Tuesday, February 19, 2008

Berikan Pendidikan Agama Tempat Sewajarnya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Adik Bijak,

Berbelah bagi saya samada nak teruskan menulis Buletin AdikBijak.com untuk bulan ini atau tangguhkan terus ke bulan Mac. Yealah... dah dekat pertengahan bulan masih belum keluar buletin yang sepatutnya disiarkan setiap awal bulan. Bila fikir-fikirkan balik... elok saya teruskan juga sebab ada perkara-perkara yang perlu disentuh dan disampaikan. Kan ada pepatah mengatakan "biar lambat, asalkan selamat"... hehehe... alasan nak sedapkan hati sendiri... hehehe .

Isu yang nak saya sentuh kali ini adalah berkaitan keseimbangan dalam kita memberikan tahap keutamaan di antara pendidikan konvensional dan pendidikan keagamaan. Setiap tahun bila saya mendaftarkan anak saya ke sekolah pengajian agama... saya akan dapati ramai anak-anak yang pada tahun sebelumnya berada di dalam sekolah tersebut tidak lagi mendaftar masuk. Penurunan bilangan yang mendaftar lebih ketara di kalangan anak-anak yang pada tahun tersebut akan menghadapi peperiksaan besar seperti UPSR dan PMR.

Kenapa agaknya trend ini berlaku ya? Untuk memahami fenomena ini saya telah secara langsung bertanyakan para ibu yang secara tiba-tiba tidak lagi mendaftarkan anak-anak ke sekolah agama. Dan sungguh mengejutkan apabila mengetahui alasan utama mereka mengeluarkan anak-anak mereka dari sekolah agama adalah supaya anak-anak mereka mempunyai lebih masa dan lebih tumpuan bagi menghadapi peperiksaan besar pada tahun tersebut.

Apabila mendengarkan alasan yang diberikan... terasa hati kecil saya ini mahu sahaja memberontak... marahkan tindakan mereka. Kenapakah pendidikan agama dilihat sebagai satu perkara sampingan?! Kenapakah pendidikan agama dipandangan sebagai "gangguan" kepada penumpuan anak-anak kepada pendidikan di sekolah?!

Rakan-rakan sekelian... untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang kita mesti memastikan mereka menerima pendidikan dan asuhan yang seimbang. Kejayaan dan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa dialas dengan asas pendidikan agama yang mantap tidak akan dapat membentuk anak-anak yang boleh dibanggakan di masa hadapan. Bukan kah saban hari kita dihidangkan di media massa dengan pelbagai masalah jenayah dan sosial yang kini tidak lagi aneh bila pelakunya merupakan mereka-mereka yang berpendidikan tinggi?

Kerap juga kami mendengar keluhan ibu bapa yang rasa sedih dan kecewa kerana anak-anak mereka, walaupun berpendidikan tinggi... menjawat jawatan yang hebat, tetapi mempunyai jalan hidup yang yang jauh menyimpang dari norma-norma kita sebagai orang Islam dan orang Melayu yang kaya dengan sopan santun. Tidak kurang juga ibu bapa yang sudah mula pening kepala bila melihat anak-anak yang masih pada usia yang terlalu mudah sudah berani engkar, suka melepak dengan kawan-kawan, berpakaian tak serupa orang dan macam-macam lagi.

Dalam suasana masa kini yang mana pengaruh persekitaran dan kawan-kawan menjadi lebih kuat dari pengaruh ibu bapa... dan dalam pada kita sendiri tidak dapat secara berterusan memantau aktiviti anak-anak... asas pendidikan agama yang kukuhlah yang bakal menjadi perisai dan pendiding buat anak-anak. Nafsu dan akal yang sentiasa dipandu dengan iman akan memastikan anak-anak dapat bertindak bijak semasa menjalani kehidupan seharian.

Saya dan suami tidak punyai kemahiran memberikan pendidikan agama yang sempurna di rumah... justeru pendidikan melalui sekolah-sekolah agama ini menawarkan asuhan agama kepada anak kami melalui sillibus pendidikan yang tersusun dan lengkap. Namun ini bukan bermakna kami dapat berlepas tangan dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah bagi memastikan setiap apa yang dipelajari di sekolah dapat dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian anak-anak.

Berikan pendidikan agama keutamaan yang sama penting dengan pendidikan konvensional. Jika kita sanggup berhabis ratusan ringgit dan menghantar anak-anak berjam-jam ke kelas-kelas tuisyen... apalah sangat dengan pendidikan di sekolah agama yang cuma mengambil 2 - 3 jam sahaja sehari. Biarpun singkat... tetapi kesannya amat besar untuk kehidupan anak-anak kita.

Bukankah Islam mahu kita menjadi insan yang "Berjaya di Dunia dan Berjaya di Akhirat?!". Pendidikan di sekolah menjadi panduan buat akal, sedang pendidikan agama pula menjadi pengukuh iman dan pengekang nafsu. Kita perlu kedua-duanya untuk menjadi insan yang benar-benar sempurna dan hebat!!!

Saya berbicara lagi dalam masa terdekat (Mac 2008). Maaflah tidak dapat kongsikan tips mengatasi gejala buli seperti yang dijanjikan. Akan saya cuma masukkannya pada buletin akan datang. Maaf yea...


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita


TIPS #21 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca (Bah. II)

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA (BAH II)

Pada bulan yang lepas telah saya sentuh bagaimana untuk anda bermula memperkenalkan buku kepada anak-anak dan seterusnya menanamkan minat untuk membaca di dalam diri mereka. Kali ini menyambung kepada tips tersebut... tugas bercerita kini kita serahkan pula kepada si comel.

Setelah melalui beberapa sessi bercerita dengan anak anda, dan jika anda telah melakukannya dengan baik (cthnya bercerita dengan penuh keceriaan dan nada suara yang menghiburkan), anda akan lihat yang si kecil kesayangan anda ini begitu berminat untuk menyampaikan "cerita" versi dirinya pula. Beliau akan kelihatan sering menyampuk cerita anda... atau ingin segera ke muka surat kegemarannya... atau dari awal lagi telah memilih buku yang diingininya.

Pada peringkat ini anda perlu memainkan peranan dengan memberikan galakan kepada si kecil untuk mengembangkan imaginasinya. Benarkan dia "bercerita" dan anda main peranan sebagai pendengar yang responsif (active listener). Cuba seboleh mungkin pandu penceritaannya agar sentiasa berkait dengan gambar-gambar atau cerita di dalam buku tersebut dengan sesekali bertanyakan sesuatu tentang cerita yang sedang di sampaikannya.

Usah cuba memperbetulkan cerita anak anda... biarkan imaginasinya berkembang luas. Walau aneh atau tidak masuk akal sekalipun ceritanya... teruskan peranan anda sebagai pendengar yang baik.

Aktiviti ini merupakan antara langkah-langkah awal dalam menanamkan minat anak anda terhadap buku. Dan dalam tips akan datang akan saya sentuh bagaimana pula melalui aktiviti ini anda dapat mula memperkenalkan perkataan-perkataan asas kepada anak anda.

Buku-buku yang dicadangkan:

Sunday, January 13, 2008

Bersediahkan Anak-Anak Kita Untuk ke Sekolah? (Bah. II)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pertama sekali saya nak memohon berbanyak maaf kerana lambat sungguh Buletin AdikBijak.com kali ini dikeluarkan. Al-maklum sibuk sebab anak mula mendaftar semula ke sekolah... terkejar ke sana... terkejar ke sini menyelesaikan pelbagai urusan. Dekat sebulan setengah berehat dari menghantar anak ke sekolah... bila mula semula... fuhhh... rasa macam nak putus nafas. Dan tahun ini anak saya, Tasha, bersekolah sebelah petang pula... jadi rutin hariannya agak berbeza berbanding tahun lalu. Bukan sahaja anak, umminya juga perlu membuat adjustment kepada rutin yang baru.

Bercakap fasal sekolah ni... ingin saya kongsikan sedikit kisah yang berlaku masa saya mendaftarkan anak ke sekolah baru-baru ini. Nak kata lucu tak juga, nak kata serius juga tidak... tetapi ia melekat kuat dalam ingatan saya.

Pagi hari pendaftaran antara perkara pertama yang kami (saya dan suami) lakukan adalah melihat senarai nama pada papan kenyataan sekolah untuk mengetahui kelas mana Tasha akan ditempatkan tahun ini. Bila dah tahu kelas mana nanti mudah bila nak berurusan dengan guru dan sebagainya.

Sedang kami belek-belek senarai yang dipaparkan kami agak kehairanan kenapa pula Tasha diletakkan di kelas 2B (Bestari)? Kenapa tidak di kelas 2D (Dedikasi) kerana tahun lalu dia belajar di kelas 1D.

Untuk makluman rakan-rakan, susunan kelas di sekolah anak saya ni agak aneh sikit. Kelas "A"-"C" untuk murid-muri lemah, sementara kelas "D" - "H" untuk pelajar-pelajar biasa.

Sedang saya dan suami meneka-neka sebabnya, seorang kakak menyampuk dan berkata; "Anak awak mesti ada lemah kat mana-mana. Tu sebab masuk kelas B. Tu tengok kelas A... semua budak-budak yang belum boleh membaca. Anak buah akak ada kat dalam kelas tuh" katanya dengan nada kedengaran sedikit bangga (?)

"Adalah tu yang anak awak lemah tu... Anak buah akak dah darjah dua tapi belum boleh baca. Tu sekolah kumpul dalam satu kelas. Ada lah tu yang anak awak lemah" tegasnya lagi bersungguh-sungguh.

Hmmm... kami cuma mampu memberikan senyuman kepada kakak tadi atas maklumat yang diberikannya. Takkan nak argue balik... untuk apa, kan?

Kami akhirnya dapat tahu yang ada perubahan dibuat pihak sekolah tahun ini dalam susunan kelas. Kelas "A" menempatkan para pelajar yang masih mempunyai masalah membaca dan belajar, sementara kelas "B" - "H" diletakkan para pelajar berdasarkan kedudukan mereka dalam sekolah. Maknanya 35 pelajar terbaik sekolah diletakkan dalam satu kelas... iaitu kelas "B". Alhamdulillah.

Apa yang bermain-main dan menghantui minda kami dari peristiwa ini adalah... dalam negara telah mencapai kemerdekaan 50 tahun, mengapa masih lagi ada anak-anak bangsa yang bukan sahaja gagal menguasai ilmu, tetapi lebih parah lagi gagal menguasai skil asas yang sangat perlu iaitu MEMBACA, MENULIS dan MENGIRA. Rakan-rakan jangan terkejut jika saya beritahu ada para pelajar yang dah masuk sekolah menengah pun masih belum dapat menguasai skil asas ini.

Kami tak mahu sentuh peranan pihak sekolah, para pemikir akademik dan juga peranan kerajaan dalam masalah serius ini. Sebaliknya kami lebih suka menyentuh kepada peranan kita sebagai ibu bapa yang menjadi tonggak asas kepada kecemerlangan anak-anak kita.

Rakan-rakan semua... Tidak dapatkah rakan-rakan bayangkan betapa sayunya perasaan anak-anak kita yang terpaksa duduk di dalam kelas "lemah" sedang rakan-rakannya yang lain berada dalam kelas yang "baik"? Apa pula rasanya bila rakan-rakan lain mengetahui yang dia tidak pandai membaca? Tidakkah ini akan memberikan implikasi negatif kepada anak-anak ini dari segi mental, emosi dan sosialnya?

Kita tidak lagi boleh mengharapkan pihak sekolah semata-mata untuk mengatasi masalah ini. Sistem pendidikan hari ini telah jauh berbeza. Jika 15-20 tahun dahulu anak-anak di dalam Tahun 1 baru mula belajar mengenal ABC... tetapi kini anak-anak kita mesti telah menguasai skil asas MEMBACA, MENULIS dan MENGIRA sebelum melangkah ke alam persekolahan.

Peranan kita sebagai ibu bapa dalam memberikan pendidikan dan bimbingan di rumah kini menjadi semakin penting dan perlu. Biar macam mana sibuk pun kita... bekerja atau menguruskan rumah tangga... keperluan mendidik anak-anak perlu diletakkan pada prioriti tinggi dalam urusan seharian.

Buat rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang belum bersekolah... luangkanlah sedikit masa setiap hari untuk melatihnya membaca. Seperti yang pernah saya sentuh sebelum ini, anak-anak yang gagal menguasai kemahiran membaca akan menghadapai masalah untuk menguasai apa juga ilmu.

Kepada rakan-rakan yang anak-anaknya kini sudah mula bersekolah (seperti saya)... juga luangkan sedikit masa untuk mengikuti dan memantau perkembangan akademiknya. Berikan bimbingan yang sewajarnya sewaktu di rumah. Juga... paling-paling penting... pastikan anak-anak tidak tinggalkan solat biar di sekolah dan di rumah. Untuk menjadi anak-anak yang benar-benar cemerlang perlu cemerlang dalam apa juga urusan dunianya dan juga akhiratnya.

Hmmm... maaf panjang sedikit celoteh kali ini. Saya berharap sedikit sebanyak celoteh ini dapat memberikan manafaat buat saya dan rakan-rakan semua.

Sebelum saya akhiri, seperti yang dijanjikan bulan lalu saya kongsikan sedikit lagi Tips Keselamatan Diri dan kali ini keselamatan anak-anak di sekolah pula. Tentang keselamatan jalanraya saya pasti anda semua dah mahir... jadi saya sentuh dari aspek lain pula. Ingatkan anak-anak anda perkara-perkara berikut:

  • Jika ingin ke tandas... jangan pergi berseorangan. Minta kebenaran guru untuk membawa seorang rakan bagi menemani anak anda ke tandas. Cara ini amat membantu dalam hal kecemasan seperti terjatuh di dalam tandas di mana rakan tadi dapat kembali dan memaklumkan kepada guru. Lebih utama cara ini dapat mengelakkan anak-anak dari diganggu oleh "penjenayah" yang mungkin mengambil peluang terhadap anak-anak yang berjalan atau berada di tandas bersendirian.
  • Jika diminta untuk bertemu guru selepas kelas, pastikan anak anda ditemani seorang rakan lagi. Jangan biarkan mereka "bersendirian" menemui guru terbabit.
  • Maklumkan kepada anak-anak tempat-tempat yang boleh dan tidak boleh mereka pergi samada di dalam dan di luar sekolah. Contohnya bangunan setor, atau bangunan lama, atau tempat-tempat yang jauh dari pandangan umum perlu mereka dijahui.
  • Jangan bercakap atau menerima sesuatu dari orang yang tidak dikenali. Walau pun orang tersebut memanggil menggunakan namanya. Ingat...!!! Anak-anak kita semuanya mempunya tag nama pada baju yang mudah dilihat oleh siapa sahaja. Justeru memanggil mereka menggunakan nama tidak bermakna si pemanggil adalah orang yang dikenali.
  • Jika diganggu... jauhkan diri dengan segera (lari!!!). Jika terus diganggu... atau di dalam kecemasan jeritlah "API!!!"... "API!!!"... "API!!!". Kenapa jerit "api" pula...? Mengikut kajian jeritan "api" lebih menarik perhatian orang di sekeliling berbanding jeritan meminta tolong.

Itu sahaja buat kali ini. Bulan hadapan akan saya kongsikan pula tips bagaimana melatih anak anda menjaga barang-barang peribadinya (seperti buku, pensil, pemadam dan lain-lain) semasa di sekolah dan mengatasi gejala buli.

Akhir kata, kami di AdikBijak.com ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1429. Semoga tahun baru yang mendatang ini menjanjikan sejuta rahmat dan keceriaan buat kita semua. Dan buat anak-anak... Selamat Kembali ke Sekolah. Jadilah pelajar yang cemerlang yang menjadi kebangaan ibu dan ayah.


"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com

TIPS #20 :: Mulakan Dengan Bercerita... Bukan Membaca

MULAKAN DENGAN BERCERITA... BUKAN MEMBACA

Saya kerap diajukan permasalahan dari ibu-ibu (juga para bapa) yang mengadukan perihal sukarnya untuk menarik minat anak-anak membaca. Keluhan seperti, "anak saya tumpuan dia singkat sangat, baca sekejap je dia dah tak mau", atau "anak saya susah betul nak diajak membaca, dia lebih suka tonton TV atau main games"... adalah antara keluhan yang sering kedengaran.

Tanpa minat kepada buku ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk anda mengajak anak-anak membaca atau mengajarnya membaca. Anda perlu lakukan beberapa langkah berikut bagi menimbulkan minat anak-anak kepada buku:

  • Cetuskan rasa ingin tahunya terhadap apa yang terkandung di dalam buku
  • Semaikan rasa seronok dan cinta kepada buku
  • Tanamkan rasa tanggungjawab ke atas buku
  • Suburkan perasaan dahagakan ilmu
  • Galakannya untuk menyampaikan kepada orang lain apa yang dipelajari dari buku

Banyak cara untuk anda mencapai objektif-objektif di atas. Antara cara terawal yang boleh anda lakukan adalah memulakannya dengan cara "bercerita" kepada anak-anak dan bukannya "membaca" kepada mereka. Perbezaan antara "bercerita" dengan "membaca" adalah bercerita lebih bersifat interaksi dua hala di mana anda akan cuba menyampaikan maklumat dengan gaya bahasa dan informasi teringkas yang dirasakan sesuai dan dapat diterima oleh anak. Sedang membaca pula anda lebih terikat kepada apa yang tertulis di dalam buku... yang isinya mungkin sukar difahami oleh anak.

Jika saya tanyakan anda... yang mana anda lebih suka... mendengar orang bercerita atau membaca sendiri buku cerita? Saya yakin anda lebih suka mendengar cerita, kan? Semua orang suka mendengar cerita... begitu juga dengan anak-anak kita.


Ambilah sebuah buku yang mempunyai gambar-gambar yang ceria dan menarik. Dan berceritalah kepada anak anda berdasarkan gambar-gambar tersebut dengan menggunakan alunan suara yang menarik dan gaya mimik muka yang berbagai. Anda pasti dapat melihat sinar dari mata-mata anak-anak yang bulat dan segar terpancar ceria mendengarkan anda bercerita kepadanya.

Akan saya sentuh kaedah-kaedah lain dalam edisi akan datang. Jangan lupa amalkan ya...!