Showing posts with label Tips Cepat Membaca. Show all posts
Showing posts with label Tips Cepat Membaca. Show all posts

Sunday, May 20, 2012

Tips #36: Didik Anak Membaca Seawal Dalam Kandungan (Bah. 4 - Amalan Kerohanian)

TIPS #36 :: DIDIK ANAK MEMBACA SEAWAL DALAM KANDUNGAN (BAH. 4 - AMALAN KEROHANIAN)

Tips kali ini saya garap dari buku Amalan Ibu Mengandung karangan Ustazah Dato' Siti Norbahyah Mahamood



Aktiviti seharian kita, baik si ibu mahupun si ayah, akan memberikan pengaruh langsung kepada anak yang dikandung. Ibu dan ayah yang sentiasa melakukan amalan-amalan yang baik dan sihat akan membentuk sikap dan watak yang baik dalam diri bayi yang dikandung. Sebaliknya ibu dan ayah yang kerap bergaduh, melakukan maksiat atau perkara-perkara negatif lainnya... bakal melahirkan seorang anak yang yang keras hati, sukar belajar dan tidak mempunyai emosi yang stabil.

Mendidik anak sejak dalam kandungan ada dirakamkan di dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Zakaria a.s. yang telah "dibisukan" oleh Allah selama tiga hari ketika isteri baginda mengandungkan anak lelakinya. Menurut ulama tafsir, proses ini berlaku adalah sebagai latihan kepada Nabi Zakaria agar sentiasa berzikir, mengingati dan menyebut nama Allah... kerana gelombang baik ini diperlukan bagi membentuk keperibadian anak yang sedang dikandung yang mana bakal lahir dan dilantik pula menjadi nabi - iaitu Nabi Yahya a.s.


Banyak amalan baik yang boleh dan sangat kami galakkan buat ibu-ibu dan juga para bapa amalkan agar zuriat yang bakal lahir dapat kita didik sedari dalam kandungan. Contohnya, amalan membaca Al-Quran akan melahirkan anak-anak yang bijak dan cerdas. Kawalan emosi ibu semasa mengandung pula akan dapat membentuk bayi yang mempunyai jiwa dan emosi yang tenang dan stabil. Sementara sikap suka bersedekah akan melembutkan hati zuriat yang bakal lahir nanti.

Rakan-rakan inginkan bayi yang kurang menangis, mudah dididik dan ceria sentiasa?

Mulakan untuk bersikap positif sentiasa, banyakkan melakukan amalan-amalan soleh, juga lakukan senaman dan makanlah dari rezeki yang baik, berkhasiat dan halal.

Nota: Kajian yang dilakukan oleh Dr Rene Van De Carr pada tahun 1979 melalui percubaan berkomunikasi dengan janin di dalam kandungan, beliau mendapati komunikasi memberikan kesan terhadap pembentukan sikap dan emosi janin-janin. Ini terbukti melalui pemerhatian perwatakan bayi-bayi setelah mereka lahir ke dunia.


Untuk tips yang lebih banyak lagi silalah baca:

Monday, July 25, 2011

Tips # 36: Didik Anak Membaca Seawal Dalam Kandungan (Bah. 3 - Bercerita)

TIPS #36 :: DIDIK ANAK MEMBACA SEAWAL DALAM KANDUNGAN (BAH. 3 - BERCERITA)

Tips kali ini saya garap dari blog mentor saya, Puan Nik Ilyani (Pengasas Program Bacalah Anakku) di http://www.membaca.littleaulad.com

Bacakan pantun, buku cerita kanak-kanak atau cerita-cerita nabi dan cerita-cerita di dalam Al Quran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan pelbagai nada suara dan intonasi.


Kajian oleh Dr Anthony DeCasper daripada University of North Carolina, melaporkan bayi dalam kandungan lebih menggemari mendengar suara ibunya membacakan buku cerita berbanding dengan suara wanita lain. Yang lebih menakjubkan, Dr DeCasper mandapati bayi dapat mengingat kembali apa yang didengarnya semasa dalam kandungan dan suka mendengar cerita yang sama berulang kali setelah dilahirkan.


Atau anda juga boleh...

Ceritakan apa saja yang sedang anda lakukan sepanjang hari kepada bayi dalam kandungan. Amalan ini akan mengukuhkan ikatan kasih(bond) anda dengan anak. Oleh itu jangan anda lepas PELUANG untuk merangsang bayi anda semasa dalam kandungan. Pastikan amalan di atas dilakukan dengan penuh kasih sayang dan bukan dalam keadaan memaksa yang akan membawa stres kepada anda dan bayi.



Nota: Menurut kajian yang dipelopori oleh Dr Arnold Gisell daripada Yale University semenjak tahun 1940, bayi yang telah dirangsang semasa dalam kandungan menunjukkan perkembangan visual(penglihatan), auditori(pendengaran), linguistik(bahasa) dan motor(pergerakan) yang lebih baik serta mempunyai tahap kecerdasan(IQ) yang lebih tinggi. Bayi-bayi ini juga akan tidur dengan lebih baik, lebih peka kepada persekitaran, lebih yakin dan tenang serta mudah disusui.

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Monday, March 7, 2011

Tips # 35: Didik Anak Membaca Seawal Dalam Kandungan (Bah. 2 - Belaian)

TIPS #35 :: DIDIK ANAK MEMBACA SEAWAL DALAM KANDUNGAN (BAH. 2 - BELAIAN)

Tips kali ini saya petik dari blog mentor saya, Puan Nik Ilyani (Pengasas Program Bacalah Anakku) di http://cepatmembaca.blogspot.com

Belailah bayi dalam kandungan dengan mengusap daripada bawah perut ke pusat bermula 13 hingga 27 minggu. Daripada kepala ke jari kaki daripada 28 minggu. Usapan sebegini akan membantu perkembangan saraf-otot bayi.



Bercakap-cakap dan bisikkan harapan kita kepada bayi dalam kandungan dengan penuh kasih sayang. Belaian sebegini merupakan rangsangan yang akan membantu pembentukan jaringan di antara sel-sel otak (jaringan synapses). Lebih banyak jaringan maka lebih cerdiklah bayi kita. Amalan ini amat penting terutamanya setelah bayi yang dikandung berumur 8 bulan.


Rangsangan-rangsangan daripada kita, ibu, terutama pada bulan-bula terakhir akan memberi kesan kepada saiz otak dan tahap kecerdasan bayi yang masih dikandung.

Usapan ibu menenangkan dan menghiburkan... hatta buat bayi yang masih di dalam kandungan!!!


Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Tuesday, December 7, 2010

Tips # 34: Didik Anak Membaca Seawal Dalam Kandungan (Bah. 1 - Permakanan)

DIDIK ANAK MEMBACA SEAWAL DALAM KANDUNGAN (BAH. 1 - PERMAKANAN)

Setelah sekian lama saya kongsikan tips-tips melatih anak membaca yang umumnya sesuai untuk diaplikasikan bagi Si Comel yang berusia 1 tahun dan ke atas. Tetapi kali ini rasanya elok jika saya undur sedikit ke belakang (backtrack) dan kongsikan kepada rakan-rakan tips-tips yang boleh diamalkan sejak Si Comel berada dalam kandungan lagi agar bila beliau lahir kelak, Si Comel ini bakal lahir sebagai anak yang siap sedia dan bersemangat untuk belajar.

Untuk bahagian pertama ini suka saya kongsikan tentang peri pentingnya permakanan seimbang dan berkhasiat semasa ibu-ibu mengandungkan Si Comel.

Sel-sel otak Si Comel tumbuh dan berkembang dengan pesat pada 20 minggu pertama ia berada di dalam kandungan. Pada tempoh ini kira-kira 250,000 sel otak (neuron) akan terbentuk setiap minit. Protin yang baik amat diperlukan sepanjang tempoh ini bagi membantu pertumbuhan sel otak dan pembentukan saluran darah yang sempurna. Justeru itu amatlah penting buat ibu-ibu mengamalkan pemakanan yang kaya dengan protin seperti pengambilan kekacang, daging, telur dan sebagainya.

Di samping itu ibu-ibu mengandung juga perlu memastikan nutrisi lain yang seimbang seperti asid folic, zat besi, kalsium, vitamin A dan lain-lain diambil bagi memastikan Si Comel yang sedang dikandung menerima bekalan nutrisi yang lengkap bagi perkembangan menyeluruh yang sihat dan sempurna. Oh ya... jangan lupa untuk banyak meminum air semasa hamil kerana air akan dapat membantu melancarkan tubuh memproses dan mencernakan nutrisi dari makanan yang diambil.

Elakkan rokok (juga asapnya), juga pengambilan minuman alkohol (haram buat kita umat Islam). Hmmm... bukan sahaja semasa hamil, tetapi jauhilah buat selama-lamanya... hehehe. Kalau ada para bapa yang merokok tu... semasa si ibu mengandungkan anak pertama ni eloklah jadikan SEBAB UTAMA untuk hentikan terus tabiat merokok demi masa depan Si Comel ya!

Ringkasnya... janin yang sihat memerlukan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Bagi memastikan Si Comel yang bakal lahir nanti pintar dan cerdas... amalkanlah permakanan yang sihat! InsyaAllah... bila dah lahir nanti cukup mudah kita didiknya untuk cepat dan pintar membaca.

Jadi apa menu hari ini...???!!!

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Thursday, July 22, 2010

Tips # 33 :: Pilih Buku Sesuai Dengan Tabiat Anak

Pilih Buku Sesuai Dengan Tabiat Anak

Sering saya mendengar keluhan ibu bapa tentang anak-anak mereka yang hanya baca sesebuah buku sekali sahaja dan kemudian tidak ambil peduli lagi dengan buku-buku tersebut. Hasrat untuk menggalakkan anak membaca seakan terbantut, kerana jika ingin anak-anak terus membaca maka mereka perlu menyediakan bahan bacaan baru secara kerap. Ini tentunya memberikan sedikit tekanan dari segi kewangan kepada sebahagian daripada kita.

Ada pula anak-anak kita yang suka membaca sesebuah buku lagi dan lagi, adakalanya sehingga hampir lunyai buku tersebut. Kita sebagai ibu bapa tentunya terasa berbaloi sungguh dengan pelaburan yang dibuat.

Kita sebagai ibu bapa perlu mengenal pasti tabiat dan minat membaca anak-anak dengan memerhatikan perilaku mereka terhadap buku. Dengan mengetahui cara mereka ini maka kita boleh menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan tabiat dan minat mereka, dan memastikan pelaburan yang kita buat benar-benar bernilai.

Buat anak-anak yang kurang gemar mengulang sesebuah buku, bahan bacaan seperti majalah berpendidikan kanak-kanak (contohnya Majalah Aulad dan Celik) yang diterbitkan secara berkala merupakan pilihan yang ideal untuk mereka. Dengan melanggan majalah-majalah ini anak-anak akan mendapat bahan bacaan baru secara tetap setiap bulan (pada kos yang rendah), seraya terus membakar minat mereka untuk terus membaca.

Buat anak-anak yang suka membaca buku berulang kali pula, dapatkan buku-buku yang lebih berisi seperti kompilasi cerita-cerita pendek, buku panduan dan motivasi, atau novel ringan untuk kanak-kanak. Bacaan berulang membantu meningkatkan pemahaman mereka tentang kandungan buku tersebut atau meningkat/mengekalkan motivasi diri.

Pun begitu ibu bapa perlulah sesekali mempelbagaikan bahan bacaan agar mereka tidak terlalu terikat kepada satu genre bacaan sahaja, dan mendedahkan mereka kepada sumber ilmu yang lebih pelbagai.

Buatlah Pilihan Bijak...!!!

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Monday, March 22, 2010

Tips #32 :: Pesta Membaca

PESTA MEMBACA

Untuk menanamkan minat sukan kepada anak-anak... kita akan kerap membawa mereka berkunjung ke stadium, valedrom dan seumpamanya.Untuk menanamkan minatnya kepada bidang sains dan teknologi, Petrosains dan Pusat Sains Negara pastinya lokasi terbaik untuk dikunjungi.

Untuk menanamkan minat membaca pula... nak bawa ke mana ya?

Dalam Tips Cepat Membaca Siri 18 lalu pernah saya sentuh tentang "Perpustakaan" yang merupakan lokasi terbaik dalam menyemai minat membaca dalam diri anak-anak. Suasananya yang tenang dan kondusif sangat ideal bagi mencapai matlamat ini.

Tetapi ada satu tempat lagi yang harus anda kunjungi bersama-sama anak-anak. Tempat di mana anak-anak akan dapat lihat bahawa membaca juga mempunyai peminatnya yang sangat ramai, adakalanya fanatik dan tidak kurang meriah dan riuh-rendah berbanding pesta hiburan sepeti Jom Heboh.

Apa tempat itu? Tidak lain dan tidak bukan adalah PESTA BUKU... contonya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) yang tahun ini merupakan pesta edisi ke 29nya.

KLIBF dan pesta-pesta buku seumpamanya mendedahkan kepada anak-anak anda suasana yang sangat berbeza berbanding suasana di dalam perpustakaan. Di pesta seperti ini anak-anak akan lihat bahawa peminat buku bukan sekadar golongan pelajar (pengunjung utama perpustakaan), tetapi ia merangkumi pelbagai peringkat umur, bangsa, dan latar belakang pendidikan.

"Kegilaan" ribuan manusia mengerumuni buku-buku tidak dapat tidak akan mempengaruhi persepsi anak-anak terhadap buku. Mereka tentunya akan dapat merasakan bahawa buku adalah suatu yang hebat dan diminati ramai, dan membaca itu pula adalah aktiviti yang hebat juga.

Kepelbagaian rangkaian buku yang berbagai bentuk, warna warni dan topik pasti dapat memancing rasa minat si comel untuk memiliki sebuah buku dan seterusnya ingin mengetahui isi kandungannya (melalui pembacaan).

Kata orang tak kenal maka tak cinta. Justeru itu dedahkanlah anak-anak kepada dunia buku yang hebat. InsyaAllah mereka juga akan menjadi pencinta ilmu yang hebat satu hari nanti.


Kuala  Lumpur International Book Fair29th KL  International Book Fair
19 - 28 MAC 2010

Saturday, August 22, 2009

Tips #30 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 3 - Bunyi Huruf)

TIPS #30 :: TEKNIK ASOSIASI BUNYI DAN PERBUATAN (BAHAGIAN 3 - BUNYI HURUF)

Bersambung lagi dari Tips #28 dan #29...

Pada rakan-rakan yang dah bersama kami sejak awal dulu... ingat lagi tak dengan tips bertajuk "Belajar Melalui Hafalan"? Tak mengapalah kalau tak ingat... buat anda dan rakan-rakan yang baru, boleh rujuk kembali tips tersebut di Blog AdikBijak.com dan semak Tips #2 (http://adikbijak.blogspot.com/2007/02/tips-cepat-membaca-siri-ii.html).

Tips kali ini ada kaitan dengan tips #2 tersebut di mana anda akan menggunakan skil semulajadi si comel tu untuknya mengajarnya mengenali dan mengingati bunyi-bunyi (fonik) huruf. Teknik kali ini adalah melalui nyanyian

Saya percaya semua ibu-ibu di AdikBijak.com akan bersetuju dengan saya yang antara perkara yang paling cepat di"tangkap" atau diikuti oleh anak-anak kita sejak dari awal adalah... lagu-lagu... betul, tak? Berbanding perkara-perkara lain yang kita ajarkan... lagu atau sesuatu yang diajarkan secara bernyanyi akan lebih cepat diingati oleh si comel. Ini kerana lagu atau nyanyian tampak lebih menyeronokkan, ceria, berirama dan biasanya berulang-ulang... yang memudahkan kita menarik perhatian anak-anak, dan mudah pula untuk si comel untuk mengajuk dan mengikutinya. Kalau kita lihat dari sudut saintifik pula pendidikan melalui kaedah nyanyian ini akan merangsang kedua-dua bahagian otak kanak-kanak iaitu bahagian logik dan bahagian kreatifnya... mungkin atas sebab itulah (al-maklum saya bukan saintis... jadi pandai-pandai buat hipotesis sendiri) pelajaran lebih mudah diserap kerana keupayaan otak digunakan sepenuhnya semasa anak-anak belajar.

Mengambil kesempatan dari pengetahuan ini kita boleh memperkenalkan fonik-fonik huruf kepada anak-anak melalui nyanyian. Ada boleh reka sendiri lagu tersebut, atau tiru dari rancangan di televisyen, atau paling mudah boleh gunakan lagu yang telah disediakan dalam set "Abu Ada Ayam"

Contohnya yang saya ambil dari lirik lagu "Abu Ada Ayam":

Abu Ada Ayam... A... A... A...

Ular Usik Ulat... U... U... U...

Bobo Main Bola... B... B... B...

... (dan seterusnya)

Nyanyian ini jika anda gabungkan sekali dengan aksi-aksi seperti yang telah saya sentuh dalam Tips #29, akan meningkatkan lagi keberkesanan dan tahap penerimaan anak-anak kepada apa yang kita ajarkannya. Dengan gabungan kaedah ini anak-anak akan menerima ilmu yang diajar melalui hampir kesemua deria yang dimiliknya... sentuh... lihat... dengar.

Apa... Malu nak nyanyi kat anak? Hehehe... apa nak dimalukan. Walau serak-serak basah mana pun suara kita ni, kepada anak-anak andalah Diva Rock mereka. Suara anda merupakan suara yang paling menenangkan dan menyenangkan buat telinga dan jiwa mereka.

Jom cuba... kalau nak panduan lebih lanjut boleh rujuk set "Abu Ada Ayam" atau "Cory Cat" (bahasa Inggeris). Boleh dengar dan lihat sendiri bagaimana Tips #30 ini boleh diaplikasikan dengan berkesan kepada si comel.

Selamat beramal...

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Sunday, May 31, 2009

Tips #29 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 2 - Bunyi Huruf)

TEKNIK ASOSIASI BUNYI DAN PERBUATAN (BAHAGIAN 2 - BUNYI HURUF)

Okay... kita sambung dari tips #28 yang lalu.

Bunyi-bunyi huruf tentunya akan lebih mudah diingati oleh kanak-kanak bila mana ianya kita kaitkan dengan sesuatu benda, perbuatan atau kejadian. Kita sebagai orang dewasa pun begitu jugakan?!

Bunyi "AAA" contohnya... kalau kita perkenalkan semata-mata tanpa diasosiasikan dengan sesuatu tentu agak sukar untuk diingati. TETAPI bila bunyi "AAA" ini kita kaitkan dengan bunyi orang menjerit terkena air panas atau api... maka... "AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA... Panasnya" ...!!!

Cepat melekat bunyi tersebut dalam otak, kan? Bila kita tanya si comel kalau orang kena api apa dia jerit... tanpa fikir panjang anak anda akan segera menjerit... "AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA"...!!!

Setiap fonik-fonik (bunyi) huruf boleh diperkenalkan melalui asosiasi benda, perbuatan atau kejadian. Tentunya fonik yang berbeza akan mempunyai aktiviti yang berbeza juga. Pada tips kali ini saya akan bagi dua contoh sahaja. Untuk "AAA" saya dah sentuh... saya bagi satu lagi iaitu memperkenalkan bunyi "III".

Sebelum itu suka saya tekankan di sini yang aksi yang anda lakukan mestilah dibuat dengan penuh bersungguh. Bila sebut "AAA Panas" tu... jeritlah macam orang yang betul-betul tengah kepanasan. Jangan jerit ala malu-malu... tak berkesan dan tak mencapai objektif nanti.

Untuk bunyi "III" pula anda akan buat aksi cuba menggeletek anak anda.

Cuba lakukan yang berikut:

Langkah 1: Gunakan jari telunjuk anda dan mula gerak-gerakkannya sambil ditujukan ke ketiak anak anda. Gerakkan secara perlahan dan mengacah sedikit.

Langkah 2: Sambil anda lakukan Langkah 1... bunyikan "I I I I I I I I I I I I I I I I I I I I I ". Dan terus cucuk jari anda ke celah ketiak anak anda... dan katakan "I I I... Geli laa"

Langkah 3: Ulang Langkah 1 dan 2 untuk beberapa kali.

Langkah 4: Minta anak anda pula cuba laku perkara yang sama kepada anda

Teknik yang saya tunjukkan di atas masih lagi teknik untuk melatih kanak-kanak belajar menyebutkan bunyi dengan tepat dan betul. Anda belum lagi sebenarnya memperkenalkan huruf kepadanya.

Untuk contoh yang lebih banyak (dalam bentuk video) bagi foniks-foniks lain... anda boleh tonton dan pelajarinya melalui VCD Kursus Kaedah Mengajar Bacalah Anakku yang didemonstrasikan sendiri oleh para pengasa program Bacalah Anakku.

Selamat mencuba...!!!

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Sunday, April 12, 2009

Tips #28 :: Teknik Asosiasi Bunyi & Perbuatan (Bah. 1 - Bunyi Huruf)

TEKNIK ASOSIASI BUNYI DAN PERBUATAN (BAHAGIAN 1 - BUNYI HURUF)

Tahap penumpuan kanak-kanak amatlah singkat. Mereka tidak seperti orang dewasa yang boleh memberikan perhatian yang panjang atas sesuatu perkara atau aktiviti. Justeru itu tempoh fokus mereka yang singkat itu perlu dimanafaatkan dengan sebaiknya dan dengan cara yang betul agar pembelajaran dapat berjalan semaksimanya walau untuk jangka masa yang singkat.

Perhatian anak-anak perlu kita tarik dahulu sebelum kita cuba mengajarkannya sesuatu. Untuk bahagian pertama ini ingin saya sentuh cara yang betul memperkenalkan bunyi huruf kepada kanak-kanak. Teknik ini sesuai digunakan untuk kanak-kanak berusia 3 tahun dan ke bawah.

Cuba lakukan yang berikut:

Langkah 1: Katakan kepada si comel... "Sayang hari ini Ummi nak perkenalkan satu bunyi. Sayang nak dengar tak bunyi tu?". Pada peringkat ini tujuan anda adalah untuk menarik perhatian si kecil

Langkah 2: Letakkan jari anda dan halakan ke bibir dan katakan pula... "Cuba sayang lihat mulut Ummi ni. Bunyi yang Ummi nak bagi tahu ialah...." Pastikan anak memandang kepada mulut anda sebelum meneruskan ayat anda.

Langkah 3: Sambung dan sebutkan bunyi yang ingin anda ajarkan... contohnya "UUU". Pada peringkat ini pastikan anda sebut bunyi tersebut dengan gaya yang betul dan penuh bersemangat (sila rujuk VCD yang disertakan bersama-sama Set Bacalah Anakku sebagai panduan cara menyebut bunyi huruf dengan tepat)... dan pastikan anak anda melihat ke mulut anda semasa anda menyebutnya.

Langkah 4: Ulang Langkah 2 dan 3 untuk beberapa kali.

Langkah 5: Minta anak anda cuba menyebut bunyi yang baru dipelajarinya.

Langkah 6: Ajarkan satu jenis bunyi sahaja untuk satu-satu masa dan setkan tempoh belajar tersebut untuk 5 - 10 minit sahaja. Bila si comel dah dapat menguasai bunyi tersebut... bolehlah anda perkenalkan bunyi yang lain pula pada sessi seterusnya.

Teknik yang saya tunjukkan di atas adalah teknik untuk melatih kanak-kanak belajar menyebutkan bunyi dengan tepat dan betul. Anda belum lagi sebenarnya memperkenalkan huruf kepadanya. Tetapi lebih untuk melatih otot mulut dan kotak suaranya.

Untuk tips akan datang akan saya sentuh pula bagaimana latihan sebutan huruf ini dapat diperkukuhkan lagi melalui aksi-aksi lakonan dan lagu-lagu.

Selamat mencuba...!!!

Produk Sokongan Yang Dicadangkan:

Wednesday, February 18, 2009

Tips #27 :: Belajar Membaca Melalui Pendekatan Multisensory

BELAJAR MEMBACA MELALUI PENDEKATAN MULTISENSORY

Melatih dan mendidik anak-anak untuk membaca tidak memadai dengan menggunakan buku atau bahan-bahan bercetak sahaja. Ini kerana kemahiran membaca boleh dibentuk melalui pendekatan, kaedah dan medium yang berbagai. Rangsangan yang diberikan kepada pelbagai deria yang ada (sentuh, pandang, dan dengar) akan meningkatkan dan mempercepatkan pemahaman anak-anak kepada asas-asas kemahiran membaca.

Untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik seseorang kanak-kanak itu sekurang-kurangnya perlu dirangsang deria pandang dan deria dengarnya. Ini kerana melalui deria pandang anak-anak akan kita perkenalkan dengan bentuk-bentuk huruf... sementara deria dengar pula memberikan maklumat bunyi (fonik) huruf yang dilihatnya. Dalam banyak kes... membenarkan anak-anak merasa atau menyentuh bentuk-bentuk huruf (melalui keratan huruf atau huruf yang dibentuk menggunakan tanah liat contohnya) akan memperkukuhkan lagi apa yang dilihat dan didengarinya.

Bolehkah ketiga-tiga deria ini dirangsang serentak?

Boleh... Caranya mudah sahaja. Sebagai contoh... katakan anda menggunakan kad imbas yang mempunyai bentuk-betuk huruf yang jelas dan terang. Ambil 1 atau 2 kad (suka saya cadangkan bermula dengan mana-mana huruf vokal iaitu a, e, i, o, u) dan tunjukkan kepada anak anda sambil anda bunyikan fonik huruf tersebut (bunyikan foniknya ya... bukan "nama" huruf...!!!). Kemudian pegang tangan anak anda dan halakan telunjuknya pada huruf tersebut dan gerakkan mengikut bentuknya... sambil itu bunyikan sekali lagi fonik huruf tersebut.

Ulang latihan di atas beberapa kali. Untuk lebih menarik dan tidak membosankan anak, anda boleh lakukan sambil menyanyikan lagu-lagu fonik yang menghiburkan.

Cubalah...!

Untuk lebih mudah suka saya cadangkan anda menggunakan produk "ABU ADA AYAM" yang telah disusun khusus untuk aktiviti-aktiviti seperti di atas. Di dalamnya terkandung kad-kad imbas dan CD lagu-lagu fonik yang menyeronokkan... juga disertakan sebuah buku mewarna sebagai latihan pengukuhan.

Monday, November 24, 2008

Tips #26 :: Komunikasi Awal Asas Keyakinan Membaca

KOMUNIKASI AWAL ASAS KEYAKINAN MEMBACA

Anak-anak yang baru lahir memang lumrahnya mula melihat sekelilingnya dengan penuh minat. Antara perkara utama yang dipelajarinya ialah bahasa dan ucapan orang-orang di sekelilingnya.

Oleh itu ibu bapa haruslah bercakap dengan anak-anak mereka! Dalam satu kajian yang dibuat di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu, ibu bapa di KL hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama 7 minit seminggu! Bayangkan...

Oleh sebab itulah kanak-kanak yang lambat dapat bercakap berpunca, di antaranya, daripada kurangnya komunikasi di antara ibu bapa dengan mereka pada usia kecil. Kesannya, anak-anak ini akan belajar berbahasa dengan bahasa rakan mereka atau bahasa yang dipertontonkan melalui program-program TV yang berupa kartun dan sebagainya.

Bahasa rojak ini tidak membantu membina kemahiran berbahasa mereka dan akan menyebabkan mereka kurang keyakinan apabila berbahasa atau apabila belajar membaca nanti. Oleh itu bercakaplah dengan anak-anak menggunakan bahasa yang baik, jelas dan santun

Permulaan yang betul pastinya membuahkan hasil yang baik!!!

(Nota: Tips ini dipetik dan diadaptasi dari laman web ReadNetwork)

Monday, September 1, 2008

Tips #25 :: Buku Tanpa Cerita

BUKU TANPA "CERITA"

Bila memperkatakan tentang buku kanak-kanak pasti akan segera terbayangkan di dalam minda kita sebuah buku yang mempunyai gambar-gambar terang dan menarik dan disertai dengan tulisan-tulisan yang memberikan cerita kepada buku tersebut. Tetapi ada sejenis lagi buku kanak-kanak yang mana di dalamnya hanya mempunyai gambar... dan tidak mengandungi sebarang cerita langsung.

Buku jenis ini dikenali sebagai "first touch" atau "playbook" yang mana matlamat utama buku seperti ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada bayi dalam mengenali buku dan berinteraksi dengannya. Contoh buku seumpamnya adalah buku "Bouncy Lamb" yang ada terdapat di laman AdikBijak.com.

Melalui buku ini anda akan memperkenalkan kepada bayi apa itu buku. Dengan setiap hari anda merujuk kepada objek tersebut sebagai "buku" atau "book" anak anda akan mula mempelajari apakah yang dikatakan buku itu. Buku playbook ini memberikan pengalaman yang menyeronokkan buat bayi kerana melaluinya si comel akan dapat menyentuh, bermain, menggigit dan berinteraksi dengannya.

Untuk meningkatkan lagi keseronakkan kepada si comel, rekalah cerita-cerita berdasarkan gambar yang ada. Mimik muka dan nada suara pelbagai yang anda buat tentu akan menjadikan sessi mengenali buku ini menjadi lebih dinantikan si comel.

Pengalaman awal yang mengembirakan ini bakal menanamkan minat dan cinta yang mendalam dan berpanjangan kepada buku, dan insyaAllah minat ini akan terus dibawanya sehingga dewasa.

Jom bermula awal. Usah terlewat...!!!

Tuesday, May 27, 2008

Tips #24 :: Awal Membaca Dengan "a", "b" & "c"

AWAL MEMBACA DENGAN "a", "b" DAN "c"

Pada tips yang lalu (sila rujuk Tips #3) telah saya sentuh peri pentingnya anda memperkenalkan "bunyi" huruf dan bukan "nama" huruf. Kali ini akan saya sentuh pula satu persoalan yang mungkin tidak terlintas difikiran kita iaitu:

"Nak perkenalkan Huruf Besar atau Huruf Kecil dahulu?"

Bila kita mula melatih anak-anak membaca perkara yang paling asas yang akan kita ajarkan kepada anak-anak adalah huruf (atau juga dikenali sebagai abjad). Rata-rata kita akan memperkenalkan huruf besar dahulu atau huruf besar dan kecil serentak. Betul tak?

Oppsss... Berhenti...!!!

Pendekatan memperkenalkan huruf besar dahulu atau memperkenalkan kedua-dua jenis huruf serentak adalah pendekatan yang kurang tepat. Apa yang harus anda lakukan sebenarnya adalah memperkenalkan huruf kecil terlebih dahulu. Ada dua sebab utama kenapa pendekatan ini harus diambil iaitu:

  1. Huruf Kecil Lebih Kerap Digunakan : Dalam sistem penulisan biasa penggunaan huruf-huruf kecil adalah jauh lebih kerap berbanding huruf besar. Jika anda lihat naskah tips yang sedang anda baca ini pun anda akan dapati lebih 95% ditulis dengan menggunakan huruf kecil. Sedang huruf besar hanya digunakan dibeberapa tempat sahaja sepeti pada permulaan ayat.
  2. Huruf Kecil Mempunyai Bentuk Yang Lebih Berbagai : Manusia mengenali perkataan melalui bentuk gabungan huruf-huruf yang merupakan simbol-simbol dalam pelbagai bentuk. Huruf kecil bila di susun bersama akan membentuk satu paten yang unik yang akan dirakamkan oleh otak manusia untuk dikenali sebagai perkataan. Berbeza dengan huruf besar bila ianya disusun bersama tiada paten bentuk yang jelas terhasil.

Cuba kita lihat contoh berikut dan perhatikan perkataan yang mana lebih mudah anda baca?

perlembagaan atau PERLEMBAGAAN

Cuba satu contoh lagi:

kemasyarakatan atau KEMASYARAKATAN

Perkataan yang ditulis dalam huruf kecil mempunyai paten tinggi rendah yang mudah dirakam oleh otak. Sementara tulisan dalam huruf besar terlihat sebagai satu bentuk "segi empat tepat" walaupun pada dua perkataan berbeza.

tips24.jpg (28750 bytes)

Jelas? Alhamdulillah... Oleh itu mulakan dengan cara yang tepat dengan memperkenalkan huruf kecil terlebih dahulu... dan jangan lupa tips yang lalu iaitu... jangan perkenalkan "nama huruf" tetapi sebaliknya perkenalkan kepada anak "bunyi" huruf kecil tersebut.

InsyaAllah, dengan menguasai huruf-huruf kecil sahaja pun anak anda sudah mampu untuk menguasai skil membaca dengan baik.

Cubalah...!!!

Wednesday, April 16, 2008

Tips #23 :: Latihan Asas Meningkatkan Tumpuan Anak

LATIHAN ASAS MENINGKATKAN TUMPUAN ANAK

Umumnya kanak-kanak mempunyai daya penumpuan yang sangat singkat ke atas sesuatu objek, permainan atau peristiwa yang berlaku di hadapannya. Perhatian mereka mudah teralih kepada perkara-perkara lain yang berlaku di sekitarnya. Kepada kebanyakan ibu bapa ini memberikan satu cabaran yang cukup hebat terutama semasa kita cuba melatihnya melakukan sesuatu yang memerlukan tumpuan yang lebih... seperti melatihnya untuk belajar membaca.

Kerap kita dengar keluhan ibu-ibu seperti, "susah betul nak ajar dia membaca. Baru duduk tak sampai 5 minit dia dah lari buat benda lain"

Daya penumpuan kanak-kanak sebenarnya boleh dilatih dan ditingkatkan sedari awal dengan memberikan rangsangan-rangsangan yang betul. Contohnya untuk bayi yang sudah mampu duduk dan bermain... memberikan permainan seperti "Padanan Bentuk" melatihnya memberikan tumpuan yang lebih kepada permainan tersebut. Ini kerana melalui permainan ini si kecil perlu melakukan percubaan-percubaan berulang kali untuk memasukkan objek-objek yang dipegangnya ke dalam bekas mengikut bentuk lubang yang disediakan.

Latihan seperti ini bukan sahaja melatih dan menggalakan perkembangan skil motor dan koordinasinya... ia juga secara tidak langsung melatih si kecil untuk melakukan sesuatu aktiviti dan memberikan tumpuan kepada aktiviti tersebut untuk tempoh yang lebih lama. Persediaan awal seperti ini pasti memberikan faedah besar buat si anak (dan juga anda) bilamana si kecil ini sudah sedia untuk dilatih belajar membaca nanti. Ini kerana latihan membaca memerlukan perhatian dan penumpuan yang lebih dari kanak-kanak.

Penting untuk diberikan perhatian ialah... pastikan aktiviti yang dijalankan mestilah dalam suasana ceria, santai... dan penuhi dengan kata-kata pujian dan galakan buat si kecil tersayang.

Selamat mempraktikkannya...!!!

Monday, March 17, 2008

TIPS #22 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca (Bah. III)

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA (BAH III)

Kita sambung lagi dari tips yang lalu...

Apabila minat kepada buku sudah tertanam di dalam diri anak-anak... tugas untuk kita melatihnya membaca akan menjadi lebih mudah. Dengan menggunakan buku cerita yang sama, secara perlahan-lahan, anda mula menarik perhatian si kecil kepada tulisan-tulisan yang ada pada buku cerita tersebut. Ini tidak bermakna anda boleh mula "membaca", ya. Belum lagi...

Pada peringkat ini apa yang boleh anda lakukan adalah menarik perhatian anak anda kepada frasa-frasa tertentu di dalam cerita tersebut. Contohnya anda boleh berkata...

"Hmmm... apa agaknya si arnab ni cakap ya? Mari kita tengok apa dia kata di sini", sambil anda menunjukkan kepada frasa ayat yang menunjukkan dialog "si arnab" tadi. Cara ini memberitahu si kecil yang sebuah buku bukan hanya mengandungi gambar sahaja... tetapi ada "objek" lain yang juga menyampaikan cerita kepadanya.

Kemudian anda bacakan satu persatu patah perkataan dalam dialog tersebut dengan nada suara yang sesuai sambil jari anda menunjukkan kepada setiap perkataan terbabit.

Sebagai tambahan anda pilih satu atau dua perkataan yang sering berulang dalam buku tersebut. Dan semasa bercerita kepada anak anda tarik perhatiannya kepada perkataan tersebut. Contohnya dalam kisah "Arnab dengan Kura-Kura" anda mungkin pilih perkataan "arnab". Setiap kali terjumpa perkataan ini anda tunjukkan dengan cari anda.

Setelah beberapa kali... anda bertanya pula kepada anak anda apakah perkataan yang sedang anda tunjuk. InsyaAllah, anak anda akan lekas menjawab... "ARNAB!!!". Tahniah...!!! Anak anda telah dapat membaca perkataan pertamanya!!!

Pendekatan ini adalah pendekatan yang dikenali sebagai Kata Kunci (Key Words) di mana kanak-kanak belajar membaca dengan mengenali bentuk-bentuk perkataan. Antara set yang terkenal menggunakan kaedah ini dalam mendidik kanak-kanak membaca adalah siri Key Words With Ladybird.

Buku-buku yang dicadangkan:

Tuesday, February 19, 2008

TIPS #21 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca (Bah. II)

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA (BAH II)

Pada bulan yang lepas telah saya sentuh bagaimana untuk anda bermula memperkenalkan buku kepada anak-anak dan seterusnya menanamkan minat untuk membaca di dalam diri mereka. Kali ini menyambung kepada tips tersebut... tugas bercerita kini kita serahkan pula kepada si comel.

Setelah melalui beberapa sessi bercerita dengan anak anda, dan jika anda telah melakukannya dengan baik (cthnya bercerita dengan penuh keceriaan dan nada suara yang menghiburkan), anda akan lihat yang si kecil kesayangan anda ini begitu berminat untuk menyampaikan "cerita" versi dirinya pula. Beliau akan kelihatan sering menyampuk cerita anda... atau ingin segera ke muka surat kegemarannya... atau dari awal lagi telah memilih buku yang diingininya.

Pada peringkat ini anda perlu memainkan peranan dengan memberikan galakan kepada si kecil untuk mengembangkan imaginasinya. Benarkan dia "bercerita" dan anda main peranan sebagai pendengar yang responsif (active listener). Cuba seboleh mungkin pandu penceritaannya agar sentiasa berkait dengan gambar-gambar atau cerita di dalam buku tersebut dengan sesekali bertanyakan sesuatu tentang cerita yang sedang di sampaikannya.

Usah cuba memperbetulkan cerita anak anda... biarkan imaginasinya berkembang luas. Walau aneh atau tidak masuk akal sekalipun ceritanya... teruskan peranan anda sebagai pendengar yang baik.

Aktiviti ini merupakan antara langkah-langkah awal dalam menanamkan minat anak anda terhadap buku. Dan dalam tips akan datang akan saya sentuh bagaimana pula melalui aktiviti ini anda dapat mula memperkenalkan perkataan-perkataan asas kepada anak anda.

Buku-buku yang dicadangkan:

Sunday, January 13, 2008

TIPS #20 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA

Saya kerap diajukan permasalahan dari ibu-ibu (juga para bapa) yang mengadukan perihal sukarnya untuk menarik minat anak-anak membaca. Keluhan seperti, "anak saya tumpuan dia singkat sangat, baca sekejap je dia dah tak mau", atau "anak saya susah betul nak diajak membaca, dia lebih suka tonton TV atau main games"... adalah antara keluhan yang sering kedengaran.

Tanpa minat kepada buku ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk anda mengajak anak-anak membaca atau mengajarnya membaca. Anda perlu lakukan beberapa langkah berikut bagi menimbulkan minat anak-anak kepada buku:

  • Cetuskan rasa ingin tahunya terhadap apa yang terkandung di dalam buku
  • Semaikan rasa seronok dan cinta kepada buku
  • Tanamkan rasa tanggungjawab ke atas buku
  • Suburkan perasaan dahagakan ilmu
  • Galakannya untuk menyampaikan kepada orang lain apa yang dipelajari dari buku

Banyak cara untuk anda mencapai objektif-objektif di atas. Antara cara terawal yang boleh anda lakukan adalah memulakannya dengan cara "bercerita" kepada anak-anak dan bukannya "membaca" kepada mereka. Perbezaan antara "bercerita" dengan "membaca" adalah bercerita lebih bersifat interaksi dua hala di mana anda akan cuba menyampaikan maklumat dengan gaya bahasa dan informasi teringkas yang dirasakan sesuai dan dapat diterima oleh anak. Sedang membaca pula anda lebih terikat kepada apa yang tertulis di dalam buku... yang isinya mungkin sukar difahami oleh anak.

Jika saya tanyakan anda... yang mana anda lebih suka... mendengar orang bercerita atau membaca sendiri buku cerita? Saya yakin anda lebih suka mendengar cerita, kan? Semua orang suka mendengar cerita... begitu juga dengan anak-anak kita.


Ambilah sebuah buku yang mempunyai gambar-gambar yang ceria dan menarik. Dan berceritalah kepada anak anda berdasarkan gambar-gambar tersebut dengan menggunakan alunan suara yang menarik dan gaya mimik muka yang berbagai. Anda pasti dapat melihat sinar dari mata-mata anak-anak yang bulat dan segar terpancar ceria mendengarkan anda bercerita kepadanya.

Akan saya sentuh kaedah-kaedah lain dalam edisi akan datang. Jangan lupa amalkan ya...!

Monday, December 31, 2007

TIPS #19 :: Pasir... Doh... dan Batang Ais-Krim

PASIR... DOH... DAN BATANG AIS-KRIM

Hmmm... apa pula kena mengena Pasir, Doh dan Batang Ais-Krim dengan belajar membaca? Musykil bukan? Yealah... bila sebuat fasal membaca kita pasti sentiasa mengaitkannya dengan buku... atau bahan-bahan bercetak yang seumpamanya.

Untuk melatih anak-anak membaca buku (atau kad imbas atau yang seumpamanya) bukanlah satu-satunya sumber atau bahan yang boleh kita gunakan. Bahan-bahan yang ada di sekeliling kita juga boleh diguna pakai untuk melatih anak-anak membaca.

Contohnya... semasa bercuti dan berehat di pantai anda boleh melarikkan huruf-huruf atau sukukata di atas pasir untuk disebut bunyinya oleh anak anda. Atau galakkannya membentukkan huruf yang bunyinya "beh", atau "ceh" (dan lain-lain) dengan menggunakan batu-batu atau kulit-kulit kerang.

Begitu juga dengan batang-batang ais-krim... setelah isinya enak dinikmati... jangan pula batangnya dibuang. Kumpulkan dan jadikannya sebagai bahan untuk anda dan anak anda membentuk huruf-huruf darinya.

Dan jika di dapur pula... sedang sibuk si comel tu "membantu" anda menguli tepung... ambillah sedikt doh dan bentukan menjadi huruf. Pinta anak anda sebutkan bunyi huruf yang baru sahaja anda bentuk. Nak lebih best lagi... doh yang dah dibentuk tadi... kekalkan dan masak bersama adunan lain. Anda akan lihat betapa terujanya si comel tadi menunjukkan "aaa" atau "uuu" yang baru dimasak kepada ayahnya. Dan bila disuap ke mulut dia pasti akan menyebutkan kembali bunyi-bunyi huruf yang sedang dimakannya.

Aktiviti yang pelbagai ini akan menjadikan proses belajar membaca sebagai suatu yang menceria dan menyeronokkan. Terlalu stereotaip dalam mendidik anak membaca akan menjadikannya cepat bosan... malah benci kepada aktiviti membaca dan buku.

Eh... donat bentuk "beh" tadi siapa makan ya? Hehehe.

Monday, November 19, 2007

TIPS #18 :: Jom Ke Perpustakaan

JOM KE PERPUSTAKAAN. ..!!!

Orang kata kalau nak ajar berenang bawalah ke air, dan kalau nak ajar memanjat bawa pula ke gunung. Dalam mengasuh minat anak-anak terhadap buku dan membaca... antara cara yang paling berkesan adalah dengan membawa mereka ke tempat di mana buku merupakan fokus dan suasana utama. Jika di rumah bahan-bahan bacaan mungkin terhad, masa yang digunakan ahli keluarga untuk membaca juga mungkin terbatas, dan suasana di rumah juga mungkin tidak begitu kondusif dalam menanamkan minat membaca... maka perpustakaan adalah tempat yang paling tepat untuk mereka.

Di perpustakaan suasana "cinta buku" menjadi tema utama. Anak-anak bila mula melangkah sahaja ke dalam sebuah perpustakaan pastinya akan rasa teruja dengan suasana yang begitu tenang di sana. Ia pasti jauh berbeza dengan suasana di rumah atau tempat-tempat tumpuan awam lain yang lebih sibuk dan bingit. Setiap sudut dan ruang pula pasti akan ada orang yang duduk membaca... dan suasana seperti ini tentunya menimbulkan rasa ingin tahu anak-anak kenapa buku begitu mengasyikkan mereka.

Rangkaian buku yang banyak di perpustakaan memberikan peluang untuk anak-anak meneroka pelbagai topik yang memenuhi minat dan citarasa mereka. Sama ada anak anda berminat tentang Sains, Permotoran, Tumbuh-Tumbuhan, Kartun (Seni), Angkasa dan apa sahaja, insyaAllah mereka akan dapat menemui sebuah atau lebih buku yang dapat memenuhi rasa ingin tahu mereka.

Di perpustakaan juga, selain buku, ada menyediakan kemudahan dan aktiviti lain yang sangat berfaedah seperti Sesi Bercerita, Makmal HiperMedia, Sudut Eksplorasi dan macam-macam lagi... yang telah disusun bagi meningkatkan lagi minat anak-anak kepada ilmu dan buku.

Bawalah anak-anak ke perpustakaan pada setiap hujung minggu, cuti persekolahan atau bila-bila masa sahaja yang anda dan anak-anak rasakan sesuai. Kunjungan ke perpustakaan tentunya boleh menjadi aktiviti sekeluarga yang berfaedah.