung pada 17
April 2012 lalu. Dengarkan…
Agak-agak boleh dapat nombor tak… yealah… ada tersangkut
pula pada penghujung bacaan? Alhamdulillah… pada tahun ini Tasha
berjaya menduduki tempat ke-2 bagi Kategori Remaja. Okay lah tu… lebh-lebih
lagi bilamana beliau perlu diuji bersama-sama peserta lain yang rata-ratanya
dari sekolah menengah (sekolah menengah agama lagi…). Sesungguhnya, Allah nak
Tasha dalami lagi ilmuNya.
Masih banyak yang perlu anak kami pelajari. Pencapaian yang
berperingkat-peringkat ini, kami harapkan akan terus membakar semangatnya untuk
terus mendalami ilmu Al-Quran. Pada kami kejayaan yang dicapai secara
bertahap-tahap adalah lebih baik berbanding kejayaan yang datang sepantas
kilat. Kami khuatir kejayaan yang telalu awal akan menjadikan Tasha leka pada
matlamat asal beliau kami hantar untuk mempelajari Al-Quran.
Beliau tidak kami
hantar belajar untuk pertandingan… tetapi kami hantar untuk mendalami ilmu
Al-Quran agar ilmu ini akan dapat beliau sampaikan kepada generasi akan datang. Moga satu masa nanti
Tasha mampu mencapai tahap seperti mana idolanya, Ustazah Syarifah Kasif, insyaAllah.