Showing posts with label Secebis Bicara. Show all posts
Showing posts with label Secebis Bicara. Show all posts

Monday, January 28, 2013

TAHNIAH BUAT PERMATA HATI UMMI...

Syukur alhamdulillah kerana Allah terus menyuburkan minat dan memekarkan bakat puteri kesayangan kami, Nur Natasha Azeze, dalam bidang Tarannum Al-Quran. Sebagai persediaan untuk ujian diperingkat Daerah dan Negeri pada bulan Mac dan April 2013 nanti... Tasha sudah mula mempamerkan peningkatan dalam tahap penguasaannya di bidang Tajwid, Tarannum, Suara dan Fasohah.

Alhamdulillah pada ujian tilawah peringkat Kelas Tahsin Al-Quran bagi Daerah Seremban baru-baru ini Tasha telah berjaya menempatkan diri di tempat pertama.


Terima kasih kami kami ucapkan kepada Guru Tahsin Al-Quran Negeri Sembilan, Ustaz Samsuddin Abdullah, yang telah mendidik Tasha sejak dari usia 7 tahun lagi. Tidak juga dilupakan arwah Ustaz Mohd Akib, Ustaz Nik Azizan, Ustaz Amirrahman, Ustazah Suraya dan lain-lain yang telah sama-sama membentuk puteri kami hingga ke tahap ini.

Moga pencapaian Tasha ini akan memberikan inspirasi kepada anak-anak, para remaja dan kita semua untuk lebih mendekati Al-Quran dan mendalami ilmu Al-Quran yang sangat indah dan luas ini. Amin...

Sunday, September 9, 2012

Ummi & Ayah Doakan Tasha Berjaya... AMIN!!!


N - Nur Natasha Azeze... bersediahlah puteriku untuk berjuang
U - UPSR ini bakal menjadi medan tempurmu yang pertama
R - Ruang jaya sudah rindu menantimu... untuk kau bersemayam di sana

N - Namun usah kau lupa pesan Ayah, pesan Ummi juga pesan Gurumu
A - Anugerah gemilang hanya boleh kau raih dengan usaha
T - Tanpa rasa jemu, tanpa rasa putus asa
A - Asahkan penamu agar dapat membidik tajam... penuh yakin
S - Sulami juga dengan solat, doa dan munajat... kerana
H - Hanya Allah sebaik-baik penentu kejayaanmu
A - A dalam dakapan mu, bukan satu... tetapi LIMA, insyaAllah

A - Ayah dan Ummi akan terus berdoa untuk kejayaan mu
Z - Zuriat yang telah kami tatang bagai minyak yang penuh
E - Engkaulah harapan kami... Kejayaanmu bakal dinanti
Z - Zon peperiksaan kini di hadapan mu
E - Engkau tempuhlah dengan yakin... dan tawakkal kepadaNya

Kepada rakan-rakan pembaca semua, mohon sama-sama mendoakan kejayaan puteri kami dalam mengharungi peperiksaan UPSR pada 11 - 13 Sep 2012 ini. Moga-moga Allah menganugerahkannya dengan kejayaan yang paling cemerlang... Amin...

Tuesday, May 15, 2012

ENGKAULAH IBU... ENGKAULAH GURU...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua,


Lama sungguh saya tak berbicara melalui Buletin AdikBijak ni, kan? Pun begitu suka saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang tetap menghubungi kami samada melalui telefon, email dan juga blog (maaf AdikBijak belum ada Facebook dan Twitter lagi... belum ada masa nak setup...hehehe). Terubat juga rindu kami kepada rakan-rakan semua. Terima kasih.

Pada Ahad yang lalu kita telah meraikan Hari Ibu. Ehem... sebenarnya untuk mengingati ibu ni bukan tunggu hari-hari tertentu, tetapi perlu diingati setiap masa dan setiap ketika. Yealah... ibu merupakan seorang insan yang tersangat mulia sehinggakan seorang ibu telah diletakkan pada ranking ke-3 untuk kita semua taati selepas Allah dan Rasulullah.

Sesungguhnya menjadi seorang ibu merupakan satu pengiktirafan dan anugerah yang sangat besar yang Allah berikan kepada kita. Saya yakin rakan-rakan yang telah menjadi ibu, dan bakal menjadi ibu dapat merasakan betapa nikmatnya dipilih menjadi seorang ibu... betapa penuhnya rasa kasih di dalam sanubari... dan betapa menggunung tingginya harapan yang terbuku di dada. Sebab itu ada pepatah Arab yang berbunyi, "Seseorang itu tidak akan mengenal erti cinta sebenar sehinggalah dia mempunyai anak..."

Oppsss... pepatah ini ada sambungannya tau iaitu, "dan tidak akan kenal erti rehat untuk orang yang mempunyi anak". Apa makna pepatah ini? Kurniaan zuriat kepada kita datang bersama rasa dan perasaan cinta dan kasih sayang yang sangat hebat... pun begitu ia juga datang dengan satu tanggungjawab yang tidak kurang hebat juga. Kerana itu juga ibu-ibu semua, kita tidak cukup sekadar berperanan sebagai ibu... tetapi kita mesti juga memikul tanggungjawab sebagai seorang guru dan juga pendidik kepada anak-anak anugerah Allah ini.

Pendidikan perlu dilakukan sejak dari dalam kandungan lagi... dan ia tidak akan berakhir sehinggalah ajal memanggil kita. Oh yea... para ayah jangan rasa semua tanggungjawab ni terpikul di bahu ibu-ibu sahaja yea. Sebagai pemimpin anda perlu memainkan peranan untuk membentuk dan memandu keluarga menjadi sebuah keluarga yang hebat dan diredhai Allah. Tugas mendidik dan mengasihi anak-anak adalah tanggungjawab bersama.

Rakan-rakan yang saya hormati...
  • bila mendidik anak-anak didiklah mereka dengan ilmu dan iman
  • dan bila perlu mereka dimarahi, marahlah mereka dengan hikmah dan rahmah
  • dan jika perlu dihukum, hukumlah mereka dengan kasih dan sayang

Akhir kata di sini ingin saya mengucapkan Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Guru untuk ibu-ibu dan para pendidik di seluruh dunia. Jasa dan pengorbanan anda semua sangat besar dan hebat, dan hanya Allah sahaja yang berhak dan mampu membalasnya.


Dikesempatan ini juga ingin saya meminta rakan-rakan untuk menyedekahkan Al-Fatihah kepada guru Al-Quran kami, Ustaz Mohd Akib yang baru sahaja kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu yang lalu. Jasa beliau amat besar dan pastinya tidak akan mampu berganti. Kami bersyukur kerana sempat meraih sedikit ilmu beliau, dan kami juga amat-amat berterima kasih kerana kesudian beliau mendidik anak kami dalam bidang Tarannum Al-Quran. Moga anak kami akan dapat menuruti jejak langkah anak-anak didik Ustaz Mohd Akib yang telah berjaya (kedua-dua Qari dan Qariah Antarabangsa 2011).

Semoga bertemu lagi dalam buletin yang akan datang.

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com


p/s: Ada sedikit kami coretkan pencapaian terkini anak kami, Nur Natasha Azeze di bidang Tarannum melalui blog AdikBijak. Nak baca kisahnya sila klik DI SINI

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:
   

Monday, April 30, 2012

Permata Ummi... Melangkah Lebih Jauh

Assalammualaikum semua…

Lama saya tak bercerita tentang anak kesayangan kami, Tasha… kan? Kali terakhir kami cerita rasanya pada 2009 semasa beliau berjaya menjadi Johan tilawah Al-Quran peringkat Kanak-Kanak anjuran syarikat Sapura Holdings. Tapi lepas tu senyap… tanpa berita… hmmm… (klik untuk entry tersebut).

Hehehe… bukan tak mau cerita, tetapi tak banyak berita nak dikhabarkan. Sepanjang dua tahun lebih ini Tasha lebih kami galakkan untuk meningkatkan lagi kemahirannya di bidang ilmu Al-Quran (Tajwid, Tarannum, Fasohah dan lain-lain), di bawah bimbingan Ustaz Samsuddin Abdullah (Guru Tahsin Al-Quran N. Sembilan yang juga bekas Qari N. Sembilan di peringkat kebangsaan).  Sepanjang tempoh ini ada juga Tasha kami dedahkan dengan beberapa ujian tilawah, bukan untuk kemenangan, tetapi sekadar untuk mengukur tahap kemahirannya.

Kalau 2009 dulu, dengan suaranya yang masih nyaring (al-maklum budak darjah 3), kini setelah usianya menjejak 12 tahun (darjah 6 lah tu), pastinya banyak peningkatan yang boleh rakan-rakan saksikan, bukan? Berikut adalah bacaan Tasha, semasa ujian akhir Tilawah Al-Quran peringkat Daerah Seremban 2012 yang telah berlangsung pada 17 April 2012 lalu. Dengarkan…



Agak-agak boleh dapat nombor tak… yealah… ada tersangkut pula pada penghujung bacaan? Alhamdulillah… pada tahun ini Tasha berjaya menduduki tempat ke-2 bagi Kategori Remaja. Okay lah tu… lebh-lebih lagi bilamana beliau perlu diuji bersama-sama peserta lain yang rata-ratanya dari sekolah menengah (sekolah menengah agama lagi…). Sesungguhnya, Allah nak Tasha dalami lagi ilmuNya.

Masih banyak yang perlu anak kami pelajari. Pencapaian yang berperingkat-peringkat ini, kami harapkan akan terus membakar semangatnya untuk terus mendalami ilmu Al-Quran. Pada kami kejayaan yang dicapai secara bertahap-tahap adalah lebih baik berbanding kejayaan yang datang sepantas kilat. Kami khuatir kejayaan yang telalu awal akan menjadikan Tasha leka pada matlamat asal beliau kami hantar untuk mempelajari Al-Quran. 


Beliau tidak kami hantar belajar untuk pertandingan… tetapi kami hantar untuk mendalami ilmu Al-Quran agar ilmu ini akan dapat beliau sampaikan kepada generasi akan datang. Moga satu masa nanti Tasha mampu mencapai tahap seperti mana idolanya, Ustazah Syarifah Kasif, insyaAllah.

Wednesday, December 8, 2010

Tanam Azam atau Kuburkan Azam?

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua,

Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1432 buat semua rakan-rakan AdikBijak.com. Apa agaknya azam tahun baru kali ini yea? Hmmm... azam tahun lepas bagaimana pula... sudahkah tertunai?

Tiap kali menjelang tahun baru, baik tahun Hijrah mahu pun tahun Masihi... masing-masing tidak dapat tidak akan menanamkan azam untuk mencapai sesuatu atau untuk merubah sesuatu dalam hidup. Ada yang suka mewar-warkan tentang azam tahun barunya (di blog, facebook, radio dsbnya)... dan tidak kurang juga yang lebih selesa meluahkannya di dalam hati (jika tak tertunai tiada siapa yang tahu... hehehe...syyyh!!!).

Malangnya ramai yang saban tahun "menanam" benih azam... tetapi "terlupa" tentang benih yang telah disemai tadi. Ia tidak dibaja dan tidak diairi. Bila hujung tahun baru tersedar dan teringat kembali tentang azam yang telah ditanam pada awal tahun lalu. Haiii... mungkin ramai tersilap konsep agaknya dalam matlamat sebenar kita menanam azam. Sebab itu ramai yang lakukan MENANAM = MENGUBURKAN iaitu lepas tanam terus tinggal dan lupakan. Sedangkan matlamat sebenar adalah MENANAM=MENYEMAI di mana azam ini perlu dijaga rapi, dibajai dan dilindungi agar ia dapat tumbuh subur dan akhirnya menghasilkan buah yang diingini (BUAH = KEJAYAAN).

Menanam azam juga tidak seharusnya dilakukan secara semberono (sembarangan). Apa saja yang terlintas dalam benak kita... itulah azam. Atau apa sahaja yang teringin dek nafsu kita... itulah azam kita. Bukan... bukan... bukan!!!

Pakar-pakar Sistem Pengurusan telah lama menggariskan panduan yang baik untuk kita ikuti dalam membentuk azam dan matlamat yang tepat iaitu melalui konsep S.M.A.R.T yang merujuk kepada:

S - Specific
M - Measurable
A - Attainable
R - Realistic
T - Timely

Saya taklah nak ulas berkenaan konsep ini secara mendalam. Untuk belajar tentangnya boleh buat carian di Google dan masukkan kata carian "S.M.A.R.T Goal". Ringkasnya melalui pendekatan ini kita diminta untuk memikirkan dengan teliti apa matlamat yang ingin kita capai dan tanyakan diri sendiri samada matlamat/azam tersebut mampu untuk kita usaha dan capai dalam tempoh masa yang diingini.

Contoh azam yang dibuat secara suka-suka:

"Tahun 2011 ni aku nak ajar Si Aiman pandai membaca"

Bandingkan pula azam yang dibuat dengan mengaplikasikan konsep S.M.A.R.T:

"Saya akan latih Aiman untuk pandai membaca dalam masa 6 bulan melalui kaedah fonetik dengan menggunakan set Bacalah Anakku. Saya akan luangkan minima 30 minit setiap hari untuk melaksanakan azam ini"

Haaa... banyak bezakan kedua-dua azam di atas? Walau pun kedua-duanya ingin mencapai satu matlamat yang sama, tetapi azam kedua memberikan halatuju yang lebih khusus dan meletakkan komitmen kepada diri sendiri untuk mencapainya.

Ingin saya tambahkan satu lagi element yang tidak disentuh melalui konsep S.M.A.R.T di atas iaitu elemen "B - Believe". Dalam melaksanakan azam kita perlu PERCAYA yang kita boleh dan mampu mencapainya. Kita mesti PERCAYA sebelum kita boleh BERJAYA. Dengan menanamkan elemen ini kita akan setkan mood dan pola pemikiran kita ke arah kejayaan.

Hmmm... mungkin AdikBijak boleh daftarkan konsep baru iaitu konsep "B-SMART"... hahaha!

Masih belum terlewat untuk rakan-rakan menyemak semula azam yang baru disemai dan bentukkannya kembali agar menjadi azam yang berpotensi. Mulakan tahun baru ini dengan "Menyemai" azam yang berkualiti dan tinggalkan amalan "Menguburkan" azam seperti yang biasa kita lakukan.

Jadi... sila ambil kertas dan mula coretkan azam tahun baru anda... jom!!!


Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Monday, March 22, 2010

Sayangi Anak Mu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Rakan-Rakan AdikBijak,

Hari ini genap sudah 10 tahun usia anak kesayangan kami, Nur Natasha Azeze. Suara tangis dan gelaknya ketika bayi masih lagi tengiang-ngiang. Lembut pejal pipinya yang montok serasa masih lagi hangat di hujung jari jemari kami. Bayi montel yang keletah, sudah mula meninggalkan dunia kanak-kanaknya rupanya... dan kini mengorak langkah menuju alam remaja.Ya Allah... pantas sungguh masa berlalu.

Indah sungguh sepuluh tahun yang telah kami lalui. Mendidik, melatih, menunjuk ajar dan membimbing Tasha selama ini, walau adakala bersulam pening kepala dan tahap kesabaran yang teruji ke tahap maksima... merupakan pengalaman yang tidak ternilai buat kami yang telah Allah amanahkan untuk menjadi ibu dan bapa kepadanya. Segala puji buat Mu Ya Allah kerana telah memberikan kami peluang ini.

Anak merupakan anugerah yang tersangat istimewa buat siapa sahaja di dunia ini. Baik untuk makhluk yang bergelar insan, juga buat haiwan, serangga dan makhluk-makhluk lainnya. Buat kita yang bergelar ibu dan bapa... nyawa sanggup dipertaruhkan demi si comel yang teristimewa.

Pun begitu amat menyedihkan bilamana ada yang tidak mahu menghargai anugerah Allah ini. Bayi comel yang tidak berdosa sanggup dipersia. Anak kecil yang belum mengerti apa-apa pula dipukul dan diseksa. Mereka ini tidak layak bergelar ibu atau bapa... malah mereka tidak pun layak untuk bergelar manusia!

Rakan-rakan yang kami kasihi. Anak-anak adalah AMANAH Allah untuk kita. Mereka juga adalah ujian buat kita untuk melihat sejauh mana kita mampu menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Usah sesekali berputus asa dalam mendidik dan membimbing si comel untuk menjadi insan yang berguna. Jangan pula lekas berlepas tangan dan kecewa, kerana tugas kita sebagai ibu dan bapa merupakan tugas sepanjang hayat.

Cabaran untuk kita sebagai ibu bapa pada hari ini jauh berbeza berbanding cabaran yang pernah dilalui oleh ibu dan ayah kita dahulu. Anak-anak kita kini terasak dengan pengaruh dan suasana yang sangat hebat... dan kita sebagai mentor mereka perlu menyediakan anak-anak dengan perisai yang kukuh agar mereka dapat membina hidup sebagai insan yang cemerlang. Ilmu keibu bapaan yang kita warisi dari ibu dan ayah kita belum tentu cukup untuk membimbing mereka. Justeru itu kita perlu terus terusan memperkasakan diri kita dengan kaedah dan pengetahuan baharu... dan berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang jitu.

Di mana nak bermula??? Apa kata saya cadangkan yang paling asas dahulu iaitu... melatih anak untuk menjadi insan bertakwa bermula dengan memberikan mereka makanan, minuman, dan keperluan lainnya dari sumber rezeki yang bersih, baik dan halal. Apa yang nak kita suapkan ke mulut mereka mestilah bebas dari sebarang sumber yang keji dan syubahah. Ini kerana setiap yang masuk ke dalam tubuh anak-anak itu akan menjadi darah dan dagingnya. Dan antaranya adalah hati. Hati yang terbentuk dari sumber yang baik pasti akan menjadi tempat iman bertakhta... namun hati yang kotor hanya layak untuk dikuasai nafsu.

Fikirkan sejenak sebelum menyuapkan makanan ke mulut si comel... "Bersihkah rezeki yang mahu aku suapkan ini?!"

Hmmmm... dekat 3 bulan saya tak berceloteh terasa banyak perkara nak dicoretkan. Tapi takut panjang sangat pula nanti... dan mula melalut-lalut... lagi membosankan. Mulanya tadi nak tulis fasal topik "Percaya Untuk Berjaya" atau "Demi Masa", tapi yang bersarang dalam kepala isu lain pula, lebih-lebih lagi lepas tonton kes buang bayi di berita tv sebentar tadi. Tak mengapalah... insyaAllah topik tersebut akan saya sentuh pada bulan mendatang.

Apa pun saya sebenarnya sangat seronok sebab dapat menulis lagi. Terasa kembali dekat dengan rakan-rakan semua. Errmm... rakan-rakan semua sihat? Hehehe... mudah-mudahan semua di bawah naungan rahmat Allah hendaknya.

Doakan agar saya ada kelapangan lagi untuk terus berceloteh. Dan doakan juga agar anak kami akan menjadi muslimah yang solehah dan pelajar yang cemerlang, dan bakal terus memperjuangkan agama, negara dan bangsanya. Amin...

Kita berbicara lagi nanti...

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Sunday, May 31, 2009

Tahniah... AdikBijak.com Kini Berusia 4 Tahun...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Pejam celik... pejam celik... menapak setahun lagi dah usia AdikBijak.com. Alhamdulillah, dengan berkat doa dan bantuan rakan-rakan semua, yang bersama-sama kami mengembangkan usaha untuk menghidupkan lagi peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sendiri di rumah, AdikBijak.com kini mempunyai hampir 10,000 orang ahli berdaftar yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Ada yang bertanya... AdikBijak.com tak ada rancangan ke nak buat sambutan makan-makan ke... perjumpaan ke...?

Hehehe... hajat hati kami tu memang ada. Malah teringin sangat nak buat perjumpaan dengan rakan-rakan semua, lebih-lebih lagi setelah perjumpaan Hari Raya tahun lalu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Rindu nak jumpa dengan rakan-rakan. Apakan daya tahun ini jadual kami semakin ketat dan padat. Cuba-cuba juga nak cari ruang kelapangan... tetapi belum lagi berjumpa masa yang sesuai. InsyaAllah akan kami usahakan agar sekurang-kurangnya perjumpaan Aidil Fitri dapat diadakan nanti.

Jika awal tahun ini saya mula mengajar kembali di tadika (sila rujuk Buletin lalu untuk cerita lanjut)... bulan Mei ini saya pula yang belajar balik. Hehehe... dah tua-tuan ni belajar apa lah pulak yea?

Untuk pengetahuan rakan-rakan bermula bulan ini saya kembali menjalani hidup sebagai pelajar. Yuppp.. saya sambung belajar kembali. Bukan sepenuh masa lah... tapi ambil kelas masa hujung minggu. Saya sambung belajar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di salah sebuah IPTA.

Jadual harian dah sedia ketat... semakin bertambah ketatlah nampaknya... isk!!! Emmm... tapi bak kata orang tua-tua... alah bisa tegal biasa. Semangat untuk memajukan diri di samping sokongan dari keluarga tercinta, juga tidak lupa juga doa dari rakan-rakan semua, saya yakin saya pasti akan dapat mengharunginya dengan penuh jaya.

Ingat lagi tak celoteh saya pada bulan lalu berkaitan ibu bapa perlu berilmu? Haaa... saya perasan bila saya mula belajar kembali ia telah secara langsung merangsang anak perempuan saya untuk semangat belajar. Biasanya kita akan membebel pada anak supaya dia belajar lah... dapat markah bagus lah... buat kerja rumah lah... TAPI... dia lihat kita duk relaks jer. Camne dia nak semangat belajarkan?!! Tetapi bila anak saya lihat umminya sendiri sibuk belajar macam dia... dia ada role model untuk diikut. Semangat saya dan anak semakin membara lagi lebih-lebih lagi bila si ayah (aka CyberAzeze) mencabar untuk melihat siapa dapat skor paling baik... hehehe...

Rakan-rakan tak perlu lah daftar sambung belajar semata-mata untuk jadi role model kepada anak-anak (tapi kalau nak memajukan diri... silakan... amat digalakkan). Dengan sama-sama duduk membaca dengan anak-anak, berbincang dan membimbing anda pasti akan dilihat oleh anak-anak sebagai sumber rujukan dan guru buat mereka di rumah. Usah biarkan mereka belajar sendirian... sedang kita seronok layan rancangan di televisyen.

Buatkan jadual di rumah agar anda, anak-anak dan keluarga dapat menjalankan pelbagai aktiviti sihat bersama. Belajar atau membaca bersama, menonton dan beriadah bersama, juga tak kurang penting adalah solat dan makan bersama-sama.





Minggu ini merupakan minggu akhir anak-anak bersekolah sebelum memulakan cuti semester yang agak panjang (dua minggu). Sudahkah rakan-rakan merancang program-program untuk mengisi masa cuti yang panjang ini buat anak-anak???

Ambillah cuti barang 3 - 4 hari dan bawalah mereka bercuti ke tempat-tempat yang menyeronokkan. Suasana riang bersama keluarga ini bukan sahaja akan mengeratkan ikatan kasih sayang... tetapi juga merupakan masa yang sangat sesuai dan effektif buat kita mendidik, mengasuh dan menasihat anak-anak agar menjadi insan yang soleh dan solehah... emmm.. nasihat ni bukan datang dari saya semata... tetapi berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w (pernah saya ulas dalam Buletin yang lalu... lupa pula edisi yang mana).

Cukup dululah celoteh saya kali ini. Banyak tugasan nak kena siapkan nih... hehehe. Esok ada satu eksperimen nak kena buat kat tadika... jadi kena sediakan bahan-bahan dan perancangan.

Akhir kata ingin saya dan keluarga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada kami. Doakanlah agar AdikBijak.com akan terus maju dan berkembang demi mencapai misi utama kami; Menghidupkan kembali peranan ibu bapa dalam mendidik sendiri anak-anak di rumah.

Jangan lupa pesanan saya... JOM PERGI BERCUTI!!!

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:

Monday, June 16, 2008

Didikan Awal Sempurna Suatu "Penjimatan" Jangka Panjang

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Adik Bijak,

Lepas masalah kekurangan gula... minyak masak pula menyusul... kemudian tepung... dan kini penyakit tersebut berjangkit pula kepada beras. Lepas ini apa pula ya? Hairan juga bila kita fikirkan kenapa secara tiba-tiba sahaja bekalan barang-barang keperluan ini berkurangan. Nak kata dunia dilanda kemarau berpanjangan... tidak pula. Nak kata negara-negara pengeluar mengalami masalah kerosakan hasil tuaian... pun tidak juga. Tetapi secara tak semena-mena bekalan berkurangan dengan drastiknya dari pasaran.

Kekurangan bekalan barang-barang keperluan ini berlaku seperti dirancang... lepas satu... satu pula menyusul. Yang amat menghairankan ialah bilamana harga sesuatu barangan itu dibenarkan naik atas alasan tekanan bekalan dan permintaan... tiba-tiba pula entah dari mana bekalan kembali memenuhi keperluan pasaran.

Hmmm... hairan-hairan. Bila ini berlaku maka mulalah kedengaran kempen-kempen "lucu" di sana-sini yang mahukan kita sebagai pengguna mengurangkan penggunaan gula lah, elakkan makanan bergorenglah, kurangkan makan nasi lah... atas alasan kesihatan. Bagaimana jika selepas ini harga sayur dan buah-buahan pula naik mendadak... adakah kita kena kurangkan makan sayur dan buah kerana secara tiba-tiba ada pakar pemakanan mengatakan memakan sayur dan buah lebih juga merbahaya untuk kesihatan???

Apa pun yang menjadi mangsa keadaan adalah orang biasa seperti kita ini. Setiap satu sen lebih yang perlu kita belanjakan atas sesuatu produk dan keperluan... bermakna berkuranglah satu sen yang boleh kita belanjakan ke atas keperluan lain yang juga penting. Contohnya jika dahulu dapatlah kita belikan anak-anak majalah atau bahan-bahan bacaan tambahan setiap bulan... tetapi kerana harga beras yang mendadak naiknya... kita mungkin terpaksa mengorbankan keperluan ilmu anak-anak kerana lebihan wang yang dulunya ada... kini sudah tiada lagi.

Rakan-rakan yang saya hormati... ilmu dan pendidikan anak-anak (juga diri sendiri) perlu terus kita letakkan sebagai keutamaan yang tinggi walau dalam suasana apa pun. Ini kerana dengan ilmu anak-anak akan dapat kita sediakan untuk menghadapi cabaran masa depan yang pastinya lebih mencabar lagi. Mungkin ada di kalangan rakan-rakan yang merasakan untuk menyediakan pendidikan sempurna buat anak-anak akan memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Yea lah nak hantar tuisyen... dan sebagainya.

Jika kita terlalu bergantung kepada pihak ketiga untuk menyediakan pendidikan dan bimbingan buat anak-anak... YA... perbelanjaannya sememangnya besar dan pasti akan terus meningkat. Tetapi ada cara lain yang boleh kita lakukan yang dalam masa panjang ianya sangat menjimatkan dan dalam masa yang sama memastikan anak-anak sentiasa dapat menjadi anak-anak yang cemerlang.

Apakah cara tersebut? PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK YANG SEMPURNA. Kanak-kanak yang telah menerima pendidikan awal yang baik dari ibu bapanya akan menjadi kanak-kanak yang cerdas dan pintar yang sangat responsif kepada pendidikan yang diterima di sekolah. Kanak-kanak ini selalunya tidak memerlukan terlalu banyak bahan-bahan tambahan bagi memantapkan ilmunya. Malah mereka berkemampuan dan secara kreatif mencari sendiri bahan-bahan tambahan yang diperlukan... seperti melalui perpustakaan, perbincangan berkumpulan, internet dan lain-lain. Kanak-kanak ini juga umumnya jarang perlu menghadiri kelas-kelas tuisyen kerana kemampuannya memahami dan menguasai ilmu yang diajarkan di dalam kelas. Oleh itu lebih masanya dapat diberikan untuk mempelbagaikan aktiviti harian yang tentunya meningkatkan kematangan anak-anak ini.

Mudah dan murah, bukan?! Apa lagi... tepuklah dada dan tanya diri sudahkan kita punya ilmu untuk menyediakan anak-anak sejak dari kecil lagi???

Bulan ini genaplah usia AdikBijak.com 3 tahun. Kalau kanak-kanak tuh... pada usia ini dah sesuai sangat untuk mula diajarkan mengenal huruf dan membaca. Dan saya rasakan AdikBijak.com juga begitu. Pada usia yang masih begini muda AdikBijak.com masih perlu banyak belajar dan belajar. Siapa lagi yang menjadi guru kami kalau bukan rakan-rakan semua yang sentiasa memberikan sokongan, teguran dan nasihat... semata-mata untuk melihat AdikBijak.com terus berjaya dan dapat terus membawa misinya jauh ke hadapan.

AdikBijak.com kini mempunyai hampir 7000 ahli yang berada di serata pelusuk dunia. Ingin sangat kami untuk menemui setiap seorang dari anda... tapi apakan daya ia tak terjangkau kemampuan kami. Hanya melalui email, blog dan forum dapat kami hadir seketika dalam kehidupan anda... dan moga-moga kehadiran AdikBijak.com di dalam hidup anda telah dapat memberikan banyak manafaat dan kecerian buat anda, anak-anak dan keluarga.

Bersempena ulang tahun ke-3 AdikBijak.com ini suka kami umumkan Jualan Ulang Tahun Ke-3 di mana rakan-rakan dapat membeli pakej-pakej pilihan pada harga istimewa, juga penubuhan Tabung AdikBijak.com yang bakal mengumpul dana bagi membantu mereka-mereka yang memerlukan.

Kami berdoa (kami juga berharap rakan-rakan dapat sama-sama mendoakan) agar usaha kecil kami ini akan mendapat keberkatan dari Allah... dan akan dipermudahkan Dia untuk kami mengembangkan misi kami untuk melihat semula ibu dan bapa kembali memainkan peranan aktif dalam mendidik dan mengasuh anak-anak di rumah.

Terima kasih atas sokongan rakan-rakan kepada AdikBijak.com.

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Wednesday, April 16, 2008

Berikan Mereka Peluang Menjadi Kanak-Kanak

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan berita tentang apa yang telah berlaku kepada kanak-kanak pintar Matematik suatu masa dahulu iaitu adik Sufiah Yusof. Jika benar berita yang dilaporkan di akhbar-akhbar dan internet, ia pastinya suatu berita yang amat mengecewakan buat keluarga beliau dan juga kita, rakyat Malaysia, umumnya. Seorang anak yang diharapkan dapat memberikan sumbangan lebih bermakna kepada dunia akhirnya kecundang dalam mengharungi cabaran yang dihadapi.

Ini bukan pertama kali kita mendengar kanak-kanak yang mempunyai kebolehan dan kepandaian luar biasa di negara kita ini yang berakhir dengan kisah yang menyedihkan. Suatu masa dahulu negara juga pernah digemparkan dengan kanak-kanak yang mempunyai kepintaran hebat... tetapi setelah dewasa kanak-kanak tadi hanya mampu menjadi penebar roti canai setelah lama terbabit dengan gejala dadah. Kini kita mempunyai seorang lagi kanak-kanak pintar yang sedang menjadi perhatian ramai, iaitu adik Adi Putra. Bagaimana pula jalan kehidupan beliau nanti?

Secara peribadi saya dan suami tidak bersetuju dengan cara "kita" memberikan layanan kepada anak-anak pintar ini. Mereka diusung ke sana ke mari untuk dipamer seperti bahan pertunjukkan sarkas, diberikan layanan terlalu istimewa sehingga si anak tadi menjadi "lupa diri" dan lebih buruk lagi anak-anak pintar ini diambil kesempatan oleh pihak yang berkepentingan (termasuk ibu bapa sendiri) menjadikannya seolah-olah bahan komersial yang menguntungkan.

Benar... kepintaran dan kelebihan yang anak-anak ini ada merupakan anugerah dari Allah swt. Tetapi cara layanan yang diberikan bukanlah cara yang tepat (menurut pandangan kami) mensyukuri anugerah yang diberikan ini. Kita perlu sedar yang anak-anak ini, biarpun hebat, tetapi mereka masih amat memerlukan didikan dan bimbingan ibu bapa dan masyarakat untuk menjadi anak-anak yang benar benar SEMPURNA. Masih terlalu banyak yang perlu mereka pelajari dalam merintis jalan kedewasaan.

Pada kami... kanak-kanak, biar pintar atau mempunyai kelebihan luar biasa, perlu diberikan peluang menjadi kanak-kanak. Berikan ruang kepada mereka untuk bermain, bergaul dengan rakan sebaya, mengeksplorasi dunia dari kaca mata kanak-kanak, dan melakukan kesilapan dan mempelajari darinya. Usah rampas zaman kanak-kanaknya!!!

Pun begitu ini tidak bermakna kita sebagai ibu bapa boleh berlepas tangan dan membiarkan anak-anak belajar dan membesar sendiri. Tugas kita sebagai guru "terhebat" kepada anak-anak kita sangat penting bagi memastikan mereka membesar dalam acuan yang terbaik. Bukankah Rasulullah saw pernah bersabda (yang kira-kira maksudnya): "Anak-anak adalah umpama kain putih. Ibu bapalah yang akan mencorakkannya".

Kesimpulannya, samada anak-anak kita tergolong sebagai anak-anak genius atau tidak, yang lebih penting adalah memberikan pendidikan yang seimbang buat mereka. Berikan ilmu untuk mereka menakluk dunia, tetapi jangan lupa untuk membekalkannya juga dengan ilmu untuk mereka menyintai akhirat.

Saya berbicara lagi nanti....

Selangkah Lebih Bijak

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Bahan bacaan tambahan yang saya cadangkan:


Monday, March 17, 2008

Assalamualaikum dan Salam,

Seorang ibu menceritakan tentang masalah anaknya yang tahun ini mula melangkah ke Tahun 1. Pada pandangan beliau anaknya mempunyai pencapaian yang normal seperti kanak-kanak lain. Beliau hairan kenapa anaknya itu menjadi begitu pasif dan tidak dapat menumpukan pelajaran di dalam kelas. Pada ujian penilaian yang diadakan baru-baru ini anak beliau telah mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan... justeru pihak sekolah mengambil keputusan untuk meletakkannya ke dalam Kelas Pemulihan. Dan kini masalah baru pula timbul kerana anaknya yang sedia pasif ini kini berdepan dan terpaksa pula bergaul dengan kanak-kanak yang agak ketinggalan dalam pelajaran dan rata-ratanya agak aktif (kasar) dalam bergaul.

Seorang ibu lagi mengadu tentang anak beliau yang sudah lebih setahun belajar di tadika tetapi masih belum boleh membaca, tidak mahir menulis, dan tidak dapat mengira dengan baik... tidak sebaik rakan-rakan sebayanya. Menurut maklum balas yang diberikan oleh guru kelasnya, anak beliau sangat pendiam dan tidak memberikan tumpuan dalam pelajaran di sekolah. Saban kali guru tersebut perlu menarik perhatian pelajar terbabit yang dilihatnya kurang berminat dalam pelajaran.

Dua senario di atas adalah antara masalah dan aduan yang kerap kita baca di forum-forum, perbincangan di YahooGroups atau rintihan dari rakan-rakan terdekat. Ramai di antara kita berdepan dengan masalah seperti ini. Dan kebanyakan kita akan rasa buntu kerana tidak tahu ke mana arah atau apakah yang perlu dilakukan untuk mengatasinya.

Rakan-rakan AdikBijak.com yang saya hormati sekelian. Rasulullah pernah bersabda yang kira-kira maksudnya... anak-anak itu umpama sehelai kain putih yang sedia untuk dicorakkan. Kitalah yang akan bertanggung jawab untuk mencorakkannya menjadi yang terbaik atau sebaliknya.

Metafora "kain putih" yang digunakan Rasulullah menunjukkan yang pendidikan anak-anak perlu bermula dari awal lagi. Persepsi yang kanak-kanak perlu dibiarkan "menikmati" sepenuhnya zaman kanak-kanak perlu dikikis. Ya... mereka perlu bermain. Benar... mereka perlu melakukan perkara-perkara yang normalnya dilakukan oleh seorang kanak-kanak. Tetapi kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa menjadi teman dan guru bagi anak-anak agar setiap apa yang mereka teroka melalui permainan, pergaulan dan pendedahan dipandu untuk membentuk menjadi anak-anak yang cemelang di masa hadapan.

Kerap saya mendengar ibu bapa yang berkata, "Alah anak aku kecil lagi. Biarlah dia main dulu. Nanti dah umur 4 ke 5 tahun aku mula la ajar dia membaca ke, mengira ke. Ajar cepat-cepat sangat nak buat apa. Nanti penat otak budak yang masih kecil tuh".

"Ish... ada ke fikir macam tu?!", getus hati saya.

Kanak-kanak yang sedari awal didedahkan dengan suasana cintakan ilmu, suka kepada buku, pendedahan pergaulan yang positif serta suasana kompetatif yang sihat akan lebih jelas terkehadapan berbanding kanak-kanak lain. Anak-anak ini lebih ceria di sekolah, mempunyai lebih penumpuan dan daya kefahaman yang tinggi, dan mempunyai sifat kepimpinan yang jelas terserlah.

Sebagai ibu bapa kita merupakan guru pertama buat anak-anak... dan kita juga merupakan guru sepanjang hayat untuk mereka. Walaupun kini kita ada pendidikan di sekolah, pusat tuisyen, bengkel, seminar dan kem musim cuti... peranan kita sebagai guru tetap berada di tempat tertinggi. Tiada istilah "lepas tangan" dalam mendidik dan melatih anak... apatah lagi lepaskan tanggungjawab kita kepada pembantu rumah (aka bibik... huhuhu).

Mungkin ada rakan-rakan yang sibuk dengan jadual tugas di pejabat, juga sibuk menguruskan rumahtangga... dan merasakan tidak punya cukup masa untuk mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak. MINTA PERHATIAN!!! Ia bukan jumlah masa yang menjadi penentu... tetapi bagaimana masa yang ada dapat kita gunakan dengan berkualiti.

Minggu hadapan anak-anak akan mula bercuti. Seeloknya anda (suami isteri) sudah mula berbincang dan merancang aktiviti yang boleh anak-anak lakukan sepanjang musim cuti agar ianya dapat diisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanafaat. Elok juga jika anda dapat mengambil cuti sehari dua dan rancang program yang boleh dilakukan bersama... seperti berkelah, mengunjungi tempat-tempat pameran sepeti Pusat Sains Negara dan lain-lain.

Oh ya... bulan lalu saya sekeluarga mengunjungi Malaysian International Space Adventure (MISA) di Putrajaya... cukup teruja kami sekeluarga dengan pelbagai pameran alatan dan pekakasan yang digunakan oleh para angkasawan. Paling menarik sekali pengalaman menonton 4D Movie tentang pengembaraan ke bulan yang menggabungkan sensasi bunyi, cahaya dan rasa. Kalau tak salah pameran ini dibuka sehingga 16 Mac ini. Jika rakan-rakan ada kelapangan bolehlah berkunjung ke sana.

Emmm... cuti minggu hadapan ingat nak bawa Tasha ke taman tema pula... saja nak lepaskan tension.... hehehe...

Cukup dulu celoteh saya kali ini. Sebelum mengakhiri celoteh saya ini suka saya promosikan buku terbaru di AdikBijak.com iaitu "Manual Kerja SUPER Suami" dan "Manual Kerja SUPER Isteri" yang elok dibaca oleh kita semua untuk menjadi suami/isteri dan ibu bapa yang HEBAT!!!


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita

Tuesday, February 19, 2008

Berikan Pendidikan Agama Tempat Sewajarnya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Adik Bijak,

Berbelah bagi saya samada nak teruskan menulis Buletin AdikBijak.com untuk bulan ini atau tangguhkan terus ke bulan Mac. Yealah... dah dekat pertengahan bulan masih belum keluar buletin yang sepatutnya disiarkan setiap awal bulan. Bila fikir-fikirkan balik... elok saya teruskan juga sebab ada perkara-perkara yang perlu disentuh dan disampaikan. Kan ada pepatah mengatakan "biar lambat, asalkan selamat"... hehehe... alasan nak sedapkan hati sendiri... hehehe .

Isu yang nak saya sentuh kali ini adalah berkaitan keseimbangan dalam kita memberikan tahap keutamaan di antara pendidikan konvensional dan pendidikan keagamaan. Setiap tahun bila saya mendaftarkan anak saya ke sekolah pengajian agama... saya akan dapati ramai anak-anak yang pada tahun sebelumnya berada di dalam sekolah tersebut tidak lagi mendaftar masuk. Penurunan bilangan yang mendaftar lebih ketara di kalangan anak-anak yang pada tahun tersebut akan menghadapi peperiksaan besar seperti UPSR dan PMR.

Kenapa agaknya trend ini berlaku ya? Untuk memahami fenomena ini saya telah secara langsung bertanyakan para ibu yang secara tiba-tiba tidak lagi mendaftarkan anak-anak ke sekolah agama. Dan sungguh mengejutkan apabila mengetahui alasan utama mereka mengeluarkan anak-anak mereka dari sekolah agama adalah supaya anak-anak mereka mempunyai lebih masa dan lebih tumpuan bagi menghadapi peperiksaan besar pada tahun tersebut.

Apabila mendengarkan alasan yang diberikan... terasa hati kecil saya ini mahu sahaja memberontak... marahkan tindakan mereka. Kenapakah pendidikan agama dilihat sebagai satu perkara sampingan?! Kenapakah pendidikan agama dipandangan sebagai "gangguan" kepada penumpuan anak-anak kepada pendidikan di sekolah?!

Rakan-rakan sekelian... untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang kita mesti memastikan mereka menerima pendidikan dan asuhan yang seimbang. Kejayaan dan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa dialas dengan asas pendidikan agama yang mantap tidak akan dapat membentuk anak-anak yang boleh dibanggakan di masa hadapan. Bukan kah saban hari kita dihidangkan di media massa dengan pelbagai masalah jenayah dan sosial yang kini tidak lagi aneh bila pelakunya merupakan mereka-mereka yang berpendidikan tinggi?

Kerap juga kami mendengar keluhan ibu bapa yang rasa sedih dan kecewa kerana anak-anak mereka, walaupun berpendidikan tinggi... menjawat jawatan yang hebat, tetapi mempunyai jalan hidup yang yang jauh menyimpang dari norma-norma kita sebagai orang Islam dan orang Melayu yang kaya dengan sopan santun. Tidak kurang juga ibu bapa yang sudah mula pening kepala bila melihat anak-anak yang masih pada usia yang terlalu mudah sudah berani engkar, suka melepak dengan kawan-kawan, berpakaian tak serupa orang dan macam-macam lagi.

Dalam suasana masa kini yang mana pengaruh persekitaran dan kawan-kawan menjadi lebih kuat dari pengaruh ibu bapa... dan dalam pada kita sendiri tidak dapat secara berterusan memantau aktiviti anak-anak... asas pendidikan agama yang kukuhlah yang bakal menjadi perisai dan pendiding buat anak-anak. Nafsu dan akal yang sentiasa dipandu dengan iman akan memastikan anak-anak dapat bertindak bijak semasa menjalani kehidupan seharian.

Saya dan suami tidak punyai kemahiran memberikan pendidikan agama yang sempurna di rumah... justeru pendidikan melalui sekolah-sekolah agama ini menawarkan asuhan agama kepada anak kami melalui sillibus pendidikan yang tersusun dan lengkap. Namun ini bukan bermakna kami dapat berlepas tangan dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah bagi memastikan setiap apa yang dipelajari di sekolah dapat dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian anak-anak.

Berikan pendidikan agama keutamaan yang sama penting dengan pendidikan konvensional. Jika kita sanggup berhabis ratusan ringgit dan menghantar anak-anak berjam-jam ke kelas-kelas tuisyen... apalah sangat dengan pendidikan di sekolah agama yang cuma mengambil 2 - 3 jam sahaja sehari. Biarpun singkat... tetapi kesannya amat besar untuk kehidupan anak-anak kita.

Bukankah Islam mahu kita menjadi insan yang "Berjaya di Dunia dan Berjaya di Akhirat?!". Pendidikan di sekolah menjadi panduan buat akal, sedang pendidikan agama pula menjadi pengukuh iman dan pengekang nafsu. Kita perlu kedua-duanya untuk menjadi insan yang benar-benar sempurna dan hebat!!!

Saya berbicara lagi dalam masa terdekat (Mac 2008). Maaflah tidak dapat kongsikan tips mengatasi gejala buli seperti yang dijanjikan. Akan saya cuma masukkannya pada buletin akan datang. Maaf yea...


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita


Sunday, January 13, 2008

Bersediahkan Anak-Anak Kita Untuk ke Sekolah? (Bah. II)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pertama sekali saya nak memohon berbanyak maaf kerana lambat sungguh Buletin AdikBijak.com kali ini dikeluarkan. Al-maklum sibuk sebab anak mula mendaftar semula ke sekolah... terkejar ke sana... terkejar ke sini menyelesaikan pelbagai urusan. Dekat sebulan setengah berehat dari menghantar anak ke sekolah... bila mula semula... fuhhh... rasa macam nak putus nafas. Dan tahun ini anak saya, Tasha, bersekolah sebelah petang pula... jadi rutin hariannya agak berbeza berbanding tahun lalu. Bukan sahaja anak, umminya juga perlu membuat adjustment kepada rutin yang baru.

Bercakap fasal sekolah ni... ingin saya kongsikan sedikit kisah yang berlaku masa saya mendaftarkan anak ke sekolah baru-baru ini. Nak kata lucu tak juga, nak kata serius juga tidak... tetapi ia melekat kuat dalam ingatan saya.

Pagi hari pendaftaran antara perkara pertama yang kami (saya dan suami) lakukan adalah melihat senarai nama pada papan kenyataan sekolah untuk mengetahui kelas mana Tasha akan ditempatkan tahun ini. Bila dah tahu kelas mana nanti mudah bila nak berurusan dengan guru dan sebagainya.

Sedang kami belek-belek senarai yang dipaparkan kami agak kehairanan kenapa pula Tasha diletakkan di kelas 2B (Bestari)? Kenapa tidak di kelas 2D (Dedikasi) kerana tahun lalu dia belajar di kelas 1D.

Untuk makluman rakan-rakan, susunan kelas di sekolah anak saya ni agak aneh sikit. Kelas "A"-"C" untuk murid-muri lemah, sementara kelas "D" - "H" untuk pelajar-pelajar biasa.

Sedang saya dan suami meneka-neka sebabnya, seorang kakak menyampuk dan berkata; "Anak awak mesti ada lemah kat mana-mana. Tu sebab masuk kelas B. Tu tengok kelas A... semua budak-budak yang belum boleh membaca. Anak buah akak ada kat dalam kelas tuh" katanya dengan nada kedengaran sedikit bangga (?)

"Adalah tu yang anak awak lemah tu... Anak buah akak dah darjah dua tapi belum boleh baca. Tu sekolah kumpul dalam satu kelas. Ada lah tu yang anak awak lemah" tegasnya lagi bersungguh-sungguh.

Hmmm... kami cuma mampu memberikan senyuman kepada kakak tadi atas maklumat yang diberikannya. Takkan nak argue balik... untuk apa, kan?

Kami akhirnya dapat tahu yang ada perubahan dibuat pihak sekolah tahun ini dalam susunan kelas. Kelas "A" menempatkan para pelajar yang masih mempunyai masalah membaca dan belajar, sementara kelas "B" - "H" diletakkan para pelajar berdasarkan kedudukan mereka dalam sekolah. Maknanya 35 pelajar terbaik sekolah diletakkan dalam satu kelas... iaitu kelas "B". Alhamdulillah.

Apa yang bermain-main dan menghantui minda kami dari peristiwa ini adalah... dalam negara telah mencapai kemerdekaan 50 tahun, mengapa masih lagi ada anak-anak bangsa yang bukan sahaja gagal menguasai ilmu, tetapi lebih parah lagi gagal menguasai skil asas yang sangat perlu iaitu MEMBACA, MENULIS dan MENGIRA. Rakan-rakan jangan terkejut jika saya beritahu ada para pelajar yang dah masuk sekolah menengah pun masih belum dapat menguasai skil asas ini.

Kami tak mahu sentuh peranan pihak sekolah, para pemikir akademik dan juga peranan kerajaan dalam masalah serius ini. Sebaliknya kami lebih suka menyentuh kepada peranan kita sebagai ibu bapa yang menjadi tonggak asas kepada kecemerlangan anak-anak kita.

Rakan-rakan semua... Tidak dapatkah rakan-rakan bayangkan betapa sayunya perasaan anak-anak kita yang terpaksa duduk di dalam kelas "lemah" sedang rakan-rakannya yang lain berada dalam kelas yang "baik"? Apa pula rasanya bila rakan-rakan lain mengetahui yang dia tidak pandai membaca? Tidakkah ini akan memberikan implikasi negatif kepada anak-anak ini dari segi mental, emosi dan sosialnya?

Kita tidak lagi boleh mengharapkan pihak sekolah semata-mata untuk mengatasi masalah ini. Sistem pendidikan hari ini telah jauh berbeza. Jika 15-20 tahun dahulu anak-anak di dalam Tahun 1 baru mula belajar mengenal ABC... tetapi kini anak-anak kita mesti telah menguasai skil asas MEMBACA, MENULIS dan MENGIRA sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Peranan kita sebagai ibu bapa dalam memberikan pendidikan dan bimbingan di rumah kini menjadi semakin penting dan perlu. Biar macam mana sibuk pun kita... bekerja atau menguruskan rumah tangga... keperluan mendidik anak-anak perlu diletakkan pada prioriti tinggi dalam urusan seharian.

Buat rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang belum bersekolah... luangkanlah sedikit masa setiap hari untuk melatihnya membaca. Seperti yang pernah saya sentuh sebelum ini, anak-anak yang gagal menguasai kemahiran membaca akan menghadapai masalah untuk menguasai apa juga ilmu.

Kepada rakan-rakan yang anak-anaknya kini sudah mula bersekolah (seperti saya)... juga luangkan sedikit masa untuk mengikuti dan memantau perkembangan akademiknya. Berikan bimbingan yang sewajarnya sewaktu di rumah. Juga... paling-paling penting... pastikan anak-anak tidak tinggalkan solat biar di sekolah dan di rumah. Untuk menjadi anak-anak yang benar-benar cemerlang perlu cemerlang dalam apa juga urusan dunianya dan juga akhiratnya.

Hmmm... maaf panjang sedikit celoteh kali ini. Saya berharap sedikit sebanyak celoteh ini dapat memberikan manafaat buat saya dan rakan-rakan semua.

Sebelum saya akhiri, seperti yang dijanjikan bulan lalu saya kongsikan sedikit lagi Tips Keselamatan Diri dan kali ini keselamatan anak-anak di sekolah pula. Tentang keselamatan jalanraya saya pasti anda semua dah mahir... jadi saya sentuh dari aspek lain pula. Ingatkan anak-anak anda perkara-perkara berikut:

  • Jika ingin ke tandas... jangan pergi berseorangan. Minta kebenaran guru untuk membawa seorang rakan bagi menemani anak anda ke tandas. Cara ini amat membantu dalam hal kecemasan seperti terjatuh di dalam tandas di mana rakan tadi dapat kembali dan memaklumkan kepada guru. Lebih utama cara ini dapat mengelakkan anak-anak dari diganggu oleh "penjenayah" yang mungkin mengambil peluang terhadap anak-anak yang berjalan atau berada di tandas bersendirian.
  • Jika diminta untuk bertemu guru selepas kelas, pastikan anak anda ditemani seorang rakan lagi. Jangan biarkan mereka "bersendirian" menemui guru terbabit.
  • Maklumkan kepada anak-anak tempat-tempat yang boleh dan tidak boleh mereka pergi samada di dalam dan di luar sekolah. Contohnya bangunan setor, atau bangunan lama, atau tempat-tempat yang jauh dari pandangan umum perlu mereka dijahui.
  • Jangan bercakap atau menerima sesuatu dari orang yang tidak dikenali. Walau pun orang tersebut memanggil menggunakan namanya. Ingat...!!! Anak-anak kita semuanya mempunya tag nama pada baju yang mudah dilihat oleh siapa sahaja. Justeru memanggil mereka menggunakan nama tidak bermakna si pemanggil adalah orang yang dikenali.
  • Jika diganggu... jauhkan diri dengan segera (lari!!!). Jika terus diganggu... atau di dalam kecemasan jeritlah "API!!!"... "API!!!"... "API!!!". Kenapa jerit "api" pula...? Mengikut kajian jeritan "api" lebih menarik perhatian orang di sekeliling berbanding jeritan meminta tolong.

Itu sahaja buat kali ini. Bulan hadapan akan saya kongsikan pula tips bagaimana melatih anak anda menjaga barang-barang peribadinya (seperti buku, pensil, pemadam dan lain-lain) semasa di sekolah dan mengatasi gejala buli.

Akhir kata, kami di AdikBijak.com ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1429. Semoga tahun baru yang mendatang ini menjanjikan sejuta rahmat dan keceriaan buat kita semua. Dan buat anak-anak... Selamat Kembali ke Sekolah. Jadilah pelajar yang cemerlang yang menjadi kebangaan ibu dan ayah.


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Monday, December 31, 2007

Bersediahkan Anak-Anak Kita Untuk ke Sekolah? (Bah. I)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pejam celik pejam celik... dah lebih dua minggu anak-anak kita bercuti sekolah. Anak saya Tasha, seperti kanak-kanak lain tentunya mengambil peluang ini untuk berehat... betul betul berehat... dari buka buku, ulang kaji pelajaran dan apa sahaja yang ada kaitan dengan sekolah. Celik mata pagi saja terus mengadap TV... mandi tidak... kadang-kadang sarapan pun tak mahu. Televisyen seolah-olah "dunia"nya sepanjang cuti sekolah.

Ehhh... betul ke ni?! Adakah anak-anak anda juga seperti anak saya Tasha? Hehehe... sebenarnya Tasha taklah seteruk yang cuba saya gambarkan di atas. Itu sek adar igauan saya yang mungkin agak keterlaluan sebagai seorang ibu. Tetapi bunga-bunga ke arah itu telah kami kesan sebaik sahaja cuti persekolahan bermula, dan langkah-langkah awal segera diambil bagi mengelakkan igauan saya di atas dari menjadi kenyataan.

Tak salah untuk anak-anak berehat dan berhibur. Tetapi kita sebagai ibu bapa perlu pandai merencanakan jadual harian mereka agar sepanjang tempoh percutian ini tidak hanya diisi dengan perkara yang sia-sia. Nanti habis cuti sebulan setengah... bukan sahaja tiada perkara baru yang dia pelajari... tetapi juga ilmu yang telah ditimbanya sepanjang tahun ini juga hilang entah ke mana.

Alhamdulillah, untuk Tasha pelbagai program masih terus berjalan untuknya sepanjang cuti persekolahan. Masih ada kelas teakwando dua kali seminggu, kelas piano seminggu sekali, kelas mengaji tiga kali seminggu, juga kem kemahiran belajar dapat mengisi sebahagian masanya dengan bermanafaat. Di samping itu saya juga mengambil peluang sepanjang cuti sekolah ini untuk melatihnya menjadi lebih berdikari dengan menekankan peri penting mengemas biliknya sendiri, membantu tugas-tugas di rumah dan lain-lain.

Paling utama masa cuti persekolahan ini saya ambil kesempatan untuk lebih rapat dengannya. Yealah... masa hari-hari sekolah... siangnya di sekolah, malam pula dah penat. Jadi masa inilah saya manafaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan lagi ikatan antara seorang ibu dan anak. Hehehe... saya ambil juga kesempatan untuk belajar bermain piano darinya. Tak sangka ada bakat juga Tasha ni mengajar. Cukup teliti dan sabar mengajar saya yang jari jemari dah serba keras... hehehe.

Buat sebahagian kita tahun hadapan merupakan kali pertama anak-anak mula melangkah ke alam persekolahan. Baik yang ke tadika, juga ke sekolah kebangsaan. Biasanya kita begitu mengambil berat dalam menyediakan hal-hal seperti pakaian persekolahannya, bag, alat tulis, buku dan lain-lain. Tetapi kita sering terlupa satu perkara yang sangat penting yang perlu disediakan dalam diri anak-anak.

Apakah perkara tersebut?

Kesedaran Keselamatan sering kita terlepas pandang. Perkara ini sangat sangat penting dilatih dan ditanamkan dalam diri anak-anak sebelum mereka melangkah ke sekolah. Untuk bicara bulan ini saya akan sentuh beberapa perkara yang boleh anda lakukan sekarang sebelum sesi persekolahan bermula (anda ada kurang sebulan sahaja lagi!):

  1. Latih anak anda agar tahu namanya sendiri.
    Nama penuh dan bukan nama panggilan. Contohnya bila ditanya anak anda mampu menjawab, "Nama saya Mohamad Azrin bin Abu Bakar"
  2. Latih anak anda agar tahu nama ayah dan ibunya.
    Bukan setakat tahu... "ini Ummi".. "itu Papa"... sahaja tetapi nama penuh anda.
  3. Latih anak anda untuk mengingati sekurang-kurangnya TIGA nombor telefon.
    No telefon ayah dan ibunya... dan jika boleh satu nombor fixed line (bukan telefon bimbit) saudara terdekat.
  4. Latih anak anda untuk mengingati alamat rumahnya atau mampu menunjuk arah ke rumahnya sendiri.
  5. Latih anak anda untuk mengenali bahagian-bahagian tubuhnya terutama bahagian-bahagian yang sulit.
    Jangan lagi gunakan nama-nama timangan macam... "bunga"... "burung"... "pipit" dan sebagainya (maaf jika ada yang tersinggung... tapi saya perlu berterus-terang). Berikan nama bahagian-bahagian sulit tersebut dengan nama sebenar. Dan beritahu anak anda yang bahagian-bahagian sulitnya adalah haknya dan orang lain tidak lagi boleh lihat atau sentuh dalam apa keadaan pun.

Beberapa perkara asas di atas, walau nampak mudah, tetapi amat amat berguna bila anak-anak berada di dalam situasi kecemasan seperti terpisah dari anda semasa membeli-belah, tertinggal bas sekolah dan lain-lain situasi genting. Maklumat yang ada padanya dapat membantu pihak berkuasa membawanya pulang atau membantu orang ramai menghubungi anda bila diperlukan.

Ada banyak lagi akan saya sentuh berkenaan kesedaran keselamatan pada diri anak-anak. Akan saya sentuh lagi dalam buletin AdikBijak.com bulan hadapan... secara khususnya tentang kesedaran ke selamatan di sekolah.

Jangan lupa untuk mula melatih anak-anak anda dengan perkara-perkara yang telah saya senaraikan di atas. Kerana keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab kita... namun kita tidak akan dapat selalu berada di samping untuk melindungi mereka... justeru kita perlu lengkapkan mereka dengan maklumat penting yang dapat membantu dan melindungi anak-anak dalam masa-masa yang kritikal.

Selamat menjadi ibu bapa yang prihatin!!!

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Wednesday, November 21, 2007

Ibu-Ibu... Masyarakat Memerlukanmu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ishhh... lewat sungguh buletin bulan ni keluar. Baru ada kesempatan nak menaip lepas lebih sebulan sibuk dengan pelbagai acara terutama jemputan rumah terbuka Hari Raya di sana sini. Dan dah dekat nak hujung tahun ni mesyuarat pun tak kurang juga kerapnya. Sana mesyuarat persatuan penduduk, sini temujanji perniagaan.. . dan paling baru... Tabika Perpaduan yang tutup sekejap kat taman saya ni (yang saya pengerusikan) nak buka semula selepas mendapat peruntukan dan kelulusan dari kementerian. .. jadi mesyuaratlah lagi.... hehehe.

Sapo kato duduk kek ghumah jadi suri ghumah ni sonang... hehehe... speaking negori la pulak... hehehe...

Walau pun berstatus suri rumah sepenuh masa tidak bermakna kita tidak boleh terus memberikan sumbangan di luar. Kemahiran, skil dan pengalaman yang kita ada akan lebih bermanafaat jika dapat disalurkan kepada masyarakat. Terutama dalam membangunkan generasi pelapis masa depan (anak-anak kita). Tentunya satu kerugian kepada agama, bangsa dan negara jika kita, setelah bergelar ibu dan suri rumah sepenuh masa, hanya memendamkan ilmu yang ada.

Sumbangan boleh kita berikan dalam pelbagai cara. Contohnya, jika anda masa di sekolah dulu hebat dalam Matematik... apa salahnya menganjurkan kelas bimbingan Matematik secara percuma kepada bakal calon UPSR dan PMR di taman perumahan anda. Dua atau tiga kali seminggu sudah memadai. Melalui sumbangan ini anda bukan sahaja membantu anak-anak bangsa untuk cemerlang dalam akademik, anda juga dapat membantu mengurangkan tekanan ekonomi keluarga pelajar terbabit yang kini tidak lagi perlu mengeluarkan belanja lebih untuk kelas-kelas tuisyen. Untuk kita pula... sumbangan ini merupakan amal jariah yang, insyaAllah, menjadi saham berterusan untuk kita di akhirat nanti.

Oh yea... bawa sekali anak anda masa kelas bimbingan tu. Kenapa?

Emmm... saya pasti ibu-ibu tentu setuju dengan saya yang lebih mudah mengajar anak orang berbanding mendidik anak sendiri, kan? Susah benar dia nak dengar arahan kita... tapi apa sahaja yang cikgu suruh patuh sunggu dia ikut. Dengan membawa anak-anak ke kelas seperti ini... anda seperti kata pepatah Inggeris, "kill two birds with one stone". Anak anda akan mudah menerima ilmu yang cuba anda sampaikan kerana pada senario ini anda, pada minda si anak, merupakan seorang guru... dan bukan lagi ibu yang mudah nak dia ambil kesempatan untuk bermanja... hehehe...

Hujung minggu ini anak-anak kita akan memulakan cuti persekolahan. Enam minggu merupakan satu tempoh yang agak panjang yang perlu kita atur dan isi dengan aktiviti berfaedah buat anak-anak. Ambil sedikit masa untuk duduk dan berbincang dengan suami/isteri juga dengan anak-anak bagaimana hari-hari cuti persekolahan ini dapat dipenuhkan dengan sebaiknya.

Antara aktiviti yang kami rasakan sesuai adalah menghantar anak-anak ke kem motivasi dan solat, berkunjung ke pusat-pusat ilmu (seperti Pusat Sains Negara dan Petrosains), bercuti sekeluarga di dalam dan luar negara, dan bermacam-macam lagi aktiviti bermanafaat lain yang boleh dilakukan sekeluarga.

Buat ibu-ibu dan para bapa... ambil juga peluang cuti persekolahan ini untuk melatih dan memantapkan skil membaca anak-anak... terutama buat anak-anak yang bakal melangkahkan kaki ke Tahun Satu tahun hadapan. Persediaan awal ini akan memberikan keyakinan tambahan buat mereka untuk menempuh alam persekolahan yang penuh mencabar.

Rasa cukup dulu lah bicara saya kali ini. Sebelum menutup bicara suka saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah dapat hadir ke Perjumpaan Hari Raya AdikBijak.com yang telah diadakan pada 4 Nov 2007 lalu di Taman Tasik Shah Alam. Kami rasa cukup gembira kerana kehadiran pada perjumpaan kali kedua ini berkali ganda lebih ramai berbanding tahun sebelumnya. Dengan sokongan seperti ini telah membakar semangat kami untuk terus mengadakan program-program yang dapat mengeratkan hubungan kita di dalam keluarga besar AdikBijak.com.

Buat rakan-rakan yang tidak dapat hadir... anda boleh rasakan kemeriahan majlis ini dengan mengunjungi Dairi Bergambar AdikBijak.com dengan KLIK DI SINI.


Kita berbicara lagi nanti....

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Friday, August 17, 2007

Meremajakan Kembali Negaraku Malaysia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tahun ini... bulan ini... kita akan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50 tahun. Dalam usia ini kalau manusialah... dah boleh dipanggil seorang yang matang, berpengalaman dan sudah masak dengan asam garam kehidupan. Tetapi di dalam usia ini juga badan dan sendi-sendi sudah mula merasa sakit di sana... lenguh di sini. Mudah kata... sebagai manusia kita mula melangkah ke arah proses penuaan. Tiada apa yang boleh kita lakukan bagi mengembalikan keremajaan yang telah lama luput. Rumah dah kata pergi... kubur pun dan melambai-lambai minta diisi... isk!!!

Sebagaimana tubuh manusia... sesebuah negara juga akan melalui proses yang serupa. Pada usia sebegini kita sudah dapat lihat tanda-tanda "penuaan" yang berlaku kepada negara yang tercinta ini. Saya lebih berminat menyentuh tanda-tanda dalam bentuk kekalutan pemikiran dan halatuju para remaja dan anak-anak kita kini. Anak-anak kita seolah-olah mula hilang arah tujuan hidup, semangat kecintaan kepada Agama, Bangsa dan Negara bagaikan telah pudar. Begitu juga terlihat lunturnya rasa hormat mereka kepada ibu bapa, para guru dan orang yang lebih tua. Hiburan seolah-olah menjadi matlamat utama, penghibur dijadikan ikon kesempurnaan dan kejayaan, dan budaya barat sudah diceduk menjadi budaya sendiri.

Setiap hari pasti kita dihidangkan dengan berita permasalahan antara pelajar dan guru, kegawatan sosial anak-anak, sumbang mahram, gangsterisma, buang anak... dan lagi... dan lagi... dan lagi. Aduh ke mana sebenarnya arah anak-anak kita ni?!!!

Pun begitu, tidak sepertimana tubuh manusia yang tidak boleh kembali muda... sesebuah negara boleh kembali diremajakan. Negara kita Malaysia ini mesti dibawa kepada proses peremajaan semula agar ia dapat bersedia dibawa menjadi sebuah negara yang Terbilang.

Tetapi bagaimana???

Ingat lagi bagaimana ayah dan ibu kita dahulu melalui hari-hari selepas merdeka? Bertapa bersungguhnya mereka mengasuh kita untuk menjadi insan berguna. Jika perlu tanah digadai... jika perlu tulang empat kerat terus dihempas... akan mereka lakukan bagi melihat kita menerima asuhan dan kasih sayang yang sempurna. Dan ingat lagikah pula betapa tingginya hormat dan sanjungan kita kepada para guru?

Suasana seperti inilah yang berlaku semasa negara masih diusia remajanya. Dan suasana yang sama jugalah yang perlu kita kembalikan untuk meremajakan semula negara. Untuk melakukannya ia perlu bermula dari rumah... atau dengan kata lain ia mesti bermula dari diri kita sendiri sebagai ibu bapa.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini... sikap dan keperibadian anak-anak sebahagian besar adalah dipengaruhi oleh tingkah laku dan peranan yang kita mainkan sebagai ibu bapa. Kita perlu memanafaatkan setiap masa yang ada menjadi masa yang berkualiti bersama mereka. Kasih sayang, perhatian, dan bimbingan langsung dari kita akan dapat membentuk dan melahirkan kembali generasi anak-anak yang cintakan Agama, Bangsa dan Negara. Juga generasi yang kembali hormat kepada ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih tua. InsyaAllah... negara akan dapat diremajakan kembali dan sedia dipimpin oleh generasi yang benar-benar faham dan tahu matlamat kenapa kita dilahirkan di dunia oleh Allah s.w.t.

Bersempena bulan kemerdekaan negara ke-50 ini, ambilah sedikit masa untuk menghayati erti kemerdekaan bersama anak-anak. Duduk dengan mereka dan berceritalah apa yang anda faham tentang kemerdekaan. Kongsikan hasrat dan cita-cita yang anda mahu mereka capai sebagai generasi pelapis masa hadapan. Anda mungkin juga boleh bawa mereka mengunjungi tempat-tempat bersejarah... dan di pagi hari kemerdekaan... bawa mereka menyaksikan perbarisan hari kebangsaan. Sambutan malam kemerdekaan yang rata-rata hanya dipenuhi konsert... rasa saya tak payahlah yea... (Maaf itu pandangan peribadi saya...)

InsyaAllah, bersempena sambutan bulan kemerdekaan ini AdikBijak.com
akan dan sedang mengadakan beberapa program khusus untuk bulan ini antaranya Program Eksplorasi Buku Bersama AdikBijak yang membawa tema "Pengkisahan Kemerdekaan", Peraduan Wajah-Wajah Anak Merdeka dan juga Jualan Mega Merdeka.

Akhir kata... kibarkan Jalur Gemilang. Dan tunjukkan rasa syukur anda menjadi anak-anak merdeka.

Merdeka...!!!

Merdeka...!!!

Merdeka...!!!

Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati dan melindungi negara kita Malaysia dan seluruh rakyatnya. Amin.



"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

Monday, July 16, 2007

Mendidik Anak Cara Rasulullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Apa khabar anda hari ini? Moga-moga anda sentiasa dalam keadaan yang terbaik untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang terhebat. Jika anda belum berumahtangga elok juga mula mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk menjadi ibu bapa mithali tidak lama lagi.

Untuk menjadi ibu bapa yang hebat memerlukan kita mempunyai ilmu. Biasakan kita dengar orang berkata... "alangkah baiknya kalau setiap anak yang lahir itu keluar bersama-sama manual bagaimana untuk mendidiknya... yealah macam buku panduan mengendalikan TV atau komputer tu...". Kalau lah macam tu tentu mudah, bukan? Tetapi realitinya tidak begitu.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang kira-kira maksudnya... setiap anak itu dilahirkan seumpama kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Malah seorang pakar psikologi kanak-kanak (saya lupa nama dia... nanti kena buka balik buku suami saya "Children Physcology") ada mengeluarkan kenyataan yang selari dengan sabda Rasulullah. Kata beliau... "berikan kepada saya 10 orang bayi yang sihat... dan saya akan jadikan mereka Peguam, Doktor, Pencuri atau Peminta Sedekah".

Moralnya di sini kanak-kanak mampu dibentuk menjadi apa sahaja... dan kita sebagai ibu bapa bertanggung jawab membentuknya. Jika si anak berjaya menjadi insan cemerlang, ibu bapalah yang menjadi pengaruh besar kepada kejayaannya. Dan jika si anak berperangai "tidak serupa orang" maka ibu bapa jugalah yang pertama sekali perlu dipertanggungjawabkan.

Kenapa saya katakan begitu? Sebab mengikut kajian para ulama dan pakar mendapati lebih 70% keperibadian anak-anak sebenarnya dipengaruhi daripada apa yang dia lihat dan belajar dari ibu bapanya. Selebihnya barulah kesan dari pengaruh-pengaruh lain di sekitarnya. Cuba rujuk buku "21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang" dan "Menangai Anak Bermasalah" tulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah untuk rujukan lanjut.

Bila berbicara tentang peranan kita sebagai ibu bapa... ramai mempunyai pandangan dan pendapat sendiri. Ada yang berpendapat kita perlu sangat tegas kepada anak sehingga dengan "menjegilkan" mata pun sudah cukup membuat anak "menikus". Ada pula yang merasakan pendekatan secara lembut dan "reasoning" lebih berkesan. Apa pun pendapat yang diberikan saya lebih suka berpandukan langkah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w yang menyatakan ada empat tahap mendidik anak iaitu:

  • TAHAP PERTAMA - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.
  • TAHAP KEDUA - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.
  • TAHAP KETIGA - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • TAHAP KEEMPAT - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Begitulah pendekatan yang digunakan oleh junjungan besar kita. Malah kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat-sangat kasihkan kanak-kanak.

Kesimpulannya... lengkapkan diri kita dengan ilmu untuk menjadi ibu bapa yang terbaik untuk "amanah Allah" yang telah dikurniakan kepada kita. Ia boleh ditimba melalui buku-buku, kursus keibu bapaan, belajar dari pengalaman orang terdahulu dan pelbagai sumber lain. Peningkatan ilmu ini perlu sebagai pelaburan anda untuk melindungi dan menyuburkan aset paling berharga... iaitu anak anda.

Yakin dan percayalah... anak yang cemerlang lahir dari ibu bapa yang cemerlang juga, insyaAllah.

Kita berbicara lagi nanti...

"SELANGKAH LEBIH BIJAK"


Puan Rosnita

p/s: Suka saya cadangkan buku-buku keibu-bapaan berikut untuk anda baca...