Monday, November 19, 2007

TIPS #18 :: Jom Ke Perpustakaan

JOM KE PERPUSTAKAAN. ..!!!

Orang kata kalau nak ajar berenang bawalah ke air, dan kalau nak ajar memanjat bawa pula ke gunung. Dalam mengasuh minat anak-anak terhadap buku dan membaca... antara cara yang paling berkesan adalah dengan membawa mereka ke tempat di mana buku merupakan fokus dan suasana utama. Jika di rumah bahan-bahan bacaan mungkin terhad, masa yang digunakan ahli keluarga untuk membaca juga mungkin terbatas, dan suasana di rumah juga mungkin tidak begitu kondusif dalam menanamkan minat membaca... maka perpustakaan adalah tempat yang paling tepat untuk mereka.

Di perpustakaan suasana "cinta buku" menjadi tema utama. Anak-anak bila mula melangkah sahaja ke dalam sebuah perpustakaan pastinya akan rasa teruja dengan suasana yang begitu tenang di sana. Ia pasti jauh berbeza dengan suasana di rumah atau tempat-tempat tumpuan awam lain yang lebih sibuk dan bingit. Setiap sudut dan ruang pula pasti akan ada orang yang duduk membaca... dan suasana seperti ini tentunya menimbulkan rasa ingin tahu anak-anak kenapa buku begitu mengasyikkan mereka.

Rangkaian buku yang banyak di perpustakaan memberikan peluang untuk anak-anak meneroka pelbagai topik yang memenuhi minat dan citarasa mereka. Sama ada anak anda berminat tentang Sains, Permotoran, Tumbuh-Tumbuhan, Kartun (Seni), Angkasa dan apa sahaja, insyaAllah mereka akan dapat menemui sebuah atau lebih buku yang dapat memenuhi rasa ingin tahu mereka.

Di perpustakaan juga, selain buku, ada menyediakan kemudahan dan aktiviti lain yang sangat berfaedah seperti Sesi Bercerita, Makmal HiperMedia, Sudut Eksplorasi dan macam-macam lagi... yang telah disusun bagi meningkatkan lagi minat anak-anak kepada ilmu dan buku.

Bawalah anak-anak ke perpustakaan pada setiap hujung minggu, cuti persekolahan atau bila-bila masa sahaja yang anda dan anak-anak rasakan sesuai. Kunjungan ke perpustakaan tentunya boleh menjadi aktiviti sekeluarga yang berfaedah.

Monday, November 12, 2007

TIPS #17 :: Jauh Perjalanan, Luas Pengetahuan, Tingkat Kemahiran

JAUH PERJALANAN, LUAS PENGETAHUAN, TINGKAT KEMAHIRAN

Di musim-musim cuti persekolahan atau perayaan seperti Hari Raya, lazimnya kita akan mengambil peluang untuk bercuti dan melawat-lawat tempat yang agak jauh. Samada anda berkenderaan sendiri atau menggunakan kenderaan awam... satu benda yang patut kita bawa bersama (tetapi selalu tertinggal... hmmm...) adalah buku.

Perjalanan yang jauh atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas memberikan kira ruang masa untuk membaca... untuk diri sendiri dan juga untuk anak-anak. Apabila kita membaca buku ketika dalam kenderaan ia akan mempamerkan contoh yang baik kepada anak-anak tentang cara mengisi masa dengan cara yang berfaedah.


Galakkan mereka membaca dengan membawa bersama buku-buku atau majalah, dan letakkan di dalam kenderaan pada tempat yang mudah dicapai. Elok diletak pada poket di belakang kerusi hadapan atau di bahagian atas kerusi belakang dan bukan di dalam beg atau tempat letak barang (sukar diambil).

Selain membaca anda juga dapat melatih kemahiran anak-anak membaca melalui permainan-permainan perkataan seperti yang telah saya sentuh sebelum ini. Bagi anak-anak yang telah pandai membaca, anda boleh melakukan kuiz bagi menguji kefahamannya tentang apa yang telah dibaca.

Gunakan ruang masa ini sebaik mungkin... terutama buat anda yang pada hari kebiasaannya sibuk di tempat kerja dan mempunyai ruang masa terhad untuk membaca bersama anak-anak. Ini peluang anda untuk mendidik dan menggalakkan mereka membaca. Jangan sia-siakannya...!!!


Wednesday, September 12, 2007

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Jumaat lepas Perdana Menteri telah membentangkan Belanjawan 2008. Alhamdulillah banyak yang beliau bentangkan pastinya mengembirakan kita semua sebagai ibu-bapa. Pelepasan pelbagai bentuk yuran di peringkat sekolah, pemberian buku-buku teks percuma, peningkatan elaun dan kemudahan untuk para guru, dan pelbagai lagi saranan di dalam pembentangan belanjawan ini pastinya menjanjikan kemudahan dan faedah pendidikan yang baik kepada anak-anak kita di masa hadapan.

Harap-harap jangan ada pula pihak-pihak mula menangguk di air keruh. Yealah... tiba-tiba nanti Yuran PIBG pula naik, atau harga pakaian persekolahan naik. Atau semasa mendaftar anak ke sekolah nanti ibu bapa mula dibebankan dengan pelbagai "buku-buku tambahan" yang "wajib" dibeli sedang jarang-jarang pula digunakan di kelas.
Di negara kita ini situasinya jika difikirkan agak aneh sekali. Bila petrol naik... harga barangan ikut naik. Bila gaji dan elaun kakitangan kerajaan naik... harga barangan juga turut naik. Dan bila kerajaan mengumumkan pelbagai insentif bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan rakyat... harga barangan tidak pula ikut turun, sebaliknya tetap naik juga. Alasannya... kita kini punya lebih wang untuk berbelanja. Isk... herankan?!

Tak sampai dua hari lagi kita bakal menyambut bulan mulia, Ramadhan Al-Mubarak. Alhamdulillah kita semua dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t untuk bertemu kembali bulan mulia ini yang mana di dalammya terkandung pelbagai kelebihan dan rahmat. Dibulan inilah kita digalakkan melipat gandakan lagi ibadah, sedekah dan lain-lain amalan baik... hingga ada orang mewar-warkan bulan ini sebagai "Bulan Pesta Ibadah".

Emmm... betul ke ramai yang meraikan "pesta" ini? Atau "pesta" yang lebih meriah dan lebih diraikan orang adalah pesta-pesta makanan di bazar-bazar Ramadhan... atau bulan ini juga menjadi bulan pesta membeli-belah? Haaaiii... tepuk dada tanya selera... dan jangan lupa jengah-jengah poket (cukup ke bajet? Hehehe...). Dalam kita seronok berbelanja jangan lupa kepada perkara yang dituntut seperti mengeluarkan Zakat dan Sedekah.

Ramai juga ibu bapa pada tahun ini mengambil peluang untuk melatih anak-anak untuk mula berpuasa. Tahun ini merupakan tahun kedua anak saya Tasha berpuasa. Seronok, geram, kasihan dan macam-macam lagi perasaan bercampur baur melayani anak-anak yang baru belajar puasa ni. Dari susahnya nak kejut sahur, lepas tu melayani ragamnya bila lapar, dan keceriaan ketika berbuka membuatkan kita tersenyum... bahagia. Kalau rakan-rakan ada anak berusia 5 - 6 tahun tu... sesuailah untuk mula dilatih berpuasa... bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebung.

Satu tips nak saya kongsikan tentang mengajar anak berpuasa ni ialah... bila Ramadhan hampir tiba... mulalah bercerita dengan anak tentang puasa. Terangkan kepadanya kenapa kita perlu berpuasa, macam mana rasanya puasa dan kelebihan bila berpuasa. Ini akan menyediakan anak-anak dari segi mental tentang puasa. InsyaAllah, bilamana Ramadhan menjelang lebih mudah untuk mengajaknya berpuasa kerana dia telah lebih dahulu bersedia.

Cukup dulu rasanya celoteh saya. Kena mula berlatih kurangkan cakap... tetapi lebihkan bekerja di bulan Ramadhan ini, tak gitu? Apa pun saya bagi pihak krew AdikBijak.com ingin mengambil kesempatan ini mengucapakan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Moga-moga Ramadhan kali ini akan menjadi Ramadhan yang lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu. Kami juga ingin mengambil peluang memohon ampun dan maaf dari rakan-rakan semua sekiranya sepanjang tahun ini ada kami melakukan kesilapan, terkasar bahasa, terkurang mesra dan lain-lain yang tidak kami sengajakan. Harap ianya tidak disimpan di hati.

Untuk bulan September ini kami ada bawakan beberapa buah buku dan majalah baru khusus untuk anak-anak kita. Majalah Aulad dan Celik tu amat-amat kami recommend kepada anda kerana ia akan memberikan bahan bacaan baru buat anak-anak setiap bulan. Tak lupa juga siri buku-buku cerita yang menghiburkan dengan ilustrasi menarik yang bakal menarik minat anak-anak kita kepada pembacaan.

Untuk anda pula buku-buku sepeti "Remeh-Temeh Tentang Puasa" atau "Remeh-Temeh Tentang Solat" atau buku-buku lain boleh anda miliki untuk mengisi masa terluang di bulan Ramadhan ini dengan meningkatkan ilmu di dada. Jangan lupa.. pada belanjawan tahun lalu kerajaan telah meningkatkan rebet cukai bagi pembelian bahan-bahan bacaan dari RM700 ke RM1000. Jadi gunakan peluang ini dengan sebaiknya.

Selamat Berpuasa......



"SELANGKAH LEBIH BIJAK"

Puan Rosnita
AdikBijak.com


p/s: Buku-buku terbaru di AdikBijak.com untuk September 2007:-

Tips Cepat Membaca - Siri 16

USAH JADIKAN MEMBACA SATU BENTUK HUKUMAN

Membaca adalah satu aktiviti yang sangat baik dan berfaedah. Justeru itu minat kepada aktiviti ini perlulah ditanamkan ke dalam jiwa anak-anak dalam suasana yang mesra, menarik dan menghiburkan.

Memaksa anak untuk membaca atau menyuruhnya membaca pada masa emosinya kurang baik akan menyemaikan bibit perspektif negatif anak kepada buku dan aktiviti membaca. Ia akan menjadi lebih buruk lagi jika aktiviti membaca ini dijadikan sebagai satu bentuk hukuman bilamana si anak melakukan sesuatu kesalahan atau tidak mendengar kata.


Apa yang perlu anda lakukan adalah mewujudkan suasana yang tenang dan ceria sebelum mengajaknya membaca bersama. Penuhi sessi membaca ini dengan kasih-sayang, interaksi mesra antara anda dan anak, dan juga kata-kata galakkan dan pujian yang membina.

Melalui pendekatan sebegini minda anak anda akan terasuh untuk mengaitkan aktiviti membaca (dan buku) dengan sesuatu yang positif. InsyaAllah, acuan yang baik ini akan kekal sepanjang hayatnya.